Rabu lalu, di kota Geneva, Nurul Izzah Anwar menggegarkan persidangan ke-56 Suruhanjaya mengenai Hak Asasi Manusia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu apabila gadis manis 19 tahun itu merayu kepada suruhanjaya tersebut agar membantu membebaskan bapanya, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dari penjara.

Izzah berkata meskipun ayahnya sedang menjalani hukuman di bawah Kanun Keseksaan tetapi pada hakikatnya Anwar adalah seorang tahanan politik. "Saya merayu suruhanjaya ini membantu membebaskan ayah saya dan mengembalikan hak beliau yang dicabuli serta hak-hak mereka yang teraniaya kerana terbabit dalam kes ayah saya," kata beliau.

Ucapan Izzah di persidangan suruhanjaya itu, satu badan dunia terpenting yang mempertahankan hak asasi, hak awam dan politik, dengan sendirinya melancarkan kempen besar-besaran untuk membebaskan Anwar atau apa yang dinamakan 'Free Anwar Campaign'.

Kempen tersebut dengan serta-merta mendapat sambutan daripada badan-badan bukan kerajaan Asia.

Izzah juga merayu suruhanjaya tersebut agar mengambil langkah untuk melindungi hak peguam-peguam yang menjalankan tugas kerjaya mereka. Anak sulung Anwar itu menerangkan peguam ayahnya, Zainur Zakaria, telah dihukum kerena dianggap menghina mahkamah sementara seorang lagi peguam, Karpal Singh, didakwa di bawah Akta Hasutan.

Izzah yang berucap sebagai seorang wakil NGO mendapat tepukan dari wakil-wakil kerajaan dan badan bukan kerajaan. Sepanjang persidangan pada hari itu, Nurul Izzah merupakan satu-satunya perwakilan yang mendapat tepukan gemuruh. Ketika beliau berucap kelihatan wakil-wakil kerajaan menoleh ke belakang ke arah beliau - perwakilan NGO berucap di barisan yang paling belakang.

Setelah tamat menyampaikan ucapan, Izzah dikerumuni wakil-wakil NGO dari seluruh dunia, termasuklah dari Guatamala, Poland and Iran, yang meminta teks ucapan dan sambil memberikan kata-kata perangsang agar gadis itu terus tabah memperjuangkan kebebasan bapanya. Izzah juga mengedarkan ucapannya itu kepada wakil-wakil kerajaan.

Naib penyelaras sebuah NGO dari Indonesia Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Korban Tindakan Kekerasan (Kontras) Ezki Suyanto, mengucapkan syabas kepada Izzah kerana ucapannya yang cukup mengesan. "Bagus sekali ucapannya. Belum pernah ucapan wakil NGO mendapat perhatian sebegini rupa," katanya.

Pandangan yang serupa dikongsikan oleh Ravi Nair, Pengarah Eksekutif Pusat Dokumentasi Hak Asasi Manusia Asia Selatan yang berpangkalan di New Delhi. Ravi merupakan wakil NGO Asia yang paling berpengalaman. Beliau menghadiri persidangan PBB mengenai hak asasi di Geneva setiap tahun.

Izzah yang merupakan perwakilan termuda terus memukau persidangan apabila memulakan ucapan dan memperkenalkan diri: "Sebagai seorang muda yang berasa begitu terhormat kerana dapat berucap di persidangan ini, saya membawa salam bapa saya Anwar Ibrahim bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia yang kini dipenjarakan di Sungai Buluh. Saya berumur 19 tahun dan saya mewakili keluarga saya dan gerakan reformasi untuk menarik perhatian tuan-tuan kepada krisis hak awam dan politik yang semakin tenat di Malaysia."

Beliau seterusnya menceritakan pengalaman keluarga beliau ketika dan sejak Anwar ditangkap.

"Cara bapa saya ditangkap merupakan satu tindakan provokasi dan bertentangan dengan prinsip kehormatan manusia. Sepasukan komando polis yang bertopeng dan berbekalkan senjata automatik memecah masuk rumah kami yang penuh dengan sanak-saudara, sahabat, wartawan dan penyokong. Ramai juga perempuan dan kanak-kanak. Semua mereka tidak bersenjata. Ada ketikanya muncung senapang diajukan kepada adik-adik saya yang berumur 13 dan 14 tahun," katanya.

Izzah menegaskan bahawa Anwar adalah seorang tapol (tahanan politik) dan badan hak asasi manusia seperti Amnesty International mengkelaskan Anwar sebagai prisoner of conscience.

"Pendakwaan beliau di bawah kanun keseksaan adalah alat untuk melaksanakan penindasan politik. Beliau disingkirkan dari kerajaan kerana beliau menuntut reformasi ekonomi dan politik. Sebagai Menteri Kewangan, beliau menegaskan bahawa dana pemerintah tidak boleh digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat besar yang mempunyai hubungan politik. Pendakwaan beliau adalah hasil dari pakatan dan penyalahgunaan kuasa beberapa institusi penting pemerintah," kata Izzah.

"Untuk mencipta bukti yang boleh mendakwa bapa saya di mahkamah, pihak yang bertanggungjawab mencabuli hak asasi beberapa individu. Dr. Munawar Anees, Sukma Darmawan dan Meor telah ditangkap, ditekan dan diseksa supaya membuat pengakuan yang boleh mengaitkan bapa saya.

"Dr Munawar dan Sukma telah dibicarakan secara tidak adil. Pembohongan dan penciptaan bukti ini bukan sahaja telah menganiayai kami sekeluarga tetapi juga mencalar kewibawaan dan kesucian institusi-institusi pemerintah."


KHALID JAAFAR, bekas setiausaha akhbar Anwar, kini memimpin sebuah kumpulan pemikir yang sering dikaitkan dengan tokoh itu, Institut Kajian Dasar. Beliau juga memimpin Parti KeADILan Nasional Melaka.