Kita, sebagai insan di maya ini, setiap saat akan membuat upaya untuk memperbaiki diri. Lalu kita mencari dan menetapkan satu hari, satu detik untuk membuat janjidiri. Goethe dalam Faustnya, telah berjanji dengan setan. Dorian Gray, semasa mudanya, telah berjanji di hadapan potretnya sendiri untuk terus menjadi muda dan kacak agar dapat menawan setiap lelaki dan wanita di kota London.

Sesiapa yang pernah dipenjara, pasti memahami makna janjidiri. Selalunya detik ingin membuat janjidiri ini sampai dalam suasana keheningan, bersendirian di dalam bilik yang terkunci. Lalu janji dibuat tanpa banyak congak dan hitung. Saya juga, sama seperti ramai tahanan dan banduan, telah membuat janjidiri, lama sebelum dibebaskan dari Kamunting.

Ini bukan perjanjian saya dengan setan. Tidak ada setan atau sesiapa yang akan menuntut apa-apa janji dari saya. Janjidiri hanyalah untuk diri saya sendiri. Manusia diberi kebebasan dan dibolehkan memilih tarikh dan detik untuk membuat janjidiri atau tidak membuat apa-apa janjidiri. Tidak diwujudkan hukum-hakam yang menetapkan masa dan detiknya.

Tetapi, dunia telah memilih tarikh yang paling klise, iaitu dipermulaan tahun baru kalender Gregorian. Entah siapa yang memulakannya. Bila saja tahun kalender Gregorian berakhir, kita sama-sama mendengar/melihat/membaca pelbagai janjidiri ini dilaungkan di radio, di TV dan di akhbar.

Suasana inilah yang mewajibkan saya untuk membuat satu janjidiri. Di bawah ini adalah janjidiri saya untuk tahun 2004 yang telah saya fikirkan semasa saya di Kamunting, lama sebelum saya dibebaskan:

Saya, Hishamuddin Rais, warga Malaysia, pemegang kad pengenalan berwarna biru bernombor 1042001 dengan penuh kesedaran dan keinsafan; dengan kyusuk lagi tawaduk, ingin merakamkan janjidiri ini. Saya melakukannya dengan hati terbuka tanpa digari atau ditutup mata. Janjidiri ini saya lakukan demi untuk menerapkan nilai-nilai murni yang berasaskan budaya dan acuan ketimuran kita.

Warga patriotik

Janjidiri ini juga saya lakukan agar saya akan menjadi seorang warganegara yang patriotik dan cintakan tanahair. Janjidiri ini juga saya lakukan demi untuk negara, bangsa dan agama. Takbir!

1. Saya berjanji, pada tahun 2004 ini, saya akan memaksa diri saya untuk menonton semua saluran TV Malaysia, terutama rancangan-rancangan di RTM yang belum pernah saya tonton seumur hidup saya.

2. Saya berjanji akan mengulang tonton semua rancangan Edisi Siasat. Dan akan menonton apa saja rancangan tempatan yang bermula dengan tajuk Siasat, Pemimpin Kita atau Assalamualaikum.

3. Saya berjanji akan melanggan/membaca/mentelaah akhbar- akhbar tempatan terutama yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan Melayu, demi penajaman minda saya yang semakin tumpul.

4. Saya berjanji untuk membaca semua tulisan dan rencana di Utusan Malaysia, terutama oleh sesiapa saja yang namanya bermula dengan Doktor, Profesor, Datuk atau Zainuddin Maidin. Semua isi kandungan tulisan ini akan saya hayati dan simpaikan ke jiwa saya.

5. Saya menyedari media asing sering memutarbelitkan berita. Media asing telah menjadi musuh kita. Media asing bertangungjawab memperlekehkan ucapan-ucapan bernas yang penuh dengan idea dan falsafah dari pemimpin negara kita. Saya tidak akan percaya kepada media asing, kecuali apabila laporan positif mereka yang dipungut untuk dilaporkan sekali lagi oleh Utusan Malaysia.

Apabila media asing memberi laporan positif, mereka berkata benar, tetapi apabila mereka memperlekeh pemimpin kita - ini pastilah salah lapor. Di atas kesedaran ini, saya berjanji tidak akan lagi di pengaruhi oleh media asing.

6. Saya berjanji tidak akan memiliki apa-apa prasangka terhadap sistem perundangan negara ini. Saya akui, sistem perundangan kita bebas daripada pengaruh politik. Gambar-gambar di antara ketua hakim negara bersama dengan orang yang dituduh, yang masih tersebar luas di laman Internet, bukanlah gambar sah.

Hampeh belako

7. Saya mengakui bahawa sistem perundangan kita setaraf dengan sistem perundangan di negara-negara lain seperti Zimbabwe, Burma, Saudi Arabia, Dubai, Abu Dhabi dan Wadunga Wadungu. Saya menerima dengan penuh kejujuran bahawa undang-undang di negara tercinta ini adalah untuk kebaikan kita bersama dan dibuat dengan acuan kueh bahulu kita sendiri.

8. Saya menerima hakikat bahawa negara-negara asing, terutama negara Barat, amat cemburu terhadap kita. Mereka tidak ada kerja lain, selain mencemburui kejayaan Malaysia. Negara Barat cemburu apabila melihat pembangunan negara kita, terutama apabila mereka melihat betapa tingginya Twin Tower kita.

Mereka juga amat mencemburui kesesakan lalulintas kita. Mereka bebal untuk memahami bahawa inilah satu contoh kejayaan kita sebagai penjual kereta enjin Jepun. Mereka juga amat cemburu kerana statistik kematian di jalanraya kita lebih tinggi daripada mereka.

9. Negara-negara Barat ini semuanya 'hampeh belako' kecuali universiti mereka, rancangan TV mereka, technologi mereka, fesyen pakaian mereka, McDonald mereka, StarBuck mereka, Kentucky mereka, senjata mereka, filem mereka, muzik mereka, kereta mereka, buku ilmiah mereka dan duit dari pelancong mereka - lainnya semua hampeh.

Mereka tidak ada Wawasan 2020 seperti Malaysia yang tercinta ini. Di atas kesedaran ini saya berjanji dan menerima hakikat untuk berterima kasih dan bersyukur kerana tinggal di Malaysia.

10. Pada tahun 2004, saya berjanji untuk membaca semua sajak dan semua certot (cerita kontot) yang di siarkan akhbar mingguan berbahasa Melayu. Sajak dan certot adalah kerja seni Malaysia yang amat unik. Saya akan akan menikmati semua sajak dan certot, terutama yang bertemakan 31 Ogos, Ramadhan, Syawal, Perjuangan Belum Selesai, Pemimpin Kita dan Wahai Pembangunan.

Saya berjanji untuk menghayati semua sajak dan certot, terutama jika ada menggunakan perkataan atau frasa: unik, terjang, syahdu, prestasi, canggih, murtabat, Islam jalan yang benar, Yahudi, Bush, Sharon, Isreal, acuan kita, perjuangan bangsa kita dan ajaran sesat.

11. Saya berjanji untuk meminati apa saja yang dikeluarkan dari mulut Siti Nurhaliza. Justeru pada tahun 2004 ini, untuk menerbitkan beberapa majalah berbahasa Melayu. Nama-nama yang akan saya beri ialah Bogiu, Eleh, Mari Klari, Bida dan Wi. Majalah dari Barat, terutama yang ada bau minyak wangi Perancis ini selalu menyusahkan lidah kita, terutama apabila kita hendak dilihat chic, trendy dan en voque, tetapi apabila kita sebutkan namanya ternampak Ulu Chenonoi kita.

12. Saya akan menyokong agar majalah bukan Bahasa Malaysia yang mempunyai nama yang susah seperti majalah Voque hendaklah diharamkam. Ini kerana telah beberapa kali lidah Siti Nurhaliza terpelioh semasa cuba menyebut nama majalah ini. Ini sebenarnya adalah agenda agen asing untuk merendah murtabat penyanyi agung kita ini.

Rasuah

13. Pada tahun 2004 ini, saya berjanji untuk percaya bahawa polis kita tidak pernah makan rasuah. Polis kita bersih cekap dan amanah, seperti Tujuh Orang Polis dalam (siri TV) Gerak Khas. Polis rasuah yang sering dilihat berkeliran itu sebenarnya bukan polis tetapi watak dalam rancangan TV yang sedang dibuat oleh sebuah syarikat filem asing.

14. Saya berjanji untuk percaya bahawa tiga tan senjata boleh dimuatkan ke dalam sebuah Pajero. Malaysia Boleh ini berupaya untuk menyauk ke kiri dan menyauk ke kanan. Saya berjanji untuk percaya bahawa Bukit Jenalik itu adalah hutan yang paling tebal. Sekolah yang berhampiran dengan Bukit Jenalik itu sebenarnya bukan sekolah tetapi base camp yang telah disediakan oleh Republikan Guard untuk menyembunyikan Saddam Hussein.

15. Pada tahun 2004 ini, saya berjanji untuk lebih banyak menggunakan Bahasa Inggeris semasa bercakap dan berlabun, terutama dengan ayah saya yang berumur melebihi 80 tahun. Saya juga akan menggunakan Bahasa Inggeris kepada semua Mak Cik Felda yang saya temui. Ini sebagai tanda sokongan saya terhadap dasar kerajaan yang ingin mempopularkan bahasa global ini.

Saya akan menyelitkan satu dua perkataan Inggeris dalam percakapan harian saya, seperti yang dilakukan oleh menteri-menteri kita, dengan harapan (mereka), saya tidak dilihat bebal.

16. Saya berjanji untuk tidak lagi melayari laman Mahazalim, Mahafiruan2020, Black 14, FreeAnwar dan Sex Melayu, CariTeman, Mamak, BudakMatrik, KembangSetaman, Lelaki Sunyi, MinahSingle dan SiapaNakAnu.

17. Pada tahun 2004 ini, saya ingin dilihat setaraf dengan masyarakat antarabangsa yang elegan dan bergaya. Justeru, saya berjanji untuk memasuki McDonald, Burger King dan Pizza Hut. Ini juga akan memperlihatkan keglobalisasian diri saya sebagai rakyat Malaysia. Saya berjanji untuk menyahut seruan pemimpin agung kita bahawa Amerika itu adalah musuh kita, tetapi bukan kopinya. (Bilo pulak Amerika tanam kopi ni !)

18. Saya berjanji demi untuk keintelektulan diri, saya akan meleser dan memunculkan diri di caf-caf di Talawi, MidValley, KLCC, Lot 10 dan akan meninggalkan Lorong Haji Taib, Sentul, Kampong Baru dan Chow Kit Road untuk selama- lamanya.

19. Pada tahun 2004 ini, saya akan menyimpan tiga helai bulu hidung. Ini untuk dijadikan rekod bulu hidung terpanjang bukan sahaja di Malaysia tetap di dunia. Saya tidak akan memotong bulu hidung saya ini sehingga nama Malaysia tercatit dalam Book of Records. Inilah sumbangan Malaysia Boleh saya.

20. Saya juga berjanji untuk menulis sebuah buku yang paling tebal dalam dunia ini sebagai usaha saya untuk memalukan panel hadiah Nobel di Sweden kerana telah memberi Hemingway penghormatan hadiah Nobel untuk sastera pada tahun 1952. Buku The Old Man and The Sea ini tidak melebihi 200 muka surat. Saya berjanji untuk berkempen agar buku-buku yang dipilih wajib ditimbang beratnya terlebih dahulu. Yang paling tebal dan berat wajib dilihat sebagai pemenang.

Perempuan jantan

21. Saya juga berjanji akan berkempen ke Holywood untuk menuntut agar semua filem yang memberi kredit kepada Michelle Yeoh ditambah dengan perkataan Datuk. Pembayaran Datuk Michelle Yeoh ini patut setimpal dengan nama darjah kebesaran ini.

22. Saya berjanji tidak akan menggunakan/menyebut/menyeru perkataan D-A-T-U-K kepada sesiapa saja yang telah dianugerahkan Datuk dari Pulau Midanao. Saya akan berjuang dan memperkuatkan lagi Persatuan Datuk-Datuk dan akan mendesak ROS untuk menyenaraikan Persatuan Tan Sri sebagai satu gagasan kewibawan yang gah.

23. Saya berjanji dan bersumpah pada tahun 2004 ini, saya akan mengkeraskan semua lelaki lembut dan melembutkan semua wanita keras. Saya bersetuju yang lembut dan yang keras ini patut dikumpulkan dalam satu perkhemahan agar mereka dapat memanjangkan silatulrahim, berkenalan sama sendiri dan bertukar alamat e-mail. Mereka ini patut dibertaraf baru : PURTAN - perempuan jantan. Jika ini gagal, hantar mereka belajar ke sekolah berasrama penuh.

24. Saya berjanji tidak akan lagi menyanyikan/mendengarkan/mendendangkan lagu Terang Bulan.

25. Saya berjanji tidak akan mempersoalkan lagi ke-Melayuan Jomo K Sundram, Dr Sangkaran Pillay aka Chandra Muzaffar, DJ Dave dan Tengku Wong.

27. Saya berjanji untuk mempercayai bahawa Ungku Aziz telah membaca lebih 70,000 buku, walaupun beliau sendiri telah gagal untuk menulis sebuah buku, kecuali satu tulisan pendek berkenaan Kain Sarong. Inilah contoh intelektual dari Turki.

28. Saya berjanji untuk mengkhatamkan buku Shit yang hanya sempat saya baca ke bab 4.

29. Saya berjanji untuk tahun 2004 ini sahaja yang saya tidak akan mentertawakan Cermin Mata Beruang Dollah Badawi, perut boroi Haji Hadi (Awang), fesyen potongan rambut Mat Sabu, muka sembab Muhyiddin Yassin, kain tudung Siti Zaharah, cincin rock Khalid Yunus, bekas kekasih/janda Najib dan capal Syed Husin Ali.

30. Pada tahun 2004 saya akan melacarkan kempen ke seluruh negara agar rakyat menerima hakikat bahawa Tunku Abdul Rahman ialah Bapak Kemerdekaan. Tun Razak ialah Bapak Pembangunan, Tun Hussein Onn ialah Bapak Perpaduan. Tun Mahathir ialah Bapak Mirzan. Merdeka!

Semua janji-janji ini saya lafazkan dengan penuh kesedaran dan keinsafan - kyusuk lagi tawaduk. Saya lakukan semua ini dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Janjidiri ini saya lakukan demi untuk memurtabatkan nilai-nilai murni dan mengharumkan nama Malaysia, tanahair kita yang tercinta. Takbir!

NOTA : Sesiapa ada memiliki CD Mak Datin Terlampau dan CD The Adventure of Najib In Port Dickson sila hubungi saya.