"Perhimpunan ini adalah perhimpunan aman! Perhimpunan ini adalah perhimpunan aman!" Itulah yang diulangi berpuluh-puluh kali oleh pihak penganjur melalui alat pembesar suara pada pagi 28 Februari 2004 di Ibu Perjabat Polis Bukit Aman yang dihadiri oleh lebih kurang 60 orang.

Saya yang turut hadir, merasa jemu (tetapi terbukti perlu) dengan pengulangan suatu hakikat yang tidak perlu dipertikaikan, kerana tujuan perhimpunan tersebut hanyalah untuk menyampaikan kepada Ketua Polis Negara, satu memorandum bersama mengenai salahguna kuasa oleh polis, yang disokong oleh 46 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Yang hadir kebanyakannya wakil NGO dan parti politik, serta ahli keluarga mangsa keganasan polis yang terbabit, manakala sejumlah kecil peserta perhimpunan tersebut, dikawal pula oleh pegawai polis dan anggota pasukan pencegah rusuhan yang bersenjata lengkap.

Justeru, mereka yang berakal, rasional dan bersikap objektif, tentu akan bersetuju bahawa perhimpunan tersebut diadakan secara aman dan tidak mungkin mengancam 'keamanan orang ramai' atau 'keselamatan negara' yang selalu dijadikan alasan oleh pihak polis untuk mengambil tindakan menyuraikan mana-mana perhimpunan dengan cara kekerasan.

Perjalanan perhimpunan tersebut juga membuktikan pihak penganjur memang tiada 'agenda tersembunyi' melainkan untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap keganasan polis yang telah berlaku selama ini, melalui poster dan ucapan wakil-wakil pihak penganjur.

Segala-galanya adalah aman dan terkawal. Namun, sehingga pengucap ketiga pengerusi penaja Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim) merangkap penasihat perundangan 'Police Watch and Human Rights Committee' P Uthayakumar memberi ucapan, sepasukan pegawai polis menujui ke arah untuk menghentikan ucapannya secara paksaan tanpa sebarang tolak ansur.

Tindakan polis ini menimbulkan kemarahan peserta perhimpunan. Maka terdengarlah pekikan bantahan serta berlaku tolak-menolak dan pergelutan tatkala pegawai polis bertindak untuk menghentikan ucapan Uthayakumar.

Kecoh

Suasana menjadi tegang apabila polis menuduh seorang daripada peserta tersebut memiliki sebilah pisau (padahal pisau pemotong kertas) dan mahu menahannya. Polis cuba mengambil cermin mata dan barang-barang miliknya secara paksa. Tindakan polis ini ditentang oleh peserta berkenaan, lalu menjadikan keadaan bertambah kecoh.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin pihak penganjur telah berjaya menenangkan keadaan dan para peserta perhimpunan itu diminta berkumpul semula dan menjarakkan diri dari pihak polis dan pasukan pencegah rusuhan untuk meredakan ketegangan. Malah, peserta diminta duduk sementara menunggu wakil mereka menyampaikan memorandum tersebut kepada Ketua Polis Negara.

Dalam keadaan yang terkawal seperti itu, pihak polis sekali lagi berkeras supaya mereka bersurai. Ini disusuli dengan tembakan meriam air untuk menyuraikan mereka yang duduk bagi mempertahankan hak perlembagaan mereka untuk berhimpun secara aman.

Di bawah bedilan air berubat kimia dan hambatan pegawai-pegawai polis, perhimpunan aman itupun disuraikan secara kekerasan. Mereka yang basah kuyup belum sempat lagi mengambil kereta masing-masing dan meninggalkan Bukit Aman yang tidak aman lagi, kerana terus diburu pula oleh pegawai-pegawai polis yang sudah naik angin nampaknya.

Dengan sikap angkuh dan 'pilih bulu', mereka terus mencari 'buruan'mereka walaupun tujuan mereka untuk menyuraikan perhimpunan tersebut telahpun tercapai.

Akibatnya, 15 peserta perhimpunan, antaranya pemimpin parti Keadilan - Tian Chua, R Sivarasa, Dr Xavier Jayakumar dan Latheefa Koya, serta aktivitis hak asasi manusia, Elizabeth Wong dan Eric Paulsen ditahan.

Apabila ditanya wartawan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mustafa Abdullah mempertahankan penggunaan meriam air, dengan berkata, ianya adalah cara yang paling berkesan untuk menyuraikan perhimpunan.

Mesra rakyat

Tambahnya: "Keadaan tidak terkawal bila kumpulan terbabit duduk untuk membantah dan enggan bergerak walaupun kami telah memberi tahu mereka supaya bersurai."

Masakan 'duduk untuk membantah' boleh digambarkan sebagai 'keadaan tidak terkawal'. Padahal 'keadaan tidak terkawal' itu hanya berlaku selepas meriam air digunakan untuk menembak mereka yang sedang duduk secara aman.

Menggunakan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan yang aman, menangkap mereka yang sudah disuraikan secara 'pilih bulu'dan berwenang-wenangan dan menggunakan kekerasaan dalam proses penangkapan kesemuanya adalah keganasan polis yang memang boleh dielakkan jika hak perlembagaan rakyat untuk berhimpun secara aman dihormati dan prasangka serta permusuhan pihak polis, dapat digantikan dengan semangat profesional dan mesra rakyat.

Mengikut laporan, tiga anggota Suhakam juga turut hadir untuk menyaksikan perjalanan perhimpunan aman itu. Sudah barang tentu mereka dapat melihat dengan mata sendiri, bagaimana perhimpunan aman tersebut menjadi tidak terkawal setelah diprovokasi, disurai dengan menggunakan meriam air, dan disusuli dengan penangkapan secara kasar dan 'pilih bulu'.

Keganasan polis kali ini adalah tipikal sekali. Entah berpuluh, malah beratus perhimpunan aman seumpama itu sebelum ini, telah disuraikan dan pesertanya ditahan dan dibelasah. Dan entah berapa banyak lagi perhimpunan aman seumpama itu akan terus disuraikan dan pesertanya terus ditahan dan dibelasah jika keganasan polis tidak dihentikan.

Kini satu Suruhanjaya Khas Untuk Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia telah ditubuhkan oleh kerajaan. Rasanya, masa sudah tiba untuk suruhanjaya khas ini dan Suhakam, mengambil pendirian tegas mendesak segera kerajaan supaya menghentikan keganasan polis terhadap perhimpunan aman, yang merupakan hak perlembagaan dan hak asasi rakyat kita.