Suara sekularis Melayu Islam
Isu negara Islam PAS kelihatannya begitu kontroversial hingga sedikit sebanyak telah meruntuhkan keghairahan Barisan Alternatif (BA). Tetapi saya sebenarnya tidak terlalu gusar dengan pandangan puak-puak konservatif Islam yang kini berada dalam barisan pembangkang, seperti PAS, kerana mereka tidak mempunyai kuasa mutlak dalam jentera negara.
Dasar atau rangka negara Islam PAS — yang seratus peratus tidak saya persetujui — masih di peringkat cita-cita. Telah banyak tulisan pro-sekular disiarkan tentang politik Islam. Dan tentang persaingan 'merebut' Islam di antara Umno dan PAS.
Sekularisme memang sedia tertanam sebagai sesuatu yang berkonotasi negatif. Ia menjadi bom yang memusnahkan hujah dan logik akal budi manusia. Saya kira satu perkara yang perlu dijernihkan berhubung hal sekularisme di Malaysia ialah soal campurtangan negara dengan menggunakan agama dalam kehidupan peribadi manusia.
Malah agama — selain nusa dan bangsa — menjadi sebab atau punca segala tindakan, dasar-dasar, undang-undang mahupun penindasan yang dibuat oleh pemerintah, seolah-olah manusia tidak punya upaya untuk bertindak dan memutuskan jalannya sendiri.
Ataupun sebenarnya, agama, nilai moral dan adat ketimuran hanyalah dalih, sebab dan alasan untuk menghalalkan segala tindak-tanduk serta perlakuan jentera negara yang digerakkan oleh elit pemerintah.
Sejauhmanakah campurtangan negara dalam urusan peribadi manusia di Malaysia? Kalau tidak silap saya, sehinggalah ke atas katil. Tangan kasar negara meraba jauh masuk ke dalam ruang milik peribadi seseorang warganegaranya, khususnya mereka yang dilahir dan didaftarkan sebagai Melayu Islam.
Dasar anti-sekular
Bagi mereka yang bernasib baik dilahirkan sebagai bukan Melayu Islam, saya dapat memahami mengapa mereka begitu risau dengan agenda anti-sekular negara Islam PAS.
Malah saya juga meragui perjuangan sekularisme seperti yang dilaungkan DAP yang hanya menumpukan kepada hak untuk kelompok bukan Islam menikmati kebebasan dan kemerdekaan peribadinya, contohnya, hak untuk "makan babi", "'minum arak" dan "bermain loteri".
Bukannya saya tidak mahu bercakap mengenai soal dasar PAS yang anti-sekular itu. Biarpun PAS berkuasa di dua negeri (Kelantan dan Terengganu) tetapi hukum hudud masih belum terlaksana. Tiada yang putus tangannya akibat mencuri, tiada pasangan yang disebat 100 kali di khalayak ramai akibat 'berzina'. PAS dan segala agenda negara Islamnya masih tersekat di peringkat dasar dan cita-cita perjuangan parti itu.
Memang benar, Mak Yong diharamkan di Kelantan. Itu tidak ada bezanya sepertimana kerajaan Melaka mengharamkan konsert rock Amok atau tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik permit pementasan The Vagina Monologues.
Kedua-duanya sama dan wajar dikritik kerana melanggar hak asasi manusia. Baru-baru ini kecoh soal rang undang-undang hudud di Terengganu misalnya. Tetapi melihat kepada sistem yang ada, saya yakin ia tidak akan berjaya dilaksanakan. Dalam rangka kekuasaan yang ada hari ini, hanya ada satu pusat dan kekuatan, iaitu pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.
Pencerobohan ruang peribadi oleh negara dengan beralasankan agama, memang jelas sebagai unsur anti-sekular yang represif. Isu panas Ketua Puteri Umno Azalina Othman cukup dekat dengan tujuan perbincangan tulisan ini.
Tabloid Perdana Sari pimpinan pengarang 'pop Malaysia' Khalid Jafri menyiarkan kisah Azalina menjadi lesbian, berkasih dan bercinta dengan kaum sejenis. Ia cukup sensasi. Tetapi adalah tidak adil mengaitkan dakwaan mengenai moral dan kegiatan seks Azalina sebagai bukti penyelewengan kuasa ataupun penyimpangan tanggungjawab awam.
Penguatkuasaan Akujanji
Sama ada Azalina seorang lesbian atau tidak, itu tidak penting dan tidak menjadi soal. Itu haknya, dan tidak ada orang boleh memaksa Azalina menjadi homoseksual, biseksual atau hetereoseksual.
Bagaimanapun dalam kes Azalina ini, perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah dakwaan pembelian sebuah kereta mewah berharga RM 300,000 dengan menggunakan dana Puteri Umno.
Saya kira masih belum ada lagi tulisan yang mengkaji atau cuba menghuraikan tindak-tanduk anti-sekular oleh jentera negara yang menindas kebebasan peribadi manusia Saya cukup meragui kejujuran dan keihklasan atau mungkin keberanian para penulis yang selama ini lantang memperjuangkan sekularisme itu.
Keraguan saya ialah mereka (para 'penulis sekular' itu) hanya berani mencabar ulama-ulama konservatif yang dikaitkan secara langsung dengan PAS. Kenapa tidak mencabar struktur undang-undang dan penguatkuasaan negara yang jelas merupakan campurtangan negara ke atas kehidupan peribadi manusia dengan menggunakan alasan agama?
Umno sejak merdeka lagi telah memerintah atas nama agama dan ras, dengan menginstitusikan agama ke dalam sebuah bentuk rasmi perundangan serta tatacara hidup bernegara dan bermasyarakat, khususnya terhadap mereka yang dilahirkan sebagai orang Melayu Islam.
Ia telah menjadi suatu nilai kebenaran mutlak yang wajib dipatuhi, di'akujanji'kan dan diikuti tanpa boleh menyoal kenapa. Menyoal bererti pembelotan, pengkhianatan dan kemurtadan yang tidak ada maaf. Akal budi dan nilai kemanusiaan tidak dianggap penting lagi.
Modal dan kelas memainkan peranan penting dalam mempraktikkan kemerdekaan peribadi. Lebih tinggi status kekuasaan politik dan ekonomi, lebih banyak ruang kemerdekaan peribadi yang dimiliki — kemerdekaan palsu yang dibeli dengan wang, kekayaan dan hubungan kekuasaan.
Kita ambil contoh fenomena sosial 'bohsia' dan pasangan 'bohjan' suatu masa dulu. Anak-anak muda itu dicap dengan bermacam label, walhal bagi golongan korporat dan datuk-datuk, mempunyai perempuan simpanan itu sudah menjadi perkara biasa. Tetapi bezanya, mereka perlu membayar untuk menikmati kemerdekaan peribadi itu, perlu membayar sewa kondominium dan segala macam insentif lainnya.
Perbezaan PAS dan Umno
Begitu jugalah saya kira, hubungan struktural di antara golongan sekularis anti-PAs ini dengan elit pemerintah negara. Berkatalah sebanyak manapun, perjuangkanlah sekularisme tetapi asalkan jangan menyentuh hal pokok fungsi negara, ia tidak akan menjadi soal.
Paling kurangpun hanya 'cubitan manja' memorandum Persatuan Ulama Malaysia. Risikonya tidaklah setinggi tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan perlu merengkok dalam penjara.
Jelas, majoriti golongan sekularis ini pro-pemerintah dalam persaingan politik agama di antara Umno dan PAS. Seperkara lagi, golongan ini mungkin mendapat faedah langsung dari kekuasaan rejim yang ada. Mungkin juga perlindungan.
Yang membezakan Umno dan PAS, bukanlah Umno itu sekular dan PAS itu anti-sekular. Kedua-duanya anti-sekular. Kedua-duanya konservatif dan represif.
Yang membezakan PAS dan Umno ialah satu berkuasa dan satunya tidak punya apa-apa (biarpun menguasai dua negeri). Kuasa tidak datang tiba-tiba. Kuasa muncul kerana dokongan jentera negara.
Jadi, ruang dan kepentingan yang diperolehi daripada status quo yang ada ini perlu dipertahankan. Akhirnya mereka terhisap menjadi sebahagian daripada sistem status quo ini. Mereka selesa dengan Umno, BN dan pemerintahan Mahathir. Sebab itu mereka jadi kacau, ragu-ragu dan berasa tidak terjamin dengan agenda politik Islam PAS.
Walhal, agenda politik Islam status quo sedia ada juga tidak kurang 'lemaknya'. Jadi dengan menjadi sekularis pro Umno, maka kemerdekaan peribadi golongan sekularis itu sendiri terjamin.
Yang cuba dijamin bukanlah kemerdekaan peribadi semua manusia tetapi hanya segelintir sahaja yang punya hubungan langsung dengan elit pemerintah. Sambil menyelam minum air, sambil mengkritik sambil mengipas, yang pentingnya diri terlepas. Akhirnya manusia di bumi ini, tetap tidak merdeka dan bebas.
RAHMAT HARON sekarang bertugas sebagai wartawan di RadiQRadio sebuah program berita radio independen Malaysia. Dia turut bergiat di Universiti Bangsar Utama (UBU), sebuah kumpulan anak-anak muda progresif-demokratik, dengan cita-cita reformasi untuk sebuah Malaysia baru yang bersih dan jernih dari segala macam kecelaruan politik lama.

