Krismas dan Santa Klaus
Saya membesar di Jelebu, sebuah lembah pedalaman kering yang dipagari ekor Banjaran Titiwangsa. Pekan Kuala Klawang, yang kedudukannya amat strategik, telah dijadikan kawasan perkemahan tentera British semasa zaman Perang Pembebasan Malaya. Dari pekan inilah pertamakalinya saya melihat rupa bentuk Mat Salleh atau Benggali Putih, sama seperti yang tersurah dalam Salalatul Salatin.
Di Jelebu ini juga saya mendengar kewujudan Santa Klaus, perawi sahehnya ialah kakak saya yang memasuki Government English School Kuala Klawang. Dia membawa pulang ke rumah cerita Santa ini. Saya cukup tertarik dan melopong apabila kakak bersurah tentang Santa. Imaginasi saya meliar. Sedaya-upaya saya cuba meletakkan muka kepada manusia yang bernama Santa Klaus. Gagal. Akhirnya kakak membawa pulang sebuah buku dari sekolahnya agar saya dapat berkenalan dengan Santa.
Apabila saya terlihat gambar Santa Klaus, pada awalnya saya agak kecewa kerana si Santa ini tidaklah sekacak yang saya khayalkan. Santa Klaus berbadan gemuk, berperut boroi dan berjanggut putih - lalu saya teringat kepada Gurbak Singh, tuanpunya kereta lembu penjual pasir yang tinggal di pinggir pekan Kuala Klawang. Cuma bezanya, Santa Klaus memiliki kereta lereng yang di tarik oleh rusa.
Saya membesar di Jelebu, sebuah lembah pedalaman kering yang dipagari ekor Banjaran Titiwangsa. Pekan Kuala Klawang, yang kedudukannya amat strategik, telah dijadikan kawasan perkemahan tentera British semasa zaman Perang Pembebasan Malaya. Dari pekan inilah pertamakalinya saya melihat rupa bentuk Mat Salleh atau Benggali Putih, sama seperti yang tersurah dalam Salalatul Salatin.
Di Jelebu ini juga saya mendengar kewujudan Santa Klaus, perawi sahehnya ialah kakak saya yang memasuki Government English School Kuala Klawang. Dia membawa pulang ke rumah cerita Santa ini. Saya cukup tertarik dan melopong apabila kakak bersurah tentang Santa. Imaginasi saya meliar. Sedaya-upaya saya cuba meletakkan muka kepada manusia yang bernama Santa Klaus. Gagal. Akhirnya kakak membawa pulang sebuah buku dari sekolahnya agar saya dapat berkenalan dengan Santa.
Apabila saya terlihat gambar Santa Klaus, pada awalnya saya agak kecewa kerana si Santa ini tidaklah sekacak yang saya khayalkan. Santa Klaus berbadan gemuk, berperut boroi dan berjanggut putih - lalu saya teringat kepada Gurbak Singh, tuanpunya kereta lembu penjual pasir yang tinggal di pinggir pekan Kuala Klawang. Cuma bezanya, Santa Klaus memiliki kereta lereng yang di tarik oleh rusa.
Tetapi, kanak-kanak akan berkerumun mengelilingi Santa kerana dia memikul sebuah gendong hadiah barang-barang permainan yang akan diagih-agihkan pada malam Krismas. Dengan kereta lerengnya, Santa akan memanjat cerembong asap dan meninggalkan segala macam hadiah dan gula-gula kepada anak-anak. Surah yang ini cukup mengkhayalkan setiap kanak-kanak yang mendengarnya.
Walau si Santa berperut boroi, saya cukup yakin dengan Santa dan ingin bertemu dengannya. Sesekali saya khayalkan juga betapa indahnya kalau si Gurbak Singh, tuanpunya kereta lembu itu menjadi Santa Klaus. Kadang-kadang pula saya merasa terkilan juga kenapa pada Hari Raya, si Santa tidak datang melawat kami di Jelebu.
Di Kuala Klawang ada sebuah gereja di lereng bukit yang pintu besarnya menghala ke arah pekan. Tetapi gereja ini tidak seindah yang dibina di pinggir pekan Titi. Gereja Gothic di Titi ini didirikan oleh pendakwah Kristian yang cuba menarik/menjauhkan masyarakat Cina dari mencampuri gerakan revolusi Parti Komunis Malaya (PKM) ketika itu.
Pekan Titi yang sepuluh kilometer dari pekan Kuala Klawang adalah kawasan penempatan semula (baca: kawasan kurungan) untuk masyarakat Cina. Untuk orang Melayu, mereka dikurung di kampung Seperi. Malah pekan Kuala Klawang ini sendiri dipagari kawat berduri. Rumah kami - quarters guru - betul-betul terletak ditepi pagar kawat berduri ini.
Kawat duri
Strategi penempatan semula ini bertujuan untuk memisahkan gerila PKM dari penyokong mereka. Maka, tidak menghairankan apabila Jelebu sendiri adalah antara daerah paling akhir menjadi 'kawasan putih', lama sesudah tahun 1957.
Saya tidak mengetahui/sedar sama ada masyarakat Cina di Kuala Klawang atau di Titi menyambut hari Krismas atau tidak. Sebagai kanak-kanak, saya mengagakkan hanya Mat Salleh yang merayakan Hari Krismas ini. Dan saya langsung tidak diberitahu apa sebenarnya hari Krismas ini. Yang saya ingati hanya si Santa berperut boroi sedang menggendung bermacam barang permaianan.
Apabila memasuki sekolah rendah, seorang kawan sedarjah saya, Gracy May Velloo datang dari keluarga Serani Katholik. Keluarga Serani Katholik ini dikenali ramai bukan saja kerana ayahnya 'ternama' tetapi Mister Velloo ini memiliki lima anak gadis yang diminati ramai anak muda dari pekan Kuala Klawang.
Rumah Gracy ini betul-betul terletak di tepi pintu pagar kawat berduri yang meligari Kuala Klawang. Di rumah inilah pertamakalinya saya dijemput merayakan hari Krismas. Di ruang tamu Mister Velloo ini jugalah pertamakalinya saya melihat gambar dan patong Isa dari Nazareeth.
Puluhan tahun kemudian, saya telah sampai ke Timur Tengah. Bila saya menaiki kereta dari Amman ke Damshik saya diberitahu oleh si pemandu bahawa di sebelah kiri kami ialah Tebing Barat yang diduduki tentera Isreal. Lalu saya teringatkan Baitulmu'qadis/Juruselam, kota suci penganut Kristian, Yahudi dan Islam. Kota di mana Isa dari Nazareeth dipaksa membawa salib oleh soldadu Rom dan menemui hari-hari akhirnya.
Ketika ini saya menganggap pemahaman saya tentang agama telah meluas dan terbuka. Saya membaca beberapa surah dari kitab Injil. Ketika meneruskan perjalanan dari Damshik ke Beirut, saya teringat satu surah dari kitab Injil di mana Isa, sesudah disalib, ditemui 'hidup' sekali lagi dan sedang berjalan ke Damshik. Di dalam kereta, saya berangan-angan apakah jalan yang saya lintasi ini adalah jalan yang sama yang dilalui Isa dari Nazareeth.
Perjalanan saya akhirnya membawa saya ke Baghdad - kota ilmu, kota budaya dan kota intelektual negara Arab sesudah Khaerah. Di kota ini, segala pemahaman saya tentang agama, pecah berderai dan bertaburan. Sebagai anak muda yang baru melintasi dua puluh tahun, saya berhadapan dengan realiti baru dan persoalan baru.
Fahaman Shia
Pertamakalinya dalam hidup, saya mengetahui kewujudan mazhab Shia. Di Baghdad ini juga saya melihat gambar Ali, sama seperti gambar Isa yang pernah saya lihat di rumah Mister Velloo puluhan tahun dahulu. Di kota ini juga saya mendengar surah bagaimana Malaikat Jibrail 'tersalah' semasa menyampaikan wahyu. Wahyu seharusnya disampaikan kepada Ali dan bukannya Muhamad.
Di kota Baghdad ini jugalah kali pertamanya saya merayakan hari Krismas dan Tahun Baru di luar negara. Apabila Krismas sampai, saya masih belum memiliki ramai kawan dan tidak mengenali kenalan yang beragama Kristian. Cuma saya ada bertegur sapa dengan seorang tukang gunting yang menyewa ruang di perkarangan hotel sebagai tempat dia mencari pelanggan. Saya diberitahu si tukang gunting ini seorang Kristian dari Armenia.
Untuk tidak melupakan Krismas dan Tahun Baru 1975, saya dan Muhamad Zam Zam, kawan saya - anak mahasiswa Palestin - pergi ke sebuah restoran di hujung Jalan Abu Nawas di tebing sungai Dajlah. Di sini kami merayakannya bersama puluhan pelanggan lain. Perayaan malam ini kami serikan dengan Sharezaat dan Fareda. Tetapi saya tidak berani untuk mencuba air tapai masam dari campuran buah tamar.
Seminggu kemudian saya pergi bergunting rambut di perkarangan hotel tempat saya menginap. Tukang gunting rambut ini, sama seperti semua tukang rambut di seluruh dunia, bukan saja memotong rambut tetapi juga seorang kounselor. Kami bersembang dan berlabun tentang itu dan ini. Sambil berseloroh saya nyatakan kenapa minggu lalu saya tidak dijemput berKrismas ke rumahnya agar saya dapat berkenalan dengan gadis-gadis Kristian di Baghdad. Jawapannya memeranjatkan saya.
'Kami masyarakat Katholik Armenia tidak menyambut Krismas pada 25 Disember tetapi pada 7 Januari'. Saya terperanjat. Apakah malaikat Gibrail telah tersilap lagi.
Dua minggu kemudian, di perhentian bas Bab-al-Medan, saya tersempak dengan kenalan baru saya seorang anak mahasiswa dari Universiti Baghdad. Dia sedang menunggu bas bersama seorang mahasiswi dari universiti yang sama. Sementara menunggu bas, kami berlabun. Dan sekali lagi saya terperanjat kerana mahasiswi yang baru diperkenalkan kepada saya ini mengakui dirinya Kristian tetapi bukan pengikut Isa dari Nazareeth tetapi pengikut asal John The Baptist.
Ketika ini saya sedar betapa jahilnya diri saya. Saya masih lagi berjalan dengan tempurung - zon selamat - yang saya bawa. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan merantau. Ini baru tahun pertama, pasti saya akan berhadapan dengan puluhan lagi persoalan yang akan menduga realiti hidup saya.
Tempat ibadat
Pada tahun 1982, saya tinggal di Wavre, Belgium. Wavre adalah sebuah kota bourgeoise Katholik yang tua. Di tengah kota ini tersergam sebuah gereja besar yang menjadi pusat kota. Di hadapan gereja ini ialah medan pasar yang berlamankan hamparan ketulan batu-batu kasar yang mungkin telah berumur ratusan tahun. Wavre, kota Katholik ini juga menjadi kota universiti apabila universiti Leuven la Neuve didirikan tiga kilometer dari kota ini pada akhir tahun 60-an.
Saya menyewa sebuah bilik yang hanya dua minit perjalanan dari gereja. Gereja ini kelihatan kuno, bertembok dan berdindingkan potongan batu hitam yang kukuh dan anggun. Saya sering memasuki gereja ini untuk mendamaikan hati dan mencari ruang sunyi sambil memisahkan diri dari hiruk-piruk kehidupan sebagai mahasiswa.
Di dalam gereja ini saya bertemu sekali lagi dengan patong Isa dari Nazareeth. Kali ini lebih besar dari yang saya lihat di rumah Mister Velloo - sebesar manusia. Patong Isa yang sedang disalib ini terletak di belakang mimbar tempat padri memberi khutbah. Di dinding gereja pula, saya melihat lukisan-lukisan suci dan ikon-ikon Katholik yang bergantungan. Gereja kuno ini agak gelap, hanya dicahayai lilin yang sentiasa terpasang. Sesiapa yang pernah memasuki gereja pasti akan dapat merasakan suasana suci tempat ibadah seperti ini.
Satu hari di musim sejuk dua minggu sebelum cuti penggal pertama, saya ke pasaraya. Di tepi pintu masuk ke pasaraya itu saya telah ditahan oleh dua anak gadis - yang mungkin berumur tidak melibihi dua belas tahun. Saya terperanjat kerana tiba-tiba mereka muncul di hadapan saya.
Bahasa Peranchis saya masih malap. Apa yang saya dengari dari dua anak kecil ini hanyalah 'Saint Nicholas' Mereka menunjukkan tabung agar saya mendermakan sadikit wang. Saya hanya memiliki dua keping wang kertas 100 franc untuk saya membeli makanan pada petang itu. Saya mengagakkan pastilah dua anak kecil ini sedang mencari derma untuk sekolahnya. Saya membatalkan untuk memasuki pasaraya, lalu saya berikan kesemua wang saya kepada mereka.
Saya melakukan ini dengan penuh kesedaran dan mengetahui bahawa faham rasisma sedang berkembang di Eropah. Saya mengharapkan satu hari nanti dua anak kecil berkulit putih ini akan teringat kepada seorang lelaki berkulit hitam yang telah berderma kepada mereka dua minggu sebelum Krismas. Saya berharap apabila dewasa nanti, mereka tidak akan memiliki prasangka buruk terhadap orang yang tidak berkulit putih.
Esoknya, di kampus saya bertanya siapa Saint Nicholas ini. Barulah saya sedar bahawa Saint Nicholas ini ialah nama sebenar Santa Klaus. Santa Klaus itu adalah nama glamor atau nama komersilnya. Saya ketawa terbahak-bahak. Bagitu jahil saya ini. Entah di mana rupa-rupanya nama suci seorang wali ini telah bertukar bunyi.
Pagar berduri baru
Dan apa yang memeranjatkan lagi ialah apabila saya diberitahu bahawa di Belgium pertukaran hadiah untuk Krismas bukan pada 25 Disember tetapi pada 16 Disember. Anak kecil dua orang itu sedang memungut derma untuk membelikan hadiah kepada mereka yang tidak mampu.
Dua puluh tahun kemudian, saya tiba kembali ke Jelebu. Keluarga Gracy May Velloo telah berpindah ke Australia. Mister Velloo yang pernah menjadi wakil rakyat telah meninggal dunia. Tanah mereka telah dijualkan dan di atasnya tersergam sebuah stesen minyak. Gurbak Singh juga telah meninggal dunia. Kawat berduri di Jelebu telah lupus dimakan masa. Semuanya telah berubah.
Saya menyesuaikan diri sekali lagi kepada iklim bumi tropikal. Krismas pertama saya kali ini bebas dari gigitan kesejukan dan tidak dibasahi salji. Di Kuala Lumpur saya diajak untuk merayakan rumah terbuka oleh seorang kenalan baru - anak muda Serani keturunan Portugis. Sambil makan kami bercerita tentang Santa Klaus dan untuk menceriakan suasana. Saya bercerita tentang Gurbak Singh - Santa Klaus dari Jelebu
Apa yang memeranjatkan saya di petang 'boxing day' itu ialah apabila saya diberitahu akhbar dan TV kita tidak lagi dibenarkan memaparkan imej/gambar 'manger' atau kandang lembu tempat kelahiran Isa dari Nazareeth. Manger ini adalah ikon perayaan Krismas kepada semua penganut Kristian, tidak kira dari mazhab mana pun. Saya tidak mengerti kenapa ikon agama ini diharamkan di negara kita ini.
Dalam kehairanan saya termenung dan berusaha untuk memahami bagaimana ceteknya pemahaman agama dan Islam yang telah disebarkan di Malaysia. Orang Melayu masih lagi beligar-ligar dalam tempurung dan zon selamatnya. Pagar dan kawat berduri yang meligari Kuala Klawang di zaman Darurat dulu telah lama lupus. Tetapi hari ini kita sesama kita telah mendirikan kawat dan pagar berduri baru. Kita menjajah diri kita sendiri.
Sama ada Nabi Isa dilahirkan pada 16 Disember, 25 Disember atau 7 Januari bukan persoalan induk. Semua pesta keagamaan sama ada Krismas, Hari Raya Puasa/Haji, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Vesak atau Holi - semua ini berakar umbi dari tradisi masyarakat pagan yang berpesta merayakan kehidupan dan sebagai tanda berterima kasih kepada Yang Esa.
Saya tidak lagi percaya kepada Santa Klaus dan rusa Rudolphnya tetapi saya sedar, Santa Klaus ini ialah diri kita sendiri. Kita tidak perlu berperut gendut atau berjanggut panjang atau memikul gendung hadiah untuk menjadi Saint Nicholas.
Kita juga tidak memerlukan 200 franc untuk memberi hadiah. Hadiah sebenar ada pada diri kita sendiri. Pecahkan segala pagar dan kawat prasangka, nobatkan diri kita sebagai 'kawasan putih' dan taburkan hadiah kejujuran dan kebaikan untuk anak muda generasi yang akan datang. Bergembira Menyambut Krismas dan Selamat Tahun Baru.
Nota:
1) Manger - kandang lembu, kuda atau kambing di mana jerami dan rumput kering disediakan.
2) Boxing Day - ialah 26 haribulan Disember. Konsep ini di munculkan di England.
3) Rudolf ialah nama rusa berhidung merah yang menarik kereta lereng salji Santa Klaus

