Rabbai, Penjara dan Hari Raya
Hari raya datang lagi. Tak berhenti-henti ianya datang. Saya menganggap nasib saya agak lumayan kerana saya tidak pernah memikirkan tentang kasut jenis apa hendak dibeli, baju apa hendak ditempah atau apakah perlu langsir dirumah diganti. Sebenarnya saya telah meninggalkan 'pesta' hari raya ini agak lama, lebih awal dari tarikh saya meninggalkan Malaysia pada tahun 1974 dahulu.
Saya telah membebaskan diri saya dari hampir semua pengalaman klise yang dilalui oleh kedua orang tua saya. Bukan takut untuk menghadapinya tetapi saya telah melihat hidup rutin yang klise, agak tidak kreatif dan tidak mencabar justeru pasti membosankan. Saya tidak ingin melalui satu hidup yang saya miliki ini dengan kebosanan. Saya juga tidak ingin mengulangi apa saja yang telah diterokai. Mencari untuk saya lebih menarik dari bertemu. Berjalan untuk saya lebih enak dari sampai. Bebas untuk saya ialah bebas untuk mecari diri. Inilah zen dan sufi amalan saya.
Ini bukan pula saya tidak pernah mengalami keindahan spiritual bulan Ramadhan dan nikmat berhari raya. Semasa saya kanak-kanak dulu, saya pernah mendengar kata-kata dari Mak Cik-Mak Cik jiran sebelah rumah ' ari rayo ni untuk budak-budak bukan untuk orang tuo' ( ucapan versi original dalam lorat Negeri Sembilan ). Saya merasa hairan, malah marah hingga panas telinga kerana jiran saya ini memperlekehkan hari raya.
Nasib baik juga ketika itu saya belum terjumpa konsep 'serial killer' atau pembunuh bersiri. Jika telah saya temui pasti saya akan menjadi calon pertama sebelum Mona Fendi. Saya akan melakukan pembunuhan bersiri ke atas sesiapa saja - jantan atau betina - yang berani memperlekehkan hari raya.
Congakkan berapa banyak masa dan tenaga yang telah saya laburkan untuk membuat puluhan lampu minyak tanah yang akan berkelip bergemerlapan mengelilingi kawasan rumah kami. Betapa peritnya usaha untuk memungut tin-tin susu kosong yang bakal menjadi lampu pelita untuk malam Tujuh Likur.
Hitungkan juga berapa lama saya mengumpulan tempurung-tempurung kelapa untuk disusun tegak di tepi halaman. Tempurung yang bakal menjadi unggun khas untuk dibakar pada malam petang raya. Ditakdirkan, jika ada sesiapa yang berani memperlekehkan semua tenaga ini pasti akan menerima sodokan dari kerambit pusaka saya.

Nikmat sufi dan zen
Semua ini berlaku disatu ketika yang agak lama dahulu. Kini semuanya telah berubah. Tetapi saya tidak akan mengeluarkan kata 'rayo ni untuk budak-budak sajo '. Ada nikmat sufi dan zen dibelakang kesibukan hari berpesta ini. Saya telah menemuinya.
Kesahnya begini: Di tahun akhir pembelajaran saya di kota London lima anak mahasiswa termasuk saya telah dipilih untuk membuat sebuah filem rencana. Norwood Childcare, sebuah NGO Yahudi, telah memberikan dana kepada kumpulan kami untuk membuat projek ini.
Semasa menjalankan penyelidikan saya telah berkesempatan menemui/berbual/bersembang dengan ramai anggota masyarakat Yahudi di utara London. Untuk pertama kali dan mungkin terakhir dalam hidup ini, saya telah dijemput masuk ke rumah masyarakat Yahudi dari kelas atasan hingga ke kelas bawahan. Dari tuan empunya gedung, peniaga saham kota London hingga lah ke Minah/Mat gian , semuanya saya temubual sebelum skrip filem rencana ini dibuat.
Dalam satu babak kami memerlukan imej sembahyang/berdoa dan makan dipetang Sabbath - petang hari Sabtu. Sabbath adalah hari suci dan hari berehat untuk masyarakat Yahudi yang warak. Kami ingin merakamkan imej ini. Lalu kami meminta pandangan seorang Rabbai. Si Rabbai ini tidak menolak rakaman filem dibuat , tetapi bukan di hari Sabbath.
Jalan pintas terpaksa diambil - kami melakonkan ritual Sabbath ini pada hari Jumaat. Semua pihak bersenang hati - tidak ada pelanggaran kesucian agama dan kami mendapatkan imej yang kami perlukan. Selesai penggambaran kami dipelawa untuk makan bersama Rabbai yang telah mengimami lakonan sembahyang/doa tadi. Di waktu makan saya sebagai seorang insan jahil telah bertanya tentang makna Sabbath ini.
'Selama enam hari manusia bertungkus lumus dalam hidup. Wajib ada satu hari, satu ketika, satu detik untuk menjadi fokus dimana insan berhenti/berehat/bertafakur dan menilai kembali apa yang perlu dilakukanya untuk enam hari yang akan datang ini. Pilihlah mana saatnya.'
Perjalanan hidup
Kata-kata Rabbai ini terus terpaku dalam ingatan saya. Tidak ada janji-janji untuk diberikan bidadari yang bermata jeli jika yang warak mengamalkan Sabbath. Tidak ada juga kata-kata ancaman untuk dihantar ke jahanam jika melanggar hari Sabbath.
Rasa saya beginilah juga kesucian bulan Ramadhan, nikmat di pagi Shawal, Deepavali, hari Vesak, hari Holi, hari Krismas, Tahun Baru Cina dan pelbagai hari yang dijadikan fokus oleh pelbagai bangsa dan pelbagai agama dalam dunia ini. Suatu hari, satu masa dan satu ketika dimana manusia yang beragama atau yang tidak percaya pada agama dapat merenung perjalanan hidup mereka. Untuk saya ini adalah ajaran sufi dan zen.
Dalam perjalanan hidup ini, saya telah berkesempatan melihat perlbagai hari yang dirayakan di pelbagai wilayah. Krismas - hari lahir Isa dari Nazareth - dirayakan di Australia di musim panas berbeza dari di Belgium yang merayakan hari ber-Santa Klaus ini di musim sejuk pada 16 Disember. Di utara Sepanyol makanan khas hari Krismas ialah anak ikan linang yang dicari di laut Saragossa, manakala di utara Belgium mereka mengorbankan itik.
Berbeza dari satu tempat dengan yang lain tetapi hakikatnya masih sama - satu hari dan ketika yang difokus untuk melihat kembali perjalanan hidup manusia itu sendiri
Saya pernah berhari raya di Karachi, Islamabad, Baghdad, Melbourne, Tangier, dan dalam kancah perang di Beirut. Agak romantik juga bila saya berDeepavali dan berKrismas di dalam penjara Arthur Road, di Bombay India.
Hari Raya eksklusif
Tetapi semua ini tidak seeksklusif berhari raya di kem tahanan Kamunting, Perak. Dua kali saya berhari raya di Kamunting. Hari raya yang meninggalkan kenangan untuk sepanjang hayat ( ini jika saya tidak ditangkap lagi dibawah ISA untuk kali ke tiga). Ingatan Kamunting ini datang kembali seperti bait-bait sajak Detik-Detik Itu Datang Kembali , sajak sufi dari Latiff Mohidin.
Di Kamunting detik-detik yang disurahkan oleh Rabbai itu datang memanggil saya untuk mengingati kembali perjalanan hidup saya. Berakhirnya Ramadhan bererti setahun lagi dalam penjara - setahun lagi hilang kebebasan. Detik-detik kenangan di alam bebas - kaum keluarga, kawan-kawan sahabat handai semuanya datang satu persatu sebagai fokus perjalanan hidup.
Seperti di alam nazak, yang disurahkan kepada saya, sebelum kita wafat fikrah kita akan berjalan kembali melihat apa yang telah dibuat. Fikrah akan memutar filem hidup kita dari satu babak ke satu babak. Inilah yang saya rasakan semasa dalam penjara.
Bila saya terbaca tentang 'Karachi 13' yang kini ditahan ISA, saya teringat kepada semua kawan-kawan dan kenalan saya yang masih tertinggal di Kamunting. Saya tahu semua rutin yang telah/yang sedang/yang akan mereka lakukan.
Malah saya tahu apa yang mereka makan untuk berbuka puasa dan jam berapa mereka akan dikejutkan untuk bersahur. Saya tahu apa pakaian mereka di pagi raya nanti dan di mana mereka akan berada selepas sembahyang raya.
Untuk 'Karachi 13' yang belum dihantar ke Kamunting, saya juga tahu dimana mereka sedang ditahan - mungkin ditempat rahsia A atau mungkin di tempat rahsia B. Saya telah merasai nasi bungkus yang sedang mereka nikmati di bulan puasa ini. Saya juga tahu berapa butir kurma yang akan mereka terima untuk berbuka puasa.
Malah saya tahu jam berapa sang nyamuk akan datang menyerang mereka.
Anak muda berumur 16 tahun itu, tidak pernah dan mungkin tidak akan saya kenali; tapi saya dapat merasakan betapa sayu dan sebaknya hati si anak muda ini di pagi Syawal nanti. Dulu dalam penjara di Pakistan, kini di Kuala Lumpur. Dulu begitu jauh dari ibu dan ayah, kini telah bagitu hampir tetapi masih mustahil untuk bertemu dan merasai pelukan dari yang disayang.
45 minit bersama keluarga
Buat tahanan di Kamunting, mereka akan dibenarkan duduk makan semeja bersama kaum keluarga di pagi raya. Inilah saat-saat yang dinanti-nanti untuk menikmati juadah, kuih muih dan masakan dari rumah.
Isteri dapat dipegang, anak dapat dipangku; sambil makan sambil bertanyakan khabar dengan ayat-ayat dan nahu yang tidak tersusun. Empat puluh lima minit waktu berjalan bagitu cepat sekali. Tiba-tiba bahu akan diusik pegawai sebagai tanda tamatnya waktu lawatan.
Yang saya surahkan disini bukan kesedihan atau kesayuan saya di pagi raya. Yang saya surahkan disini ialah ingatan-ingatan saya tentang detik-detik yang saya jadikan fokus untuk melihat perjalanan hidup.
Bagitu jauh sekali perjalanan ini, dari musim saya bermain mercun atau membakar meriam buluh hingga ke penjara Kamunting.
Tetapi untuk yang di penjara tidak banyak bezanya antara hari biasa dengan hari raya. Rutin penjara tidak pernah berubah semenjak ISA dilulusan sebagai satu akta. Undang-undang peninggalan British ini masih British lagi - di waktu pagi kami masih bersarapan 'with jam and bread and roast beef on Sunday'. Tidak ada nasi lemak, roti canai atau jemput-jemput pisang - these are not British.
Tahun lepas saya teringat di mana saya berada di pagi Syawal - di atas simin di padang badminton di Blok 2B kem tahanan politik Kamunting.. Di pagi Syawal itu kami masih melawan dan enggan ke masjid. Yang wajib dilarang yang sunat dibenarkan - sembahyang Jumaat di larang tetapi sembahyang raya dibenarkan.
Maka kami membantah. Kami bersembahyang dan mendengar khutubah Ustaz Badrul yang berucap di atas kerusi plastik sebagai mimbar. Sembahyang kami di saksikan oleh Tian Chua , tiga pengawal blok dan lima ekor kucing saya. Tidak ada sesiapa yang dapat melarang kami untuk merayakan fokus kehidupan kami.
Saya juga teringat beberapa kad hari raya yang saya terima. Sebenarnya tidak banyak. Bukan tidak ramai yang menghantar tetapi tidak banyak yang kami terima. Semuanya ditahan tidak diluluskan. Hingga ke hari ini masih ada ribuan surat-surat kami tersangkut di Kamunting. Saya menerima tidak lebih dari sepuluh keping kad. Konon perang saraf - jika kami tidak menerima kad bererti kami telah dilupakan.
Perang saraf
Pihak berkuasa kurang arif, untuk saya ada atau tidak ada kad-kad ini tidak penting. Ada lawatan atau tidak ada lawatan tidak penting. Dibenar atau dilarang makan bersama keluarga juga tidak penting. Tidak ada cuka perang saraf yang akan mengecut pemikiran saya. Saya tidak mungkin dapat di tundukkan dengan kesampaian kad hari raya atau lawatan keluarga.
Kad raya sebagai tanda ingatan penyambung sillatulrahim. Walau pun saya tidak menghantar kad, ini bukan bermakna saya melupakan kawan-kawan atau kawan-kawan melupakan saya. Saya tidak memerlukan kad untuk mengingatkan sesiapa pun.
Tetapi dalam banyak-banyak kad, saya teringat kepada satu kad buatan tangan yang dihantar oleh anak-anak muda dari Universiti Bangsar Utama kepada saya di Kamunting.
Isi tulisan kad ini paling menarik dan menjadikan saya terbahak-bahak ketawa. Setiap Syawal datang saya akan tesenyum bila meningati tulisan di kad ini :-
' Tak poso buek caro tak poso - jangan sibok- sibok nak rayo '.
Mungkin ada yang tidak berpuasa, tidak bersembahyang atau tidak warak, tidak semestinya kita tidak memilki satu hari, satu masa dan satu ketika untuk memfokus perjalanan hidup kita ini.
Pilihlah hari, ketika dan saat yang sesuai seperti kata-kata Rabbai yang saya temui satu masa dahulu di London. Carilah ketikanya untuk merenung perjalanan yang lalu dan memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini.