Penangkapan dua individu berprofil tinggi Tan Sri Eric Chia Eng Hock pada 9 Februari dan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam pada 12 Februari amat merangsangkan mereka yang menyokong dasar anti-rasuah Pak Lah.

Harapan mereka meningkat dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa masih ada 18 kes rasuah berprofil tinggi, termasuk kes-kes yang membabitkan menteri, akan dihadapkan ke mahkamah apabila selesai prosedur akhir pengumpulan bukti.

Justeru itu, media dan orang ramai sedang tertanya-tanya, selepas Eric dan Kasitah, siapa pula yang akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Parti pembangkang sudah mendesak supaya tindakan diambil terhadap tokoh-tokoh Barisan Nasional (BN) seperti S Samy Vellu, Dr Ling Liong Sik, Khalil Yaacob, Dr Mohd Khir Toyo, Mohamed Nazri Abdul Aziz, Annuar Musa, Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik, yang mana kes-kes mereka sama ada masih dalam siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau dianggap sudah tutup.

Mereka malah meminta siasatan dilakukan terhadap Dr Mahathir Mohamad berasaskan laporan-laporan polis yang dibuat sejak tahun 1999, termasuk laporan polis oleh Anwar Ibrahim mengenai peranan yang dimainkan Dr Mahathir dalam skandal Perwaja Steel Sdn Bhd.

Pada 10 Februari lalu, apabila Eric Chia dihadapkan ke mahkamah, menurut laporan, sekumpulan aktivis reformasi telah berdemonstrasi di luar Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. Mereka melaungkan slogan 'Hidup Pak Lah'dan 'Hidup Badan Pencegah Rasuah' yang diselang-seli dengan pekikan slogan 'Bila nak tangkap Mahathir' dan 'Samy Maika Tangkap'!

Pendek kata, kini Kotak Pandora telah dibuka, harapan rakyat telah dibangkitkan, dan keazaman politik Pak Lah dalam memerangi rasuah sedang diuji. Tidaklah memadai jika ia hanya merupakan kes-kes pilihan yang dimanipulasikan menjelang pilihanraya umum akan datang bagi membaiki imej BN yang dianggap korup dan persepsi rakyat terhadap BPR sebagai institusi tidak bebas dan tidak berkesan.

Sukar dinafi

Dalam kes Perwaja umpamanya, skop skandal yang melibatkan kerugian RM2.5 bilion itu sudah barang tentu tidak terhad kepada individu Eric Chia seorang dan setakat apa yang didakwa dalam mahkamah.

Menurut laporan media, 36 saksi akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam perbicaraan nanti, namun jika seorang saksi yang terpenting, iaitu Anwar Ibrahim jika tidak dipanggil, maka tuduhan Anwar bahawa ada pihak cuba hendak melindungi individu-individu berprofil tinggi yang lain, sukarlah dinafikan.

Dalam suatu kenyataan, Anwar membuat tuduhan tersebut, kerana hingga sekarang pihak berkuasa yang terbabit, masih belum mengambil keterangannya, sungguhpun beliau adalah orang pertama sebagai Menteri Kewangan masa itu yang mendedahkan skandal tersebut dan sudahpun membuat laporan polis pada 22 Julai 1999 (No 19625/1999).

Lantaran itu, ada penganalisa yang mengesyaki kejujuran penangkapan dan pendakwaan Eric Chia . Misalnya, Sdr Kim Quek (Don't be fooled by the Perwaja 'charade') telah menganggap tindakan tersebut sebagai 'suatu gerakan taktik yang bijak' untuk 'menembak tiga burung dengan sebiji batu', iaitu:

1. Menghentikan skandal Perwaja daripada terus dibidas dengan alasan ia akan menjejaskan perbicaraan mahkamah kelak;

2. Cuba membuktikan dasar memerangi rasuah Pak Lah bukan merupakan retorik tanpa tindakan; dan

3. Melepaskan BN daripada 'mimpi ngeri'yang berlarutan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI), Tunku Abdul Aziz Ibrahim, ketika diwawancara oleh pihak media (sila merujuk Mingguan Malaysia 15 Februari 2004) mengenai perkembangan terbaru usaha Pak Lah dalam memerangi rasuah, telah memberi beberapa pandangan yang agak seimbang dan bernas.

Realiti politik

Pembentukan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, penubuhan Institut Etika Awam dan penggubalan Pelan Integriti Nasional dialu-alukan sebagai 'perkembangan yang penting', kerana dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan telah hilang banyak kredibiliti.

Beliau berpendapat BPR yang dianggap sebagai tidak berkesan dan tidak bebas, perlu dijadikan sebagai sebuah suruhanjaya bebas seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang melapor terus kepada Parlimen.

Ini adalah kerana Perdana Menteri datang dan pergi, dan mereka juga tidak mempunyai keazaman politik yang sama untuk memerangi rasuah. Dan mereka yang berkeazaman politik untuk memerangi rasuah seperti Pak Lah "juga mungkin nanti akan mendapati sukar untuk beliau meneruskan kerana tekanan daripada realiti politik, misalnya."

Tambah beliau: "Tetapi dengan adanya sebuah suruhanjaya bebas yang diinstitusikan, setidak-tidaknya saya percaya ada jaminan kesungguhan ini akan berterusan."

Tunku Abdul Aziz juga berpendapat maklumat yang ada kena-mengena dengan orang ramai perlu diketahui oleh masyarakat. Oleh itu, beliau percaya Akta Rahsia Rasmi perlu digantikan dengan Akta Kebebasan Maklumat.

Kata beliau, seluruh sikap masyarakat sudah berubah. Mereka tidak menerima sesuatu jawapan itu seadanya. Mereka mempunyai akses kepada maklumat dari pelbagai sumber, dan sudah pandai menyoal.

Beliau seterusnya memberi ingatan kepada Perdana Menteri supaya tidak dilihat terlalu banyak membuat janji. Orang sedang memerhatikannya dan menunggu-nunggu apakah yang hendak dilakukan melalui Institut Etika Awam dan Pelan Integriti Nasional.

"Kami belum boleh merumuskan apa-apa kerana masih terlalu awal," adalah kesimpulan beliau. Ini mungkin suatu peringatan yang baik kepada mereka yang terlalu terbawa-bawa oleh perkembangan terbaru usaha Pak Lah dalam memerangi rasuah.