Dua kuil dan beberapa ahli perniagaan India menyumbang RM33,000 kepada tabung kebajikan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Datuk R.Nadarajah, yang turut mewakili Kuil Sri Ramaniyar dan beberapa ahli perniagaan India, menyampaikan sumbangan itu kepada Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan pada satu majlis di Batu Caves semalam.

Thaiveegan berkata sumbangan itu akan diderma kepada keluarga wira negara yang gugur semasa mempertahan negara dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

"Sumbangan itu akan diserah kepada pucuk pimpinan di Bukit Aman dan mereka yang akan mengagihkannya kepada anggota keluarga wira negara itu," katanya.

Beliau berkata sumbangan itu merupakan satu penghargaan kepada wira negara yang sanggup menggadai nyawa demi menjaga kedaulatan negara dan juga bagi meringankan beban anggota keluarga mereka.

- Bernama