Saya amat bersetuju dengan Professor Abdolkarim Soroush (Islam and the modern Muslim intellectual, Farish A Noor, 18 Disember 2003) apabila beliau mengingatkan kita bahawa dalam kita membincangkan konsep-konsep abstrak seperti Islam, kemodenan, (tentu juga demokrasi - penulis), kita tidak boleh menjadikannya sebagai kategori yang mudah, seolah-olah ia suatu entiti atau benda yang mufrad (singular) dan seragam (unified) .

Tambah beliau, Islam seperti Kristian dan agama-agama lain, pada asasnya merupakan sejarah interpretasi yang berbeza, yang tergolong dalam mazhab dan aliran fikiran yang berlainan. Lantaran itu, tiada Islam yang tidak berunsur sejarah atau di luar perkembangan proses sejarah.

Maknanya: "Pengalaman penghidupan Islam senantiasa bersifat khusus dalam hubungan sejarah dan budaya, dan terbatas oleh keadaan sekitar terdekat, lokasi masa dan ruang. Jika kita mengambil suatu 'snapshot' terhadap Islam seperti yang ia wujud sekarang, ia akan mendedahkan kepelbagaian pengalaman penghidupan yang begitu berbeza sekali, tetapi wujud serentak."

Oleh itu, Professor Abdolkarim Soroush membuat kesimpulan bahawa agama, seperti semua gejala manusia, perlu difahami dalam konteks tersebut. Saya ingin menambah, berasaskan hujah yang sama, demokrasi, baik demokrasi Islam maupun demokrasi barat, juga perlu difahami dalam konteks yang sama.

Dalam hubungan ini, hendaknya kita tidak terperangkap dalam kesimpulan yang terlalu simplistik atau berprasangka bahawa demokrasi itu bertentangan dengan Islam, atau demokrasi itu hak monopoli barat yang sekular.

Menganggap demokrasi itu bertentangan dengan Islam, tidak semestinya timbul daripada prasangka orang barat, malah umat Muslim sendiri juga ada yang menolak sistem demokrasi atas alasan manusia yang menggubal undang-undang dalam sistem tersebut, manakala dalam negara Islam, Syariah adalah yang diwahyukan Tuhan.

Sistem demokrasi

Dari sejarah, perang salib, penindasan kolonialisme dan imperlisme barat terhadap negara-negara Islam, serta pencerobohan dan penaklukan Palestin oleh Israel, Afganistan dan Iraq oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, mungkin sudah mencemarkan sistem demokrasi yang dilaksanakan oleh negara- negara terbabit.

Tidak dapat dinafikan demokrasi barat merupkan demokrasi borjuis. Ia tidak semestinya menjamin keadilan, kebebasan, hak asasi dan hak individu negara yang melaksanakannya. Namun, ide-ide pilihanraya umum, kerajaan berperlembagaan, sistem kehakiman yang adil dan bebas, dan demokrasi berparlimen yang anti-feudalisme dan pemerintah autokrasi, ada juga keunggulannya sebagai institusi politik dan asas moral.

Namun, menurut suatu hasil tinjauan, dalam 47 negara di mana orang Islam adalah penduduk majoriti, hanya 11 negara atau 23 peratus daripadanya, melaksanakan sistem demokrasi berparllimen.

Manakala dalam 145 negara yang lain, didapati 64 peratus melaksanakan sistem demokrasi berparlimen. Adakah hasil tinjauan tersebut menunjukkan kelemahan negara Islam dalam kefahaman mengenai demokrasi? Atau Islam memang tidak bersesuaian dengan semangat dan amalan demokrasi?

Khaled Abou El fadl (The Omar and Azmeralda Alfi Distinguished Fellow in Islamic Law at UCLA) mempertahankan demokrasi dalam Islam berasaskan kepada enam ide basis seperti berikut:

1.Umat manusia adalah ejen Tuhan di dunia;

2.Sistem ejen ini merupakan asas kepada tanggungjawab individu;

3.Tanggungjawab individu dan system ejen membekalkan basis kepada hak-hak manusia dan kesetaraan;

4.Umat manusia amnya, dan orang Islam khasnya, mempunyai kewajipan asas untuk membela keadilan (menguasai kebenaran dan melarang kesalahan secara umum), dan memelihara dan mempromosi Undang-Undang Tuhan;

5.Undang-undang Tuhan mesti dibezakan daripada interpretasi-interpretasi manusia yang tidak terlepas daripada membuat kesilapan;

6.Negara (state) tidak harus berpura-pura mempunyai kedaulatan dan keagungan Tuhan.

Bukan paksaan

Beberapa konsep penting Islam, umpamanya syura (consultation), ijmak (consensus) dan ijtihad (penalaran rasional) sering dikaitkan dengan amalan demokrasi berpunca daripada Islam sendiri.

Andainya Islam memerlukan suatu proses pendemokrasian, ia pasti bukan dipaksakan oleh mana-mana pihak, terutamanya Amerika dan sekutunya.

Besar kemungkinan ia berkembang daripada bibit-bibit demokrasi yang terkandung dalam Islam sendiri, diselaraskan dengan nilai dan sistem demokrasi sejagat yang merupakan warisan bersama umat manusia.

Sama ada atau tidak, proses pendemokrasian Islam seperti tersebut di atas akan berlaku, dan sama ada atau tidak ia akan berlaku di negara kita, banyak bergantung kepada sikap dan pendirian umat Islam terhadap agamanya.

Bagaimanapun, saya yakin Islam akan berkembang dan maju seiring dengan peredaran masa, jika umat Islam sanggup menjadikan 6 prinsip Jaringan Islam Liberal (http://islamlib.com) berikut sebagai pegangan dalam menangani segala masalah yang berkaitan dengan Islam:

1..Keterbukaan pintu ijtihad dalam semua bidang: IL (Islam Liberal) percaya ijtihad atau penalaran rasional atas teks keislaman adalah prinsip utama yang memungkinkan Islam terus bertahan dalam segala keadaan. Penutupan pintu ijtihad, baik secara terbatas atau secara keseluruhan, adalah ancaman atas Islam itu sendiri, sebab dengan demikian Islam, akan mengalami pembusukan.

IL percaya ijtihad bisa diselenggarakan dalam hampir semua segi, baik segi ilahiyyat (teologi), ubudiyyat (ritual), atau muamalat (interaksi sosial) . Ruang ijtihad dalam bidang ubudiyyat memang lebih sempit dibanding dengan ijtihad di dua bidang yang lain.

Peradapan

2. Penekanan pada semangat religio-etik, bukan pada makna literal sebuah teks: Ijahat yang dikembangkan oleh IL adalah upaya menafsirkan Islam berdasarkan semangat religio-etik al-Quran dan Sunnah Nabi, bukan menafsirkan Islam semata-mata berdasarkan makna literal sebuah teks.

Penafsiran yang literal hanya akan "membunuh"Islam. Hanya dengan penafsiran yang mendasarkan diri pada semangat religio-etik, Islam akan dapat hidup dan berkembang secara

kreatif menjadi sebahagian dari "peradaban kemanusiaan"universal.

3. Kebenaran yang relatif, terbuka dan plural: IL mendasarkan diri pada gagasan tentang "kebenaran"(dalam penafsiran keagamaan) sebagai sesuatu yang "relatif", sebab sebuah penafsiran adalah "kegiatan manusiawi"yang terkungkung oleh konteks tertentu; "terbuka", sebab setiap bentuk penafsiran mengandung kemungkinan salah, selain kemungkinan benar; "plural", sebab sebuah penafsiran keagamaan, dalam satu dan lain cara, adalah cerminan

dari kebutuhan seorang penafsir di suatu masa dan ruang yang terus berubah-ubah.

4. Pemihakan pada yang minoritas dan tertindas: IL mendasarkan diri pada suatu penafsiran keislaman yang memihak kepada "yang kecil", minoritas, tertindas dan dipinggirkan. Minoritas di sini difahami dalam maknanya yang luas, mencakupi minoritas agama, etnik, ras, budaya, politik, ekonomi, orientasi seksual, dll. Keadilan gender adalah satu masalah yang kami anggap

penting, sebab struktur social kita masih di dasarkan pada gagasan patriarchal yang berlawanan dengan ide keadilan dalam Islam.

5..Kebebasan beragama dan berkepercayaan: IL menganggap urusan "beragama"dan "tidak beragama "adalah hak perseorangan yang harus dilindungi. IL tidak bisa membenarkan prosekusi atas dasar suatu pendapat atau kepercayaan.

6..Pemisahan otoritas duniawi dan ukhrawi, otoritas keagamaan dan politik: IL percaya pada keniscayaan pemisahan antara kekuasaan keagamaan dan politik. IL tidak membenarkan gagasan tentang negara agama di mana otoritas seorang ulama atau kiai dipandang sebagai kekuasaan tertinggi yang tidak bisa salah. Bentuk negara yang sihat untuk pertumbuhan agama dan politik adalah suatu negara di mana dua wewenang itu dipisahkan.

Ijtihad kolektif

Agama adalah sumber inspirasi yang dapat mempengaruhi kebijakan awam, tetapi agama tidak serta-merta mempunyai "privelese transedental"yang tidak bisa disangkal untuk menentukan

segala bentuk kebijakan awam. Pada akhirnya, agama adalah bekerja pada ruang peseorangan. Urusan awam haruslah diselenggarakan melalui proses "ijtihad kolektif", di mana pelbagai pihak boleh saling menyangkal, di mana kebenaran ditentukan secara "induktif"melalui adu dan uji pendapat.

Prinsip-prinsip tersebut mungkin dianggap "terlalu liberal "oleh ulama-ulama di negara kita, terutama ulama PAS yang bermati-matian hendak melaksanakan negara Islam, sungguhpun kenyataannya negara kita terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya itu tidak mengizinkan.

Seperti diakui pengarang Memorandum PAS kepada rakyat Malaysia (deraf) sendiri bahawa kepada penganut agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh serta golongan yang tidak beragama seperti golongan liberal humanis atau 'free-thinkers', memorandum itu tidak bertujuan untuk mengkesampingkan mereka. Bahasa dan istilah yang digunakan yang terkadang-kadang memberi persepsi 'eksklusif'dan ditanggapi sebagai meminggir golongan bukan Islam.

Ini bukan masalah persepsi, negara Islam memang sistem "eksklusif"yang meminggirkan golongan bukan Islam. Bukan saja rakyat bukan-Islam dikesampingkan pada keseluruhannya, apa yang dinamakan pemimpin rumi juga diketepikan oleh pemimpin jawi PAS, kerana pada hakikatnya hanya Majlis Ulama yang berkuasa untuk membuat keputusan muktamad.

Kalau tidak silap, barangkali inilah sebabnya Memorandum PAS kepada rakyat Malaysia (deraf) yang lebih sensitif kepada perasaan bukan-Islam tersebut, digantikan oleh Dokumen Negara Islam yang lebih "dogmatik"dan "menakutkan" dari kacamata bukan-Islam.

Sejak penubuhan PAS pada 1951, parti itu berjuang dalam landasan sistem demokrasi berparlimen/berperlembagaan. Tidak dapat dinafikan, Perlembagaan Persekutuan merupakan suatu kontrak (dalam artikata yang longgar) yang diterima rakyat pelbagai kaum dan merupakan asas kenegaraan kita hampir setengah abad.

Merasa gembar

Jika dengan tiba-tiba, Syariah pula yang mengambil alih kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini, seperti yang diwajibkan dalam negara Islam, sudah barang tentu masyarakat bukan-Islam akan berasa gempar dengan prospek senario tersebut.

Jika MCA dan Gerakan yang bercakaran selama ini, juga sedang berura-ura hendak bercantum demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan (sudah barang tentu sebagai satu dalil), betulkah PAS masih percaya pengumuman Dokumen Negara Islam itu, secara unilateral tanpa persetujuan BA, sebagai suatu tindakan yang bijak?

PAS boleh melabelkan orang Melayu yang tidak menyokong Negara Islamnya sebagai "Yahudi", dan terus bercanggah diri dalam dilema menjadikan Syariah sebagai undang-undang tertinggi negara dan menjamin PAS masih menyokong sistem demokrasi berparlimen/berperlembagaan. Tetapi saya rasa, dalam pilihanraya umum yang akan datang, parti itu dan parti BA yang lain

mungkin mengalami akibat buruk kerana kesilapan PAS!

Tanpa Negara Islam, atau dalam sistem berparlimen/berperlembagaan sekarang, saya tidak nampak kenapa "sendi dan asas penting" berikut tidak dapat diperjuangkan dalam landasan BA, padahal ianya hasrat bersama umat Islam dan bukan-Islam negara kita:

1. Masyarakat Madani (Negara Hadhori);

2. Prisip Al-Musaawah atau Kesaksamaan;

3. Kedaulatan Undang-Undang;

4. Keadilan (Al-'Adalah) di segi ekonomi, politik, agama dan sosio-budaya;

5. Negara Berkebajikan yang Moden dan Membangun; dan

6. Sistem Syura dan Demokrasi yang dinamik dan inovatif.

Mengguna-pakailah konsep-konsep syura, imjak dan ijtihak koletif dengan seliberal dan sebijak-bijaknya, sesuai dengan semangat dan amalan demokrasi, saya yakin PAS tentu dapat melepaskan parti itu daripada jalan buntu Negara Islam yang sukar sekali dapat disokong oleh rakyat bukan-Islam, malah orang Islam yang liberal, yang tentu berjumlah melebihi separuh penduduk negara kita.

Moga-moga PAS dapat menyelaraskan strateginya dengan secepat mungkin, kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna!(23 Disember 2003)