Mereka harus dibela
Pada 8 Jun lalu, genaplah dua tahun tempoh penggantungan pengajian terhadap tujuh rakan mahasiswa yang menjadi mangsa ketidakadilan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU). Mereka telah dinafikan hak keadilan dan hak pendidikan yang sepatutnya dilindungi oleh pihak universiti.
Pelajar terbabit ialah Rafzan Ramli, Helman Sanudin, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Nik Noorhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris.
Tindakan pihak universiti dan Kementerian Pendidikan mengakibatkan nasib mereka kini tidak menentu. Dalam hal ini, pihak universiti seharusnya bersikap lebih terbuka dan profesional dalam menangani kes pelajar, terutama isu-isu melibatkan hak sivil serta politik. Setiap hukuman perlulah mengambil kira masa depan pelajar terbabit.
Mereka sebenarnya hanya keluar berhimpun secara aman bagi menyatakan pandangan (dalam bentuk protes) terhadap tindakan pemerintah yang secara konsisten menindas rakyat dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tindakan pihak universiti seharusnya dilihat dari sudut membela nasib pelajar di samping jaminan masa depan mereka. Tetapi apa yang berlaku, seolah-olah pihak universiti bertindak mengikut tekanan politik semata-mata. Perlu diingat, penglibatan mereka dalam perhimpunan tersebut, masih belum terbukti, kerana kes mereka masih berjalan di mahkamah.
Tindakan pihak universiti ini telah menelanjangkan AUKU sebagai sebuah akta yang tidak berlandaskan prinsip 'rules of law'. Apa yang berlaku, mereka telah disabitkan kesalahan oleh pihak universiti, sebelum pihak mahkamah memutuskan kes mereka.
Pada 8 Jun lalu, genaplah dua tahun tempoh penggantungan pengajian terhadap tujuh rakan mahasiswa yang menjadi mangsa ketidakadilan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU). Mereka telah dinafikan hak keadilan dan hak pendidikan yang sepatutnya dilindungi oleh pihak universiti.
Pelajar terbabit ialah Rafzan Ramli, Helman Sanudin, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Nik Noorhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris.
Tindakan pihak universiti dan Kementerian Pendidikan mengakibatkan nasib mereka kini tidak menentu. Dalam hal ini, pihak universiti seharusnya bersikap lebih terbuka dan profesional dalam menangani kes pelajar, terutama isu-isu melibatkan hak sivil serta politik. Setiap hukuman perlulah mengambil kira masa depan pelajar terbabit.
Mereka sebenarnya hanya keluar berhimpun secara aman bagi menyatakan pandangan (dalam bentuk protes) terhadap tindakan pemerintah yang secara konsisten menindas rakyat dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tindakan pihak universiti seharusnya dilihat dari sudut membela nasib pelajar di samping jaminan masa depan mereka. Tetapi apa yang berlaku, seolah-olah pihak universiti bertindak mengikut tekanan politik semata-mata. Perlu diingat, penglibatan mereka dalam perhimpunan tersebut, masih belum terbukti, kerana kes mereka masih berjalan di mahkamah.
Tindakan pihak universiti ini telah menelanjangkan AUKU sebagai sebuah akta yang tidak berlandaskan prinsip 'rules of law'. Apa yang berlaku, mereka telah disabitkan kesalahan oleh pihak universiti, sebelum pihak mahkamah memutuskan kes mereka.
Legitimasi AUKU
Perkara ini cukup serius kerana AUKU tidak mampu memberi jaminan keadilan dan keselamatan terhadap pelajar terbabit. Persoalannya, sejauhmanakah akta ini selari dengan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya tidak, 'legitimasi' AUKU boleh dipertikaikan dan harus dimansuhkan.
Contohnya, Rafzan, ketika dibicarakan oleh Lembaga Tatatertib Universiti Teknologi Mara (UiTM), tidak diberi ruang langsung untuk membela diri. Sehubungan itu, Rafzan telah membuat aduan mengenainya kepada pihak Suhakam. Dan susulan dari aduan ini, Rafzan diterima kembali untuk meneruskan pengajian di UiTM.
Inikah sikap yang cuba ditonjolkan oleh sesetengah di universiti yang secara tidak lansung telah mencemarkan imej universiti yang cukup terkenal dengan momokan 'Mendukung Tradisi Intelektual'.
Apakah tindakan pihak universiti menutup ruang kebebasan bersuara di kampus, akan mampu melahirkan pelajar yang mendokong tradisi intelektual dan bercirikan 'manusia sejagat'. Jika sikap ini masih digunakapakai, maka gagasan universiti sebagai tempat membina peradaban tinggi akan gagal.
Walaupun kes pelajar ini agak terpencil sekiranya dilihat dari perspektif pentadbiran universiti, tetapi ia memberi konotasi jelas wujudnya sekatan tidak sihat oleh beberapa pihak dalam pentadbiran universiti.
Sekiranya benar, akan terbantutlah proses membudayakan tradisi intelektual di kampus, natijahnya akan lahirlah golongan 'mahasiswa-proletariat' yang hanya menjadi alat pengeluaran semata-mata, dan universiti hanyalah tempat untuk mencetak ijazah en massa secara besar-besaran.
Sikap polis
Pelajar terbabit sebenarnya telah bertindak mengikut prinsip dan semangat demokrasi, seperti yang termaktub dalam prinsip Rukunegara. Mereka tidak mencabar undang-undang negara, malah menghormati prinsip keluhuran perlembagaan. Mereka inilah sebenarnya yang cuba untuk mendaulatkan keluhuran perlembagaan.
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan jaminan hak berhimpun secara aman kepada setiap warganegara Malaysia.
Di perhimpunan tersebut, pelajar yang berhimpun, telah memberi kerjasama dan akur arahan polis supaya bersurai. Ketika perhimpunan itu akan diakhiri dengan bacaan doa, pihak polis dengan rakusnya bertindak menyuraikannya dan dan peristiwa itu diakhiri dengan tertangkapnya tujuh mahasiswa terbabit.
Sehingga sekarang saya masih binggung dengan tindakan polis tersebut. Jika polis bersabar menunggu sehingga selesainya bacaan doa, sudah pastinya perhimpunan itu berakhir dengan aman.
Pihak polis sepatutnya mengawal lalulintas (semasa perhimpunan berlangsung), bukannya bertindak agresif terhadap mahasiswa yang berhimpun. Satu memorandum mengenainya telah kepada Suhakam pada 30 Jun 2001, sebagai tanda protes mahasiswa terhadap tindakan pihak polis itu.
Perhimpunan aman itu di Masjid Negara pada 8 Jun 2001, jelas menunjukkan kepada masyarakat peranan mahasiswa bukan sahaja tertumpu di bilik kuliah, tetapi juga berperanan mencorak suasana kampus supaya lebih progresif ke arah melahirkan pelajar berjiwa merdeka dan berani.
Sistem sokongan
Pelajar yang bertanggungjawab akan lebih bersikap responsif dan sensitif terhadap isu-isu kemasyarakatan ataupun kemanusiaan. Sikap inilah yang menjadi perangsang kepada mereka untuk berhimpun secara aman bagi menyatakan protes terhadap pihak pemerintah.
Namun, peristiwa itu telah menjadi sebahagian daripada sejarah gerakan pelajar di Malaysia, terutama selepas era pasca Reformasi. Dan ia menunjukkan kepada rakyat bahawa masih ada mahasiswa yang berani dan berjiwa merdeka dalam memperjuangkan hak sivil serta politik di kampus.
Sepanjang dua tahun penggantungan mereka, masih banyak yang perlu diperbaiki, khususnya mengenai gerakan pelajar. Usaha menegakkan kebenaran dan keadilan, kebiasaannya akan berdepan dengan penentangan pihak yang cuba mempertahankan status quo mereka.
Oleh itu, gerakan pelajar perlu memikirkan bagaimana menyediakan 'sistem sokongan' yang berkesan, terutama terhadap rakan pelajar yang tertindas. Sokongan ini penting bagi menjamin kelangsungan perjuangan gerakan pelajar.
Berikutan itu, beberapa aktivis pelajar mengambil inisiatif menubuhkan Independent Student Resource And Legal Training Center (ISREC) atau Pusat Bebas bagi Latihan Perundangan dan Sumber Pelajar, bagi tujuan menyedian 'sistem sokongan" bagi pelajar terbabit.
Selain bertindak sebagai pembela pelajar yang teraniaya, unit sokongan itu juga akan menyebarkan maklumat terkini mengenai pelajar terbabit. Ia boleh wujud dalam pelbagai bentuk, termasuk sebagai pengumpul maklumat, menyediakan latihan serta menjalankan kempen kesedaran.
Mahasiswa intelek
Umumnya, universiti berperanan melahirkan golongan terpelajar, atau disebut 'intelingensia'. Mereka bertanggungjawab membangunkan masyarakat yang lebih bertamadun. Istilah intelek di sini dirujuk kepada golongan berpendidikan, dengan personaliti pemikiran yang kritis. Mereka bukan sahaja memikirkan idea dan masalah yang bersifat kebendaan, tetapi juga yang melibatkan moral, nilai dan akhlak.
Sesebuah tamadun akan lebih cepat berkembang jika masyarakatnya berpendidikan. Kerana itulah, peranan universiti ialah menjadi pemangkin atau kayu pengukur kejayaan sesebuah masyarakat. Pendidikan juga menjadi salah satu prasyarat penting kepada kejayaan sistem demokrasi.
Ini kerana nilai demokrasi yang hendak dipupuk memerlukan proses pendidikan dan pemahaman yang berterusan. Sesuatu nilai tidak dapat dipupuk jika masyarakat tidak berilmu. Oleh itu, kejayaan demokrasi akan menjadi lebih pantas jika budaya keilmuan ini disuburkan dalam sesebuah masyarakat.
Budaya ini akan menjadikan masyarakat lebih kritikal, terutama berkaitan hal-hal yang melibatkan pemerintah. Dan ini akan membuat pemerintah lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam menguruskan hal-ehwal negara.
Peranan inilah yang harus dimainkan oleh mahasiswa bagi mempercepatkan proses kejayaan demokrasi. Masyarakat dunia telah menyaksikan begitu banyak gelombang reformasi ataupun revolusi yang diasaskan oleh mahasiswa.
Mereka berjaya mengerakkan rakyat jelata untuk berjuang bagi menjatuhkan sesebuah rejim. Sekiranya golongan ini tidak memainkan peranan, pemerintahan akan menjadi lebih autokratik kerana rakyat tidak bersikap kritikal terhadapnya.
Mereka harus dibela
Maka, mahasiswa perlu mempunyai ciri-ciri intelektual, bukan tertumpu di bilik kuliah dengan subjek akademik yang dihidangkan oleh pihak universiti. Mereka harus bersedia bergerak dalam masyarakat dan bukannya berada di pinggir masyarakat. Jika mahasiswa tidak memperdulikan masalah rakyat, maka mereka mengkhianati amanah terhadap mereka.
Tindakan berdemostrasi di Masjid Negara pada 2001 adalah manifestasi mahasiswa terhadap proses pembelajaran dan pendedahan di kampus. Proses ini tidak mungkin berlaku jika pelajar tersebut tidak berani mencuba sesuatu yang baru semasa di kampus. Pertembungan idea dan pendedahan inilah yang menjana daya intelek mahasiswa terbabit.
Penggantungan tujuh pelajar terbabit masih berjalan dan sudah mencecah tempoh dua tahun. Ia mungkin tempoh pengantungan paling lama yang pernah dikenakan oleh pihak universiti. Walaupun ada di antara mereka yang telah bekerja, tetapi keinginan untuk menyambung pengajian masih menebal di jiwa mereka.
Maka, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakan mahasiswa untuk membantu memastikan hak mendapatkan pendidikan dikembalikan kepada mereka. Pertubuhan pelajar perlu memikirkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan kes mereka. Mungkin inilah 'kes ujian' bagi pertubuhan berkenaan dalam membela kes penindasan terhadap mahasiswa.
Usaha itu, bukan hanya setakat membawanya ke pengetahuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah bersama mereka mengerakkan kempen yang giat dijalankan mereka. Sokongan moral rakan mahasiswa amatlah perlu dalam isu-isu penindasan. Sepatutnya mereka harus dibela oleh setiap pertubuhan pelajar, "tanpa mengira jenis baju yang mereka pakai".
Mereka adalah mahasiswa yang ditindas dan dinafikan hak pendidikkan mereka. Hari ini, hari mereka, esok mungkin hari kita pula. Penindasan dan kezaliman tidak mengira sesiapa. Itulah kemuliaan yang dianugerahkan kepada insan yang berjuang atas nama keadilan dan kebenaran.
Shahrir Mahmood adalah wakil sekretariat Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI)

