Menurut pengarah eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah, tatkala gambar dan berita penderaan Nirmala Bonat pertamakali disiarkan di televisyen, lapan pembantu rumah mangsa dera yang berlindung di rumah perlindungan WAO yang sedang menonton berita jam 8 itu, "meraung, menangis dan berpelukan melihatkan gambar Nirmala yang terpapar di televisyen".

Jangankan pembantu rumah mangsa dera yang senasib dengan Nirmala, sesiapa sahaja yang layak digelar manusia, tentu tersayat hati dan amat marah, apabila menyaksikan gambar-gambar yang menunjukkan parut luka yang hitam-lebam dan bercelur hampir di seluruh badan muka, tangan, kaki, belakang dan buah dada akibat didera majikannya dengan cawan besi, air mendidih dan sterika panas.

Kes Nirmala boleh dikatakan luarbiasa dan terpencil dari segi keganasan yang begitu sadis sekali. Namun, penderaan pembantu rumah dalam ertikata yang lebih luas dari segi fizikal, mental dan emosi, berlaku setiap masa di mana-mana saja di antara ratusan ribu pembantu rumah pendatang yang berkhidmat di negara kita.

Kecuali beberapa badan bukan kerajaan yang terbabit, pihak-pihak berkuasa, media dan masyarakat amnya seolah-olah tidak kelihatan atau sudah lali dengan penderaan yang wujud di merata tempat, dan mereka terus membisu seperti pembisuan suami di pendera Nirmala terhadap keganasan isterinya.

Sebaliknya, cerita yang sering disebar, malah dilaporkan dalam media ialah tentang segala salahlaku dan sifat negatif pembantu rumah, umpamanya bagaimana mereka mendera kanak-kanak jagaannya; bagaimana mereka meracuni atau mengotori (umpamanya dicampuri najis) pada makanan dan minuman majikan; bagaimana mereka menipu dan mencuri (termasuk mencuri suami majikan dan lelaki luar); dan seribu satu lagi cerita yang bukan-bukan tentang mereka.

Pendek kata, mereka tidak boleh diberi muka, jika tidak mereka akan naik kepala majikan. Ivy Josiah amat marah dengan prejudis seperti ini. Beliau mencabar: "Kalau ada orang menunjukkan kepada saya seorang pembantu rumah yang naik kepala kerana dilayan dengan baik, saya boleh tunjukkan pula 50 pembantu rumah yang didera!"

Bangun awal

Dalam masyarakat kita yang berkasta, kebanyakan majikan berkelakuan mengikut pemikiran dan kepentingan kastanya. Salah satu logik majikan ialah: Saya bayar gaji, saya berhak suruh dia buat apa kerja pun majikan sentiasa betul!

Dari logik ini, slogan "melayani pembantu rumah sebagai ahli keluarga kita" menjadi begitu hipokrit dan ironis sekali!

Kalau sebagai seorang ahli keluarga, kenapa pembantu rumah mesti bangun awal-awal (pukul 5 atau 6 pagi) dan tidur lewat-lewat (11 atau 12 malam), dan terpaksa membuat segala kerja yang terkotor dan terberat seperti robot?

Kenapa dia tidak dibenarkan mempunyai masa dan ruang peribadi untuk berehat dan berhibur? Kenapa dia ditegah berkawan, malah bercakap dengan pembantu rumah yang lain? Kenapa dia tidak dibenarkan makan dan minum semeja dengan ahli keluarga majikan?

Majikan manakah yang pernah ambil berat tentang keperluan emosi pembantu rumahnya yang kebanyakan hanya berumur belasan tahun dan mungkin buat kali pertama meninggalkan kampung halaman? Siapa pula yang mempedulikan misalnya kebiasaan makanan, pantang larang atau kewajipan agama pembantu rumah?

Jika kesemua ini terus dibisukan, maka letusan emosi yang tertumpu khasnya dalam kes penderaan Nirmala dengan membawa pendera ke mahkamah dengan cepat, dan janji hukuman yang seberat-beratnya (jika sabit bersalah, hukumannya 67 tahun kononnya) juga hanya merupakan kes terasing untuk tujuan politik yang tertentu saja!

Seperti sungutan Ivy Josiah: "Saya berkata dalam hati: Oh, sekali lagi. Ketika itu saya menjangka reaksi terhadap kes-kes sebelum ini akan terdengar sekali lagi kita marah-marah, pelbagai pihak berjanji itu dan ini, tetapi selepas itu kita melupakannya."

Kerangka

Sebuah komentar Kompas Indonesia juga senada dan sependapat dengan Ivy Josiah bila ia membidas dengan sinis: "Bukan sekali ini nasib buruk menimpa tenaga kerja Indonesia mahupun tenaga kerja wanita di luar negara. Tidak jemu-jemunya kita ingatkan. Namun selalu, urutan prosesnya adalah: ramai-ramai kita rasa terpukul, tersentak, memaki-maki, saling menyalahkan, mengecamlantas diam!"

"Selepas itu kita lupakan" dan "lantas diam", dua gejala yang membawa natijah yang sama. Inilah puncanya kenapa nasib buruh pendatang,, termasuk gejala penderaan pembantu rumah, tidak dapat diatasi, sungguhpun letusan emosi kadangkala mencapai tahap histeria, tetapi tiada tindakan susulan, lantas diam!

Misalnya, menurut Forum Antarabangsa NGO bagi Pembangunan Indonesia (INFID) sebuah badan yang membela pekerja migran Indonesia Memorandum Persefahaman (MoU) yang meterai antara Malaysia dan Indonesia pada awal bulan ini, adalah kerangka untuk menjamin pengambilan pekerja secara teratur dan faedah pekerjaan yang lebih baik bagi pekerja migran Indonesia, tetapi tidak meliputi pembantu rumah yang dianggap pekerja tidak formal bukankah kerajaan kedua-dua negara juga turut mendera pembantu rumah pendatang?

Kenapa tidak meletakkan syarat-syarat yang harus dipatuhi majikan pembantu rumah, umpamanya gaji yang lebih berpatutan, cuti minggu dan cuti am, tiket dan cuti untuk kembali ke kampung halaman dalam jangka masa yang tertentu, dan segala kebajikan am yang lazimnya dinikmati pekerja dalam bidang lain, dan tentu juga boleh masukkan cara-cara untuk mengelakkan pembantu rumah daripada didera majikannya.

Justeru, sungguhpun perbuatan ganas majikan Nirmala patut dikutuk dan diadili. Dan jika sabit kesalahannya, dihukum dengan setimpalnya agar ia menjadi contoh pengajaran kepada majikan pembantu rumah yang lain. Namun isu penderaan pembantu rumah dalam ertikata yang lebih luas, tidak patut diabaikan atau ditutup dengan dakwaan bahawa kes Nirmala hanya satu kes terpencil.

Sungguh mengkagumkan ialah Nirmala yang menjadi mangsa dera sanggup mengatakan dia tidak menaruh dendam terhadap majikannya yang tidak berhati perut itu. Dalam keadaan ini, rasanya tidaklah wajar jika ada mana-mana pihak cuba hendak menafikan hak majikan Nirmala untuk mendapat pengadilan yang adil dan saksama.

Akhirnya, jika media sengaja tidak mengaburkan bahagian mata gambar Yim Peck Ha (majikan Nirmala) untuk memberi "pengajaran"kepadanya, kenapa identiti Nirmala juga tidak dilindungi? Tidakkah gambar-gambar yang terpapar dalam muka depan media itu mungkin membawa kesan negatif kepada mangsa dera pada masa yang akan datang?