Dengan pelantikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada 7 Januari 2004, maka sudah terjawablah teka-teki siapakah pilihan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai timbalannya.

Namun, kini timbul pula teka-teki baru - kenapa pilih Najib? Tidak dapat dinafikan Najib adalah pilihan Tun Dr Mahathir Mohamad - mungkin untuk membayar "hutang budi" kepada Allahyarham Tun Abdul Razak yang melindungi karier politiknya selepas disingkirkan oleh Allahyarham Tengku Abdul Rahman sesudah kejadian 13 Mei 1969.

Mungkin juga untuk membayar "hutang budi" kepada Najib, yang telah menunjukkan "taat setianya" kepada Dr Mahathir apabila beliau dicabar dan nyaris 'digulingkan' oleh Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan Umno pada tahun 1987.

Tanpa sokongan Najib pada saat -saat akhir - yang memberi kelebihan undi yang kecil kepada Dr Mahathir - mungkin bekas perdana menteri itu telah kecundang. Najib sebaliknya telah dituduh sebagai "berpaling tadah "atau "mencari jalan selamat"dalam politik Umno. Dalam hubungan ini, Najib tentu dianggap sebagai "konco Mahathir" yang diharapkan untuk menjaga kepentingan ketua lamanya yang telah bersara.

Bagi menjamin konconya (Najib) dilantik, Dr Mahathir telah mengabaikan amalan tradisi Umno, dengan menamakan Najib sebagai calon paling layak dilantik TPM, walaupun beliau juga mengaku bahawa perlantikan TPM adalah hak Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Ini telah menimbulkan tanggapan umum bahawa Najib mungkin bukan pilihan Pak Lah, atau Dr Mahathir tidak yakin Najib akan dipilih jika Pak Lah dibiarkan membuat pilihan sendiri.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi apabila pelantikan jawatan TPM nampaknya sengaja dilambat-lambatkan oleh Pak Lah, sedangkan berbagai khabar angin tersebar luas kononnya Pak Lah akan dicabar oleh Najib seandainya beliau (Najib) tidak dilantik sebagai TPM.

Dipecat

Pergelutan kuasa dipercayai telah berlaku di belakang tabir apabila Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times (NST), Tan Sri Abdullah Ahmad, tiba-tiba dipecat dan ada sumber yang menganggap puncanya kerana beliau berkempen untuk Najib. Pak Lah bertindak demikian, mungkin dengan maksud yang tersirat pukul anak sindir menantu.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pernah membuat kenyataan terbuka menyokong Najib. Menurut Nazri, beliau juga dimarahi ramai kerana "kenyataannya hanya akan menimbulkan suasana berkecamuk dalam parti dan negara".

Malah, beliau "telah menerima serangan hebat dari orang-orang tertentu, termasuk orang yang hari ini mengalu-alukan pelantikan Datuk Najib" (sila merujuk kepada Utusan Malaysia, 9 Januari 2004).

Mengikut sumber-sumber kerajaan, sepertimana yang dilaporkan dalam media, Pak Lah hanya melantik timbalannya selepas isu-isu atau dasar-dasar yang diberi keutamaan, telah diumumkan satu-persatu.

Ini termasuk usaha membanteras rasuah dalam sektor kerajaan dan swasta, memastikan sistem penyampaian awam yang lebih baik, menggalakkan pertanian sebagai komponen penting dalam dasar ekonomi negara, memperkenalkan perubahan dalam pasukan polis dan pendidikan, serta berbelanja secara berhemah, bermula dengan menangguhkan projek landasan keretapi berkembar.

Kesemua isu keutamaan yang diumumkan seperti yang tersebut di atas mungkin "indah khabar dari rupa" atau hanya lagak "Sindrom Penyapu Baru". Ia juga mungkin memperlihatkan halatuju yang terpesung dari beberapa dasar keutamaan Dr Mahathir. Ini mungkin boleh dibaca sebagai usaha Pak Lah untuk menampilkan jatidirinya daripada terus terlindung di bawah bayang-bayang Dr Mahathir.

Mesej Pak Lah mungkin mudah sahaja: Bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya. Semua anggota kabinet diminta menari mengikut bunyi gendang yang dipalunya. Rasanya, taktik tersebut agak berkesan juga, kerana sebaik saja dilantik, Najib berkali-kali berjanji akan taat setia kepada Pak Lah, dan menganggap ini sebagai kriteria penting bagi seorang timbalan kepada Perdana Menteri.

Menurut Ketua Pengarang Kumpulan NST yang baru, Datuk Kalimullah Hassan (Rencana Berita Minggu, 11 Januari 2004), beliau diberitahu seorang menteri kanan, bahawa di akhir mesyuarat kabinet, Najib menghampiri Abdullah dan berkata dalam nada yang agak emosional:

"Saya akan sentiasa mengingatkan diri bahawa saya adalah orang nombor dua Datuk Seri. Dengan peredaran masa, saya harap saya dapat meyakinkan Datuk Seri bahawa ini adalah pilihan yang betul." Nampaknya Najib dengan cepat sekali menghayati falsafah orang nombor dua.

Kontroversial

Ketika ditemubual Kalimullah, Najib memberitahunya bagaimana beliau tidak tergamak untuk terus masuk ke mesyuarat dan duduk di sebelah kanan perdana menteri (tempat TPM), takut nanti dianggap anggota kabinet sebagai memandai-mandai, dan bagaimana beliau terpaksa mundar-mandir di koridor dan masuk ke bilik air untuk melengah-lengahkan masa.

"Apabila semua menteri yang ada mula mengetuk meja, saya tahu Pak Lah sudah memberitahu mereka dan saya boleh mengambil tempat di kanan beliau," kata Najib sambil ketawa mengenangkan detik itu.

Nampaknya Najib amat berhati-hati mengenai kedudukannya sekarang yang agak kontroversial dan sensitif. Beliau tentu sedar, walaupun beliau adalah pilihan Dr Mahathir, tetapi Pak Lahlah yang melantiknya dan menjadi bosnya.

Lebih-lebih lagi, beliau tentu sedar, tempat nombor dua dalam Umno dan kerajaan mungkin membawa beliau ke puncak kuasa politik suatu hari nanti, dan sebaliknya mungkin mempercepat berakhirnya karier politiknya.

Selain mengimbangi dilema taat sedia kepada ketua lama dan bos baru, imej Najib di kalangan rakyat juga perlu ditingkatkan dan diperbaharui - umpamanya pendirian beliau yang lebih tegas dan telus terhadap ISA dan undang-undang zalim yang lain, terhadap soal pendidikan bahasa ibunda dan hak-hak asasi manusia, dan sikap anti-perkauman dan anti-rasuah.

Rasanya beliau harus menyongsang arus politik yang tidak begitu menguntungkan sebelum mencapai puncak karier politiknya, atau terkorban lebih awal lagi akibat pergelutan kuasa dalam Umno.

Dalam keadaan sebegini, memang bijaksana untuk bersikap tawaduk dan berjinak-jinak dengan falsafah orang nombor dua. Tetapi adakah ini sifat semulajadi Najib? Dan inikah peranan yang diharapkan oleh bos lamanya?