Satu kematian dan satu kelahiran
Saya tahu di mana saya berada sehari sebelum hari 13 Mei, 1969, pada hari 13 Mei itu sendiri dan hari-hari berikutnya. Malah sebulan sebelum itu saya tahu di mana saya tidur, di bilik mana saya mandi, di mana saya membaca dan apa yang saya makan. Semuanya rutin harian yang telah hampir seratus tahun tidak berubah-ubah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Tanggal 13 Mei 1969 tidak mengubah rutin ini. Apa yang berubah hanyalah keresahan diri saya. Untuk pertama kalinya saya dikelilingi oleh 499 pelajar Melayu dari pelbagai wilayah di Malaysia. Saya tidak memiliki sentimen Melayu atau lebih tepat lagi saya tidak pernah memiliki sentimen kemelayuan. Ini bukan bermakna saya bukan manusia Melayu, tetapi saya tidak menerima konstruk sosial - Melayu - ini dengan bagitu mudah.
Saya dari perut suku Biduanda Negeri Sembilan. Asal-usul saya Orang Asli. Ini telah dijelaskan semasa saya kecil lagi oleh nenek saya, 'bezanya kita dengan rayat , hanya kita menerima Muhamad' (1) Justeru, saya tidak perlu membuktikan kemelayuan saya. Saya tidak memiliki krisis identiti. Saya bukan India Muslim, Mamak, Saudara Baru, Pendatang Arab atau Sayur Campur (2) - saya keturunan Orang Asli dari suku Biduanda.
Tanggal 13 Mei ini meresahkan kerana saya diminta untuk membuktikan kemelayuan saya. Babak-babak yang berlaku pada pasca 13 Mei 13 masih tergambar jelas dalam ingatan saya. Tapi di sini bukan 'ini' yang ingin saya surahkan. Saya ingin merakamkan jalan pintas yang telah saya ambil ketika ingin menyelesaikan 'angst' yang meranduk diri dan pertemuaan saya dengan protoganis yang timbul tenggelam dalam hidup saya.
'Ambience' 13 Mei ini juga telah memaksa saya untuk merasakan apa yang dialami oleh Jonathan Livingstone Seagull semasa terbang bersendirian di alam bebas dalam usaha mencari diri. Dan saya juga memahami/menghayati/menyedari dari mana munculnya bait Chairil Anwar 'Aku ini binatang jalang dari kumpulanku terbuang'.
Lalu saya membuat temujanji dengan dengan Mister DJ Tate. Saya telah mengenali beliau sebagai cik gu Kertas Am, guru tugas Harian dan guru penasihat Kelab Debat untuk aktiviti hari Selasa dan guru penasihat untuk tingkatan kami. Semua telah distrukturkan dengan tradisi yang tersusun melalui puluhan tahun pengumpulan pengalaman dalam usaha mendidik elit Melayu.
Saya tahu di mana saya berada sehari sebelum hari 13 Mei, 1969, pada hari 13 Mei itu sendiri dan hari-hari berikutnya. Malah sebulan sebelum itu saya tahu di mana saya tidur, di bilik mana saya mandi, di mana saya membaca dan apa yang saya makan. Semuanya rutin harian yang telah hampir seratus tahun tidak berubah-ubah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Tanggal 13 Mei 1969 tidak mengubah rutin ini. Apa yang berubah hanyalah keresahan diri saya. Untuk pertama kalinya saya dikelilingi oleh 499 pelajar Melayu dari pelbagai wilayah di Malaysia. Saya tidak memiliki sentimen Melayu atau lebih tepat lagi saya tidak pernah memiliki sentimen kemelayuan. Ini bukan bermakna saya bukan manusia Melayu, tetapi saya tidak menerima konstruk sosial - Melayu - ini dengan bagitu mudah.
Saya dari perut suku Biduanda Negeri Sembilan. Asal-usul saya Orang Asli. Ini telah dijelaskan semasa saya kecil lagi oleh nenek saya, 'bezanya kita dengan rayat, hanya kita menerima Muhamad' (1) Justeru, saya tidak perlu membuktikan kemelayuan saya. Saya tidak memiliki krisis identiti. Saya bukan India Muslim, Mamak, Saudara Baru, Pendatang Arab atau Sayur Campur (2) - saya keturunan Orang Asli dari suku Biduanda.
Tanggal 13 Mei ini meresahkan kerana saya diminta untuk membuktikan kemelayuan saya. Babak-babak yang berlaku pada pasca 13 Mei 13 masih tergambar jelas dalam ingatan saya. Tapi di sini bukan 'ini' yang ingin saya surahkan. Saya ingin merakamkan jalan pintas yang telah saya ambil ketika ingin menyelesaikan 'angst' yang meranduk diri dan pertemuaan saya dengan protoganis yang timbul tenggelam dalam hidup saya.
'Ambience' 13 Mei ini juga telah memaksa saya untuk merasakan apa yang dialami oleh Jonathan Livingstone Seagull semasa terbang bersendirian di alam bebas dalam usaha mencari diri. Dan saya juga memahami/menghayati/menyedari dari mana munculnya bait Chairil Anwar 'Aku ini binatang jalang dari kumpulanku terbuang'.
Lalu saya membuat temujanji dengan dengan Mister DJ Tate. Saya telah mengenali beliau sebagai cik gu Kertas Am, guru tugas Harian dan guru penasihat Kelab Debat untuk aktiviti hari Selasa dan guru penasihat untuk tingkatan kami. Semua telah distrukturkan dengan tradisi yang tersusun melalui puluhan tahun pengumpulan pengalaman dalam usaha mendidik elit Melayu.
Saya masih ingat lagi di petang Rabu yang agak panas itu, saya dengan pakaian sukan - celana pendek hitam dan baju T putih - telah dipanggil keluar dari Dormitory 21. Mister Tate berbaju putih, berpantalon kelabu dan bertali leher, telah menunggu saya di gelanggang sepak takraw berhampiran gelanggang tennis.
Pagar pemisah
Kami menapak menuju ke kawasan latihan kriket untuk duduk berteduh di bawah pokok-pokok rendang yang tersusun sebagai pagar pemisah di antara padang kriket dengan padang bola. Di sini kami berlabon.
Saya nyatakan secara jelas kepada Mister Tate bahawa saya bukan seorang muslim yang ritualist dan saya merasa tidak selesa untuk dimasukkan ke dalam sebuah raga. Saya terangkan bahawa saya menghormati semua mereka yang beragama dan mereka yang tidak beragama.
Untuk saya, yang penting adalah perlakuan kita sebagai insan dan individu. Bagaimana sifat dan perlakuan kita apabila berinteraksi sama sendiri didalam satu kelompok. Mister DJ Tate yang saya temui petang itu adalah seorang 'guru jemputan', seorang British yang terdidik dalam budaya 'kricket' nya. Beliau memahami apa yang saya rasakan. Dalam masa yang sama, saya merasa terbuka dan selesa kerana 'orang yang di hadapan' saya ini tidak dipagari oleh kemelayuan.
Tetapi beliau merasa hairan kenapa saya ingin meninggalkan tempat ini, walhal ramai pelajar yang ingin memasuki kolej ini. Dalam perbincangan kami petang itu, Mister Tate bertanya apakah saya berkenalan baik dengan Mustapha Nor dan Syed Kadir.
Apakah saya termasuk dalam 'circle' mereka (3). Sebenarnya kami semua dalam satu kelab yang sama - Kelab Debat. Saya agak rapat dengan Mustapha Nor kerana dia lebih senior tetapi saya tidak bagitu mengenali Syed Kadir kerana dia junior dari saya. Sembang kami di petang itu berakhir apabila Mister Tate menasihatkan saya agar menunggu cuti penggal kedua sebelum membuat apa-apa keputusan muktamad. Ini saya turuti.
Cuti penggal berlalu, saya semakin dapat mencari ruang dan masa untuk menyesuaikan diri dalam wilayah yang baru ini. Setiap petang sebelum makan malam saya akan ke bilik bacaan di Pavallion - kawasan penempatan pelajar yang paling senior. Saya menghabiskan masa membaca akhbar dan majalah.
Jonathan Livingstone Seagull masih terbang bebas walaupun di dalam sangkar Melayu. Ketika ini saya telah mula membaca tulisan radikal, kiri dan alternatif. Secara tidak sengaja saya dapat membaca dua keluaran majalah Opinion yang saya beli di stesen keretapi di Kuala Lumpur semasa pulang bercuti (4). Saya juga terjumpa sebuah majalah tahunan terbitan Parti Sosialis Rakyat Malaya. Bacaan yang terhad ini menjadikan saya seorang pencari yang tekun.
Imperialis Amerika
Pada tahun 1970, Parti Komunis Malaya berjaya melancarkan satu serangan besaran di Gurun Kedah. Esoknya, serangan ini menjadi induk berita. Saya masih ingat lagi di kuliah Kertas Am minggu itu Mister Tate menjemput kelas kami untuk mengeluarkan pandangan tentang hal-ehwal semasa. Lalu entah macam mana kelas kami sampai ke isu serangan terbaru PKM ini.
Saya masih ingat lagi suara Mister Tate yang mengkagumi satu slogan Mao 'power comes from the barrel of the gun.. (kuasa muncul dari laras senapang). Inilah kali pertama saya mendengar kata-kata Pengerusi Mao. Mister Tate pernah memberitahu dia adalah bekas soldadu British yang datang pada zaman Darurat (baca Perang Pembebasan Rakyat Malaya.).
Dia bertugas di bahagian semboyan. Apabila keadaan semakin aman, menurut Mister Tate, dia ingin terus menetap di Malaya. Pada 1971, saya meninggalkan Kuala Kangsar dan memasuki Universiti Malaya.
Di sini, suhu kesedaran politik saya meledak. Ini ditambah pula oleh suasana Perang Vietnam, Perang Dingin dan gerakaan anak muda di seluruh dunia menentang imperialis Amerika. Saya terus mencebur diri secara aktif dalam Kelab Sosialis. Inilah satu-satunya pertubuhan mahasiswa yang jelas sikap anti-imperialisnya dan bebas dari sosial konstruk 'kaum'.
Budaya politik kiri ini mendidik saya untuk menilai kembali 'semua Mat Salleh ' yang berkeliaran di waktu ini. 'Ambience' Perang Dingin memaksa saya untuk merasa 'sangsi/curiga/waswas' terhadap sesiapa saja yang ada kaitan dengan aparachik imperialis. Ada yang dilihat sebagai menjadi agen CIA, barua Amerika, ada yang menjadi agen MI6 dan ada juga Mat Salleh yang dianggap menjadi 'sleepers'.
Suasana politik Perang Dingin ini mengingatkan saya kembali kepada Mister DJ Tate. Dalam istilah PKM dan gerakan kiri, pastilah Mister Tate dianggap sebagai musuh kerana beliau bekas aparachik tentera imperialis. Lalu saya bertanya dan menyoal diri saya sendiri - apakah peranan Mister Tate di MCKK ketika suasana Perang Dingin ini. Saya tidak menemui jawapan, tetapi soalan ini terus terpaku dalam ingatan saya.
Kali terakhir saya menemui Mister Tate ialah pada satu petang di bulan September 1973. Perang Oktober/Ramadan di Timur Tengah sedang bergolak. Mahasiswa keluar menunjukkan perasaan anti-imperialis di depan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang. Petang itu saya sedang bermotosikal dalam perjalanan pulang dari bertemu dengan Tuan Tharik Shahal, setiausaha pertama kedutaan Iraq di Kuala Lumpur.
Kedai buku
Di Jalan Ampang ini, di depan gedung membeli-belah Ampang Kompleks, saya terlihat Mister DJ Tate. Dia melambai dan mengajak saya memasuki gedung itu - satu-satunya gedung yang anggun ketika itu. Kami mencari sebuah caf untuk bersembang selesa.
Kami, seperti dua sahabat yang lama tidak berjumpa, bertanya khabar tentang itu dan ini. Mister Tate bertanya tentang kehidupan baru saya di Universiti Malaya. Dengan bangga saya menjawab '...saya tidak terkongkong seperti di tempat lama.'
Kemudian beliau bertanya tentang aksi pelajar yang dibacanya dalam akhbar. Ketika ini saya memegang jawatan setiausaha agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Jadi seharusnyalah saya dapat bercerita dengan panjang lebar. Tetapi saya agak keberatan untuk menjawab bebas kerana Mister Tate adalah bekas tentera British dan saya tidak tahu di mana dia tegak berdiri.
Kemudian babak hidup saya beralih ke kota London. Saya sering meleser di Charing Cross Road, kawasan kedai buku di tengah-tengah kota London. Daerah buku ini terletak tidak berapa jauh dari tempat saya bekerja sebagai pelayan.
Saban masa, apabila restoran tempat saya berkerja ditutup sesudah waktu makan tengah hari, saya akan memasuki kedai-kedai buku ini untuk membaca secara percuma. Dan di sini saya bertemu sekali lagi dengan Mister Tate - bukan susuknya - tetapi buku tulisan DJ Tate tentang sejarah Malaysia.
Saya amat berbangga kerana dari ribuan buku-buku yang tersusun di rak-rak buku di Charing Cross Road ada sebuah buku yang dikenali penulisnya. Malah penulis buku ini adalah bekas guru saya sendiri - kebanggaan seorang anak murid apabila melihat kejayaan gurunya.
Apabila pulang ke Malaysia, saya diberitahu bahawa Mister DJ Tate kini menjadi Muzaffar Tate. Dia telah berumah tangga dengan seorang gadis dari Kuala Kangsar dan menjadi rakyat Malaysia. Bagitu jauh sekali perjalanan sejarah hidup Mister Tate dari daerah temperate yang basah ke bumi tropikal yang panas.
Agen M16
Pada tahun 1996, di satu satu jamuan makan malam tahunan MCOBA, untuk pertama kalinya saya berjumpa sekali lagi dengan Muzaffar Tate. Dia masih kacak, segak bergaya, dengan baju batik walaupun cermin matanya telah agak tebal.
Kami paling gembira dapat bertemu sekali lagi setelah 20 tahun saya menghilang. Di malam itu, soalan yang telah begitu lama saya simpan keluar dari mulut saya, ' let us be honest Mister Tate did you worked for MI6, sir ?' (5)
Dia ketawa terbahak-bahak. Mungkin dia juga terperanjat seolah-olah 20 tahun ini saya tidak memiliki apa-apa pandangan baru walaupun Perang Dingin telah selesai. Atau beliau menganggap saya masih seperti dulu lagi, seperti kali terakhir kami bertemu di Ampang Kompleks. Tetapi saya tidak ada pilihan melainkan mengajukan soalan ini sejujur mungkin. Soalan yang telah lama saya simpan. Dan di malam itu, saya tidak menemui jawapannya.
Tiba-tiba arus politik negara berubah. Anwar Ibrahim ditangkap. Reformasi meletus. Setiapkali ada tunjuk perasaan, ceramah atau perhimpunan politik, saya ternampak susuk Muzaffar Tate. Saya merasakan selesa, pasti apa yang saya lakukan ini sesuatu yang betul. Kalau tidak mana mungkin guru saya yang tebal dengan budaya 'kriket'nya akan turut sama ke jalan raya.
Saya merasa yang diri saya tidak lagi keseorangan dalam lautan ribuan para penunjuk perasaan itu. Di mana-mana kami menunjuk perasaan, saya yakin susuk dan semangat Muzaffar Tate tidak jauh dari kami.
Kemudian saya ditangkap dan dihantar ke Kamunting. Ketika di tahun kedua di Kamunting, saya mendapat berita tentang kecelakaan tanah runtuh yang mencabut nyawa anak lelaki Muzaffar Tate. Saya menulis satu surat untuk guru saya ini sebagai tanda hormat dan simpati saya kepada keluarga beliau. Surat ini telah selamat di seludup keluar.
Dua bulan kemudian, semasa Tian Chua pergi menghadiri perbicaraan di Lunas, saya telah menerima surat jawapan dari Muzaffar Tate. Sayangnya surat ini telah ditahan oleh mata-mata dan tidak dapat diseludup masuk ke Kamunting.
Perang dingin
Hanya isi kandungan surat ini telah disalin cepat oleh Tian Chua untuk dibacakan kepada saya. Saya bagitu gembira sekali bila menerima surat jawapan ini, walaupun hanya mendengar isi kandungan sahaja, tanpa tulisan asal.
Tiga hari selepas dibebaskan dari Kamunting, saya dijemput berucap di rumah Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bukit Damansara. Ratusan pendengar berkumpul pada malam itu. Ada warga parti komponen Barisan Alternatif, dari kaum kerabat gerakan Reformasi, atau ada yang datang kerana rasa ingin tahu tentang Kamunting.
Dalam ratusan pendengar ini, saya terlihat di satu sudut guru saya Muzaffar Tate sedang duduk bersila mendengar ucapan saya. Muzaffar Tate kini telah menjadi kaum kerabat Reformasi. Selesai berucap, saya terus pergi kepada beliau dan bertanya khabar.
Kini - saya dan Muzaffar Tate dalam satu angkatan - perang dingin kami telah lama selesai. Dua minggu selepas ceramah itu, saya terbaca satu tulisan Muzaffar Tate, dalam akhbar Keadilan, mengenai diri saya dan pengalaman beliau dengan saya sejak di MCKK lagi. Saya merasa segan, kecil dan takut kerana tulisan seperti ini mungkin tidak terbawa oleh susuk saya.
Dua minggu selepas hari raya lalu, kami bertemu lagi dalam satu soiree di sebuah hotel berbintang di Kuala Lumpur. Saya mementaskan satu 'agitprop' untuk perjumpaan pada malam itu. Muzaffar Tate datang bersama isterinya dan 600 tamu yang lain untuk sama-sama merayakan dan memeriahkan soiree politik ini.
Muzaffar Tate yang berbaju batik dan berpantalon hitam, memasuki pekarangan dewan dengan perlahan-lahan. Umur mengambilalih kemudaannya. Segaknya telah meluntur. Tidak banyak yang kami bualkan selain bertanyakan khabar. Saya menyambut beliau dari gigi tangga dan membawanya di ke pintu dewan. Selesai soiree beliau terus pulang.
Anak bumi Malaysia
Pada jam 4 petang Jumaat 2 Januari 2004, saya mendapat panggilan telefon mengenai kematian Muzaffar Tate. Beliau meninggal dunia setengah jam sebelumnya. Saya bergegas ke Gombak. Di sana telah ramai berkumpul bekas anak murid Mister DJ Tate - senior-senior saya, rakan sedarjah dan junior-junior saya dari MCKK..
Di anjung ruang tamu, terbujur mayat Muzaffar Tate. Suasana hening, sayu dan hening. Dia tidak mengetahui yang saya datang lagi pada petang itu. Di halaman rumah, saya berbual dengan rakan-rakan sesekolah - kami melihat kembali zaman Kuala Kangsar kami - zaman bersama Mister DJ Tate. Cerita-cerita tentang kelucuan hidup, kenakalan zaman bersekolah, pendewasan dan akhirnya penemuan hidup dengan mati.
Sebelum mengundur diri, saya memasuki ke anjung rumah dan terus duduk berhadapan mayat guru saya. Guru yang telah memberi saya nasihat untuk terus menetap di MCKK. Di sebelah saya, seorang senior sedang membaca surah Yassin. Saya hanya merenung muka Mister DJ Tate dan memutarkan ingatan saya kepada pertemuan detik-detik hidup kami yang telah mempengaruhi satu sama lain.
Kematian hanyalah kehilangan jasad. Lahir dari kematian ini adalah ingatan saya tentang perjalaan dan pengisian hidup saya sendiri. Di hadapan saya ialah mayat Desmond J Tate. Turut sama pupus pada petang itu adalah sikap kesangsian saya terhadap keupayaan manusia untuk menjadi jujur.
Tidak semestinya kita menjadi Melayu/Islam untuk menjadi baik. Tidak semestinya kita dilahirkan di bumi ini untuk peduli tentang negara ini. Kita semua adalah anak bumi manusia- anak semua bangsa.
NOTA:
1 - rayat - lorat Negeri Sembilan bermakna Orang Asli
2- sayur campur - istilah yang digunakan oleh komuniti Malaysia di London kepada mereka yang lahir hasil perkahwinan dengan Mat Salleh.
3 - Mustapha Nor - arwah - aktivis filem/teater - Circle yang dimaksudkan ialah kumpulan yang selalu berbincang tentang kewujudan tuhan.
4 - Opinion - majalah yang memuatkan tulisan dari penulis seperti Dr Rajakumar, Dr Tan Chee Koon.
5 - MI6 - Jabatan risikan luar United Kingdom, sama seperti CIA.

