Kelab Antarabangsa program baru KeADILan
Zahid berkata, cadangan menubuhkan kelab KeADILan Antarabangsa bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia di luar negara yang menjadi penyokong parti menganggotai kelab itu.
Perkara tersebut adalah antara yang dibincangkan ketika lawatan Ketua Pemuda parti, Mohamad Ezam Mohd. Nor ke London Khamis lalu pada "Majlis Dialog Masa Hadapan Negara" anjuran Malaysia Islamic Study Group (MISG) - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) UK & Eire.
Pendapat beliau turut disokong oleh Setiausaha Khas Presiden, Shahrulazilan Said, yang berharap pemergian Ezam ke sana tidak disalahtafsirkan oleh pihak tertentu.
"Penubuhan kelab ini tidak ada bezanya dengan penubuhan kelab Umno di luar negara," jelas Shahrul kepada malaysiakini berhubung lawatan Ketua Pemuda itu ke beberapa buah negara Eropah nanti.
Dalam sessi dialog itu, Ezam telah menghuraikan kepincangan dan ketidakadilan terhadap tahanan '14 Hitam' oleh pihak polis. Ezam turut menceritakan pengalaman beliau dan tahanan reformasi yang dituduh akan mencetuskan keganasan sempena perhimpunan setahun Dato' Seri Anwar dipenjara melalui satu laporan e-mel oleh aktivis Pemuda KeADILan yang sangat dikehendaki polis, Lokman Adam kepada malaysiakini.
Beliau turut mendakwa Dr. Mahathir Mohamad telah menyalahgunakan agensi kerajaan dan undang-undang negara bagi menekan parti dan aktivis pembangkang seperti permit parti yang sering tidak diluluskan dan penerbitan Harakah disekat kepada dua bulan sekali.
Majlis yang berlangsung di Imperial College London itu semakin hangat apabila Ezam mendedahkan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah dilaporkan oleh beliau kepada polis tetapi masih belum diambil tindakan.
Dialog yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Rais Yatim, dan Presiden ABIM Ahmad Azam, dilaporkan hambar apabila Dr. Rais tidak menjawab segala kritikan dan tuntutan yang dikemukakan oleh Ezam. Sebaliknya beliau hanya menasihatkan supaya orang Melayu bersatu-padu dan tidak berpecah-belah.
Menurut sumber itu lagi, Ezam sekali lagi menghadiri 'Forum Malaysia United Kingdom dan Eire' (FMUKE) di London Open School bagi mendapatkan pandangan tentang gerakan reformasi di negara ini. Beliau juga telah bertemu para pelajar Malaysia di Universiti Cambridge, Manchester dan London School of Economic bagi mendapat maklum balas penubuhan cawangan KeADILan di sana.

