Sistem meritokrasi perlu dikaji semula (Bhgn I)
Seperti yang didugakan, setiap kali keputusan pemilihan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengikut sistem meritokrasi (padahal meritokrasi yang tidak merit, sila merujuk rencana penulis bertanggal 22 Mei 2002) diumumkan, keadilan sistem tersebut tentu dipersoalkan; dan makin sistem itu dipertahankan, makin terdedah kepincangannya.
Media arus perdana seolah-olah terbahagi menjadi dua golongan - satu bersimpati terhadap 128 pelajar bukan-Melayu lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memperoleh keputusan paling cemerlang (Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0) tetapi gagal memasuki fakulti perubatan seperti yang dipohon, dan sekaligus mempersoalkan keadilan sistem meritokrasi yang dilaksanakan.
Yang satu lagi cuba mempertahankan keputusan itu sebagai adil dan tanpa pilih kasih. Ia membayangkan pendirian nasionalis Melayu yang mula-mulanya mengkhuatiri sistem itu akan mengakibatkan banyak kuota pelajar Melayu dibolot pelajar bukan-Melayu.
Tetapi sebaliknya kini, mereka berbangga dengan pencapaian unggul pelajar bumiputera yang berjaya memasuki IPTA tiga tahun berturut-turut dengan peratusan 68.9 peratus bagi tahun 2002 dan 62.6 peratus bagi tahun 2003 serta 63.8 peratus bagi tahun ini yang lebih baik daripada kuota 55 peratus dahulu.

Adakah pencapaian pelajar Melayu di luar jangkaan ini membuktikan bahawa mereka bukan saja berdaya saing di padang yang sama rata, malah pencapaian akademi mereka lebih unggul daripada pelajar bukan-Melayu? Jika nasionalis Melayu benar-benar percaya demikianlah halnya, maka silalah fikirkan fakta-fakta berikut.
Pertama, kenapa di peringkat STPM, daripada 527 yang mendapat PNGK 4.0, bumiputera hanya seorang sahaja? (Sungguhpun pelajar SPM Melayu yang terbaik telah dihantar ke luar negara, dan kedua terbaik menyertai matrikulasi, dan selebihnya baru memasuki STPM.)
Nasionalis Melayu
Kedua, kenapa di peringkat matrikulasi pula, daripada 1,247 yang mendapat PNGK 4.0, seramai 789 adalah bumiputera; 458 bukan bumiputera (419 Cina dan 39 India); sedangkan pelajar bukan-bumiputera hanyalah 2,000 daripada sejumlah 20,000 pelajar matrikulasi tahun lalu?
Berasaskan kenyataan tersebut, semua pihak termasuk nasionalis Melayu yang objektif dan tidak berprasangka, wajar mengakui jika mengikut meritokrasi tulen yang bersaing atas padang rata tanpa mengira kaum, pelajar bumiputera mungkin masih sukar sedikit hendak bersaing dengan pelajar bukan-bumiputera .
Jika nasionalis Melayu dan pihak berkuasa yang terbabit mendakwa pencapaian cemerlang pelajar bumiputera tiga tahun berturut-turut ini, membuktikan mereka sudah sanggup bersaing dengan bukan-bumiputera di padang yang rata, malah terbukti lebih unggul daripada mereka, maka secara logik, meritokrasi juga patut diamalkan dalam pemilihan pelajar matrikulasi, bukan lagi kuota 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan-bumiputera seperti sekarang.
Oleh itu, perlu diakui, sungguhpun sistem pemilihan pelajar IPTA sekarang dinamakan sistem meritokrasi, ia sebenarnya tidak merit dalam dua aspek.
Aspek pertama, matrikulasi masih dimonopoli pelajar bumiputera mengikut sistem kuota; dan aspek kedua, sungguhpun program matrikulasi diselaraskan dengan STPM melalui PNGK, namun tidak dapat dinafikan ia lebih menguntungkan pelajar program matrikulasi, yang jelas lebih singkat tempoh kursusnya (setahun, tempoh STPM setahu setengah) dan lebih mudah cara peperiksaannya .
Jika ditinjau kembali latarbelakang matrikulasi diperkenalkan, maka tidak dapat dinafikan, ia bertujuan mengelakkan persaingan dengan pelajar bukan-bumiputera di padang STPM yang rata. Lantaran itu, matrikulasi dikecualikan untuk pelajar bumiputera, bersesuaian dengan program yang digubah khas demi menjamin bilangan besar (melebihi 90 peratus) pelajarnya dapat terus memasuki IPTA.
Kursus kritikal
Dalam keadaan yang demikian, taraf akademinya terpaksa dikompromikan sedikit. Oleh itu, program matrikulasi pernah diejek oleh Profesor Diraja Ungku Aziz sebagai "kilang tauhu" (pengeluaran besar-besaran) bila beliau cuba mempertahankan pengekalan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya yang dianggap lebih bermutu taraf akademiknya.
Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Hassan Said, cuba mempertahankan kesetaraan program matrikulasi-STPM, dengan menegaskan pelajar lepasan kedua-dua program tersebut, sama-sama diiktirafkan oleh universiti luar negara.
Ia hanya membuktikan pelajar lepasan kedua-dua program tersebut, layak memasuki IPTA, tetapi gagal menyanggah dakwaan penyalarasan keputusan kedua-dua program itu melalui PNGK yang lebih menguntungkan pelajar program matrikulasi, seperti yang dibayangkan dalam bilangan pelajar yang berjaya memasuki IPTA, termasuk kursus-kursus kritikal.
Bila ditanya kenapa pelajar matrikulasi yang mendapat PNGK 4.0 sekali ganda lebih ramai daripada pelajar STPM, jawapan beliau ialah pelajar bumiputera yang masuk matrikulasi bukan yang kodi-kodi, mereka pelajar cemerlang.
Jika demikian halnya, ditanya pula kenapa tidak dibuka sepenuhnya program matrikulasi kepada semua kaum jika pelajar STPM tidak mempunyai kelebihan, jawapan beliau ialah kerana masih ramai pelajar bumiputera yang datang dari kawasan pedalaman yang sosio-ekonominya rendah makna tersiratnya seolah-olah sungguhpun bukan yang kodi-kodi , tetapi masih tidak sanggup bersaing dengan pelajar bukan-bumiputera!