Jangan pertandingkan sampai matiiiii
Jangan pertandingkan dua jawatan tertinggi parti buat selama-lamanya. Itulah pesanan atau harapan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad. Alasan beliau, untuk menjaga perpaduan dalam parti.
Beliau berkata: "Sampai matilah" ketika ditanya oleh para wartawan pendapatnya mengenai tempoh berapa lama kedua-dua jawatan itu perlu dibekukan pertandingannya.
Bagaimanapun bekas perdana menteri itu menyokong pemilihan bagi jawatan nombor tiga naib presiden. Tentunya beliau mempunyai alasan kuat untuk berasa bimbang atau "phobia " terhadap pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
Nampaknya, pengalaman menang tipis dalam pertandingan sengit dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada tahun 1987 masih menghantuinya. Dalam pertarungan itu beliau berpasangan dengan Encik Ghafar Baba (ketika itu belum Tun) menang dengan majoriti 41 undi sahaja.
Jangan pertandingkan dua jawatan tertinggi parti buat selama-lamanya. Itulah pesanan atau harapan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad. Alasan beliau, untuk menjaga perpaduan dalam parti.
Beliau berkata: "Sampai matilah" ketika ditanya oleh para wartawan pendapatnya mengenai tempoh berapa lama kedua-dua jawatan itu perlu dibekukan pertandingannya.
Bagaimanapun bekas perdana menteri itu menyokong pemilihan bagi jawatan nombor tiga naib presiden. Tentunya beliau mempunyai alasan kuat untuk berasa bimbang atau "phobia " terhadap pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
Nampaknya, pengalaman menang tipis dalam pertandingan sengit dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada tahun 1987 masih menghantuinya. Dalam pertarungan itu beliau berpasangan dengan Encik Ghafar Baba (ketika itu belum Tun) menang dengan majoriti 41 undi sahaja.
Ia bukan sahaja menjadi pengalaman pahit bagi Dr Mahathir, malah menjadi sejarah hitam bagi Umno dan orang Melayu. Akibat daripada proses pemilihan yang sengit itu, Umno bukan sahaja berpecah dua menjadi team A dan B, tetapi telah diharamkan oleh mahkamah. Kesannya orang Melayu kehilangan Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946.
Umno yang ada pada hari ini adalah Umno baru ciptaan Dr Mahathir. Meminjam kata-kata anak-anak muda sekarang sudah tidak "ori". Umno baru yang ditubuhkan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Team A dan untuk mengenepikan Ku Li bersama kuncu-kuncunya daripada kerajaan.
Bendera putih
Mungkin berdasarkan pengalaman itu Dr Mahathir berasa takut untuk melihat kedua-dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan. Lantas, beliau mencadangkan supaya proses peralihan kuasa tanpa pertandingan digunakan dalam menentukan siapa bakal menduduki kerusi-kerusi tersebut.
Ketidakselesaan Dr Mahathir terhadap amalan demokrasi dalam menentukan pucuk pimpinan Umno itu sebenarnya bukan rahsia lagi. Sejak beliau menerajui Umno baru, belum pernah ada pemilihan untuk kedua-dua jawatan berkenaan. Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi jawatan Timbalan Presisden Umno tanpa bertanding apabila Encik Ghafar Baba angkat bendera putih pada tahun 1993.
Sejak itu seolah-olah menjadi peraturan dalam Umno bahawa jawatan nombor satu dan dua itu tidak boleh dicabar. Malah pada tahun 1996, diusulkan oleh bahagian-bahagian Umno supaya jawatan-jawatan itu jangan dipertandingkan.
Dan syarat pertandingan diperketatkan dengan sistem mata bonus untuk penyandang jawatan. Perlembagaan Umno telah dipinda beberapa kali bagi menjamin kedudukan presiden dan timbalannya, atau dalam kata-kata lain, untuk mengelakkan Dr Mahathir dicabar sekali lagi.
Ketakutan Dr Mahathir terhadap kuasa rakyat atau kuasa ahli-ahli dalam menentukan sendiri saf kepimpinan parti amat ketara apabila berlaku krisis antara beliau dengan Datuk Seri Anwar pada tahun 1998. Beliau memecat Anwar daripada Umno dengan alasan pemimpin muda itu tidak bermoral.
Anwar pula mendakwa beliau difitnah oleh satu konspirasi politik semata-mata kerana adanya ura-ura beliau mahu mencabar Dr Mahathir bagi merebut jawatan presiden parti. Sekali lagi pergeseran antara dua pemimpin Umno membawa kepada sejarah hitam bagi orang Melayu.
Senario semasa
Sejarah tahun 1987 berulang, orang Melayu berpecah dua, cuma kali ini tidak ada parti yang diharamkan, sebalik sebuah parti baru ditubuhkan. Parti Keadilan Nasional ditubuhkan untuk berjuang membebaskan Datuk Seri Anwar daripada penjara!
Kesan perpecahan ini amat besar, Umno menjadi reput dan hampir tewas dalam pilihanraya 1999. Ini amat memalukan Dr Mahathir. Oleh itu tidak hairanlah mengapa beliau menjadi begitu serik dengan pertandingan dalam pemilihan agung Umno.
Berdasarkan pengalaman-pengalaman pahit Dr Mahathir itu, adakah ahli-ahli Umno akan bersetuju dengan saranan beliau supaya kedua-dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan? Kalau melihat pada senario semasa, sudah pasti kedua-dua jawatan itu tidak akan dicabar pada pemilihan agung Umno tidak lama lagi.
Bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Najib Tun Razak, 99.9 peratus pasti akan diberi mandat untuk menjadi presiden dan timbalan presiden. Ketika ini sebahagian besar pemimpin dan ahli-ahli Umno berkongsi pendapat dengan Dr Mahathir.
Persoalannya bagaimana pada masa depan? Adakah amalan demokrasi itu mahu terus disekat. Kalau begitu keputusannya, ada baiknya ahli-ahli Umno meminda sahaja perlembagaan parti bagi menegaskan kedua-dua jawatan tertinggi tidak boleh dipertandingkan "sampai mati."
Dengan cara itu, tidak akan timbul lagi ura-ura atau usul untuk mencadangkan si polan dan si polan untuk bertanding jawatan-jawatan tersebut. Orang yang menduduki jawatan-jawatan itu juga akan berasa sangat selesa dan selamat
Orang kuat
Dan jika kedua-dua jawatan itu tidak boleh dipertandingkan, bagaimanapun dengan proses pemilihan timbalan presiden parti jika berlaku kekosongan jawatan itu nanti.Adakah presiden akan diberi kuasa mutlak untuk memilih timbalannnya sebagaimana dalam pemilihan timbalan perdana menteri oleh perdana menteri sekarang?
Atau naib-presiden yang mendapat undi terbanyak dipilih secara automatik sebagai timbalan presiden? Kalau presiden diberi kuasa mutlak untuk memilih timbalannya, tindakan itu belum tentu akan mengurangkan "politiking" dalam parti. Malah mungkin ia menyebabkan semakin kuatnya berlaku lobi melobi atau bodek membodek di peringkat naib-presiden.
Manusia mempunyai kecenderungan untuk bekerja dengan orang yang disenanginya. Oleh itu, yang akan terpilih tentunya regu atau orang kuat kepada presiden atau timbalan presiden itu kerana kuasa untuk memilih terletak di tangannya.
Kita bimbang budaya lobi melobi atau membodek-bodek itu akhirnya akan melahirkan barisan naib-presiden "yesman" kerana masing-masing mahu menjaga hati "bos". Masing-masing mengharap untuk diangkat menjadi orang nombor dua dalam parti apabila tiba masanya.
Tidak dinafikan cadangan Dr Mahathir itu ada logik dan kebaikannnya. Ia akan menyelamatkan parti daripada mengalami pergolakan besar. Namun pada masa yang sama ia menafikan hak ahli untuk memilih siapa pemimpin pilihan mereka.
Cukup matang
Ia akan menyekat kesuburan demokrasi dalam Umno dan paling dibimbangi ia akan mengurangkan keberkesanan dan kewibawaan pucuk pimpinan kerana presiden akan berkuasa mutlak dalam menentukan siapa pemimpin pelapisnya.
Ahli-ahli Umno perlu terus diberi hak dalam menentukan siapa pemimpin mereka walaupun pada apa peringkat sekalipun. Jawatan presiden dan timbalan presiden tidak wajar tidak dpertandingkan "sampai mati"
Serahkan kepada budi bicara ahli-ahli Umno untuk menentukan sendiri sama ada jawatan-jawatan tertinggi itu perlu dipertandingkan atau tidak, sebagaimana sekarang. Ahli-ahli Umno sudah cukup matang dan tahu menilai bila pertandingan perlu diadakan atau tidak.
Jangan jadikan pengalaman buruk Dr Mahathir itu sebagai kayu pengukur kematangan berpolitik orang Umno. Ahli Umno, jangan biarkan kewibawaan dan kebijaksanaan anda diperlekehkan oleh ketakutan seorang bekas pemimpin anda!
Pada waktu-waktu tertentu, cadangan Dr Mahathir itu boleh diterima tetapi ia bukanlah untuk dijadikan satu undang-undang atau peruntukan dalam perlembagaaan Umno. Demokrasi dalam Umno dan hak ahli mesti dikekalkan sampai bila-bila. Jawatan tertinggi parti bukan monopoli atau hak seseorang sampai matiiiiiiiiiiiiii.

