Hasan Ali juga mahu Guan Eng minta maaf
Presiden JATI Datuk Hasan Ali menyokong gesaan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa supaya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menolak hudud.
Bekas exco kerajaan Selangor itu berkata gesaan itu penting bagi mendapatkan pendirian rasmi daripada Guan Eng bagi mewakili parti DAP dalam isu berkenaan.
Katanya, pendirian itu penting memandangkan pemimpin kanan DAP seperti pengerusi parti itu, Karpal Singh juga menolak hudud.
"(Nasharuddin) juga hendak mengaitkan Lim Guan Eng yang ada kedudukan, pandangan, pendapat, bangkangan, bantahan tentang hudud yang sama dengan Karpal Singh dan sebagainya...," katanya.
Tambahnya, Karpal selaku pengerusi DAP tidak membuat kenyataan peribadi tetapi mewakili keseluruhan parti itu.
"Bagi saya dan Ustaz Nasha, keseluruhan pemimpin besar DAP menolak hudud. Bukan lagi satu, dua individu, tetapi setiausaha agung itu mewakili keseluruhan parti, menolak hudud," kata Hasan dalam satu sidang media hari ini.
Kenyataannya itu timbul susulan kenyataan Lim semalam yang berkata Nasharuddin bersikap seperti
ejen
Umno apabila mengambil pendirian yang berubah-ubah dalam isu pelaksanaan hukum hudud.
Sedangkan, Nasha tidak ada masalah dengan pendirian DAP tentang hudud sewaktu beliau memegang timbalan presiden PAS, kata Lim.
Lim juga mencabar Nasharuddin agar mendapatkan penjelasan dari Umno berhubung pendirian mereka tentang pelaksanaan hukum hudud.
Terdahulu, Nasharuddin dalam sidang medianya Lim memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa DAP menolak hudud.
MP Bachok itu menimbulkan gesaan tersebut berdasarkan satu laporan Utusan Malaysia semalam yang memetik kenyataan Lim bahawa hudud bukan sebahagian daripada dasar bersama Pakatan Rakyat.

