Pelajar harus bersedia menanggung risiko jika mahu terlibat dalam politik, Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Zahid Hamidi, berkata kerajaan Barisan Nasional sekarang bersikap terbuka.

"Kerajaan sudah cukup liberal," kata Zahid kepada malaysiakini dalam wawancara ringkas di bangunan Parlimen hari ini.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu diminta mengulas pembabitan pelajar universiti dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sanggang, Pahang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, dan beberapa menteri berkenaan sejak beberapa hari lalu mengingatkan pelajar agar tidak berkempen bagi pihak PAS.

Hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Samsuddin, dilaporkan sebagai berkata pentadbiran universiti sewajarnya mengambil tindakan jika ada pelajar mereka terlibat dalam kempen di kawasan pilihan raya itu.

Menurut Zahid lagi, pelajar tidak disekat untuk berpolitik tetapi mereka tidak wajar "bertindak melulu".

Sementara itu, Zahid tidak menolak kemungkinan sokongan yang lebih baik diperolehi oleh PAS dalam pilihan raya ini.

Keputusan pertandingan dua penjuru antara calon PAS, Datuk Hishamuddin Yahya, dengan calon Barisan Nasional, Redzwan Harun, akan diketahui pada lewat petang Sabtu ini.

"Kalau PAS menang, (keputusan itu) tidak akan mempengaruhi kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun, Zahid yakin terhadap kewibawaan partinya kerana kempen BN mengutamakan pembangunan kepada penduduk Sanggang.

Beliau menerima alasan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, yang menunjukkan isyarat lucah kerana menteri besar itu perlu menjawab tindakan penyokong pembangkang.

"Lembu bukan diajar dengan nasihat, tetapi dengan kayu (dipukul)," kata Zahid, sambil memetik jawaban Adnan terhadap tindakannya yang mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Adnan sebelum ini menjelaskan tindakannya pada hari penamaan calon itu disebabkan "provokasi penyokong pembangkang."