Kerajaan PAS Terengganu hari ini mendakwa Umno sudah 'kekeringan modal' untuk menyerang parti Islam itu dan mula memperalatkan Raja-raja Melayu. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib berkata demikian ketika mengulas langkah jabatan agama negeri itu mewajibkan semua khatib membaca teks khutbah yang disediakan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu hari ini dilaporkan sedang menghantar surat pekeliling kepada semua masjid di bawah kawalan jabatan di seluruh negeri. Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan surat itu akan diterima minggu ini.

"Keputusan Majlis Raja-raja itu tidak berasas kerana Sultan Terengganu sendiri lebih maklum perpaduan penduduk-penduduk negeri itu," kata Harun kepada malaysiakini . "Ini semua berpunca daripada Umno yang sudah kekurangan modal dan mereka menggunakan Raja-raja pula bagi membantu mereka."

Harun merujuk gesaan pemimpin-pemimpin Umno kepada Majlis Raja-raja Melayu agar campur tangan dalam menyatukan semula orang Melayu. Isu ini timbul menjelang hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Sanggang pada pertengahan Mac lalu.

Semalam, akhbar Mingguan Malaysia melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim, bercadang menggubal beberapa akta dan peraturan "bagi menyekat agama Islam daripada terus disalahgunakan oleh parti politik untuk memecahbelahkan masyarakat Melayu."

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar berkata tindakan menyediakan teks khutbah dan mengawal khatib "bercanggah dengan asas utama keilmuan dalam Islam."

"Semua imam dan khatib di negara kita sudah terlatih dan mereka perlu diberikan kepercayaan untuk memberikan tafsiran terhadap Al-Quran dan hadis," kata bekas Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu kepada malaysiakini dalam satu kenyataan akhbar.

Harun berkata "hanya imam dan khatib yang berilmu tinggi sahaja boleh menafsirkan Al-Quran dan hadis," apabila diminta menjelaskan kenyataannya kepada malaysiakini sebelum ini. Pada Januari lalu Harun pernah dilaporkan berkata "khutbah sepatutnya disampaikan dan bukan dibaca."

Tokoh ulama dalam PAS itu berkata imam dan khatib yang mempunyai pengetahuan Islam yang rendah wajar membaca teks.

Bagaimanapun, Khalid tidak menjelaskan kenyataannya itu merujuk pada perkembangan di Terengganu atau usaha kerajaan pusat mengawal institusi masjid.

Khalid bersama Nurul Izzah Anwar dan beberapa aktivis hak asasi manusia negara ini kini sedang menghadiri satu persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.