Kontroversi permit program Kongsi Raya T'ganu
Tidak dapat dinafikan bahawa Program Kongsi Raya Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2004 peringkat nasional dan negeri Barisan Nasional (BN) telah memberi peluang yang baik untuk kerajaan BN meraih sokongan pengundi berbilang kaum, terutama bangsa Cina menjelang pilihanraya umum akan datang.
Justeru itu, program yang sama telah diadakan di Kelantan pada 27 Januari lalu, meskipun tidak dibenarkan oleh Kerajaan PAS Kelantan. Menurut Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir, ia merupakan "majlis perjumpaan dan perhimpunan terbesar masyarakat Cina yang pernah diadakan di Kelantan".
Kerana program tersebut amat berguna bagi menggerakkan momentum politik BN, ia tentunya sangat diperlukan di Terengganu, kubu kuat PAS yang cuba dirampas semula selepas jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya umum lalu.
Maka, kementerian Abdul Kadir pun menganjurkan program yang sama pada 6 Februari di Terengganu, dengan kerjasama MCA, Dewan Perhimpunan Cina Terengganu, Gabungan Persatuan Perniagaan dan Industri Cina Terengganu, serta beberapa persatuan Melayu dan India.
Dan sepertimana lazim dilakukan, artis popular pelbagai bangsa turut turut diundang untuk menghiburkan para pengunjung.

Seperti Kerajaan Kelantan, Kerajaan Terengganu PAS juga tidak membenarkan program Kongsi Raya tersebut diadakan. Malah Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memberi tiga alasan kenapa permohonan program Kongsi Raya itu ditolak, iaitu:
1. Kerana ianya membabitkan waktu Maghrib, aktiviti hiburan berkaitan dianggap tidak menghormati waktu sembahyang , tidak menghormati sensitiviti umat Islam setempat dan kerajaan negeri.
2. Program tersebut akan diadakan di padang Sekolah Kebangaan Sultan Sulaiman I . Kawasan sekolah dianggap tidak wajar dijadikan kawasan hiburan .
3. Pengunjung akan dihiburkan oleh artis pelbagai kaum seperti kumpulan Alleycats, Hijjaz, Waheeda, Jamal Abdillah, Yusri KRU, Dikir Puteri, Orkestra Cina, Tarian Singa dan 24 Seasons Drum. Program yang akan dipentaskan ini dianggap sebagai tidak mematuhi syarat sebagaimana yang dikehendaki mengikut Akta Hiburan.
Diperalatkan
Sesungguhnya tujuan sebenar program Kongsi Raya BN itu adalah untuk meraihkan sokongan dan menggerakkan momentum politik demi kepentingan BN menjelang pilihanraya umum akan datang,
Bagaimanapun, Kongsi Raya yang berbalut dengan 'tujuan memupuk perpaduan dan keharmonian tanpa mengira bangsa dan agama' itu, telah diperalatkan untuk tujuan politik sempit. Dan badan-badan yang mendakwa sebagai mewakili masyarakat Cina, Melayu dan India juga diperalatkan bersama!
Sebaliknya, Abdul Hadi telah 'terperangkap' oleh jerat yang dipasang BN untuk memberi gambaran bahawa Kerajaan PAS sebagai kerajaan yang tidak sensitif terhadap budaya kaum bukan-Islam.
Masyarakat bukan-Islam di Kelantan dan Terengganu, malah seluruh negara, tentu akan membuat perbandingan, selepas isu tersebut dieksplotasi sepenuhnya oleh media dan alat propaganda BN sebagai bukti bahawa kerajaan negeri PAS melaksanakan dasar anti-budaya bukan-Islam .
Dari perspektif masyarakat Islam yang liberal, kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu juga akan dipandang sebagai kerajaan yang melaksanakan dasar hiburan yang konservatif dan bersifat diskriminasi terhadap kaum wanita.
Kita ingin memberi maklumbalas kepada PAS bahawa dasar hiburan kerajaan Kelantan dan Terengganu itu perlu dipinda, kerana ia jelas tidak bersesuaian dengan pemikiran dan cara hidup rakyat Malaysia sekarang, termasuk masyarakat Islam yang liberal.
Waktu sembahyang
Dalam masyarakat majmuk seperti di negara ini, kita hendaklah berhati-hati dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan agama, budaya dan nilai-nilai yang berlainan (umpamanya takrif budaya 'menjolok mata').
Kepada masyarakat Islam, waktu solat Maghrib memang tidak sesuai untuk berhibur, tetapi ia tidak kena-mengena dengan bukan-Islam. Jika mereka berhibur ketika waktu tersebut, ia tidak bermakna mereka tidak menghormati masyarakat Islam atau kerajaan PAS yang bersifat Islam.
Jika dakwaan atau logik ini boleh diterima, ia bermakna apabila masuk masa sembahyang lima waktu itu, masyarakat bukan Islam terpaksa menghentikan segala hiburan, sebagai penghormatan kepada masyarakat Islam.
Adakah ini adil kepada masyarakat bukan Islam? Bolehkah penganut agama lain juga menuntut supaya masyarakat Islam juga menghentikan segala bentuk hiburan apabila mereka bersembahyang, dengan berdasarkan kepada rasional yang sama?
Padang atau kawasan sekolah tidak sesuai untuk digunakan sebagai kawasan hiburan yang 'menjolok mata' - jelas bukan sebarang hiburan - tetapi yang 'menjolok mata' sahaja. Ada sekolah yang pernah digunakan untuk mementaskan budaya lucah dan ini memang tidak sesuai dan patut dilarang.
Yang boleh dipertikaikan ialah program-program yang dianggap 'menjolok mata' itu, boleh diterima mengikut ukuran BN dan mungkin juga dialu-alukan oleh kebanyakan pengunjung majlis Kongsi Raya terbabit.
Bidangkuasa
Ternyata, yang terbabit bukan sahaja mengenai penilaian budaya mengikut agama dan pemikiran yang berbeza, tetapi ia juga berkaitan dengan semangat demokrasi dan toleransi terhadap pemikiran, cara hidup serta nilai-nilai yang berbeza. Kita tidak boleh memaksakan mana-mana ukuran pemikiran, cara hidup dan nilai (umpamanya Islam) terhadap masyarakat majmuk kita.
Yang lucunya, BN telah menggunakan hak perlembagaan rakyat pelbagai kaum untuk mengadakan perhimpunan Kongsi Raya. Mereka seolah-olah sudah lupa entah berapa ratus, malah ribuan perhimpunan rakyat, terutama anjuran parti pembangkang dan badan bukan kerajaan, dilarang kerana dianggap sebagai anti-kerajaan. Jelas sekali BN mengamalkan dwi-standard dalam perkara ini.
Jika perhimpunan anjuran parti pembangkang atau badan bukan kerajaan yang dianggap anti-kerajaan, tidak diberi permit oleh pihak berkuasa, ianya akan dianggap sebagai perhimpunan haram dan akan disuraikan secara kekerasan, manakala mereka yang terbabit akan ditahan dan didakwa di mahkamah.
Majlis Kongsi Raya BN tanpa permit kerajaan Terengganu diteruskan juga, kerana mereka mendapat permit polis yang terletak dalam bidangkuasa Kerajaan Pusat. Apakah pertentangan bidangkuasa kerajan negeri dengan kerajaan Persekutuan, akan menimbulkan krisis perlembagaan suatu hari kemudian? Kemungkinan ini tidak patut dipandang enteng.
Bagaimanapun, dari strategi politik, kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu nampaknya telah 'terperangkap' oleh jerat program 'Kongsi Raya' BN. Di manakah kebijaksanaan siasah kerajaan PAS dalam menentang program yang akan/telah dihadiri puluhan ribu rakyat pelbagai kaum,yang dianjur bersama oleh badan-badan yang lazimnya dianggap/mendakwa mewakili kaum masing-masing?