Politik masjid dan ustaz independen
Sudah dua kali, mutakhir ini, Selangor mengulangi gelagat politik seperti Terengganu pada 1980-an kawalan ke atas masjid dan pertembungan dengan ahli kariah. Tahun lalu, atau sejak era pentadbiran menteri besar kini, jabatan agama Selangor semakin lantang mengawal masjid.
Saban hari kita mendengar amaran tentang kandungan khutbah "anti-kerajaan", individu tertentu tidak layak berceramah di premis ibadat atau pertukaran ahli jawatankuasa (AJK) masjid agar lebih pro-kerajaan. Seruan agar "masjid jangan dipolitikkan" makin kuat kedengaran apabila kerajaan kian tercabar.
Masjid sejak dulu lagi memang menjadi ruang pertandingan antara parti politik. Tetapi kawalan masjid bukan isu PAS dan Umno sahaja atau soal pempolitikan agama dalam masyarakat Melayu-Islam semata-mata.
Isu ini mempunyai implikasi lebih luas atau menggambarkan cermin sosial yang lebih besar: "penguasaan terlampau serta tidak demokratik kerajaan ke atas kehidupan rakyat."
Masjid seperti pentas teater, sehelai selebaran, ruang letak kereta, saluran radio, bilik kuliah, kaki lima, e-mel dan juga SMS telefon tangan kini diceroboh kekuasaan. Malah, ada saranan untuk menceroboh bilik kita pula dalam keghairahan memerangi VCD lucah baru-baru ini! Sewenang-wenangnya semua ruang ini "dipolitikkan" oleh kerajaan demi memanjangkan "tangan sotong" hegemoni.
Kadang-kadang ia berlindung di balik cap "perniagaan" atau "penswastaan" tetapi hakikatnya sejenis kawalan ketat parti pemerintah ke atas rakyat.
Kita terbius dengan keadaan ini dan menganggapnya "wajar", boleh diterima dan rutin kehidupan. Kita, aktivis muda, kadang-kadang terlupa tangan sotong kerajaan yang lama serta banyak membelit di sana-sini.

Sisip pertama
Pempolitikan masjid sekurang-kurangnya ada dua sisi utama.
Pertama, kawalan masjid oleh majlis agama negeri-negeri. Penjajahan Inggeris, yang mengasingkan hal-ehwal agama (di tangan Raja) dengan pentadbiran sivil (di tangan Residen), memberi "model" kawalan itu. Kawalan sekarang meliputi pelantikan imam (dan elaun), AJK pentadbiran, teks khutbah dan tauliah tenaga pengajar. Jangan lupa, termasuk "lesen pembinaan" masjid itu sendiri!
Kerajaan layak membatalkan taraf kemasjidan sesuatu bangunan walau telah lama diimarahkan, atau diwakafkan, sebagai masjid. Dalam istilah lain, masjid jenis ini boleh disebut 'masjid tradisi' yang dibangunkan secara sukarela oleh kariah itu dan digunakan turun-temurun untuk tujuan ibabat.
Tanah tapak, bangunan (dibesarkan berperingkat mengikut saiz jemaah) dan pentadbirannya diurus mengikut muafakat sistem sosial setempat (disebut 'mukim'). Masjid ini relatifnya independen daripada kerajaan dan menjadi pusat bersama anggota mukim. Namun, masjid tradisi juga tertakluk di bawah kawalan majlis agama negeri dan dengan itu status kemasjidannya boleh dibatalkan.
Isu pembatalan 'lesen' masjid tradisi, dan pengambil-alihan institusi ini melalui pergantian AJK, pernah menjadi pertikaian hangat di Terengganu pada dekad 1980-an.
Masjid-masjid baru yang dibina kerajaan Barisan Nasional digelar "masjid dhirar" oleh PAS. Konsep dhirar disebut Al-Quran bagi menggambarkan pembinaan rumah ibadat untuk tujuan politik, mengalihkan perhatian umat Islam daripada Nabi Muhammad (saw), bukan untuk mengagungkan Allah.
Pembatalan masjid tradisi atau pergantian imam serta AJK yang popular di sesuatu kariah selalunya mengundang kesan sosial yang lebih besar daripada percaturan Umno-PAS.
Langkah kerajaan ini mudah ditafsir mencanggahi sentimen popular di sesuatu tempat.
Sentimen ini terbentuk daripada kekudusan masjid, populariti imam dan juga kerancakan aktiviti agama. Tetapi tiba-tiba keharmonian sosio-agama itu digoncang oleh kerajaan, selalunya BN.
Justeru, ahli kariah melihat tindakan ini sejenis pempolitikan masjid.
Sekali pun imam atau AJK yang tersingkir itu penyokong PAS, orang ramai sukar diyakinkan jika unsur politik parti Islam itu ditonjolkan dengan bijaksana sebelumnya. Dengan mudah imej "kuku besi" BN terpancar, bukan imej "anti-kerajaan" imam, khutbahnya atau AJK.
Sisip kedua
Namun begitu, sisi kedua, tindakan BN ini tidaklah semestinya bermakna PAS terbabit mempolitikkan masjid walau parti itu mempunyai rangkaian luas aktivis akar umbi dan penyokong. Kita memang akui, parti Islam ini juga mempunyai cita-cita agama, dan kawalan ke atas masjid secara tabie satu langkah strategik mengembangkan pengaruhnya.
Alasannya, Islam seperti juga fahaman atau ajaran agama lain terdedah kepada pelbagai tafsiran. Tafsiran ini juga dihayati oleh beberapa perkumpulan Islam lagi, selain PAS dan Umno. Sering tindakan mengawal masjid di negeri BN bermula daripada tanggapan kerajaan bahawa institusi agama ini sudah dikuasai oleh sentimen atau gerakan "anti-kerajaan."
Tetapi gerakan anti-kerajaan, selalunya akibat perbezaan tafsiran agama dengan aliran rasmi milik kerajaan, bukan semestinya datang daripada PAS. Boleh sahaja individu atau sekumpulan kecil aktivis Islam yang turut mempertikaikan versi agama atau gerak politik PAS!
Ertinya, wujud pelbagai kumpulan atau seseorang ustaz yang "independen" yang tidak menyenangi kedua-dua parti utama Melayu-Islam ini.
Akibat kawalan terlampau kerajaan ke atas masjid dan surau, PAS membangunkan rangkaian "markaz tarbiyyah" bukan hanya bagi tujuan kepolitikan tetapi juga kerohanian dan ilmu.
Oleh itu, penyokong parti ini mudah sahaja mencari ruang alternatif daripada masjid kecuali hari Jumaat untuk meluaskan pengaruh agama dan politik. Para penyokongnya masih dapat dibentuk mengikut acuan tafsiran Islam PAS.
Tetapi di mana kedudukan "ustaz independen" dalam persaingan PAS-Umno dalam konteks kawalan kerajaan ke atas masjid? Dua parti ini terus mengukuhkan hegemoni tafsiran Islam masing-masing tetapi apa akan terjadi kepada masyarakat jika kita membiarkan agama ditafsir oleh dua parti yang bertelagah ini?
Ketika zaman kegemilangan ketamadunannya, sebelum merebak tradisi taqlid buta, Islam ada banyak tafsiran kegiatan intelektual berkembang. Malah, hari ini kita masih mewarisi sedikit sebanyak kepelbagaian mazhab. Tetapi pempolitikan masjid (baca: persaingan PAS-Umno) dan ketiadaan "ustaz independen" sebagai suara ketiga, keempat atau ke-10 akan membekukan agama dan masyarakat. Apakah pilihan kita hari ini?
Nota: Tulisan ini diolah daripada bahan bacaan latar forum 'Pempolitikan masjid dan ustaz independen' pada 13 Jun 2003 di Dewan UBU, Bangsar Utama, Kuala Lumpur, anjuran Komunite Diskusi Bangsar U. Sebarang pandangan/komen hubungi penulis di amirsari2003@yahoo.com
Amir Sari, wartawan sebuah radio-web, adalah bekas aktivis mahasiswa yang memperjuang gerakan pelajar di universiti tempatan. Beliau sering menulis mengenai aspek pergerakan pelajar dan kemahasiswaan.