Gerakan pelajar telah lama terjerat dengan sumpah buah-buahan...hanya perlu wujud apabila tiba musimnya. Mungkin ini kemelaratan yang sedang ditanggung oleh gerakan pelajar di Malaysia.

Pada 8 Jun lalu, buat pertama kalinya diumumkan, hari hak Asasi Mahasiswa Malaysia oleh sekelompok gabungan pelajar yang mengelar diri sebagai Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Gabungan ini muncul kembali setelah dua tahun tidak terdengar nafas mereka. Di awal penubuhannya, gerakan ini begitu aktif menganjurkan pertemuan, berlanjutan hingga demonstrasi anti-ISA di Masjid Negara. Dalam "perhimpunan haram" itu tujuh pelajar ditahan dan sekarang sedang dalam proses pendakwaan.

Selepas penahanan itu, dua aktivis pelajar pula ditahan ISA - pelajar kejuruteraan Institut Kemahiran Mara (IKM), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Mohamad Fuad Mohd Ikhwan - langsung menumpulkan aktiviti kumpulan ini.

Pertemuan yang dirancang kerap semakin berkurang dengan pelbagai alasan dan komitmen yang lain. Program yang diatur kebanyakanya gagal dilaksanakan lalu melemahkan semangat sebahagian besar daripada mereka.

Setahun selepas itu sebuah persatuan yang tertubuh akibat daripada penahanan tujuh pelajar tersebut, Independent Student Research and Legal Training Center (ISREC) atau Pusat Latihan Perundangan dan Penyeledikan Pelajar - telah menganjurkan hari memperingati kejadian itu.

Cabang baru

Ia juga berjaya menyiapkan laporan pencabulan hak asasi pelajar dari tahun 1998 hingga 2001. Penubuhan ISREC merupakan kemajuan dalam gerakan ini apabila menumbuhkan cabang baru berkaitan bidang perundangan.

Tetapi orang yang sama dalam GMMI juga yang berusaha ketika itu dan kali ini pun mereka jugalah yang bertungkus lumus mempromosikan perkara ini.

Saya cukup menghargai mereka yang sama bertungkus lumus berfikir dan berusaha, tetapi setelah dua tahun berlalu, ia masih tidak dapat berkembang, sebaliknya mengecil. Oleh itu, kita harus menilai semula beberapa perkara untuk kebaikan bersama.

Inilah yang saya maksudkan sebagai sumpah musim buah-buahan - hanya melibatkan orang yang sama dan muncul pada peristiwa tertentu. Perjuangan seolah-olah menjadi eksklusif dan tidak mampu menimbulkan sifat kebersamaan dengan orang lain.

Tidak dinafikan tekanan kerajaan memainkan peranan dalam menumpulkan pergerakan kumpulan seumpama ini. Nanun, masih terdapat beberapa perkara dalaman yang boleh dipertingkatkan tanpa gangguan mana-mana pihak.

Dua perkara asas yang harus kita dalami ialah isi perjuangan dan pendekatan perjuangan. Kedua-dua perkara ini memerlukan kedalaman ilmu pengetahuan dan ketajaman berfikir.

Mempertingkat ilmu

Kita seharusnya sedar manusia yang ditemui adalah pelbagai. Gerakan kita sewajarnya memantapkan kefahaman mereka tentang idea dan pandangan yang ingin dibawa, agar tidak ketandusan hujah dalam menghadapi kelompok-kelompok lain. Oleh itu kita tidak akan mudah teralun dalam arus yang dibawa oleh kelompok yang lebih besar dan berpengaruh.

Apa yang terjadi ialah kita mudah terbawa-bawa dengan angin semasa. Dan lebih menyedihkan lagi ialah ianya tidak dengan idea dan pandangan sendiri. Tetapi sering cuba mencari kelompok dominan (baca:parti politik) untuk menumpang, kononnya agar idea cepat sampai.

Maka terjadilah kelompok pelajar yang menyokong perhimpunan Aman Malaysia dan ada yang berhimpun di KLCC atas anjuran pembangkang. Label pada dahi kita kelihatan mudah berwarna hijau, merah atau biru pekat.

Banyak lagi perkara yang perlu kita lihat dalam memperjuang hak mahasiswa. Kita sering terlupa bahawa hak seorang pelajar itu juga mencakupi hal seperti pembelajaran dan kegiatan hiburan. Perkara seperti hak bersuara bagi yang minat budaya, kebebasan akademik dan pendemokrasian kampus, perlu kita layan dan perkenalkan.

Ruang-ruang inilah yang sewajar diteroka oleh gerakan pelajar. Perlu kita buktikan melalui sumbangan bermakna yang dapat ditonjolkan kepada kelompok pelajar. Telah wujud perbincangan ini di kalangan kita, sejak tahun lalu. Tetapi kelihatan hanya sedar dalam minda tanpa mampu diterjemah dalam penampilan.

Tukar format gerakan

Benar, dalam tempoh 1998-2000 gerakan bentuk politik (baca: kekuasaan) begitu popular. Tragedi penyingkiran Anwar Anwar dari kerajaan dan Umno, telah mengubah minat orang ramai termasuk pelajar kepada politik.

Tetapi tanpa kita sedari, telah sampai tahun 2003, dan pelbagai perkara telah terjadi di dalam mahupun luar negara dan setiap perkara tersebut pasti mempunyai kesan kepada masyarakat dan pelajar.

Kegagalan kita memahami perubahan semasa, menyebabkan kita tersudut dan lupus. Inilah agaknya kita terus tertakluk dalam format gerakan lama.

Format lama gerakan pelajar yang terperangkap dengan ideologi dan slogan, harus diubah kepada asas keilmuan dan keterbukaan.

Semenjak 50 tahun lalu, terbangun di seluruh dunia ledakan maklumat yang mempengaruhi kehidupan seharian manusia. Ilmu menjadi asas yang paling penting dalam dekad sekarang. Tanpa kita mengetahui secara menyeluruh, kita akan tertinggal dan mudah putus semangat.

Bahasa kesengsaraan

Proses peningkatan ilmu harus dijalankan secara intensif dan teratur sepertimana kelas usrah dalam gerakan Islam. Tetapi bukan sebagai indoktrinisasi, sebaliknya memberi kefahaman kepada realiti kehidupan tanpa mengadaikan prinsip asas kemanusiaan.

Prinsip seperti keadilan, kebahagian dan kesejahteraan harus dipertahankan dalam pendekatan dan pengenalan yang baru. Kefahaman tentang masyarakat pelajar, harus didalami agar kita dapat membawa diri kedalam kelompok pelajar tanpa rasa kekok dan ditakuti.

Bahasa yang digunakan harus lebih mempesona tanpa terkotak dalam bahasa "perjuangan" yang membawa gambaran kesakitan dan kesengsaraan. Bahasa kesengsaraan inilah yang menjadi penghalang, kerana yang terlihat di mata umum ialah pengorbanan dan kesusahan, bukan kenikmatan.

Bahasa kenikmatan datangnya daripada kelompok yang ingin didekati, dan tidak terhasil daripada lingkungan diri kita sendiri.

Sifat anak muda, sering membuat kesilapan. Namun kita jangan melakukan kesilapan yang sama kerana kaki yang terseliuh masuk kelobang biawak akan patah. Kaki yang patah membuat manusia tidak boleh berjalan akhirnya langkah kita tidak berpanjangan.


Amir Sari, wartawan sebuah radio-web, adalah bekas aktivis mahasiswa yang memperjuang gerakan pelajar di universiti tempatan. Beliau sering menulis mengenai aspek pergerakan pelajar dan kemahasiswaan.