Kalau saya menyatakan bahawa saya tidak pernah menonton filem atau video porno, pasti ini satu pembohongan besar. Penafian saya ini samalah seperti kenyataan beberapa orang menteri yang menyatakan tidak ada deraan ke atas para tahanan ISA. Saya tidak memiliki kudrat dan iradat untuk berbohong seperti yang dimiliki para menteri berkenaan.

Hakikatnya, saya telah diperkenalkan dengan gambar-gambar porno agak awal lagi. Ketika itu saya masih lagi bersekolah rendah - darjah empat. Gambar porno hitam putih setengah poskad ini telah diperagakan kepada saya oleh seorang anak muda yang bekerja sebagai pembantu kedai di kampung saya.

Ketika saya melihat gambar ini, hati saya berdebar-debar. Saya tidak memahami apa yang berada di hadapan mata saya. Imej ini masih subur hidup sebagai ingatan terkumpul di dalam pita rakaman hidup saya. Banyak 'perkara' yang berligar di dalam kepala ketika pertama kalinya saya melihat gambar anu perempuan dan melihat anu lelaki dewasa.

Sebenarnya, berahi seksual untuk anak muda dari zaman saya hingga ke hari ini tidak pernah berubah. Semenjak Adam dan Hawa lagi naratif manusia terus dibaluti oleh berahi seksual. Teori demi teori telah dimunculkan untuk memahami naluri tarikan berahi seksualiti. Malah ada yang mengetengahkan teori bahawa umat manusia ini bergerak kerana berahi seksualiti. Pada hemat saya tidak semua teori-teori ini salah dan tidak semuanya betul.

Apa yang jelas ialah hari ini berahi seksual bukan lagi satu misteri seperti pengalaman saya melihat gambar porno hitam putih itu. Berahi seksual kini telah 'terbuka' secara meluas. Imej porno dan imej erotik sedang berkeliaran dan boleh ditemui di mana saja. Kita tidak perlu pergi ke Golok untuk mendapatkan kitab-kitab porno. Semuanya telah wujud di sekeliling kita. Hari ini, apa yang penting adalah sikap dan pemahaman kita tentang makna dan tanda dari imej-imej seksual ini.

Pertamanya, kita wajib terbuka hati untuk menerima hakikat bahawa dunia di hadapan kita bukan lagi dunia yang didiami oleh ayah dan ibu kita. Dunia ayah dan ibu kita tidak wujud lagi. Ianya hanya wujud dalam ingatan kolektif kita. Atau tersimpan dalam imaginasi penulis-penulis novel dan puisi. Atau dalam catatan buku-buku ilmiah yang tersimpan di perpustakaan.

Asas ekonomi negara kita telah berubah. Perubahan ini telah datang secara mendadak. Dalam masa satu generasi, manusia tradisional tani Melayu kini telah berpindah ke bandar-bandar. Pertanian bukan lagi sumber utama. Sosialisasi kampungan bukan lagi asas utama pembudayaan manusia Melayu. Hubungan sosial yang berasaskan 'kampung' kini telah beralih ke kota. Peralihan ini sudah pasti membawa masuk nilai-nilai baru.

Memperkasakan nilai

Kemasukan nilai-nilai inilah yang sedang melahirkan tanda dan makna baru. Apa yang sedang kita baca/tonton melalui media adalah pertembungan dua nilai. Berahi seksualiti, imej porno dan erotik hanyalah beberapa tanda dan makna dari manifestasi pertembungan nilai baru dan nilai lama.

Benda-benda baru yang kita temui di pasaran hari ini adalah hasil perkembangan teknologi. Ianya adalah tanda perayaan kekuatan fikrah manusia. Setiap benda baru ini pasti akan membawa nilai strukturnya sendiri. Dari satu segi benda-benda baru ini boleh dilihat bersifat bebas nilai dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Maka, terpulanglah kepada kita, anak semua bangsa, untuk memberi nilai tambah terhadap struktur-struktur yang dibawa oleh benda-benda baru ini.

Sebelum kita celupar membuka mulut untuk memberi pandangan nilai kita secara percuma dan rambang, saya cadangkan kita menilai diri kita terlebih dahulu. Kita wajib memiliki, meluas dan memperkasa nilai melihat diri sendiri. Dalam masa yang sama marilah kita mengumpul ingatan untuk berbalik ke belakang dan melihat pensejarahan perkembangan dan perubahan nilai.

Apakah kita telah lupa bagaimana satu ketika dahulu, apabila cencorong/radio sampai ke telinga kita, telah muncul polis moral yang menganggap radio ini 'suara setan'. Sikap yang sama juga telah dihamburkan kepada bentuk seni filem atau muzik dari piring hitam. Kedatangan telefon juga tidak disenangi. Kemasukan TV ke ruang tamu dan diikuti dengan kesampaian video dan VCD - semuanya mendapat seranah dari polis moral.

Bagi saya, suara dari polis-polis moral ini adalah tanda dan makna dari manifestasi pertembungan nilai. Ini wajib kita fahami bersama. Ini bukan bermakna saya meletakkan polis moral ini di atas atau di bawah, tetapi menganjurkan agar kita dapat memahami manifestasi ini agar kita dapat menilai diri kita sendiri. Hari ini, semua benda-benda yang telah dihampehkan ini telah menjadi sebahagian dari pembudayaan kita.

Sebagai anak semua bangsa, kita wajib menerima hakikat bahawa kita tidak memiliki kuasa untuk melupuskan kemasukan benda-benda baru ini. Benda-benda baru akan terus dicipta. Manusia akan terus membuat penemuan baru. Nilai lama akan pupus dan nilai baru akan muncul. Ini hakikat perjalanan tamadun manusia.

Ini bukan pula semua nilai lama, kerana lamanya maka wajib ditolak. Atau nilai baru kerana barunya wajib kita terima. Pandangan seperti ini adalah pandangan yang salah. Ada nilai lama yang kolot dan wajib dibakul sampahkan. Ada nilai baru yang jelek dan patut di'flush'kan ke dalam tandas. Kita memiliki kekuatan fikrah untuk menerima atau menolak nilai.

Kesongsangan pandangan

Penerimaan kita terhadap nilai ini berdasarkan sama ada nilai-nilai ini akan dapat memperkukuh dan memperkuatkan wujudiah kita sebagai manusia. Ukuran dan patukan ini bergantung sama ada nilai-nilai ini akan memberi kita keselesaan untuk kita merayakan kehidupan. Apakah nilai ini akan berupaya menokok tambah dan memperkaya nilai-nilai kemanusiaan kita.

Kita menolak nilai - sama ada baru atau lama - ialah kerana nilai itu menyempitkan fitrah kita sebagai manusia. Apa saja nilai yang tidak merayakan dan memurtabatkan manusia sebagai manusia wajib kita lupuskan.

Maka, mari kita kembali dan melihat seksualiti dan nilai pandangan kita terhadap seks. Saya mengajukan agenda ini kerana kebelakangan ini, media kita telah memaksa kita semua melihat berahi dan seksualiti.

Saya sedar apa yang dipaparkan oleh media kita sebenarnya bukan agenda seksualiti atau wacana seksualiti. Apa yang sedang kita baca dan dengar, terutama beberapa minggu ini, hanyalah manifestasi dari kesongsangan pandangan media kita terhadap seksualiti.

Apa yang media kita lakukan sekarang bukan analisa/kritikan/pandangan berilmu terhadap seksualiti. Garis terbawah yang sedang diambil hanyalah mensensasikan isu seksualiti. Kes rogol, liwat, sumbang muhrim, bersekedudukan, seks di luar nikah dan hubungan seksual yang berakhir dengan pembunuhan, telah disensasikan sebagai 'aji-no-moto' pelaris jualan.

Laporan dari kes mahkamah dijadikan fatwa untuk menghalalkan laporan. Strategi mahkamah ini samalah seperti ruangan soal jawab tentang agama yang ada dalam media kita - terutama media Melayu.

Perhatikan soalan-soalan contoh yang ditanyakan - apakah hukumnya jika saya menghisap anu suami saya atau apakah hukumnya jika saya melakukan ini atau itu semasa kami bersegama. Soalan-soalan ini bukan persoalan falsafah agama. Ruangan soal jawab seperti ini telah dan sedang memperlekeh dan menyempitkan falsafah agama itu sendiri.

Polis moral

Justeru, marilah kita menerima hakikat, benda dan teknoloji baru termasuk media telah menghakiskan 'rahsia seksualiti'. Mitos seksualiti yang sering diwujudkan telah pecah dan bocor. Seksualiti dan hubungan seksual hari ini bukan lagi satu misteri yang diselubungi dengan seribu macam magik.

Satu ketika dahulu, apabila sesorang ingin ke Mekah, maka akan diadakan pelbagai budaya ritual kenduri kendara. Hari ini budaya kenduri kendara itu telah semakin pupus. Hanya dengan menempah tiket kapal terbang, sesiapa sahaja boleh ke Mekah untuk menunaikan fardu haji atau umrah. Misteri perjalanan ke Mekah telah dipecahkan oleh kemunculan benda baru - kapal terbang.

Perkara yang sama juga telah berlaku kepada seksualiti. Benda-benda baru - filem, video, VCD dan media - telah dan sedang menghakiskan magik dalam hubungan seksual. Media kita walaupun agendanya bukan membuka wacana seksualiti, tetapi secara tidak disengaja, sedikit sebanyak, media ini telah juga memainkan peranan untuk memecahkan mitos dan rahsia hubungan seksual.

Di dalam keadaan ini kita akan terdengar suara-suara dari polis moral. Polis moral sebenarnya tidak memiliki kekuatan fikrah bila berhadapan dengan seksualiti. Mereka hanya pandai 'menghukum'.

Penghukuman dilihat sebagai jalan untuk mengatasi segala-galanya. Lojik polis moral - jika hukuman diperkuat maka semuanya akan beres. Hukuman dan deraan dilihat sebagai ubat mujarab untuk menghadapai apa saja benda dan bentuk baru yang sedang mereka hadapi. Atau menghukum apa sahaja yang tidak mereka fahami.

Pandangan seperti ini telah terlewat. Nilai dan moral manusia terus berubah. Mungkin mendera/mengancam/mengertak boleh menyelesaikan sesuatu masalah seribu tahun dahulu. Tetapi hari ini teknik sedemikian tidak mungkin lagi mendapat pasaran.

Laporan-laporan berahi seksual semakian rancak 'dimain' kan oleh media tanahair. Kita sepatutnya mengambil peluang ini untuk membuka wacana seksualiti. Telah sampai masanya untuk kita berhadapan dengan berahi seksualiti kita sendiri. Marilah kita bersikap jujur, pertama kepada diri kita sendiri, bahawa kita juga memiliki berahi seksual yang terpendam. Kedua, marilah kita bersikap jujur kepada anak-anak muda bahawa hubungan seksual itu sebenarnya memberi nikmat.

Nilai kejujuran genre inilah yang wajib kita bersama kembangkan sebagai usaha pertama untuk membuka wacana seksualiti. Saya rasa lebih baik kita telus dan terbuka apabila berhadapan dengan seksualiti . Rasa saya tidak ada gunanya kita menyorok dan cuba merahsiakan hubungan seksual ini dari generasi muda kerana rahsia mitos ini telah lama terbocor.

Saya akan berterima kaseh jika saya diajar lebih awal tentang seksualiti. Jika ini berlaku kepada saya dahulu, pasti saya tidak akan 'hairan' apabila melihat gambar porno hitam putih itu. Bagi saya, lebih baik saya membuka wacana seksualiti ini untuk anak-anak muda, daripada mereka cuba memahami berahi seksualiti dari VCD Mak Datin Terlampau.