Kebebasan terpimpin di Malaysia?
Beberapa bulan lalu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mendesak Majlis Raja-Raja mengambil tindakan terhadap beberapa individu yang menulis di media arus perdana atas dakwaan menghina Islam, walaupun banyak tuduhan dalam memorandum persatuan itu masih samar-samar.
Majlis Fatwa Kebangsaan di bawah naungan Majlis Raja-Raja sudah pun menjelaskan bahawa tidak perlu tindakan keras diambil, memadai dengan nasihat dan sikap bertanggungjawab para penulis berkenaan.
Tetapi dua minggu lalu, kerajaan membuat keputuan mengejut dengan mengarahkan media arus perdana supaya mendapatkan kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum menyiarkan rencana yang menyentuh prinsip atau nilai Islam. Kini media Malaysia yang sudah lama tertekan, dikenakan lagi tambahan penapisan.
Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri Datuk Noh Omar menjelaskan ia perlu untuk menghalang rencana-rencana yang tidak mematuhi prinsip-prinsip Islam daripada disiarkan.
Pengumuman itu pastinya akan memastikan kebebasan bersuara sekali lagi menjadi mangsa permainan politik berteraskan agama. Malah, secara tidak langsung, pemerintah mengiktiraf memorandum PUM yang sebelum ini dikritik hebat di kalangan pemimpin kerajaan sendiri.
Jakim dilaporkan akan memanggil semua ketua pengarang media arus perdana untuk diberi taklimat lanjut mengenai arahan itu. Mengikut kebiasaannya, semua ketua pengarang akan tunduk dengan kehendak kerajaan.
Dengan meletakkan idealisme kebebasan ke tepi buat seketika, arahan baru ini boleh dilihat sebagai hakikat kenyataan hidup yang sering berlaku di Malaysia. Kebebasan menjadi satu komoditi yang amat mahal harganya di negara ini sehingga semakin ramai orang tidak mampu untuk menikmatinya.
Arahan penapisan
Secara praktikal, arahan kerajaan ini sepatutnya meliputi semua akhbar, majalah dan penerbitan yang mempunyai permit. Tetapi awal-awal lagi sudah dapat diduga bahawa arahan penapisan kebenaran itu hanya akan meliputi media arus perdana.
Apa yang bakal berlaku ialah ketua-ketua pengarang tidak berani lagi menyiarkan apa-apa rencana mengenai Islam selagi penulisnya tidak mempunyai hubungan atau kelulusan Jakim. Dengan ini, rencana mengenai Islam mungkin diperolehi secara langsung daripada jabatan dan agensi agama kerajaan seperti Jakim, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan jabatan serta majlis agama negeri-negeri.
Soalnya, bagaimana pula Jakim menguatkuasakan arahan penapisan rencana ini terhadap akhbar dan majalah yang selama ini menumpukan kepada isu-isu Islam yang biasanya bertentangan dengan hasrat pemurnian Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan?
Apakah Jakim akan melihat dahulu "mock up" akhbar Harakah atau majalah-majalah Islam sebelum meluluskan penerbitan mereka?
Apa yang akan berlaku ialah perdebatan sihat mengenai isu-isu agama dalam media arus perdana mungkin tidak wujud lagi jika kerajaan bertegas untuk melaksanakan arahan yang dilihat sebagai tidak adil ini.
Yang pasti, media alternatif yang jelas pendiriannya anti-kerajaan, akan berleluasa dengan politik agama mereka untuk terus menutup kreativiti minda penulis-penulis bebas yang prihatin terhadap isu agama, kebebasan dan perpaduan masyarakat.
Dalam hal ini, tiada penulis boleh menegur atau mengkritik golongan yang mendakwa menjadi pakar agama sedangkan mereka ini bebas menuduh kerajaan atau mana-mana individu sebagai kafir, fasik, zindiq dan sebagainya.
Tidak boleh menegur
Lebih parah lagi, jika Jakim mula menjadi lembaga penapis berita dan rencana, bagaimana pula dengan kedudukan "pakar agama" yang menulis di luar bidang kepakaran mereka, sama ada di media arus perdana atau alternatif?
Dalam beberapa rencana yang sering disiarkan, pakar lulusan fiqah Islam akan menulis soal-soal di luar bidang hukum yang dipelajarinya sehingga menyentuh isu politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi - yang banyak juga kesalahan di segi fakta dan logik.
Jika mengikut arahan Jakim, pakar ilmu politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi pula tidak berhak mempertikaikan tulisan ahli ilmu fiqah itu kerana akan dianggap menghina Islam.
Sebagai contoh, Menteri Besar Terengganu Datuk Abdul Hadi Awang dalam kolumnya "Tafsir Al-Quran" yang disiarkan dalam akhbar Harakah (16-30 April 2002) memetik hadis yang mengatakan "Anjing hitam itu adalah syaitan" untuk mengukuhkan hujahnya mengenai binatang untuk berburu.
Hujah itu boleh dipatahkan melalui ilmu dan pengetahuan sains tetapi siapa yang sanggup berdepan dengan ulamak yang sudah mengecap sesiapa juga yang menegur mereka sebagai menghina Islam?
Begitu juga ruangan soal jawab agama dalam akhbar-akhbar arus perdana yang sering mengemukakan pandangan yang memperlekehkan hak-hak wanita dan yang menyentuh penganut agama lain.
Ini ditambah pula dengan tafsiran ulamak yang sering disiarkan dalam akhbar-akhbar yang mendakwa apabila berlaku bencana alam di negara Eropah atau Amerika, ia adalah balasan Tuhan. Tetapi apabila beribu umat Islam mati dilanda banjir atau kemarau, tiada kedengaran suara-suara pakar agama.
Kekeliruan masyarakat
Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Malaysia, bukan sahaja umat Islam tetapi warganegara beragama lain yang juga mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di sisi undang-undang dan Perlembagaan.
Apakah kerana semata-mata seseorang penulis itu mempunyai kelulusan agama, hanya dia layak menulis mengenai Islam, tidak kira topik yang dibincangkannya itu menepati atau di luar bidang kepakarannya?
Kembali kepada idealisme kebebasan, perlu diimbas kembali pepatah Melayu: "Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah". Kini ia sudah terbalik. Gajah itu melambangkan kekuatan majoriti. Dalam hal ini rakyat sudah menjadi gajah, tetapi senarionya masih tidak berubah. Dalam keadaan yang menyedihkan, "pelanduk sama pelanduk berjuang, gajah mati di tengah-tengah".
Penggunaan agama untuk kepentingan politik semakin giat diamalkan oleh pemerintah Umno dan pembangkang PAS, dan kebanyakan orang Melayu sudah terjebak dalam perangkap politik slogan dan tampal-menampal nama agama.
Parti-parti pembangkang hanya mahu kebebasan untuk mereka berhimpun dan berceramah tetapi dengan tegas menolak hak orang lain untuk menegur mereka, terutama berhubung keadah mereka menggunakan dan menyalahgunakan agama untuk merebut kuasa pemerintahan.
Ini juga satu bentuk "double standard". Memang kebebasan berhimpun, bersuara dan berceramah wajib ada tetapi ia harus dilaksanakan secara menyeluruh tanpa memilih bulu.
Umat agama lain pula semakin bimbang dengan perlumbaan menegakkan label satu agama, dan ini menimbulkan semangat takutkan Islam. Apabila Islam menjadi sumber kebimbangan, umatnya tidak patut menyalahkan reaksi penganut agama lain kerana keghairahan dalam perlumbaan "siapa lebih Islam" telah mengasingkan warga berkepercayaan lain daripada duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.
Jika pemerintahan Sukarno di Indonesia pada akhir 1950-an mengamalkan demokrasi terpimpin, kini Malaysia menyahut seruan kebebasan terpimpin. Mereka yang yakin kepada konsep terpimpin ini bukan sekadar dari kalangan pemerintah tetapi juga disokong oleh golongan yang bercita-cita mahu memerintah atas nama satu agama. Yang menjadi mangsa tetap rakyat yang banyak.
WAN HAMIDI HAMID ialah seorang wartawan bebas yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan menjangkau 15 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Berita Harian, The Star, The Sun dan Straits Times (Singapura).

