Perhimpunan Agung Umno telah berlalu. Tentulah para perwakilan dan pemerhati pulang bersama seribu satu macam kenangan dan pengalaman. Mereka yang terisak-isak menangis pada petang 21 Jun di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), pastinya sudahpun kering air mata.

Mereka dikatakan menangis sebagai manifestasi kasih dan kekaguman terhadap Dr Mahathir. Sayangnya, mereka tidak melihat, malah jauh sekali menyelidiki kelemahan pentadbiran Dr Mahathir. Sebaliknya, hanya kejayaan yang digembar-gemburkan sepanjang tempoh 22 tahun menjadi perdana menteri!

Kita yakin mereka juga mempunyai anggota keluarga yang menjadi pekerja biasa di kilang, ladang dan dalam industri lain, dengan purata pendapatan bulanan kurang RM1,000. Kebanyakannya tinggal di pinggir bandar, menyewa bilik, mendiami rumah pangsa atau rumah murah yang sangat sederhana kemudahan serta peralatannya.

Di bawah tajuk kecil "Kita belum kaya", dalam ucapan perasmian Dr Mahathir itu, terdapat lebih 13 perenggan yang menyentuh upah, produktiviti, daya saing, taraf hidup dan sebagainya. Ertinya, Dr Mahathir memberikan perhatian berat terhadap isu-isu berkaitan dengan pekerja di negara ini.

Jika dihalusi, beliau menyalahkan pekerja dan pemimpin mereka yang menurut beliau :"...menuntut standard yang lebih tinggi dari negara yang sudah maju." Tambah beliau lagi: "...jika kita mengada-ada sangat, kita bukan lebih selamat dan sihat; sebaliknya kita akan terima padahnya." Persoalannya, adakah benar pekerja Malaysia menuntut 'standard yang lebih tinggi'?

Sebagai perdana menteri, Dr Mahathir tentunya mengetahui atau setidak-tidaknya dimaklumkan mengenai kadar gaji pekerja di Malaysia, sama ada di sektor awam dan swasta. Kita yakin beliau tahu gaji paling rendah diterima pekerja biasa, seperti operator mesin, pembantu pejabat dan pengawal keselamatan.

Perbezaan gaji

Untuk makluman, terdapat pengawal keselamatan menerima gaji pokok serendah RM250 sebulan. Sementara pengawal keselamatan berkenaan mungkin berbangga dapat mengawal sebuah bank yang besar yang membuat keuntungan jutaan ringgit, namun masa depannya sendiri masih tidak menentu.

Dikatakan lebih 60 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan. Hal ini tidaklah menghairankan. Sebuah kilang pembuatan di kawasan Perindustrian Mergong, Alor Setar, Kedah, membayar gaji pokok RM360 kepada operator mesin dengan kenaikan tahunan pada kadar RM28. Angka ini bagi tahun 2002.

Ringkasnya, operator mesin ini perlu bekerja lima tahun untuk menjadikan gajinya RM500 sebulan. Gaji seorang pekerja di sebuah kilang pembuatan komponen di kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh, Perak juga tidak jauh bezanya dengan gaji pekerja di Mergong. Setelah lima bekerja gaji beliau masih di tahap RM500 sebulan. Hal yang sama berlaku dihampir semua kawasan perindustrian dalam negara kita.

Persoalannya -- benarkah produktiviti pekerja Malaysia rendah jika dibandingkan dengan kos buruh? Laporan Rancangan Malaysia Kelapan 2001- 2005 dan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia yang diterbitkan pada Mac 28/2001 menggambarkan keadaan sebenar perkembangan pasaran buruh di Malaysia.

Antara lain, dilaporkan pertumbuhan ekonomi yang pesat pada 2000 telah mewujudkan pasaran buruh yang kukuh, tetapi ianya tidak mewujudkan tekanan ke atas upah. Pembaikan dan peningkatan ke atas produktiviti mengatasi kenaikan ke atas upah. Ini bermakna produktiviti meningkat manakala upah tidak meningkat atau setanding dengan peningkatan produktiviti.

Kajian Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menunjukkan purata gaji pekerja dalam sektor swasta naik 7 peratus daripada 5.9 peratus dalam tahun 1999 dan 6.2 peratus dalam tahun 1998. Kerajaan memberikan kenaikan gaji 10 peratus kepada semua kakitangan awam pada 1 Januari, 2000. Disamping itu, kerajaan turut menaikkan elaun perumahan sebanyak 50 peratus kepada kategori tertentu kakitangan awam.

Pekerja di Singapura

Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia bagi tahun 2000 pula mengesahkan produktiviti meningkat manakala kos buruh menurun. Oleh itu, Malaysia diletakkan dalam situasi selesa dan kompetitif, tidak hanya di kalangan negara Asean, tetapi juga tetapi di kalangan 47 negara perindustrian dan ekonomi yang baru muncul.

Satu perkara yang tidak kurang pentingnya ialah perbandingan upah pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura, dengan rakan mereka yang misalnya, bekerja di Bangi, Selangor. Seorang pekerja perempuan di syarikat pembuatan milik firma multinasional di Singapura dibayar purata Dolar Singapura 800 sebulan (purata RM1,760 sebulan).

Manakala rakannya di Malaysia yang melakukan pekerjaan yang hampir sama dalam firma multinasional yang sama, hanya dibayar tidak sampai RM600 sebulan. Dalam ucapannya, Dr Mahathir ada menyebut: "Kita ingin lihat purata upah di Malaysia dinaikkan lagi." Hujah Dr.Mahathir, jika upah naik, kos sara hidup akan turut naik.

Jadi menurut beliau: "Kenaikan upah tidak memberi apa-apa kelebihan kepada kita." Beliau selanjutnya berhujah bahawa "di Malaysia, pendapatan meningkat lebih daripada kos. Ini bermakna kita boleh beli lebih walau pun kos meningkat."

Benarkah pendapatan kita meningkat lebih daripada kos? Secara rambang beberapa pekerja telah ditanya berapakah belanja harian mereka? Mereka tinggal di Pulau Pinang, Kuantan, Johor Bahru dan Shah Alam.

Menurut mereka, sekurang-kurangnya RM13.50 diperlukan sehari untuk sarapan, minum di waktu rehat, makan tengahari, makan malam dan tambang pergi-balik ke tempat kerja. Ini bermakna mereka memerlukan RM380 hingga RM400 sebulan. Jumlah itu tidak termasuk sewa rumah, bayaran ansuran peralatan dan bayaran keperluan lain.

Kebanyakan mereka menyifatkan RM13.50 tersebut adalah jumlah paling minimum. Oleh itu, jika gaji mereka hanya sekitar RM400 hingga RM 500 sebulan, bagaimanakah hujah Dr Mahathir bahawa "di Malaysia pendapatan meningkat lebih daripada kos dan katanya lagi ini bermakna kita boleh beli lebih walau pun kos meningkat".

Tindakan perusahaan

Sepanjang 22 tahun pemerintahan, Malaysia tidak mempunyai undang-undang mengenai gaji minimum yang dikira munasabah. Beliau mendakwa ada pihak percaya kenaikan upah boleh didapati melalui tindakan perusahaan, seperti di Eropah. Melalui statistik, beliau tentu tahu jumlah tindakan perusahaan di Malaysia adalah terlalu kecil.

Ini akibat adanya undang-undang yang terlalu ketat yang menghalang pekerja dan kesatuan pekerja mengambil tindakan perusahaan. Kalau pun ada, ianya hanyalah dalam bentuk piket yang walaupun di benarkan, sering diganggu oleh pihak-pihak tertentu.

Sebenarnya, tindakan perusahaan bersifat sejagat. Ianya dilakukan oleh pekerja di Eropah, Asia, Afrika, Australia dan Amerika Latin. Pekerja Korea Selatan sering bertindak mempertahankan hak mereka. Walaupun begitu halnya, kerajaannya berjaya melunaskan hutang mereka dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bagaimana dengan tokoh korporat yang beberapa tahun dulu sering dipuji Dr Mahathir? Bahkan dalam perhimpunan agung Umno sebelum ini, beliau memuji tokoh-tokoh korporat tersebut yang menjadi penderma terbesar kepada partinya. Umum mengetahui banyak wang diberikan untuk menyelamatkan syarikat korporat tersebut apabila berlaku krisis kewangan yang lalu.

Jumlah dana yang disuntik ke dalam syarikat tersebut bukan kecil jumlahnya -- ratusan, malah ribuan juta digunakan bagi memastikan mereka tidak gulung tikar. Siapakah yang menanggung beban tersebut kalau bukan rakyat negara ini, yang majoritinya adalah kaum pekerja.Dalam hal pekerja pula, apakah peranan pemerintah dalam menjaga kepentingan mereka? Jelaslah, melalui ucapan Dr Mahathir, di Malaysia tidak ada elaun pengangguran.Tugas untuk menyara pekerja yang tidak bekerja, menurut beliau, adalah tanggungjawab keluarga masing-masing. Dalam kata lain, ianya bukan tugas pemerintah.

Ingin ditegaskan bahawa kita, terutama kaum pekerja, tidak sesekali ingin mengikut cara orang Eropah dan orang yang sudah kaya seperti yang didakwa oleh beliau. Yang diinginkan oleh pekerja Malaysia ialah taraf kehidupan yang lebih baik dan munasabah, selaras dengan pembangunan dan kekayaan negara.

Kita inginkan sebuah kehidupan yang sempurna, sejahtera dan tidak terus berada dalam serba tidak cukup, kalau pun tidak berada dalam lingkungan kemiskinan!


Syed Shahir Syed Mahmud adalah Setiausaha Eksekutif, Kesatuan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu, Shah Alam.