Cinta yang agung adalah cinta yang gagal. Cinta ke jinjang pelamin tidak pernah menjadi satu tarikan untuk dijadikan naratif. Jika si Uda berkasih, bertunang, berkahwin dengan Dara; dan Dara mengandung beranak, bercucu, bercicit, pastilah teater Uda Dara Usman Awang membosankan.

Romeo dan Juliet tanpa dihalangi percintaan mereka, pasti tidak akan di bangsawankan oleh Shakespear. Babak-babak akhir dalam kisah hidup Jebat adalah kisah cinta mautnya terhadap Dang Wangi. Dr.Zhivago dan Lara, terhalang cinta mereka kerana Revolusi Oktober. Ali dan Nina berpisah juga akhirnya akibat perang.

Sesekali, seorang suami atau seorang isteri, mungkin teringat juga pada kekasih lama yang ditinggalkan, walaupun kini mungkin hidup dalam bahagia/sengsara berumahtangga. Dalam saat-saat sunyi, hati kecil ingin bertanya, apa yang akan terjadi jika aku berkahwin dengan si anu dan bukan dengan yang ini. Inilah sebahagian keindahan cinta gagal. Berahi cinta yang menolak manusia untuk terus belayar dalam hidup mereka.

Tiada seorang suami atau seorang isteri atau seorang anak muda yang ingin mendengar/ membaca/melihat percintaan klise yang berakhir dengan anak cucu. Naratif dalam satu percintaan gagal adalah kanon dari semua naratif perjalanan sejarah manusia.

Untuk ini, kepada siapa seharusnya saya berterima kasih - kepada Adam, Hawa atau Sang Ular. Kesemua bertanggungjawab memberahikan percintaan manusia. Ada juga saya terfikir jika Sang Ular tidak menggoda dan manusia tidak dihumbankan ke dunia ini, apakah rupa bentuknya kehidupan manusia.

Agak membosankan juga, berpusing-pusing dalam syurga kehidupan yang bagitu lengkap, tersusun dan damai. Pasti wujudiah sedemikan tidak mencabar kreativiti manusia. Kerana itu, saya memilih Sang Ular dengan godaannya yang telah memungkinkan saya dicampakkan ke dunia - akhirnya memiliki beberapa naratif cinta. Naratif-naratif cinta inilah yang terus saya kendong kemana-mana saja dalam hidup ini.

Saya telah lama menolak pandangan yang cuba meredakan berahi dengan mengatakan bahawa cinta akan pudar dimakan masa. Ini hanyalah ayat-ayat gagal yang dimunculkan untuk melandaikan hati yang berkecai.

Gadis Isabella

Di Kamunting, saya menjadi syahdu apabila membaca Cinta Di Musim Taun (Love in the Time of Cholera). Naratif Gabriel ini dua kali saya khatami. Bagitu indah percintaan dua makhluk ini. Mereka melintasi benua, melintasi masa dan melanggar gereja untuk mencari cinta. Semasa keseorangan dalam tahanan, semasa kucing saya berkeroh di sebelah bantal, saya merasakan diri saya sebagai Urbano dan Femina Daza.

Naratif tulisan Gabriel ini mengingatkan saya kembali kepada janji-janji akhir saya di musim panas tahun 1978 di kota Baghdad. Janji saya kepada Isabella, anak gadis Poland dari kota Krakow. Saya menemui Isabella seminggu sebelum saya meninggalkan kota Baghdad. Kami, dua warga asing yang terserempak dalam musim panas yang semakin kacau.

Iraq hanya baru dua tahun lebih di bawah pimpinan Saddam Hussein. Beliau sedang mengukuhkan kekuasannya. Kerajaan campuran antara Parti Baath, Parti Patriotik Kurdistan dan Parti Komunis, semakin retak. Ramai kader Parti Komunis ditahan dan ramai pucuk pimpinan dihukum gantung.

Kedai buku yang sering saya kunjungi di lorong kecil di sebelah Jalan al-Rasheed yang menjual akhbar, majalah dan buku kiri dalam bahasa Inggeris/Arab telah ditutup. Dari kedai ini, saya dapat membaca buku klasik dan novel agung dari Eropah Timur dan Barat. Mungkin tuan empunya kedai ini bersimpati dengan Parti Komunis, lalu dianggap menentang garis politik Saddam.

Sebelum meninggalkan Iraq, saya memang bercita-cita untuk melawat wilayah Kurdish di utara Iraq. Saya sampai ke sana pada hujung musim panas. Saya sampai di pekan Shaklawa yang terletak di kawasan penghujung sempadan Iraq/Turki. Walaupun sebuah pekan, Shaklawa hanya terdapat tidak lebih sepuluh kedai di situ. Tetapi di kawasan pergunungan seperti itu, pastinya tidak memerlukan Starbuck atau kedai Bata.

Wilayah Kurdistan masih dalam suasana perang. Beberapa fraksi gerakan Pembebasan Kurdistan sedang beroperasi. Ada yang menyokong Baath, ada yang dibantu oleh Shah Iran dan ada pula yang menjadi barua CIA. Dalam hal gerakan pembebasan Kurdistan ini, saya agak kurang arif - dan tidak mengetahui Shaklawa dipengaruhi fraksi siapa.

Apa yang pasti, ketibaan saya petang itu telah menjadi buah mulut. Belum pernah pekan kecil ini menerima pelawat asing yang ingin bermalam. Sebelum gelap, saya berjaya meyakinkan satu keluarga Kristian untuk membenarkan saya menginap di belakang pekarangan rumah mereka. Ini bukan bilik hotel tetapi sebuah pundung tanpa dinding yang beratapkan daun kering.

Pertempuran

Semasa saya menyusun tempat untuk berehat, tiga lelaki Arab sampai. Dan mereka juga 'menyewa' satu lagi pundung yang jaraknya hanya beberapa ela dari tempat saya. Bila kejadian seperti ini berlaku saya menjadi arif dan lali.

Sekali pandang sudah kenal. Sekali jeling sudah cam. Mereka ini pastilah mukhabarat (SB) Saddam yang memerhatikan sesiapa saja 'orang baru' yang memasuki kawasan sensitif ini. Saya tidak mempedulikan mukhabarat ini. Saya tidak takut kerana saya adalah tamu rasmi Persatuan Kebangsaaan Pelajar-Pelajar Iraq.

Saya juga sedar, ramai orang Kurdish dipindah-paksa dari perkampungan mereka yang kemudiannya diambil alih oleh Arab. Pertempuran dan pembantaian sering berlaku antara tentera Iraq dengan kumpulan Pembebasan Kurdistan.

Di permukaannya, Iraq kelihatan tenang, aman dan makmur. Tetapi arus di bawah penuh dengan gelora penentangan terhadap Saddam dan Parti Baath. Selain bangsa Kurdish yang melawan untuk merdeka, terdapat juga kumpulan Shiah, Parti Komunis dan ahli Parti Baath yang tidak bersetuju dengan Saddam.

Kerajaan Iraq yang anti-Isreal, dan suasana politik dwi-polar, telah menjadikan Iraq rapat dan setiakawan dengan blok Eropah Timur. Hanya blok sosialis yang mampu membantu/memberi sokongan moral/meterial kepada gerakan pembebasan Palestin ketika itu. Iraq terlalu jarang menerima pelawat/pelancong dari Barat - yang kesemuanya dianggap 'spy' untuk Isreal.

Hanya rakyat dari blok sosialis yang di 'ahlan wahsahlan' kan sebagai pelancong di Iraq. Dalam suasana inilah saya bertemu dengan Isabella - gadis dari blok sosialis. Secara tidak sengaja, sepulangnya saya dari melawat Kurdistan, saya ternampak beberapa tamu ' mat salleh' yang menginap sama di Wisma Belia. Kami berkenalan dan bermesra.

Isabella yang fasih berbahasa Inggeris, adalah mahasiswa seni halus dari kota Krakow. Berbadan langsing, berambut panjang, Isabella mengancam kejantanan lelaki, terutama di kota Baghdad. Walaupun tidak 'setandus' Saudia Arabia, tetapi Baghdad tidak 'selumayan' kota Beirut. Budaya Arab amat menyusah, malah tidak memungkinkan pertemuan lelaki dengan perempuan.

Makam di Karbala

Malamnya, saya mempelawa Isabella keluar makan. Saya memilih restoran tidak berapa jauh dari tugu Abu Nawas di tebing Sungai Dajlah. Saya sering ke restoran itu, jadi saya tidak kekok dan tahu apa yang ingin saya makan. Kami bercerita tentang itu, ini, si anu dan si polan. Isabella yang baru saya kenali, kini seperti kekasih saya yang telah lama saya tunggu.

Keesokannya, kami ke Karbala melawat makam Hussein yang dianggap sesuci Mekah oleh Mazhab Shiah. Di pintu makam, kami ditahan oleh seorang lelaki muda Arab. Kami terus dibawa ke satu bilik berhampiran. Di situ, kami ditanya asal-usul, tujuan dan agama kami. Saya terperanjat besar kerana kami dipisahkan. Isabella di larang memasuki pekarangan makam kerana dia seorang Katholik.

Saya merasa sedih kerana Isabella terpaksa menunggu saya hampir satu jam di luar pekarangan makam. Bila bertemu kembali, saya berlagak sebagai kekasih tulen dan terus bercerita serapi mungkin, agar apa yang saya lihat/alami dapat turut dirasa Isabella.

Keesokannya, Isabella akan meninggalkan Baghdad. Cuti musim panas telah berakhir. Isabella akan ke Turki dengan bas dan akan terbang dari Istanbul ke Krakow. Kami berjanji malam akhir kami di kota ini tidak perlu dipisahkan oleh Gereja atau Makam Suci.

Berhampiran Wisma Belia, terdapat sebuah taman. Lalu kami ke sana. Tidak banyak yang kami ceritakan pada malam akhir ini. Malam berjalan bagitu cepat. Subuh sampai dan Isabella wajib mengemas barang-barang untuk meninggalkan Baghdad.

Sebagai tanda cinta setia, saya melafazkan janji yang saya akan ke Krakow pada musim panas tahun depan. Kami akan bertemu sekali lagi di kota Krakow. Tarikh dan tempatnya telah kami persetujui bersama.

Isabella meninggalkan kota Baghdad. Seminggu kemudian saya terbang ke Karachi. Kami terus berhubung melalui surat. Saya mempunyai masa hampir satu tahun untuk membuat persediaan ke Eropah.

Terlambat

Tetapi semuanya gagal. Dalam perjalaan ke Eropah, saya ditahan di Moscow kerana menggunakan passport tiruan dari Thailand. Dalam perjalanan untuk dihantar pulang ke Bangkok, saya melarikan diri dari kapalterbang di Bombay. Selainnya telah menjadi sejarah peribadi. Buku nota dan dairi harian saya dirampas oleh polis Bombay.

Akhirnya saya sampai juga ke Eropah. Isabella masih dalam ingatan walaupun kini, tanpa alamat, hubungan kami telah terputus. Eropah semakin berubah. Tembok Berlin akhirnya runtuh. Blok sosialis tidak wujud lagi. Lech Walesa menjadi pemimpin Poland. Saya memerhati semua yang berlaku. Dan saya masih setia pada janji yang saya lafazkan pada malam musim panas itu.

Setahun sebelum pulang ke tanahair saya terbang ke Eropah Timur. Saya menuju ke Krakow. Saya masih ingat hari, waktu dan tempat yang telah kami janjikan. Ini pertemuan dua kekasih dari Barat dan Timur yang telah dipertemukan di Timur Tengah.

Di Krakow saya menginap di sebuah rumah tumpangan tidak jauh dari tempat yang telah kami janjikan. Esoknya, saya ke Rynek Glowny - Medan Besar - di tengah-tengah kota Krakow. Ia adalah kota tua yang penuh sejarah dan budaya. Di satu sudut Medan Besar ini ada sebuah gereja - St.Adalbert. Di hadapan gereja inilah seharusnya kami akan berjumpa sekali lagi.

Saya sampai satu jam lebih awal dari masa yang kami janjikan. Hingga ke petang saya menunggu. Setiap gadis/ibu/perempuan yang melintasi di hadapan gereja itu saya sangkakan Isabella yang saya nantikan. Apakah rupa Isabella masih lagi anggun, langsing dan berambut panjang. Atau apakah kini Isabella telah berumahtangga, beranak dan bercucu.

Saya sedar saya telah 14 tahun terlambat dari tarikh yang kami janjikan. Tetapi apakah Isabella tahu saya telah ditahan di Moscow dan dipenjarakan di Bombay. Apakah kekasih gadis Poland ini tahu bahawa saya tidak menulis surat kerana nota dan alamat saya telah dirampas polis di kota Bombay.

Sampai ke senja saya menunggu di hadapan gereja St.Adalbert. Lalu, saya teringat kata-kata Isabella semasa ditahan dan dilarang untuk memasuki makam suci di Karbala. Menurut Isabella, di negara Katholik, tidak ada sesiapapun yang dilarang memasuki tempat suci.

Tempat suci adalah ruang untuk semua insan mencari diri. Saya juga sedang mencari diri tetapi saya enggan memasuki gereja St Adalbert tanpa Isabella kerana kami telah berjanji untuk memasuki gereja ini bersama-sama. Isabella telah dinafikan berbuat demikian di Karbala dan saya menafikan diri saya sendiri di Krakow.

( Sebahagian dari buku - Nota Dan Surat-Surat Cinta Dari Penjara - yang sedang di usahakan )