Saya tidak berapa suka untuk meninggalkan daerah keselesaan saya - Bangsar Utama. Saya anggap daerah di luar Bangsar Utama adalah daerah yang diduduki oleh 'orang lain'. Bagi saya, pusat kota Kuala Lumpur bermula dari KL Sentral ke Jalan Chow Kit ke Bukit Bintang ke Pasar Seni dan berakhir di Talawi. Ini sajalah yang terpahat dalam ingatan saya.

Kerana ini, Pandan Jaya, Selayang, Gombak, Jinjang, Kepong, Puchung, Kelana Jaya, malah Seri Kembangan adalah wilayah pedalaman. Untuk memasuki wilayah-wilayah ini, saya akan mewajibkan diri untuk membuat beberapa persediaan, seperti passport, visa dan mungkin memerlukan suntikan anti-malaria.

Sesekali apabila saya dibawa oleh kawan-kawan melintasi daerah ini, saya sering berfikir dan bertanya pada diri sendiri - siapakah yang tinggal disini? Apa yang mereka lakukan apabila malam tiba? Apakah yang mereka lakukan untuk mengisi waktu? Apakah mereka boleh berpacal dan bercinta ? Apakah pesta dan hiburan mereka?

Anggapan saya ini sebenarnya terlalu berpusat kepada keselesaan diri saya. Tetapi saya rasa perasaan dan anggapan sedemikian ada juga pada orang lain, selain daripada saya. Bayangkan jika kita berkereta ke Utara mengikut jalan lama atau menaiki keretapi ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur, kita akan melintasi pekan-pekan kecil dan berpuluh-puluh kampung.

Siapa yang tinggal di daerah ini? Apa yang mereka bualkan di warong-warong ? Apakah mereka ini 'connected' dengan dunia siber ? Filem apa yang mereka lihat dan majalah apa yang mereka baca? Soalan-soalan ini sering menghantui hati kecil saya.

Kerana semua ini, saya merasa resah apabila saya di ajak ke Utara minggu lalu, Resah untuk meninggalkan keselesaan dan rutin harian saya. Keresahan ini bertambah kerana tempat yang ingin dituju dipanggil Ceruk Tok Kun. Panggilan Ceruk ini akan menggerunkan orang yang mendengarnya.

Kalau Gombak pun saya anggap sebagai daerah pedalaman, maka Ceruk Tok Kun ini pasti saya anggap sama seperti daerah Wanga Wanga di Buganda Afrika. Mungkin saya memerlukan lebih daripada satu suntikan anti-malaria.

Fiesta Reformasi

Saya tidak pernah sampai ke daerah ini. Nama Ceruk Tok Kun ini juga terlalu amat asing bagi saya. Nama ini mula saya dengari semenjak Anwar Ibrahim ditahan. Saya sebenarnya agak 'provincial' dalam melihat dan memahami daerah-daerah di Semenanjung, selain daripada Bangsar Utama dan Jelebu

Akhirnya saya bersetuju dan menguatkan iman untuk pergi meneroka ke Ceruk ini. Apa yang saya difahamkan satu 'Fiesta Reformasi ' akan diadakan dari petang hingga ke sebelah malam. Perkataan fiesta ini berasal dari perkataan Latin. Di Eropah 'fiesta' diasosiasikan dengan budaya Sepanyol - fiesta berlaga lembu, fiesta musim menuai gandum, fiesta memungut tomato - malah apa saja akan di'fiesta'kan oleh rakyat Sepanyol.

Apabila disunatkan dan dimasukkan menjadi Melayu, maka perkataan 'fiesta' menjadi pesta. Apabila saya ke Ceruk Tok Kun pada 14 Februari lalu, apa yang ingin saya sertai ialah Pesta Reformasi.

Saya sebenarnya kurang yakin akan keupayaan daerah Ceruk ini untuk mengadakan satu pesta. Pesta memerlukan 'ambience' - suasana. Ini bukan satu yang senang untuk dimunculkan. Ini pula terbukti hasil daripada pengalaman yang baru sahaja saya rasai melalui Urbanscapes 2004.

Sehari sebelum Hari Raya Haji yang lalu - Urbanscapes 2004 - pesta yang ingin merayakan budaya kehidupan Kotaraya Kuala Lumpur telah diadakan. Pesta di sekitar KL Sentral ini saya anggap gagal. Angka pengunjung ke pesta ini agak meleset. 'Ambience' kepestaannya gagal muncul. Kerana ini saya amat berwaspada, kalau KL Sentral boleh gagal, pasti Ceruk Tok Kun akan lebih meleset.

Apabila saya menyimpang masuk ke pekan Bukit Mertajam, saya melintasi Rumah Pasong yang betul-betul terletak di pusat pekan. Saya terperanjat kerana lima buah trak FRU telah sedia menunggu. Juga tersadai sebuah Kereta meriam air yang telah menjadi simbol antoganis gerakan Reformasi. Untuk saya inilah pertanda utama bahawa Pesta Reformasi ini akan berlangsung.

Jalan sesak

Kewujudan FRU dan segala kelengkapan ganas sebenarnya bukanlah sesuatu yang tidak baik. Mengikut Pengerusi Mao, yang kitabnya saya baca secara 'sulit' semasa di Universiti Malaya dulu: "...jika musuh menyerang kita ini adalah tanda yang baik. Ini bermakna kita telah melakukan sesuatu yang betul. Jika musuh tidak menyerang kita, maka ini satu pertanda yang kurang sihat. Sama ada kita tidak melakukan sesuatu atau kita telah sama setaraf dengan musuh". Ini ajaran Mao yang saya anggap masih tepat garis politiknya.

Jadi, apabila saya terlihat topi-topi merah ini, saya menjadi agak gembira sedikit kerana riak-riak dan buih-buih telah muncul yang memberi tanda kemungkinan Pesta Reformasi sedang melakukan sesuatu yang betul. Tetapi saya masih meragukan apakah ini hanya satu gempakan saja. Ini kerana nama Ceruk Tok Kun ini masih lagi beligar-ligar dalam kepala saya.

Dari pekan ini, saya mengikuti jalan lurus untuk ke Ceruk Tok Kun. Jam telah melintasi 8 malam. Kesesakan lalulintas melebihi kesesakan Jalan Klang Lama yang sedang diperbaiki sekarang. Saya tidak merasa resah atau gelisah dengan kesesakan ini. Ini mungkin satu lagi petanda bahawa kami telah hampir dengan kawasan pesta.

Hampir 30 minit kami tersangkut dalam 'jam' ini. Akhirnya barulah saya tahu bahawa di hadapan kami ada mata-mata yang sedang mengadakan pemeriksaan. Ini satu lagi tanda Pesta Reformasi ini bukan pesta yang calang-calang kerana mata-mata wajib mengawal siapa yang boleh datang berpesta dan siapa yang tidak dibenarkan datang berpesta.

Simpang ke Ceruk Tok Kun ini masih dua kilometer lagi tetapi banyak kereta yang telah berhenti tersusun. Orang ramai keluar dari kereta dan mula menapak menuju ke arah kawasan pesta. Saya enggan berjalan sejauh dua kilometer ini, lalu kami terus berkereta ke hadapan. Setengah kilometer ke hadapan saya ternampak ratusan orang berbondong-bondong menuju ke kawasan pesta.

Di kiri kanan jalan menjadi hiruk-piruk dengan laungan gerai-gerai perniagaan. Suara lawak Mat Sabu, suara ceramah Tok Guru, tempek sorak Reformasi, suara takbir, semuanya bersimpang-siur dan kadangkala ditenggelami bunyi enjin generator penjana elektrik.

Ceramah politik

Kereta kami ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke kawasan pesta. Yang menahan kami bukan mata-mata, tetapi oleh anak-anak muda berjaket hitam yang berlogokan Pemuda Keadilan. Merekalah yang mengatur arus lalulintas dan menunjukkan tempat untuk meletakan kereta. Saya terpaksa membuka topi untuk mengenalkan diri agar kami dapat dibenarkan masuk sehampir yang boleh ke padang pesta.

Apabila saya sampai ke kawasan pesta, apa yang saya dengari hanyalah ucapan Anwar Ibarahim dan laungan Refomasi melalui pita rakaman dan alat pembesar suara. 'Ambience' pesta telah dapat dirasakan. Sepanduk, kain rentang, plakad yang bertemakan 'Bebaskan Anwar' menghiasai kawasan padang.

Dengan tidak banyak protokol, para jemputan datang ke pentas. Untuk saya bukan ceramah politik yang ingin saya dengari. Saya menghitung-hitung apakah berkemungkinan pesta malam ini akan menjadi satu lagi pesta ceramah yang membosankan. Pertanyaan saya ini dijawab apabila DrWan Azizah Ismail merasmikan tema pesta pada malam itu.

Lampu di seluruh kawasan padang dipadamkan. Ribuan orang ramai dalam kegelapan. Semuanya senyap tidak mengetahui apa yang sedang berlaku. Tiba-tiba ratusan lilin dan pemetik api dinyalakan berayun-ayun dipegang penonton/pendengar.

Saya yang duduk di tepi pentas bangun untuk melihat keindahan cahaya kerlipan apa yang sedang berayun-ayun di tengah padang. Lalu saya teringatkan kembali dengan konsert Amy Search di Stadium Merdeka yang baru saya sertai minggu lalu.

Tema Pesta di Ceruk Tok Kun pada malam ini ialah 'Anwar Sebagai Tahanan Politik'. Apa yang saya rasakan ketika tema ini dirasmikan ialah kemunculan satu 'ambience' yang baru. 'Ambience' yang saya cari-cari selama ini rupa-rupa kini telah muncul di Ceruk Tok Kun. Apabila video ucapan perjuangan Anwar Ibrahim ditayangkan, saya dapat melihat ribuan orang berasak-asak untuk merapati kain layar.

Kekuatan manifesto

Beberapa kali si pengerusi meminta orang ramai agar bergerak menghala ke hadapan untuk memberi ruang kerana ribuan lagi telah tersadai gagal untuk merapati padang pesta. Ramai yang masih menunggu di jalan besar.

Bila klip gambar Anwar mecium jenazah ibunya terpapar di layar, saya dapat merasakan kesedihan hati ribuan penonton pada malam itu. Dan apabila secara tidak disengaja satu klip imej muka Roslan Kassim muncul bersama Anwar, seluruh rakyat yang berpesta di malam itu telah gegak gempita menyumpah-nyumpah, sehinggakan apa yang diucapkan oleh Anwar tidak kedengaran lagi.

Selesai tayangan video, Ceruk Tok Kun telah di meriahkan dengan bunyi letupan mercun dan sinaran cahaya bunga api. Bagi saya 'ambience' seperti inilah yang wajib dimunculkan dalam gerakan politik. Ini untuk menyedarkan pemimpin politik agar jangan keliru dan menganggap pilihanraya hanya dimenangi kerana kekuatan manifesto atau gerak kerja jentera pilihanraya. Ini salah. Pilihanraya akan dimenangi oleh sesiapa saja yang dapat melahirkan satu 'ambience' atau suasana politik yang menarik.

Pesta Bebas Anwar ini berakhir selepas tengah malam tetapi gerai-gerai kelihatan meneruskan perniaggan hingga ke jam 1 pagi. Anak-anak kecil yang ingin meneruskan pesta telah mengumpulkan segala macam kertas dan membuat beberapa kelompok unggun api. Saya tidak tahu berapa lama lalulintas di luar dapat diredakan kerana saya terpakasa menunggu hampir satu jam lebih sebelum berani meninggalkan kawasan padang pesta.

Dalam perjalanan pulang ke Bangsar, ingatan saya terkumpul kembali. Betapa silapnya perhitungan saya tentang nama tempat yang dipanggil Ceruk Tok Kun itu. 'Ambience' untuk merayakan sesuatu bukan hanya terpusat di kota-kota. Mereka yang di Ceruk pun berkeupayaan untuk merayakan kehidupan dan kebebasan.

'Ambience' malam itu dibantu pula dengan kehadiran belasan wartawan dari dalam dan luar negara termasuk sebuah stesen TV luar negara. Wartawan BBC membuat laporan secara langsung 'online' dengan Bush House di London. Ceruk Tok Kun bukannya seceruk yang saya sangkakan. Mereka boleh 'connected' dan 'online' dengan dunia luar.

Keesokannya, saya agak terganggu sedikit apabila akhbar tempatan melaporkan bahawa 'pesta reformasi' di Ceruk Tok Kun telah gagal kerana tidak ramai pengunjung. Saya sendiri tidak arif dalam kira-mengira jumlah pengunjung yang datang.

Saya hanya dapat membuat perbandingan. Bagi saya pengunjung yang datang ke Ceruk Tok Kun lebih ramai daripada pengunjung Urbanscapes 2004 di KL Sentral. Angka pengunjung di Ceruk Tok Kun mungkin setengah daripada pengunjung/peminat di Konsert Amy Search di Stadium Negara minggu lalu.

Apa yang sahih dari penglihatan mata saya ialah lebih bayak lilin dan cahaya pemetik api yang dinyalakan di Ceruk Tok Kun daripada yang terpasang di Konsert Amy Search. Jika ada sesiapa yang mengatakan isu pembebasan Anwar telah reda dan bukan agenda pilihanraya 2004, maka saya cadangkan kita tinggalkan saja manusia ini di wilayah pedalaman yang di panggil Ceruk Putrajaya. Dan jika manusia ini ingin datang ke Bangsar Utama, kita wajibkan dia memiliki pasport dan visa.