Semasa saya tinggal di kota London pada tahun-tahun 80-an dan 90-an dahulu, ada satu bentuk seni yang paling saya minati - Stand Up Comic/Lawak Berdiri. Bentuk seni ini bukanlah satu yang baru. Kalau di England, bentuk seni ini adalah lanjutan dari tradisi Court Jester/Pelawak Istana.

Tradisi yang sama juga ada di dalam struktur masyarakat feudal Arab. Abu Nawas, namanya sering di surahkan sebagai Pelawak Istana untuk Khalifah Harun-Aminurashid, walaupun pada hakikatnya, Abu Nawas ialah seorang penyair dan ahli falsafah yang terulung di zaman pemerintahan Khalifah Abbasid.

Budaya tradisional Melayu juga telah memiliki watak lawak - Wak Dogol dalam Wayang Kulit dan Tukang Karut dalam Dikir Barat. Watak-watak ini akan menceriakan suasana panggung dengan dialog-dialog lawak mereka. Mereka ini sebenarnya adalah Court Jester/Pelawak Istana.

Lawak dan ketawa diperlukan dalam hidup. Dalam budaya apa pun kita akan bertemu dengan watak-watak Wak Dogol dalam pelbagai bentuk. Hanya, hari ini di Malaysia genre Lawak Berdiri ini telah 'dirampas' oleh Wak Dogol yang baru. Peranan Wak Dogol dan Tukang Karut yang sedang muncul di dalam 'pentas teater' kita hari ini telah diambil oleh 'orang politik'.

Minggu lepas, saya telah dijemput untuk memberi ceramah di satu daerah pedalaman di Negeri Sembilan. Sebagai 'orang nogori' saya tidak pernah menolak jemputan dari kampung manapun di Negeri Sembilan. Ini bukan kerana saya memiliki semangat kenegerian yang tebal - tidak. Cuma saya ingin merapatkan diri dengan budaya yang telah bagitu lama saya tinggalkan. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bersunat.

Saya telah tiga kali sampai ke kawasan Felda ini. Jadi ketibaan saya minggu lepas bukanlah sesuatu yang baru. Pada tahun 1999 dahulu, saya telah datang ke sana bersama kumpulan anak-anak muda dari Kuala Lumpur. Kami cuba membawa bentuk budaya politik baru - melalui sajak, nyanyian dan teater. Ini percubaaan kami untuk memeriah dan merayakan suasana pilihanraya.

Minggu lepas apabila saya sampai ke sana sekali lagi , saya agak terperanjat. Ambience pilihanraya belum sampai tetapi gempaq politik telah dirasakan di kawasan pedalaman ini. Bayangkan berpuluh-puluh batu kami berkereta merentasi hutan-hutan kosong, tiba-tiba sampai ke sebuah kawasan perumahan yang terpencil. Saya merasakan sampai ke wadi yang subur setelah merentas ketandusan padang pasir Sahara.

Ceramah di Felda

Ceramah telah bermula ketika saya sampai. Tapi penduduk masih berduyun-duyun memasuki kawasan medan ceramah. Kawasan ini tidak luas tetapi telah diisi dengan begitu padat sekali. Saya perhatikan penduduk/peneroka yang datang mendengar ceramah kali ini lebih daripada tahun 1999 dahulu. Mungkin lima ke enam kali ganda. Untuk saya. ini petanda yang sihat.

Saya anggap ceramah di Felda ini juga telah naik tarafnya. Ini kerana hadirnya belasan gerai dan warong-warong perniagaan yang berselirat di sekeliling medan ceramah. Walaupun ini bukan ceramah kelas A di Taman Melewar, tetapi dari pemerhatian saya, telah ada perubahan besar di kawasan pendalaman ini.

Yang berucap pada malam itu bukan kecik anak dan calang-calang orangnya - mereka terdiri darpadai gerakan pemuda Barisan Alternatif. Hebat. Hebat. Hampir kesemuanya memiliki pangkat/kedudukan di dalam parti. Saya hanya sebagai selingan, seorang NGI dari gerakan Reformasi.

Entah di mana silapnya suasana ceramah pada malam itu. Saya rasakan ianya telah begitu merosot sekali. Apakah kerana pilihanraya belum sampai atau kerana terlalu ramai peneroka yang datang mendengar sehinggakan para penceramah hilang tujuan asal bila melihat lautan manusia.

Saya tidak dapat memahami hingga ke hari ini bagaimana payudara Mariah Carey yang diceramahkan sebesar peha dan punting susunya sebesar ibu jari kaki dapat membantu kesedaran politik para peneroka Felda. Atau bagaimana anak-anak gadis kita banyak yang kehilangan kedaraan mereka kerana dipapah oleh 'orang asing' .

Apa kena mengena payudara Mariah Carey dengan tuntutan peneroka Felda untuk mendapat geran tanah mereka. Atau jika peneroka Felda mengetahui rupa bentuk punggung Mariah Carey, apakah fakta ini akan dapat membebaskan mereka dari hutang piutang yang terus menghantui kehidupan harian mereka.

Bila saya mendengar ini, saya teringat kembali bagaimana saya ditanya oleh mata-mata ISA tentang berapa ramai gadis Eropah yang telah saya tiduri. Apakah kaitan keselamatan negara dengan jumlah gadis Eropah yang telah saya tiduri. Inilah pertanyaan-pertanyaan Wak Dogol yang terus menghantyui saya pada malam itu.

Ruang demokrasi

Untuk saya berpidato/berceramah di khalayak ramai, ini bukan sesuatu yang baru. Genre berpidato ini telah lama saya tinggalkan. Saya tinggalkan secara rasmi pada malam 8 haribulan Disember 1974 , malam di mana kampus Universiti Malaya telah di kepong polis dan tentera. Saya meninggalkan genre ini sebagai satu pilihan.

Tetapi apabila pada tahun 1998, saya dihadapkan untuk membuat pilihan di antara yang salah menerima kembali genre ini. Fikrah/keilmuan/pengalaman saya tidak membenarkan diri saya untuk tidak menyatakan dan mengeluarkan pendapat. Saya melihat diri saya akan gagal/kaput sebagai seorang manusia/insan jika saya tidak berani berkata benar.

Tetapi genre pidato/ceramah di zaman kemahasiswaaan saya agak berbeza dari apa yang saya alamai kebelakangan ini. Keterbukaan ruang demokrasi ketika itu menjadikan kampus satu ruang yang subur di mana fikiran/pandangan/pendapat dapat diaju/didebat/diuji. Ruang demokrasi ketika itu membenarkan idea-idea didebatkan secara lebih tuntas walaupun tidak seilmiah kajian yang akan mendapat hadiah Nobel.

Saya memikirkan kemunculan watak-watak Wak Dogol ini bukan hanya di kalangan parti pembangkang. Malah di parti kerajaan juga terdapat ramai Wak Dogol yang datang berteduh dan berpayong. Saya merasa rimas apakah Wak Dogol ini sedang berada di sekeliling kita. Siah paleh dijauhkan oleh malaikat empat puluh empat ( ini sumpah orang Negeri Sembilan ).

Di zaman kemahasiswaan saya, tidak mungkin puting susu Mariah Carey ditimbul atau diwacanakan sebagai agenda politik. Jika ada sesiapa yang cuba/ingin memdebatkan agenda serendah ini, pasti si polan akan diketawakan. Struktur ruang demokrasi ketika itu tidak akan menyediakan ruang untuk Wak Dogol ini berijazah untuk menjadi tukang karut yang diraikan.

Ini tidak bermakna ketika itu tidak ada Wak Dogol - watak ini sentiasa wujud. Sama seperti virus selsema ayam, ianya akan bongkar/merebak apabila suasana/iklim menjadi sesuai. Hari ini negara kita telah/sedang menyediakan suasana dan iklim yang paling sesuai untuk melahirkan banyak lagi Wak Dogol.

Kampus yang seharusnya menjadi ruang percubaan untuk mengeluar/mendidik pemidato/penceramah yang berilmu, telah menjadi Sahara. Wadi dan lubuk demokrasi semakin sempit. Pandangan karut marut - toyol ditangkap dalam botol atau gadis sunti melahirkan anak ular - telah menjadi genre seni yang paling diminati.

Wak Dogol

Iklim anti-demokrasi ini dibantu pula oleh media arus perdana, terutama media Melayu. Media Melayu arus perdana dari semua bentuk secara sedar atau di bawah sedar sedang menjana dan memangkin kelahiran Wak Dogol dan Tukang Karut. Pen'Dogolan' idea di ruang media Melayu ini adalah satu cara untuk tidak membenarkan manusia Melayu bebas berfikir. Sebenarnya Wak Dogol dan Media Melayu ini tinggal berjiran, kalaupun tidak sebilik.

Bila saya menerima jemputan untuk ke Felda itu, niat saya ialah untuk memberi penerangan tentang hak-hak asasi dan kebebasan rakyat untuk berkumpul. Akidah saya dari awal lagi akan menolak apa saja undang-undang dan hukum hakam yang cuba menghad/melupuskan hak rakyat untuk bersuara dan berkumpul.

Saya menerangkan kepada Mak Cik dan Pak Cik Felda bahawa saya tidak pecaya ada perhimpunan yang halal and ada perhimpuan yang haram. Berhimpun tidak perlu bersunat atau bersembelih atau membaca bismillah terlebih dahulu. Berhimpun adalah hak asasi - sama seperti hak kita untuk menyedut oksigen.

Saya ingin memperkasa kesedaran rakyat. Rakyat yang telah diperkasa kesedaraan tidak mungkin memiliki jiwa hamba. Rakyat yang sedar tentang hak-hak mereka adalah insan-insan yang bebas merdeka. Justeru, saya tidak perlu mempropagandakan siapa atau parti apa yang wajib dipilih oleh si peneroka. Saya ingin memberikan kesedaran tentang kekuataan dan keupayaan mereka sebagai rakyat. Saya ingin memberikan kembali harga/hormat diri untuk membuat pilihan dan perubahan.

Malam itu saya merasa kecewa bukan kerana saya berharap wacana yang didebatkan itu menjadi satu wacana ilmiah. Tidak. Sebenarnya saya bukan kecewa. Lebih tepat lagi saya merasa gerun dan takut. Saya takut tentang arah dan arus mana yang sedang menjana warga negara kita ini.

Dalam kegerunan ini saya juga merasa sedih kerana tahap perbincangan politik di negara kita telah begitu merosot sekali. Kita tidak berlaku adil kepada si peneroka yang sedang menghadapi permasaalan ekonomi apabila kita tanyakan kepada mereka kenapa kita membenarkan anak-anak gadis Melayu dipapah oleh 'bangsa asing'. Persoalan-persoalan ini merungsingkan saya kerana saya gagal melihat bagaimana isi ceramah ini dapat memperkasa permikiran rakyat.

Jika ini akan terus dilakukan oleh penceramah dari Barisan Alternatif maka taraf mereka tidak banyak berbeza dengan ceramah/program Bicara Siswa di RTM. Atau program-program tertutup BTN yang membawa anak-anak muda di hujung-hujung minggu untuk mendengar Wak Dogol dan tukang karut dari pihak kerajaan. Proses men'Dogol'kan pemikiran rakyat ini sedang berjalan dengan rancak di arena kerajaan dan pembangkang.

Peralihan ceramah politik dari memberi kesedaran kepada penglibur lara ini mungkin berlanjutan. Selagi ruang demokrasi tidak terbuka, selagi itulah akan muncul Wak-Wak Dogol baru. Ketika ini masih lagi berada di lorong yang gelap dan tidak memiliki guris api. Fikrah saya juga terbantut untuk memahami arah/garis bangsa saya sendiri.

Saya hanya memiliki satu cadangan. Saya mencadangkan agar Akademi Seni Kebangsaan (ASK) mewajibkan semua pelajar mereka mengikuti/mengkaji semua ceramah politik di musim pilihanraya ini. Perhatikan bentuk-bentuk Wak-Wak Dogol yang akan naik ke pentas. Kaji dan selidik cara/teknik/lakonan/dialog mereka. Dan kemudian tanyakan diri sendiri apakah sanggup kita menerima Wak Dogol ini memimpin teater kita.

Saya, seperti biasa, akan terus berminat kepada genre Lawak Berdiri, Tukang Karut dalam Boria dan segala macam komik jenaka. Saya memang suka ketawa. Saya juga suka mentertawakan diri saya sendiri. Sementara kita menunggu kajian dari ASK, sementara menanti Pelawak Istana yang baru, mari kita bersama-sama menjadi Tok Selampit dan ketawa terbahak-bahak. Ini kerana ketawa masih belum dikenakan cukai pendapatan dan masih belum dianggap salah di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri.