Jom, demonstrasi demi pilihanraya adil!
Buku
Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya
tidak mudah dibaca selapis, dari satu sisi sahaja. Buku yang rencam tentang pelbagai isu, ditulis dengan akal dan emosi, untuk difikir dan dipropagandakan, daripada seorang aktivis politik penuh warna. Begini tanggapan yang benar tentang
Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya
.
Walau pengarangnya Hishamuddin Rais lebih dikenali sebagai aktivis Gerakan Reformasi dan juga pemimpin pelajar era 1974, tetapi buku ini mendedahkan dengan jelas bahawa beliau seorang demokrat tulen, khususnya mempertahankan ruang demokrasi.
Ketika pemimpin pembangkang mengkritik sikap dwi-piawaian (double standard) polis yang gagal bertindak terhadap demonstrasi Pemuda Umno di depan Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Hishamuddin mengalu-alukan demo ini.
Beliau malah mengkritik pemimpin pembangkang yang menganggap demo ini seharusnya diambil "tindakan" seperti lazim dikenakan terhadap pembangkang atau Gerakan Reformasi.
"Pemuda Umno berhak untuk berdemo," hujahnya dalam bab 'Sokong ruang demokrasi Pemuda Umno' (28 Ogos 2000). "Pemuda PAS juga berhak berbuat demikian. Golongan reformis juga wajib mempunyai hak yang sama. Di sinilah perbezaan seorang demokrat tulen dengan seorang yang cuba menyamar dan cuba memakai baju demokrat."
Tema menyokong hak untuk mengadakan demonstrasi sebagai suatu proses politik yang sah, sama seperti tanggapan kita terhadap pilihanraya, berulang kali ditekankan dalam buku ini menunjukkan ketekalannya (consistency) dalam isu ini. Antaranya bab 'Pesta rock dan pesta demokrasi' (6 Jan), 'Konsert rock dan ruang demokrasi' (4 Mei), 'Demo antikonsert cermin intelek cetek' (5 Ogos) dan 'Hak kumpul dan ruang demokrasi' (6 Nov).
Tulisannya 'Turun ke jalanraya untuk pilihanraya adil' (9 Mac 2001) juga menyentuh sisi yang sama: hak untuk berdemonstrasi sebagai satu ruang penyertaan rakyat dalam proses demokrasi.
Lebih menarik dalam kupasan ini, kemudiannya diangkat sebagai tajuk buku ini, ialah pilihanraya yang adil tidak akan wujud selagi hak untuk berdemonstrasi tidak kita manfaatkan.
Buku Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya tidak mudah dibaca selapis, dari satu sisi sahaja. Buku yang rencam tentang pelbagai isu, ditulis dengan akal dan emosi, untuk difikir dan dipropagandakan, daripada seorang aktivis politik penuh warna. Begini tanggapan yang benar tentang Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya.
Walau pengarangnya Hishamuddin Rais lebih dikenali sebagai aktivis Gerakan Reformasi dan juga pemimpin pelajar era 1974, tetapi buku ini mendedahkan dengan jelas bahawa beliau seorang demokrat tulen, khususnya mempertahankan ruang demokrasi.
Ketika pemimpin pembangkang mengkritik sikap dwi-piawaian (double standard) polis yang gagal bertindak terhadap demonstrasi Pemuda Umno di depan Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Hishamuddin mengalu-alukan demo ini.
Beliau malah mengkritik pemimpin pembangkang yang menganggap demo ini seharusnya diambil "tindakan" seperti lazim dikenakan terhadap pembangkang atau Gerakan Reformasi.
"Pemuda Umno berhak untuk berdemo," hujahnya dalam bab 'Sokong ruang demokrasi Pemuda Umno' (28 Ogos 2000). "Pemuda PAS juga berhak berbuat demikian. Golongan reformis juga wajib mempunyai hak yang sama. Di sinilah perbezaan seorang demokrat tulen dengan seorang yang cuba menyamar dan cuba memakai baju demokrat."
Tema menyokong hak untuk mengadakan demonstrasi sebagai suatu proses politik yang sah, sama seperti tanggapan kita terhadap pilihanraya, berulang kali ditekankan dalam buku ini menunjukkan ketekalannya (consistency) dalam isu ini. Antaranya bab 'Pesta rock dan pesta demokrasi' (6 Jan), 'Konsert rock dan ruang demokrasi' (4 Mei), 'Demo antikonsert cermin intelek cetek' (5 Ogos) dan 'Hak kumpul dan ruang demokrasi' (6 Nov).
Tulisannya 'Turun ke jalanraya untuk pilihanraya adil' (9 Mac 2001) juga menyentuh sisi yang sama: hak untuk berdemonstrasi sebagai satu ruang penyertaan rakyat dalam proses demokrasi.
Lebih menarik dalam kupasan ini, kemudiannya diangkat sebagai tajuk buku ini, ialah pilihanraya yang adil tidak akan wujud selagi hak untuk berdemonstrasi tidak kita manfaatkan.
Jalan demokratik
"Pilihan jalanraya (editor: demonstrasi) yang diambil di Indonesia [1998], Iran [1979] atau Filipina [1986] itu merupakan satu jalan demokratik untuk memperluaskan dan mengukuhkan lagi lunas-lunas demokrasi," hujah Hishamuddin.
Beliau menarik kita kepada kesimpulan yang sangat memukau, mungkin juga 'menakutkan.' Hujahnya, dalam artikel ini, demonstrasi untuk menjatuhkan presiden Suharto di Indonesia bukannya bercanggah dengan demokrasi dan pilihanraya. Malah, sebaliknya, demonstrasi menjadi syarat untuk pilihanraya yang adil serta bebas.
"Menjatuhkan Suharto melalui jalanraya itu adalah syarat utama untuk melahirkan sistem pilihanraya baru di Indonesia yang memakai prinsip 'jurdil' jujur, telus dan adil," tulis pengarang ini.
Faktanya terlalu terang sehingga kita tidak mampu berhujah lagi. Inilah kelebihan argumen Hishamuddin.
Kita mungkin tidak bersetuju dengan demonstrasi, atas apa-apa sebab sekali pun. Di kalangan aktivis pembangkang, tidak semua menerima idea berdemonstrasi. Tetapi bagaimana menolak perbahasan Hishamuddin ini?
Seingat saya, inilah satu-satunya buku dalam bahasa Melayu yang menjelaskan dan mempertahankan sungguh-sungguh hak untuk berdemonstrasi dalam konteks demokrasi, malah proses adil untuk pilihanraya.
Tesis ini mencabar kita semua: kerajaan, pembangkang dan orang ramai.
Bacaan wajib
Bagi saya, Hishamuddin secukupnya telah meyakinkan hak itu secara ilmiah dan rasional, dengan latar sejarah dan proses politik di negara-negara lain. Kita boleh sahaja prejudis pada demonstrasi dan juga kita boleh sahaja menyimpan pelbagai ketakutan yang kita sendiri tidak dapat huraikan tetapi prejudis serta kebimbangan bukan proses berfikir yang ilmiah atau rasional. Itu semua emosi!
Kerana aspek ini sahaja, buku Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya harus menjadi bacaan wajib kepada kita. Tidak keterlaluan jika buku ini diangkat sebagai kitab ulung Gerakan Reformasi atau "the bible of the Malaysian reform movement".
Mahasiswa, aktivis politik, pemikir dan penulis yang berminat mendalami aspek ini tentunya tidak layak untuk mempertikaikan kewibawaan Hishamuddin, seorang demonstran ketika beliau memimpin mahasiswa Universiti Malaya, di luar negara (ketika dalam buangan) dan malah sepanjang era Gerakan Reformasi.
Nampaknya, idea dan amalannya dalam aspek ini sangat tekal (consistent).
Selain mempertahankan hak menunjuk perasaan, buku ini juga mengkritik Umno. Sekali lagi, ia mencabar kita yang berasa parti ini telah banyak membela orang Melayu. Bagi pengarangnya, tidak! Umno bukan memperjuangkan Melayu, sebaliknya kelas pemodal, sama ada Melayu atau bukan Melayu.
Ketuanan Melayu
Tema ini juga diulang dalam beberapa bab, mengikut kesesuaian isu yang timbul sepanjang kira-kira 16 bulan Hishamuddin menulis kolum 'Dotmai' untuk laman web tersohor Malaysiakini.com. Bermula sebaik sahaja selepas pilihanraya umum 1999 hingga ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada April, 2001.
Dengan perspektif yang sentiasa mencabar ini, segar dan kreatif bukan ortodoks atau stereotaip Hishamuddin mengajak kita terus mendebatkan tesis-tesisnya walau jasadnya kini terkurung jauh dari pembaca semua, teman atau "musuh".
Misalnya beliau berhujah, "...ketuanan Melayu yang 'dihuha-huhakan' itu adalah lompong. Yang menjadi tuan di negara ini ialah kaum pemodal yang memiliki harta kekayaan. Mereka ini terdiri daripada [kelas pemodal] Melayu, Cina dan India."
Pada hemat pengarang ini, hak keistimewaan Melayu yang dipertahankan Umno hanya "dongeng" atau mitos. "Manusia Melayu wajib menolak mitos ciptaan Umno," hujah Hishamuddin dalam artikel 'Hak istimewa pemodal, bukan Melayu' (4 Januari 2001).
Tajuk-tajuk lain berhubung tema ini termasuklah 'Melayu boleh hidup tanpa Umno' (3 April, 2000), 'Siapa mangsa Ketuanan Melayu' (10 April 2000), 'Hak istimewa: Idea Umno takutkan Melayu' (3 Oktober 2000) dan 'Elit pemodal hasut sentimen kaum' (18 Disember 2000).
Kepada kebanyakan orang, tentunya idea Hishamuddin ini "kontroversi" dan sukar dipercayai, tidak kurang tesisnya mempertahankan demonstrasi. Barangkali tesis tentang hubungan Melayu-Umno ini lebih sukar ditelan. Bagaimanapun cuba mempelajari sisi-sisi pandangan Hishamuddin ini tidak merugikan kita, walau kita tidak bersetuju dengannya baik secara ilmiah atau tidak.
Kerana itu, buku Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya sukar ditinggalkan begitu sahaja. Jarang ada penulis di negara kita membawa tema-tema yang disebut tadi, sekali gus mencabar kita sejauh ini. Kita tidak wajar menolaknya tanpa membaca dan mendalaminya.
Politik nasional
Buku ini juga istimewa kerana beberapa tulisan yang turut menggemparkan persada politik nasional. Misalnya ulasannya berhubung isu rampasan senjata di Perak dua tahun lepas, 'Tragedi Greek atau komedi Grik?' (10 Julai 2000). Pemimpin kerajaan cukup tidak senang dengan tuduhan 'sandiwara'. Tetapi benarkan Hishamuddin menganggap tragedi itu satu sandiwara?
Buku ini juga memikat kita melalui pengalaman pengarangnya bersama isu-isu politik antarabangsa ketika berada di luar negara, misalnya di Timur Tengah dan Eropah. Lihat bab-bab 'Romantisnya Beirut dan lorong gelap di Kola' (28 Mac 2000), 'Mencari bom maut Cluster' (6 Jun 2000) dan 'Memori Perang Teluk di London' (27 Januari 2001).
Dalam tulisan 'Pinochet si diktator, David dan saya' (7 Mac), Hishamuddin bercerita tentang perkenalannya dengan adik kepada pengawal peribadi presiden Chile, Salvador Allende, yang dijatuhkan dengan kekerasan oleh Pinochet.
Diktator Chile ini pernah menjadi kontroversi dua tahun lepas apabila berjaya mengelak daripada dihadapkan di mahkamah dengan alasan sakit. Alasan ini tidak jauh bezanya dengan presiden Suharto, yang naik ke puncak kekuasaan melalui pembunuhan ratusan ribu rakyat dan penentangnya, tetapi gagal diadili dengan sebab kesihatan.
Tidak sia-sia dibaca, sama ada oleh aktivis pembangkang atau kerajaan, sama ada oleh peminat Hishamuddin Rais atau 'musuhnya'. Selain idea-idea yang mencabar dan pengalaman pengarangnya yang luas, buku ini juga merakamkan isu-isu utama sepanjang tempoh penting selepas 1999, yang menjadi titik tolak utama kemenangan politik pembangkang dalam sejarah negara ini.
Daripada isu berat beg sekolah, kemalangan jalanraya ketika musim perayaan, jerebu, 'lesen terbang' hinggalah kepada isu-isu utama seperti kebebasan akhbar, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pilihanraya kecil Lunas dan Zionisme.
Semuanya ada di sini. Hasil renungan seorang pengarang penting di zaman ini ketika kita sedang merentasi liku-liku politik yang masih bergelora.
FATHI ARIS OMAR, ketika bertugas sebagai pengarang berita Malaysiakini.com, menyunting hampir semua tulisan Hishamuddin Rais untuk kolum popularnya 'Dotmai' yang kini dimuatkan dalam buku ini.

