Bye-bye PAS, hello Umno
Pilihanraya umum semakin hampir. Demikian menurut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamed {Tok Pa). Lantas beliau merangka program "Selamat Tinggal PAS ". Tujuan program itu hanya satu, mahu merampas kembali negeri Kelantan.
Sungguh tinggi cita-cita Tok Pa. Beliau mahu menjadikan kejayaan menawan Kelantan sebagai hadiah paling bermakna kepada pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Beliau tidak menyebut kemenangan yang diharap-harapkan itu sebagai hadiah untuk dirinya sendiri, sedangkan beliau disebut-sebut sebagai bakal menjadi menteri besar negeri itu, andainya Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan orang-orangnya ditewaskan.
Pilihanraya umum semakin hampir. Demikian menurut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamed {Tok Pa). Lantas beliau merangka program "Selamat Tinggal PAS ". Tujuan program itu hanya satu, mahu merampas kembali negeri Kelantan.
Sungguh tinggi cita-cita Tok Pa. Beliau mahu menjadikan kejayaan menawan Kelantan sebagai hadiah paling bermakna kepada pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Beliau tidak menyebut kemenangan yang diharap-harapkan itu sebagai hadiah untuk dirinya sendiri, sedangkan beliau disebut-sebut sebagai bakal menjadi menteri besar negeri itu, andainya Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan orang-orangnya ditewaskan.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu yakin Umno mampu memenangi sekurang-kurangnya 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan. Katanya banyak perubahan telah berlaku, ramai golongan atas pagar dan penyokong PAS kini mahu bersama Umno.
Beliau mungkin mempunyai asas dan sebab tersendiri untuk berasa yakin mampu menewaskan para penyokong dan bala tentera Nik Aziz kali ini setelah beberapa kali gagal dalam misi menawan Kelantan sebelum ini. Salah satu asasnya ialah kewujudan barisan kepimpinan baru yang dikatakan lebih mantap dan semakin diterima oleh rakyat Kelantan.
Kononnya, muka-muka baru seperti Datuk Dr Awang Adek Husin, Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman lebih disenangi rakyat. Sambutan orang kampung terhadap majlis hari raya dan upacara penyerahan bantuan basikal kepada para pelajar sekolah, dijadikan kayu ukuran pemulihan semangat dan pengaruh Umno di negeri itu.
Disingkir
Malah Tok Pa begitu yakin apabila melihat lebih 5,000 orang menghadiri majlisnya sambutan hari rayanya di Pasir Mas Sabtu lalu. Menurut beliau, jumlah kehadiran yang besar itu menunjukkan rakyat setempat menyokong keputusan Umno pusat menyingkir bekas Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali daripada mengetuai jawatankuasa penaja Umno bahagian tersebut.
Nampaknya, beliau mahu memberitahu semua anggota Umno bahawa Umno Kelantan tiada masalah. Beliau mahu menegaskan bahawa Ibrahim Ali sudah dilupakan oleh rakyat di Pasir Mas. Namun adakah begitu senario sebenarnya?
Begitu mudahkah ahli-ahli Umno Pasir Mas menerima keputusan penyingkiran Ibrahim Ali yang sudah sekian lama berakar umbi di daerah itu? Adakah Ibrahim Ali tersenyum dan reda menerima keputusan pucuk pimpinan Umno itu? Sesiapa yang pergi ke Pasir Mas sekarang, pasti dapat merasakan betapa kenyataan Mustapha itu hanya sekadar penyedap bicara sahaja.
Keadaan di Pasir Mas sedang panas. Para penyokong Ibrahim Ali tidak berdiam diri. Banyak
sepanduk-sepanduk protes dinaikkan bagi memprotes keputusan penyingkiran Ibrahim Ali itu. Malah Ibrahim Ali telah menegaskan bahawa beliau berasa terhina dengan keputusan tersebut dan mahu ia dikaji semula.
Secara terang-terangan beliau menuduh ada pihak yang mensabotajnya. Malah beliau sudah bersiap sedia untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang sebagai tanda protesnya terhadap itu.
Rasa tidak puas hati terhadap perlantikan ketua penaja Umno bahagian di negeri itu bukan sekadar panas di Pasir Mas, malah khabarnya turut dirasai di Peringat, Tumpat dan Kota Bharu. Ramai ahli Umno negeri itu merasakan Tok Pa telah tersilap apabila menggugurkan Ibrahim dan rakan-rakannya yang lain. Mereka tahu tindakan itu akan menghangatkan lagi politik dalaman Umno Kelantan yang selama ini diketahui sentiasa berpecah belah.
Pemilihan parti
Tok Pa dilihat cuba melakukan pembersihan dalam menamakan senarai ketua penaja Umno tempoh hari. Beliau mahu memastikan muka-muka baru yang merupakan penyokong kuatnya diberi tempat. Bisik-bisik dalam Umno negeri mengkhabarkan, kalau boleh Tengku Razaleigh (Ku Li) juga mahu diketepikan dari senarai ketua penaja tersebut.
Namun, itu tidak mungkin boleh dilakukan sekarang kerana tindakan sedemikian akan menghancurkan sebarang peluang yang ada pada Umno Kelantan. Pengaruh Ku Li masih kuat walaupun beliau secara perlahan-lahan disisihkan dari barisan kepimpinan dan aktiviti Umno negeri itu. Lebih penting lagi, Ku Li adalah sahabat baik Perdana Menteri.
Kini Tok Pa dikatakan menghadapi tugas berat untuk menyatupadukan semula ahli Umno Kelantan. Keretakan itu tidak dapat disembunyikan lagi hingga memaksa pemangku Presiden dan setiausaha agung parti mengeluarkan kenyataan meminta pihak-pihak yang tidak berpuas hati supaya jangan menimbulkan masalah.
Malahan, Tan Seri Khalil Yaakob menasihatkan mana-mana pemimpin yang digugurkan bahawa mereka boleh bertanding dalam pemilihan parti yang akan diadakan kelak untuk merampas kembali jawatan yang hilang. Buat masa ini, beliau mahu fokus pemimpin dan ahli ditumpukan kepada pilihanraya umum sahaja.
Khabarnya telah ada utusan khas dikirim dari Kuala Lumpur untuk memujuk Ibrahim Ali supaya bertenang. Umno Pusat bimbang gelagat Ibrahim Ali akan merosakkan program menawan semula Kelantan.
Krisis dalam Umno Kelantan itu telah memberi banyak keuntungan kepada PAS. Tuan Guru Nik Aziz tidak perlu bersusah-payah mendedahkan kepincangan Umno kerana ia telah terserlah dengan sendiri. Budaya berebut jawatan, dengki khianat, mementingkan diri sendiri dan cah keting makin berleluasa.
Keluar parti
Usaha Umno memburuk-burukkan kepimpinan PAS, termasuk mengeksploitasi kenyataan Nik Aziz yang menyamakan orang Melayu sama dengan Yahudi, tidak memberi kesan. Ini kerana rakyat Kelantan tahu dalam konteks apa Nik Aziz bercakap. Mereka sudah masak dengan putar belit para pemimpin Umno dan media propagandanya.
Progrm "Selamat Tinggal PAS " akan semakin rancak dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Media arus perdana saban hari akan melapor dan menyiarkan gambar dan berita "ahli-ahli PAS " menyerahkan borang menyertai Umno. Tok Pa akan sibuk ke sana sini di negeri itu untuk menyempurnakan majlis " Bye-bye PAS, Hai-Hai Umno " itu.
Cawangan-cawangan PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Selangor dan Pahang akan digambarkan sebagai telah lumpuh sedangkan hakikat sebenarnya "ahli-ahli PAS " yang keluar parti itu sebenarnya tidak wujud.
Begitulah strategi, taktik dan teknik perang saraf Umno. Seluruh rakyat sudah maklum. Drama lapuk ini akan diulang tayang untuk memastikan Pak Lah mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya umum ke-11 kelak.
Namun di Kelantan dan Terengganu, Umno diyakini akan terus menggigit jari kerana walaupun barisan kepimpinan telah berubah, namun metaliti mereka masih sama. Umno di kedua-dua negeri itu hanya bersalin kulit sedangkan perangai, sikap, semangat dan jiwanya tidak berubah.

