Selama ini, media cetak sudah cukup tertekan apabila setiap tahun permit penerbitan perlu dipohon semula dan Kementerian Dalam Negeri berhak untuk tidak memperbaharui permit berkenaan tanpa sebarang alasan.

Akta yang dipinda pada 1987 itu memberi kuasa sepenuhnya kepada Menteri Dalam Negeri, sama ada untuk menolak atau menerima permohonan baru dan juga untuk menggantung dan mengharamkan permit sedia ada.

Menteri juga berhak untuk tidak memberi apa-apa respons kepada sebarang permohonan untuk mendapatkan permit baru. Dan apabila menteri merasakan perlu sesuatu penerbitan itu diharamkan, akta sedia ada memberi ruang selesa untuk menteri supaya tidak memberikan apa-apa sebab kepada pengharaman itu.

Saya sendiri yang terbabit sepenuh masa dalam bidang penerbitan sejak 1986, langsung tidak pernah diberikan permit biarpun puluhan kali, sejak 1989, memohonnya. Malah, saya tidak pernah dimaklumkan apakah sebab-sebab permohonan itu tidak diluluskan.

Dan lebih buruk lagi, sejak lebih setahun lalu, saya memohon empat permit untuk menerbitkan akhbar mingguan, tetapi sehingga kini, Menteri Dalam Negeri Abdullah Ahmad Badawi langsung tidak memberi apa-apa jawapan.

Saya dimaklumkan oleh pihak Unit Kawalan Penerbitan, KDN, bahawa sebarang urusan mengenai permit akhbar (bukannya majalah atau penerbitan berkala lainnya) hendaklah ditujukan terus kepada menteri, dan tidak boleh berurusan dengan pegawai-pegawai di bawahnya.

Pindaan terbaru

Saya juga dapat memahami bagaimana peritnya mengendalikan perniagaan media cetak apabila dua majalah di bawah seliaan saya, iaitu Detik dan Al-Wasilah, diharamkan KDN sebaik saja keputusan pilihan raya 1999 diketahui.

Malah akhbar yang dikaitkan dengan saya, misalnya Cabaran, kini turut menerima amaran keras daripada KDN, dan besar kemungkinan akan diharamkan apabila permitnya tamat pada akhir Februari ini.

Justeru itu, apabila ketua setiausaha KDN, Aseh Che Mat memaklumkan bahawa draf pindaan terbaru kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan telahpun siap, dan yang turut mewajibkan akhbar dalam talian (Internet) mendapatkan permit KDN, saya merasakan ia adalah petanda jelas pemerintah begitu takut dengan pandangan berbeza rakyat meskipun ia kini menguasai media massa utama, seperti akhbar harian dalam semua bahasa, siaran radio dan televisyen.

Sebenarnya pindaan yang akan dibuat dalam sidang Parlimen akan datang ini tidak relevan sama sekali kerana yang sepatutnya dirombak ialah membuang mana-mana peruntukan yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia khususnya dalam isu kebebasan bersuara.

Sepatutnya akta itu dipinda bagi memberi lebih kelonggaran, bukannya dengan mengetatkan lagi sisa-sisa kebebasan yang ada.

Suasana tidak sihat

Kerajaan yang membenarkan rakyat bebas memberi pandangan adalah kerajaan yang berjiwa besar dan berwibawa. Manakala pemerintah yang sentiasa mencari jalan untuk mengongkong rakyatnya - bukan saja dari bebas bersuara tetapi juga menghalang rakyat daripada menerima pandangan kedua yang tidak mengaminkan apa saja kehendaknya-- adalah pemerintah yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Apabila penerbitan Harakah dikurangkan pengeluarannya daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, saluran alternatif untuk rakyat mendapat perkembangan berita terkini hanyalah melalui akhbar-akhbar dalam Internet.

Jika saluran yang cukup terbatas ini pun mahu disekat - apatah lagi selepas pemerintah bertindak mengharamkan ceramah politik, saya bimbang ia boleh membawa kepada suasana tidak sihat, yang tidak akan menguntungkan sesiapa saja.


AHMAD LUTFI OTHMAN adalah jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).