Demam pilihanraya semakin panas. Suhunya sudah sampai ke peringkat mendidih. Bila-bila masa sahaja Parlimen akan dibubarkan mungkin esok, lusa, tulat, minggu depan atau akhir bulan ini. Tarikh pilihnaraya umum ke-11 kini menjadi tekaan semua orang. (Parlimen akan dibubarkan pada 4 March - Pengarang)

Dalam pada itu, yang paling resah gelisah, bagaikan cacing kepanasan ialah para Yang Berhormt (YB) yang sedang berkhidmat, terutama yang masih bernafsu untuk terus "berkhidmat untuk rakyat". Saban hari mereka tertanya-tanya bagaimana nasib badan kali ini masih terpilih atau digugurkan.

Bagi YB-YB seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Sulaiman Daud yang sudah mengisytiharkan untuk pencen, tarikh pembubaran parlimen sudah tidak membawa erti apa-apa kepada mereka.

Namun bagi mereka yang berangan-angan untuk menjadi YB atau mahu mengekalkan kerusi, pengumuman pembubaran Parlimen oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) amat mendebarkan dan dinanti-nantikan. Masing-masing berharap dan berdoa semoga terpilih atau terpilih semula.

Khabarnya, sejak dua tiga bulan lalu, operasi lobi melobi sudah giat dijalankan. Ahli-ahli politik yang bercita-cita tinggi ini terutama dari kalangan Umno berkejaran ke sana ke mari mengekori para Menteri Besar (MB) dan Pak Lah.

Ke mana MB pergi, muka mereka akan terselit. Apabila Pak Lah turun padang, mereka yang paling ke depan, berdiri di sebelah atau di belakang ketua bahagian atau MB menonjolkan diri dengan harapan nama akan disenaraipendek sebagai calon wakil rakyat.

Angan-angan

Malah, kebelakangan ini kononnya ada yang pergi jumpa bomoh, minta jampi serapah, hendak mandi bunga dan telah menempah " bush jacket ", kononnya nama mereka sudah disenaraipendekkan dan telah dihantar ke Putrajaya. Maka makin kuatlah mereka memasang angan-angan Mat Jenin.

Mengapalah agaknya mereka berebut-rebut sangat untuk menjadi YB? Bukankah ia hanya satu tugas khidmat sosial. Wakil rakyat tidak ubah sebagi "kuli masyarakat", tempat orang ramai mengadu perihal jalan berlubang, bangunan retak atau tempat mendapatkan sokongan untuk meminta tanah lot atau biasiswa.

Itulah "perincian tugas" wakil rakyat yang kita fahami selama ini. Ia menjadi tempat mengadu rakyat setempat mengenai segala masalah mereka. Secara kasar itulah tugasnya wakil rakyat ala Lee Lam Thye pada era 1980 an dulu. Tetapi kini stail wakil rakyat ala Lee Lam Thye sudah menjadi sejarah. Tugas khidmat masayarakt kini diambil alih oleh Michael Chong di Biro Pengaduan Awam MCA.

Bagi sebahagian besar wakil rakyat sekarang, tugas khidmat masyarakat sudah jatuh nombor dua. Khidmat untuk diri sendiri dan para kroni menduduki nombor wahid. Ramai yang berebut-rebut hingga sanggup bermusuhan, semata-mata mahu menjadi YB kerana jawatan itu sekarang dianggap sebagai sebuah " lombong emas".

Apabila terpilih sahaja sebagai calon YB, serta-merta terbayang laluan untuk mengumpul kekayaan. Apabila menang sahaja dalam pilihanraya, dirasakan diri semakin hampir dengan konsesi balak, konsesi pasir, peruntukan saham bumiputera dan kontrak-kontrak lumayan.

Ada yang serta merta lupa diri, lupa tanggungjawab pada parti dan para pengundi. Kalaupun masih ingat pada janji-janji manis dan ikrar, semuanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Agenda peribadi lebih besar daripada tanggungjawab sosial.

Pencen

Lebih-lebih lagi apabila sudah bergelar jutawan segera, tersandar di dalam kereta mewah bermata belalang dan diulit bini nombor dua atau nombor tiga yang genit serta sudah bergelar "Datuk". Begitulah gelagat sebahagian besar para YB kita.

Namun patutkah mereka dipersalahkan? Ada di antara mereka berhujah, apa salahnya mengkayakan diri sendiri dan kroni kerana tempoh lima tahun itulah masanya untuk mengumpul balik segala modal yang telah dilaburkan semasa melobi dan berkempen dulu.

Menurut mereka, bermain politik dan berkempen juga ibarat berniaga, mesti ada kiraan untung rugi. Oleh itu, tempoh lima tahun yang singkat itu mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengumpul pulangan dan habuan yang akan dijadikan bekal selepas "pencen" nanti. Siapa mahu menjadi bekas wakil rakyat yang miskin?

Itulah bezanya kerjaya politik di Malaysia dengan di Barat. Di Amerika, umpamanya, menjadi senator atau gabenor yang dipilih oleh rakyat adalah satu tanggungjawab besar. Jawatan itu mendedahkan mereka kepada tekanan dan kritikan terbuka rakyat. Tanggungjawab sosial yang amat besar menunggu mereka.

Sebahagian besar wakil rakyat di Barat ini tidak menganggap jawatan mereka sebagai "lombong emas", sebaliknya sebagai satu tugas dan amanah yang berat. Arnold Scahwarzaneger yang menceburi politik setelah kaya raya di Holywood, menjadi jawatan gabenor yang disandangnya tidak dilihat sebagai titian untuk mengkayakan diri sendiri.

Diharapkan bakal-bakal YB kita yang akan terpilih dalam pilihanraya ke-11 nanti dapat mengimbangi antara kepentingan rakyat dengan kepentingan peribadi. Harapan rakyat, para penyokong dan parti pada anda terlalu besar. Ingatlah kuasa sebenarnya di tangan rakyat, jika anda lupa diri dan mengabaikan tanggungjawab, para pengundi boleh menghukum anda pada pilihanraya ke-12 kelak.

Ingat jugalah, jawatan YB boleh membawa tuan-tuan dan puan-puan ke dua tempat syurga atau neraka. Pilihlah sendiri..!