Takut kepada kebebasan
Kegilaan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dalam mempertahankan imej agama — bukan agama sebagai wahyu kebenaran tetapi sekadar lambang dan tanda-tanda alim, zuhud, khusyu' dan suci — menyebabkan masyarakat yang suka kepada hidup bersantai, tenang, hiburan dan kegembiraan terikat dengan ideologi baru ciptaan mereka sendiri.
Atas nama Islamisme, banyak orang Melayu menjadi mangsa tekanan agama. Semakin agama menjadi popular di kalangan orang Melayu, semakin menjadi-jadi pula 'jenayah agama' yang jarang didengar pada tahun-tahun sebelum era kebangkitan Islam pada awal 1980-an.
Penyalahgunaan dadah, rogol, buang bayi dan akhir-akhir ini bapa, abang dan malah datuk merogol anak, adik dan cucu sering menjadi tajuk utama media.
Di kalangan pemimpin masyarakat, mereka mahu agama dipaksakan lagi kepada masyarakat Melayu yang semakin ghairah dengan ajaran fiqh semata-mata tanpa menunjukkan minat sama sekali terhadap ruang lingkup Islam yang begitu luas di segi falsafah, budaya dan seni serta kematangan fikiran dalam berbahas dan bebas bersuara.
Atas nama agama, masyarakat Malaysia rela menjadi hamba kepada kelemahan sendiri. Dengan itu, pemerintah Barisan Nasional (BN) dengan mudah mengawal hidup rakyat yang kononnya mahu bangga dengan taraf mulia sebagai masyarakat beragama dan berakhlak.
Maka dengan itu juga, gerakan yang diharapkan oleh sesetengah rakyat untuk membawa perubahan — Barisan Alternatif (BA) dengan Agenda Perubahannya yang kabur — boleh dilihat sekadar mahu menggantikan BN sebagai pemerintah.
BA tidak bercita-cita mengubah sistem yang selama ini mengongkong rakyat dari segi menyedari dan mengamalkan hak kebebasan dan tanggungjawab. Sedangkan, tidak akan ada perubahan jika kebebasan tidak wujud.
PAS, Parti Keadilan Nasional, DAP dan Parti Rakyat Malaysia tidak berminat menjadikan Malaysia benar-benar bebas daripada penjajahan minda dan menyedari hak-hak kebebasan serta tanggungjawab sosial.
Kesemua parti politik yang ada lebih gemar berbicara soal undang-undang semata-mata (seolah-olahnya rakyat Malaysia semuanya pakar undang-undang) dan mengetepikan soal-soal kebebasan dalam konteks hak peribadi, budaya, seni, sosial dan kehidupan sehari-harian.
Sistem membezakan rakyat
Apa perubahan yang cuba dibawakan oleh BA jika Malaysia akan tetap mempunyai sistem yang membezakan rakyat mengikut warna kulit dan agama — hanya satu kaum dan satu agama menguasai semua sektor awam, dan ini pula melahirkan kemarahan dan kebencian kaum dan agama lain.
Apa gunanya BA berbicara soal undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi tetapi hak-hak asasi peribadi yang dicatatkan dalam Perlembagaan Persekutua didiamkan sahaja, seolah-olahnya bersetuju dengan kawalan kebebasan peribadi yang selama ini dikuatkuasakan oleh BN.
Apabila BN menggubal undang-undang seperti Akta Hasutan dan peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang menghadkan hak rakyat mengkritik pemerintah dan penasihat agama mereka, pemimpin-pemimpin BA tidak pula bermati-matian melancarkan kempen untuk menghapuskan sama sekali peruntukan-peruntukan itu.
Malah, PAS mempunyai rekod menyokong ISA apabila yang ditahan tanpa bicara itu termasuk dalam kategori 'ajaran sesat' (termasuk yang didakwa sebagai aktivis Syiah). Dan ini bukan kisah berpuluh tahun lalu, malah berterusan sejak beberapa tahun yang lepas.
Mengapa dasar 'selective persecution' yang disokong penuh PAS ini tidak dicabar oleh mana-mana komponen BA?
Isu-isu sensitif
Inilah antara masalah utama yang menyebabkan minda rakyat Malaysia masih di ambang ketakutan dan kebimbangan dalam menyentuh isu-isu yang dikatakan "sensitif".
Dengan perkara-perkara yang sensitif itulah masyarakat Malaysia, terutama orang Melayu masih enggan membuka pintu pemikiran dengan lebih luas.
Sehingga perkataan-perkataan seperti "sekular", "peluang sama rata" dan "kebebasan" dianggap busuk oleh kebanyakan pemimpin Islam, kononnya boleh merosakkan akidah ummah dan menjejaskan kepentingan satu kaum.
Dalam soal politik demokrasi, tidak ada salahnya pemerintahan BN ditentang atas isu-isu ketidakadilan, korupsi, penyalahgunaan kuasa, salah pengurusan, pindaan undang-undang yang keras dan tidak adil dan sekatan hak kebebasan.
Tetapi yang sering dilihat ialah pemimpin dan kroni BA menentang BN, khususnya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, atas dakwaan "tidak cukup Islamik", "menghina Islam", "membenarkan konsert nyanyian dan pertunjukan pentas diadakan", "membiarkan wanita Islam tidak memakai tudung/menutup aurat" dan berbagai tuduhan yang tidak melambangkan semangat muhibah antara kaum dan agama.
Selagi masyarakat Malaysia tidak membebaskan diri daripada pemikiran seperti ini, sehingga akhir dunia pun tidak akan berlaku perubahan. Jika sekadar bertukar parti pemerintah, tekanan realiti hidup di mana rakyat dipisahkan mengikut kaum akan ditambah pula bebannya apabila wujud secara formal dan sah perbezaan di antara Muslim dan Kafir.
Sama ada BN atau BA, selagi rakyat tidak bersedia membebaskan pemikiran, akan berterusan hidup di bawah pemisahan antara kaum dan agama, di mana kebebasan sentiasa perlu dikorbankan demi kedua-dua faktor utama itu.
Mungkin kerana malu, rakyat yang condong kepada pembangkang tidak sanggup mengaku secara terbuka bahawa sememangnya mereka mahukan pemerintahan demokrasi terpimpin.
Sama ada penyokong BN atau BA, kebebasan sering dianggap sebagai idea import yang tidak sesuai dengan masyarakat Timur. Ini sudah jelas menggambarkan kejayaan propaganda kepimpinan konservatif kedua-dua barisan parti-parti politik ini sejak bertahun-tahun lamanya.
Kerana kebebasan itu bererti keterbukaan dalam semua halÔ mana-mana agama boleh diperbahaskan dan dikritik secara terbuka, perkauman boleh dibincang dan dipertikaikan, dan tidak ada sesiapa harus berselindung di sebalik kuasa undang-undang.
Memang usaha melahirkan budaya amalan kebebasan yang bertanggungjawab memerlukan masa tetapi ia harus bermula dari titik permulaan.
Kerana pada masa yang sama, dari segi amalan politik, kebebasan juga bererti pemimpin-pemimpin BA dan BN serta NGO akan sama-sama disiasat oleh rakyat, media dan badan-badan pencegah penyelewengan.
Kebebasan bersuara
Dengan adanya kebebasan, yang akan ada adalah kebebasan untuk bersuara tanpa rasa takut atau bimbang daripada dipukul, diterajang, ditikam, ditetak atau ditembak oleh kumpulan-kumpulan yang merasakan diri mereka mempunyai watikah istimewa (sama atas nama agama, kaum atau ideologi) untuk memaksa semua orang tunduk pada mereka.
Malah, kebebasan juga amat menguntungkan kepada sesiapa yang menjadi pemerintah kerana walaupun ia akan sentiasa dikritik, ia juga menutup pintu kepada pembangkang yang selama ini bersembunyi di sebalik kritikan terhadap undang-undang yang menyekat kebebasan. Kebebasan akan membuka pintu kepada semua pihak untuk menelanjangkan segala pembohongan dan penyelewengan mana-mana pihak, termasuk yang dilakukan oleh pembangkang.
Namun, ini semua hanya impian. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan itu terlalu mahal harganya, mungkin lebih tinggi daripada nyawa sendiri.
Ahli dan penyokong BN faham hakikat ini. Cumanya di kalangan BA, mereka masih malu untuk mengakui bahawa mereka sebenarnya turut menyokong pendirian BN bahawa rakyat tidak layak menikmati kebebasan sepenuhnya. Bagi mereka, kebebasan itu hanya milik pemerintah sahaja.
Ini adalah realiti politik Malaysia. Feudalisme sebenarnya tidak mati, ia terus kukuh menjalar dalam tubuh dan minda negara merdeka ini. Dan feudalisme tidak memerlukan kebebasan untuk terus hidup.
WAN HAMIDI HAMID ialah seorang wartawan bebas yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan menjangkau 15 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Berita Harian, The Star, The Sun dan Straits Times (Singapura).

