Perginya seorang reformis
Saya amat jarang sekali bersedih. Kali terakhir saya sedih menangis/meratap ialah apabila ditinggalkan oleh kekasih. Gadis ini adalah gadis awal dan akhir dalam kisah cinta hidup saya. Kami berjanji untuk setia sehidup semati.
Tetapi seperti telah ditakdirkan, secara tiba-tiba si gadis ini telah memutuskan cintanya. Dia meninggalkan saya kerana dia telah jatuh cinta dengan seekor kura-kura yang telah sama-sama kami temui di sebuah kolam dalam sebuah ladang gandum di Utara Sepanyol. Aduh! Lukanya hati ini.
Minggu ini, sekali lagi saya menjadi murung/meratap dan menangis, berikutan berita penggantungan Saudara Lokman Adam sebagai anggota kepimpinan tertinggi (MPT) Parti Keadilan. Saya tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Saya bukan ahli mana-mana parti politik, termasuk Keadilan, justeru saya tidak mengetahui dengan terperinci pergolakan dalam parti ini.
Tetapi saya mengenali dengan baik insan yang dipanggil Lokman Adam; ini kerana selama dua tahun kami tinggal bersama-sama dalam satu sel di Kamunting. Dua tahun duduk bersama pastilah kami mengetahui hati sanubari masing-masing. Lagi pun saya tidur betul-betul di hadapan katil beliau.
Penggantungan Lokman itu amat menyedihkan kerana saya telah mengenali keupayaan fikrah si Lokman ini. Apabila membaca berita penggantungannya, saya merasakan jiwa saya bagitu kosong dan ringan, kerana si Lokman tidak lagi bersama-sama sebaris dengan para reformis dalam Gerakan Reformasi. Lokman untuk saya adalah satu-satu susuk yang telah memainkan peranan yang begitu 'berat' dalam Gerakan Reformasi.
HISHAMUDDIN RAIS mengenali dengan baik insan yang bernama Lokman Adam kerana selama dua tahun, mereka tinggal bersama-sama dalam satu sel di Kamunting. Selepas dua tahun bersama, pastilah mereka sering mengetahui hati sanubari masing-masing.
Saya amat jarang sekali bersedih. Kali terakhir saya sedih menangis/meratap ialah apabila ditinggalkan oleh kekasih. Gadis ini adalah gadis awal dan akhir dalam kisah cinta hidup saya. Kami berjanji untuk setia sehidup semati.
Tetapi seperti telah ditakdirkan, secara tiba-tiba si gadis ini telah memutuskan cintanya. Dia meninggalkan saya kerana dia telah jatuh cinta dengan seekor kura-kura yang telah sama-sama kami temui di sebuah kolam dalam sebuah ladang gandum di Utara Sepanyol. Aduh! Lukanya hati ini.
Minggu ini, sekali lagi saya menjadi murung/meratap dan menangis, berikutan berita penggantungan Saudara Lokman Adam sebagai anggota kepimpinan tertinggi (MPT) Parti Keadilan. Saya tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Saya bukan ahli mana-mana parti politik, termasuk Keadilan, justeru saya tidak mengetahui dengan terperinci pergolakan dalam parti ini.
Tetapi saya mengenali dengan baik insan yang dipanggil Lokman Adam; ini kerana selama dua tahun kami tinggal bersama-sama dalam satu sel di Kamunting. Dua tahun duduk bersama pastilah kami mengetahui hati sanubari masing-masing. Lagi pun saya tidur betul-betul di hadapan katil beliau.
Penggantungan Lokman itu amat menyedihkan kerana saya telah mengenali keupayaan fikrah si Lokman ini. Apabila membaca berita penggantungannya, saya merasakan jiwa saya bagitu kosong dan ringan, kerana si Lokman tidak lagi bersama-sama sebaris dengan para reformis dalam Gerakan Reformasi. Lokman untuk saya adalah satu-satu susuk yang telah memainkan peranan yang begitu 'berat' dalam Gerakan Reformasi.
Umum mungkin kurang arif tentang peranan si Lokman ini. Malah pasukan SB juga tidak begitu tepat apabila menilai peranan Lokman. Sebenarnya, (saya meminta maaf kerana terpaksa membocorkan maklumat ini ) Lokman Adamlah insan yang mengatur, memikir dan membuat strategi untuk memangkin Gerakan Reformasi. Tanpa Lokman Adam semua tidak akan terjadi.
Gerakan Reformasi
Di sini saya memperjudikan kewibawaan saya untuk mempertahankan Lokman Adam. Saya bagitu yakin sekali, jika susuk yang dipanggil Lokman Adam ini tidak wujud, besar kemungkinan Gerakan Reformasi tidak akan muncul-muncul.
Ucapan-ucapan Lokman Adamlah yang telah merangsang/memangkin/menyeru rakyat untuk bangun keluar ke jalan-jalan raya menuntut keadilan. Tanpa Lokman Adam, tidak mungkin rakyat berani membuat tuntutan ini.
Pertama kali, pada bulan akhir 1998, saya bernasib baik kerana dapat melihat susuk insan yang dipanggil Lokman Adam ini. Ini semasa gerakan rakyat yang menuntut keadilan sedang menuju ke Istana Negara. Pada malam keramat ini, rakyat telah cuba mengajukan tuntutan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong. Ketika ini, saya sebagai pengikut telah melihat dengan begitu takjub sekali keberanian orator seorang anak muda obese yang sedang memimpin ribuan rakyat.
Di saat ini, fikiran saya terus teringatkan Idi Amin, pemimpin agung rakyat Uganda. Mata dan hati saya tidak dapat melepaskan ingatan daripada menyamakan Idi Amin dengan Lokman Adam. Oh! Telah sampai rupa-rupanya jelmaan Idi Amin ke dalam susuk anak muda ini. Cuma si Lokman kita ini berkulit agak cerah sedikit.
Gerakan Reformasi berterusan, lalu saya terbaca bagaimana anak muda obese ini telah ditahan di bawah ISA. Saya sebenarnya tidak peduli sangat tentang kes Anwar Ibrahim ini, tetapi apabila berita penahanan Lokman Adam ini sampai ke telinga saya, saya naik geram.
Saya mempersoalkan mengapakah negara yang saya cintai ini telah gagal menilai siapa yang obese dan siapa yang bebal. Kenapa insan sebabberani Lokman Adam ini ditahan di bawah ISA? Apakah ini taktik kerajaan untuk menyurutkan suhu badan beliau?
Ombak rakyat
Setelah dua bulan di bawah ISA, Lokman Adam telah dibebaskan tanpa syarat. Ketika inilah saya secara tidak sengaja telah turut terpanggil untuk bersama apabila Lokman Adam mengadakan beberapa mesyuarat-mesyuarat sulit untuk merancang Gerakan Reformasi.
Dalam mesyuarat sulit pertama yang diadakan di Restauran Mydin Bangsar Utama, Lokman Adam telah memperlihatkan keupayaan pimpinan beliau. Ini cukup meyakinkan saya untuk turut bersama dalam ombak rakyat.
Dalam mesyuarat pertama, saya begitu kagum dan mengangkat topi kerana inilah pertama kalinya saya berhadapan dengan anak muda yang telah terlatih dalam budaya politik Umno. Didikan dan pengalaman Lokman Adam di dalam Pergerakan Pemuda Umnolah yang telah kami gunakan dalam Gerakan Reformasi. Tanpa pengalaman yang dimuntahkan oleh Lokman Adam ini, saya akui, tidak mungkin reformasi dapat diteruskan.
Beberapa bulan kemudian, kami ditangkap di bawah ISA. Saya merasa begitu bangga bukan kerana ditangkap di bawah ISA tetapi kerana ditahan bersama Lokman Adam. Cita-cita saya untuk mengenali manusia jelmaan Idi Amin ini akhir termakbul juga.
Semasa di Kamunting, saya menjadi lebih takjub, lebih hairan dan melihat perkara-perkara ajaib yang dapat dilakukan oleh susuk yang dipanggil Lokman Adam ini. Dari dahulu lagi saya akan mengkagumi sesiapa saja yang memiliki pemikiran dan keintelektualan yang tinggi. Lokman Adam adalah salah seorang daripada insan tersebut.
Kami yang ditahan di Kamunting akan bertungkus-lumus cuba membaca buku-buku yang mungkin dapat membantu mencairkan kebebalan kami. Tetapi ini bukan rutin yang dilakukan oleh Lokman Adam. Otak beliau begitu bergeliga (baca berjelaga) sekali. Tanpa menghabiskan lima buku dalam masa dua tahun tahanan, si Lokman Adam hari ini akan dapat menilai isu politik, agenda ekonomi dan budaya bukan saja untuk Malaysia, malah secara global.
Kisah kangroo
Ini dibuktikan kerana semasa dalam tahanan, beliau menyambung pembelajaraan beliau ke peringkat sarjana. Pihak Kem Kamunting meluluskan permintaan beliau untuk meneruskan pengajian ini melalui sistem jarak jauh. Beliau diterima oleh sebuah intitusi pengajian tinggi yang unggul - IIBR- untuk membuat thesis Phdnya dalam bidang ilmu falsafah dan fizik.
IIBR atau Institut Ilmu Bunga Rampai di Cheras yang bertaraf antarabangsa, dengan begitu teliti membantu Lokman Adam untuk mendapatkan rencana-rencana ilmiah, terutama tulisan Professor-professor daripada Universiti Utara Sintok. Jika Lokman terus ditahan, pasti beliau akan mendapat dua ijazah Phd.
Saya menjadi hairan kerana Lokman Adam menjadi begitu arif sekali sehinggakan beliau dapat menyelesaikan satu konsep falsafah yang sejak dari dahulu cuba dipecahkan oleh pemikir Yunani, Arab, Parsi dan Cina.
Persoalan falsafah ini ialah tentang kewujudan perbezaan diantara BERTANYA dan MENYOAL. Alhi falsafah Yunani/Arab/Parsi/Cina sebulat suara berpendapat: jika kita bertanya ertinya kita tidak mengetahui jawapannya. Jika kita menyoal kita tahu akan jawapannya.
Tetapi apabila berhadapan dengan Lokman Adam, saya hairan kerana tahap pemikiran yang begitu tinggi sekali, sehinggakan beliau tidak dapat lagi membezakan konsep bertanya dan konsep menyoal.
Saya sering menjadi kelam-kabut, tidak tahu apakah Lokman Adam bertanya kepada saya atau menyoal saya. Contohnya pada suatu hari dia 'bertanya/menyoal' apakah Kangroo hanya wujud di Australia saja. Apabila saya memberi jawapannya, beliau berkata saya salah kerana Kangroo wujud juga di Ghana, Brazil, Benin, Greenland dan di Senawang.
Sekolah filem
Bagi saya inilah satu-satunya keunikan pemikiran Lokman Adam. Saya berani mengakui pemikiran beliau setaraf dengan keintelektualan Professor Ungku Aziz; yang telah membaca 70,000 buku tetapi gagal untuk menulis walaupun sebuah buku.
Bezanya, Ungku Aziz banyak membaca, gagal menulis tetapi boleh membebel, manakala Lokman Adam pula tidak membaca dan tidak menulis tetapi masih dapat membebel. Bukankah ini ciri insan yang unik!
Satu lagi yang amat saya hormati tentang Lokman Adam ialah pemahaman beliau dalam bidang ilmu semitok. Semasa saya belajar di sekolah filem dulu, ada juga saya mengikuti displin ilmu ini. Semiotik ialah ilmu tentang imej dan makna imej.
Di Kamunting, Lokman Adam memecahkan teori Roland Barthes, ahli falsafah dari Paris ini, melalui filem Hindustan. Saya juga hantu filem dan akan menonton apa saja filem. Tetapi tidak sehebat Lokman Adam.
Lokman Adam berjaya memperlekehkan saya dari segi keupayaan menonton filem. Setiap hari, Lokman Adam akan menonton filem Hindustan dari satu saluran ke satu saluran yang lain. Beliau menonton dengan begitu khusyuk sekali, sehinggakan kadangkala kami terpaksa menangguhkan sembahyang berjemaah kami. Di hujung minggu pula, isteri beliau akan membekal dua VCD\Hindustan untuk tontonan Lokman. Jika bukan penambahan ilmu - apakah bendanya ini.
Saya rasa, tidak ada seorangpun makhluk di Malaysia ini yang telah menonton begitu banyak filem Hindustan. Malah saya telah mencadangkan agar beliau secara serius masuk ke sekolah perfileman di Paris agar terus dapat memperdalami lagi teori filem Hindustan dari segi semiotik.
Ramai anak
Kawan saya yang bernama Lokman Adam ini, walaupun agak obese, tetapi seorang insan yang amat pengasih lagi penyayang. Semasa ditahan di Kamunting saya perhatikan bagaimana beliau membuat lukisan-lukisan untuk hadiah hari jadi tiga anak beliau yang semuanya masih belum bersekolah. Tiap hujung minggu, isteri dan anak-anak akan datang melawat beliau di Kamunting. Oh! Begitu sayu sekali ingatan ini.
Lokman Adam adalah seorang insan yang cukup sayang kepada anak, kerana itu, tidak cukup dengan seorang isteri, beliau secara rahsia, telah bernikah seorang lagi dengan tujuan untuk mendapatkan lebih ramai anak.
Sayangnya kedua-dua isterinya tidak memahami hati budi dan cinta Lokman kepada anak-anak. Kisah cinta Lokman kepada anak-anak ini hanya bocor apabila beliau ditahan di bawah ISA untuk kali kedua. Pihak SB yang tidak berhati perut dan tidak bersimpati kepada insan yang sayang kepada anak-anak ini, telah menggunakan isu kahwin rashia ini untuk menguggut Lokman.
Rahsia cinta Lokman kepada anak terbarai apabila beliau meminta kebenaran SB untuk bertemu dengan isteri keduanya. Isteri pertama Lokman menjadi berang dan panas baran kerana tidak bersetuju dengan perkahwinan kedua. Mengikuti Lokman inilah perangai perempuan yang gagal memahami cinta seorang ayah kepada anak.
Justeru, saya tidak terperanjat, apabila selepas kami dibebaskan Lokman memberitahu saya bahawa dia telah menceraikan kedua-dua isterinya. Untuk saya, inilah adalah langkah yang lojik kerana Lokman amat cinta kepada anak-anak. Beliau ingin mencari isteri baru agar dapat melahirkan anak-anak baru untuk membuktikan betapa luhurnya cinta Lokaman sebagai seorang ayah.
Airmata saya berlinang menari-nari apabila saya membaca bagaimana parti Keadilan telah mempergunakan Lokman Adam. Saya rasa ini tidak adil. Bayaran dua, empat atau enam ribu ringgit sebulan kepada Lokman Adam bukan persoalannya.
Strategi perjuangan
Saya rasa empat ribu atau sepuluh ringgit sebulan bayaran sebagai pekerja parti adalah tidak setimpal dengan pengorbanan yang telah diberikan oleh Lokman Adam kepada Parti Keadilan. Pengorbanan Lokman Adam tidak patut dikira dengan wang ringgit.
Sebagai pemimpin, Lokman wajib disediakan sebuah pejabat lengkap dengan seorang setiausaha dan seorang pengawal peribadi. Lokman wajib mendapat, mungkin bukan sebuah istana, sekurang-kurangnya sebuah banglo di seksen 7 di Shah Alam, sebagai tempat beliau berehat, berfikir dan merancang strategi perjuangan.
Parti Keadilan patut menyediakan sebuah bilik khas dengan sistem VCD yang terkini di sekretariat Parti Keadilan agar Lokman dapat bersemuka setiap hari dengan Sharukh Khan dan penari-penari genit dari Bombay.
Sebagai rakyat Malaysia, saya mengakui dan menerima bahawa Lokman Adam memang layak untuk memimpin negara ini - contohnya , lihat saja kereta/motosikal beliau, tidak ada sesiapa pun di Kuala Lumpur ini yang memiliki plate number pribadi - LA - ertinya Lokman Adam.
Bukankah ini ciri pemimpin dan pejuang rakyat yang berwibawa. Apa lagi yang dimahukan oleh Parti Keadilan. Hanya Mutu saja yang dapat mengenal Maniam - hanya Sami yang mengenal Maika.
Di sini saya ingin membetulkan kenyataan Lokman Adam tentang duit yang disalurkan oleh Estrada kepada Parti Keadilan. Sebenarnya ini hanyalah sebahagian daripada fakta. Saya memiliki maklumat yang tepat bahawa Parti Keadilan telah juga dibekalkan oleh kerajaan Filipina dengan 42 kilo jongkong emas. Emas-emas ini adalah sebahagian dari 'Yamamoto Gold' - emas tentera Jepun yang telah dirampas oleh Marcos selepas perang Dunia Kedua dahulu.
Bakul duit
Secara licik, emas-emas ini telah dimasukkan ke dalam coli-coli gadis-gadis Filipina yang datang bekerja di Malaysia. Cara penyeludupan ini cukup teratur sehinggakan Lokman Adam sendiri tidak menyedarinya.
Dalam masa yang sama saya juga difahamkam selain Estrada, nama Al-Gore, George Soros, Manika Ghandi, Linda Blair, Sharon Stone dan Dodi al-Fayed, juga pernah saya dengar sebagai penyumbang utama kepada parti Keadilan.
Fakta terakhir yang saya terima ialah tentang duit 75,000 dollar Amerika yang ditemui bersama Saddam Hussein semasa dia ditangkap. Duit tersebut sebenarnya disediakan untuk parti Keadilan. Saya telah menulis surat kepada kawan-kawan lama saya di Iraq dan meminta sedikit bantuan kewangan.
Ini saya lakukan sebelum saya ditahan di Kamunting. Apabila saya ditahan maka terpaksalah Saddam menggendung duit ini ke hulu ke hilir dan tidak tahu kepada siapa duit ini wajib diagihkan. Bakul duit inilah yang memberatkan Saddam daripada meluluskan diri dari Lubang Tikusnya. Kerana gendung ini Saddam tertangkap!
Perhimpunan rakyat
Seminggu semenjak penggantungan Lokman Adam ini, telefon di rumah saya terus berdering. Wakil akhbar Washington Post yang berpangkalan di Jakarta, telah menelefon meminta komen. Wakil radio Australia di Singapura ingin berjumpa saya untuk mendapat keterangan lanjut tentang hal Lokman Adam.
Majalah Times dari Hong Kong telah menghantar seorang wartawan khas untuk menemuramah saya. Jonathan Head dari BBC World akan datang minggu depan untuk membuat sedikit dokumentari tentang Lokman Adam. BBC London juga telah meminta bantuan saya.
Isu pembuangan Lokman Adam ini telah menjadi begitu global dan mungkin mengoncang penjualan stok di New York. Memandang semua ini, saya sebagai rakyat yang patriotik dan tidak mahu menjadi agen asing, tidak melayani semua pangilan telefon tersebut.
Komen saya tentang Lokman Adam ini hanya boleh saya berikan kepada akhbar tempatan yang berwibawa/berkualiti/patriotik kerana ini bersangkutan dengan agenda pejuangan rakyat, Gerakan Reformasi dan keselamatan negara. Kerana ini saya masih lagi menunggu panggilan dari Bacaria.
Pada 14 Febuari ini, akan diadakan Perhimpunan 100,000 rakyat di Ceruk Tok Kun. Saya telah dapat merasakan bahawa program Bebaskan Anwar ini akan gagal kerana pendorong utama gerakan ini, saudara Lokman Adam tidak akan turut serta.
Saya ingin juga ke Utara, bukan ke Cerok Tok Kun tetapi ke kawasan sawah padi di Kedah. Saya ingin mencari seekor kura-kura untuk jatuh cinta agar kesedihan yang saya hadapi sekarang ini akan berkurangan.

