Semasa Iraqi Petroleum Company (IPC) dimiliknegarakan pada 1976, saya berada di kota Baghdad. Ketika itu, saya menjadi pemerhati yang rapi dan kadangkala mengambil bahagian dalam aktiviti politik dalam usaha untuk memahami secara pribadi politik dunia Arab.

Ketika IPC dimiliknegarakan, Saddam merupakan Timbalan Presiden Iraq. Tetapi seluruh rakyat tahu dan sedar yang Presiden Ahmad Hasaan Al-Bakr hanya 'muka hadapan' - di belakang beliau adalah Saddam Hussein dengan aparachik Baath dan mukabharatnya (SB).

Dunia ketika itu di bawah dua pengaruh - kuasa kapitalis Anglo/Amerika dan kuasa sosialis blok USSR. Iraq, walaupun bukan seperti Romania atau Bulgaria, tetapi intim dan berpayung di bawah pengaruh USSR. Rakan niaga Iraq adalah negara-negara dari blok sosialis. Senjata-senjata tercanggih Iraq di beli dari USSR. Wujud hubungan dan perjanjian pertahanan antara Iraq dengan USSR.

Dari 'desas-desus caf' di kota Beirut, saya mendengar mukhabarat Iraq telah/sedang dilatih oleh Stasi - Jabatan Risikan German Timur. Malah, ketika saya berada di sana, Parti Komunis Iraq yang paling tersusun dan berpengaruh di kalangan 'falahin dan ummal', sedang menjawat dua jawatan kabinet. Idealogi Nasionalis, Sosialis dan Komunis bukan sesuatu yang asing bagi rakyat Iraq. Politik kiri 'anti-imperialis' sedang en voque.

Petang itu, di hari menyambut pemiliknegaraan IPC, tunjuk perasaan berlaku secara besar-besar di seluruh Iraq. Di petang musim daun gugur, cahaya matahari menghilang agak awal. Pada jam 4 petang, kota Bangdad kelihatan agak muram. Saya, sebagai tamu Persatuan Kebangsaan Pelajar Iraq (NUIS) telah dijemput hadir sama dalam 'pesta' tunjuk perasaan ini.

Saya pergi bersama pucuk pimpinan NUIS - Presidennya Muhamad Dab Dab, pegawai hubungan luar - Addul Wahid dan Hisham (senama dengan saya). Hisham yang boleh berbahasa Inggeris, menjadi penterjemah tidak rasmi pada petang itu. Dari pejabat NUIS berhampiran dengan Universiti Baghdad, kami melihat mahasiswa berduyun-duyun menuju ke Bab al-Medan, tidak jauh dari pejabat NUIS.

Kami berkereta ke Bab al-Medan. Setiba di sana, penduduk kota Baghdad berduyun-duyun berkumpul dengan membawa spanduk dalam bahasa Arab. Ada juga yang membawa pelepah kurma sambil mengacung-acungkan tangan dengan laungan yang tidak saya fahami, tetapi pasti bertemakan anti-imperialis dan pro-dasar memiliknegarakan minyak.

Tunjuk perasaan

Pada petang itu, saya tidak berapa faham apakah semua telaga minyak di Iraq telah dimiliknegarakan atau bagaimana bentuk susunan baru di antara Iraq sebagai pengeluar, dengan syarikat-syarikat minyak multinasional.

Iraq sebuah negara tertutup dan tidak memungkinkan rakyatnya, apakan lagi orang luar seperti saya, mengetahui apa yang sebenarnya dasar baru ini. Rakyat hanya mengetahui apa yang ingin diberitahu oleh parti Baath kepada mereka. Berapa peratus dasar baru dan berapa peratus lagi retorik politik Baath, tidak dapat saya sahehkan. Apa yang jelas ialah tunjuk perasaaan ini disusun oleh parti memerintah. Jadi tidak ada tembakan gas pemedih mata pada petang itu.

Minyak - inilah emas hitam yang menjadi polong dan hantu raya yang membawa banyak mudarat dan kecelakaan, bukan saja ke atas Iraq, malah di banyak negara di dunia ketiga. Minyak menjadi salah satu pemangkin perang dunia pertama dan perang dunia ke dua. Malah seperti Saudi Arabia, Iraq dan negara Teluk diwujudkan oleh imperialis British sebelum/sesudah perang dunia pertama, kerana wujudnya telaga minyak di wilayah mereka.

Minggu ini, bila saya melihat wajah Saddam Hussein di kaca TV, saya teringat akan kesamaannya dengan wajah Rasputin - padri penasihat Czar Russian yang dianggap memiliki ilmu kebal dan tidak akan mati. Sama seperti Rasputin, Saddam juga akhirnya tidak sekebal yang disangkkan.

Siapa sebenarnya Saddam Hussein ini? Semasa di Beirut, saya bercampurgaul dengan kumpulan anak muda Palestin dari pelbagai jalur. Saya mendengar surah bahawa Saddam adalah anak didik CIA. Saya kurang yakin tentang hal ini.

Kemudian berlaku perpecahan di dalam al-Fatah, kumpulan Palestin yang dikepalai Abu Ammar. Wakil rasmi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Baghdad, telah bangun menentang Yasser Arafat. Penentangan ini bukan hanya melalui perdebatan, malah bunuh-membunuh. Kumpulan Al-Fatah di Baghdad mengakui kumpulan mereka sebagai ' Fatah garis tepat'.

Untuk mengindahkan cerita ini, semasa saya di Baghdad, perpecahan tersebut semakin rancak. Beberapa wakil PLO ditembak mati. Abu Yacoob, kenalan saya semasa di Kuala Lumpur sejak 1972, yang kemudian menjadi duta rasmi PLO di Pakistan telah cuba dibunuh.

Musuh utama

Berita ini tidak saya ketahui kerana tidak ada laporan yang dapat saya baca di Baghdad. Saya hanya tahu apabila saya singgah kembali ke Pakistan. Serangan dari kumpulan 'Fatah garis tepat' telah menewaskan enam nyawa, termasuk kawan saya Omar, anak mahasiswa perubatan Palestin dari Rawalpindi.

Apabila saya mengetahui hal ini, saya menilai kembali siapakah sebenarnya Saddam ini. Saya menolak hujah cetek yang menuduh Parti Baath diwujudkan oleh Micheal Aflah, seorang Kristian, maka parti ini adalah rangkaian 'Free Mason' dan sebagainya. Ini hujah yang saya anggap bertaraf Laman Reformasi.

Bila saya selidiki susur-galur parti Baath, apa yang jelas ialah bukan penubuhannya yang boleh dipertikaikan, tetapi beberapa pemimpin parti ini, secara sedar atau tidak sedar, telah diguna/bekerja dengan CIA. Pada tahun 1956-1960 Iraq di bawah kerajaan Presiden Abdul Karim Kassem. Regim Iraqi ketika ini samalah seperti Umno yang di dukung dan dipayungi British.

Kassem didukung dan dipersenjatai kerana diperlukan untuk menumpaskan dua pengaruh besar. Musuh utama kuasa Anglo-Amerika ialah Parti Komunis Iraq dan pengaruh nasionalisme Arab di bawah Presiden Naseer. Pada 1963 Abdul Karim Kassem memperkukuhkan kedudukan dan enggan untuk terus menjadi barua British. Beberapa percubaan membunuhnya dilakukan. termasuk meracun saputangannya, sama seperti cara CIA untuk membunuh Fidel Castro.

Pada tahun inilah permulaan Saddam bersekongkol dan berkerja dengan CIA (1). Saddam mengambil peranan dalam percubaan membunuh Abdul Karim Kaseem. Apabila ianya gagal, Saddam melarikan diri ke Mesir (2).

CIA mengubah strateji apabila gagal membunuh Karim Kaseem. Kini, kuasa imperialis Anglo-Amerika melalui CIA, mendorong Jeneral Abd al-Rahman Arief untuk merampas kuasa - sama seperti yang dilakukan oleh Jeneral Haji Muhamad Suharto terhadap Sukarno. Sayangnya Kuasa Jeneral Arief agak lembik dan ini membahayakan kepentingan tuan empunya telaga minyak. Gerakan kiri di kalagan buruh dan tentera di bawah pimpinan Parti Komunis Iraq menjadi kuat.

Pada 1968, sekali lagi CIA merancang. Kali dengan asas kegagalan tahun 1963. CIA telah memperbaiki taktik dan strateginya dengan kerjasama Parti Sosialis Baath Arab (ABSP). Di sinilah muncul sekali lagi Saddam Hussein.

Revolusi Iran

Peranan CIA ini dibocorkan oleh Al-Malik Husin, Raja Jordan kepada Hasanein Haikal, ketua pengarang Al-Ahram (3). Maklumat ini amat saheh kerana Raja Husin sendiri - akhir-akhir ini melalui kajiselidik - dibuktikan turut dibiyai CIA sejak tahun 1957.(4)

Semua ini adalah fakta yang terbenam dalam sejarah dan mungkin membosankan untuk di ulang cari. Tetapi tidak mungkin kita melupakan bagaimana Iraq dibawah Saddam telah melancarkan serang ke atas Iran. Ini bertujuan untuk menumpaskan dan memesongkan revolusi Rakyat Iran pada tahun 1979.

Semasa di Eropah, saya masih ingat dengan jelas bagaimana kerajaan Margaret Thatcher dan Ronalad Reagan membantu Iraq dalam semua segi. Peta dan gambar satelit tentang kedudukan tentera Iran, diberikan kepada Saddam oleh Jabatan Petahanan Amerika. Pekara ini telah menjadi rahsia umum. Akhbar arus perdana di kota London sendiri, melaporkan pekara ini secara meluas.

Amerika dan Britain mempersenjatai Saddam hingga ke seluar dalam. Alatan ketenteraan yang tercanggih dan terkini, tidak putus-putus sampai ke Iraq. Seramai 90 penasihat ketenteraan Amerika membantu dari segi strategi dan taktik untuk menumpaskan Iran. Donald Rumsfield, yang kini musuh Saddam, pernah menjadi 'perutusan khas' Rumah Putih untuk berbincang dan bertukar pendapat dengan Saddam pada December 1983.

Di arena diplomasi antarabangsa, Saddam mendapat 'anggukan' untuk melakukan apa saja agar revolusi Iran tidak mengembang dan mempengaruhi seluruh Timur Tengah. Kejatuhan Shah Reza yang dinaikan oleh CIA. dilihat sebagai satu kerugian amat besar kerana telaga minyak di Iran kini dimiliki rakyatnya sendiri.

Sementara itu, dari kajian carigali minyak, Iraq hari ini memiliki lebih 112 billion tong minyak yang belum digali. Suku daripada minyak di dunia, tertanam di Iraq. Ini mengikut laporan sumber BPAMOCO tahun 2001. Telaga minyak di Iraq memerlukan pelaburan murah kerana ianya bukan carigali di lautan. Minyak di Iraq pula berkualiti tinggi. Bagi kaum pemodal, ini satu tarikan.- pelaburan yang sedikit, tetapi mendapat keuntungan yang lumayan. Semua ini dapat kita baca dari laporan Jabatan Tenaga AS keluaran tahun 2000.

Sumber ini juga dilaporkan oleh sebuah akhbar dari London - The Guardian - pada 22 November 2002. Akhbar The Observer, juga dari London, telah menimbulkan hal yang sama pada 27 Januari 2003.

Musuh politik

Malah, syarikat Petronas sendiri, bersama dengan Shell dan ConOxy dari Canada, telah mendapat hak carigali di Ratawi yang disahkan mempunyai telaga simpanan sebanyak 2 bilion tong (5) Jelas sekali, minyak terus menjadi hantu raya dan polong yang menghantui agenda politik dunia.

Lalu saya menyoal diri saya, jika Saddam budak suruhan CIA, kenapa kini dia dianggap musuh. Jawapannya ialah minyak. Walaupun Saddam dinaikkan dengan bantuan CIA, dia kini dilihat sebagai 'pembelot' atau melawan tuan. Sama seperti apa yang dilakukan oleh Abdul Karim Kassem dulu, Saddam, dengan dana minyaknya, telah cuba berlagak bebas.

Apa yang saya saksikan pada petang musim daun gugur pada tahun 1976 di Bab al- Medan, adalah percubaan Saddam mencari modal untuk melawan musuh politiknya. Slogan anti-imperialis Saddam itu hanyalah retorik kerana ketika itu Saddam sedar Parti Komunis Iraq cukup berpengaruh.

Tanpa garis dan slogan anti-imperialis, tidak mungkin ABSP dapat bertahan lama. Dengan kekuataan dana minyak, akhirnya Saddam berjaya membeli pengaruh dan merasuah segolongan rakyat Iraq. Retorik anti-imperilis ini jugalah yang merapatkan Saddam dengan nnegara blok USSR.

Dengan licik dan ganas, Saddam, pada awalnya, membunuh dan mempenjarakan kader dari parti kiri. Kemudian Saddam memilih gerakan kemerdekaan Kurdish sebagai musunya. Sesudah parti kiri dan gerakan Kurdish tumpas, yang menjadi sasaran Saddam ialah gerakan Islam - Shia dan Sunni.

Barisan Patriotik yang ditubuhkan pada awal pemerintahan ABSP di mana Parti Komunis dan Parti Patriotik Kurdish diberi suara, kini bubar. Kini dengan dana minyak yang melimpah ruah, sesiapa saja yang bukan Baath atau gagal dibeli/dirasuah, boleh dianggap musuh negara.

Mayat dan tulang belulang mereka inilah yang sekarang ini digali untuk diperlihatkan kepada kita melalui kaca TV sebagai bukti keganasan Saddam terhadap rakyatnya. Pada hal, bertahun-tahun ketika Saddam melakukan semua ini, tidak ada satu pun negara di Barat bersuara, kecuali badan NGO yang sering diperlekehkan. Ketika itu Saddam adalah budak suruhan yang berbudi bahasa.

Pembelot

Akhirnya Saddam berhadapan sekali lagi dengan tuannya - CIA. Telaga-telaga minyak yang seharusnya dijaga oleh Saddam kini dirasakan tidak selamat lagi. Saddam telah menjadi seorang 'pembelot'. Seperti saekor polong yang cuba melawan tuannya, Saddam dengan dana minyaknya berupaya/berkemungkinan untuk melakukan banyak kegilaan lagi.

Lalu dicipta slogan Weapons of Mass Destruction atau 'senjata pemusnah besar-besaran' (baca - weapons of mass deception ) sebagai mengolah persetujuan dunia agar Saddam ditumpaskan. Walhal kuasa imperialis Anglo-Amerika tahu senjata ini tidak pernah wujud kerana merekalah pembekal utama senjata Saddam.

Dan apabila Saddam muncul dari lubang persembunyiannya, ucapan pertama nya ialah '. Saya ingin berunding' Ini bukan satu ucapan lawak. Saddam tanpa mukhabaratnya kini bogel, lalu ingin berunding sekali lagi dengan tuannya - CIA - yang menaikkan dirinya ke atas tahta pada 1968.

Sebenarnya, dalam dunia kita ini, bukan hanya ada seorang Saddam. Ada Saddam yang telah mengundur, ada Saddam yang dijatuhkan oleh Reformasi dan pasti ada Saddam-Saddam baru yang akan muncul.

Lalu saya terdengar kembali slogan pada petang itu 'bir ruh biddam - nafdi ka ya Saddam - dengan ruh dengan darah, kami sokong kau ya Saddam '. Saya juga ingin melahirkan slogan baru - Dengan paruh dengan guddam - kamu tunggu leher kau ya Saddam ! END


NOTA :

1 - www.globalpolicy.org/security/issue/iraq/history/hussein

2 - sama

3 - Al-Ahram 27.Sept.1963

4 - Al-Alram 27 Sept 1963

5 - www.cooperativeresearch.org