Rakyat, klise dan pemalas
Entah malaaun mana yang menetapkan jika ada penyapu baru yang menerima jawatan maka wajib dilihat prestasinya dalam masa satu ratus hari. Hairan bin Takjub kenapa pula seratus hari, apa dasar patukan yang meminta seratus hari ini dianggap sebagai jangka masa keramat.
Kenapa tidak 73 hari setengah atau 67 hari. Angka seratus hari kini hanyalah satu angka klise yang paling membosankan, lebih membosankan dari menonton berita RTM.
Kalau teruna dan dara berkahwin (bukan zaman sekarang - zaman Tok Kaduk dahulu) mungkin masuk akal juga angka seratus hari ini. Di zaman itu, pengantin disandingkan tanpa mengenali satu sama lain. Mereka tidak pernah menonton cd Pramugari Terlampau atau melihat gambar Linda Raffar dengan seorang anak muda dari Setiawangsa, justeru, pasti ada segan silu untuk mengenal tubuh badan masing-masing.
Seratus hari itu adalah jumlah waktu yang dianggap cukup untuk mencuba, meraba, mencari, menduka dan merasa.
Tetapi semua ini telah jauh berubah. Dua minggu ini semenjak penyapu baru opps..maaf, Perdana Menteri baru kita telah sampai ke Putrajaya; telah mula muncul angka klise seratus hari ini. Telah mula didengarkan pemola-pemola (perkataan dari Negeri Sembilan membawa erti pelawak) dari pelbagai lapisan yang membuat pelbagai tuntutan (sic).
Entah malaaun mana yang menetapkan jika ada penyapu baru yang menerima jawatan maka wajib dilihat prestasinya dalam masa satu ratus hari. Hairan bin Takjub kenapa pula seratus hari, apa dasar patukan yang meminta seratus hari ini dianggap sebagai jangka masa keramat.
Kenapa tidak 73 hari setengah atau 67 hari. Angka seratus hari kini hanyalah satu angka klise yang paling membosankan, lebih membosankan dari menonton berita RTM.
Kalau teruna dan dara berkahwin (bukan zaman sekarang - zaman Tok Kaduk dahulu) mungkin masuk akal juga angka seratus hari ini. Di zaman itu, pengantin disandingkan tanpa mengenali satu sama lain. Mereka tidak pernah menonton cd Pramugari Terlampau atau melihat gambar Linda Raffar dengan seorang anak muda dari Setiawangsa, justeru, pasti ada segan silu untuk mengenal tubuh badan masing-masing.
Seratus hari itu adalah jumlah waktu yang dianggap cukup untuk mencuba, meraba, mencari, menduka dan merasa.
Tetapi semua ini telah jauh berubah. Dua minggu ini semenjak penyapu baru opps..maaf, Perdana Menteri baru kita telah sampai ke Putrajaya; telah mula muncul angka klise seratus hari ini. Telah mula didengarkan pemola-pemola (perkataan dari Negeri Sembilan membawa erti pelawak) dari pelbagai lapisan yang membuat pelbagai tuntutan (sic).
Mereka dilihat sebagai pemola bukan kerana mereka bertanggungjawab menulis skrip siri komedi Bas Mini tetapi kerana mereka membebalkan diri untuk terperangkap dengan amalan klise seratus hari.
Ada beberapa episod dalam naratif lawak ini.
Bukan isu baru
Pertamanya tuntutan/permintaan ataupun memorandum yang akan diajukan kepada PM baru kita ini semuanya akan diisikan dengan agenda-agenda yang telah pernah diajukan berjuta-juta kali.
Kalau dikumpulkan kertas dimana isi kandungan memo ditulis pasti ianya boleh membaluti tujuh kali puncak gunung Kinabalu. Kalau kertas-kertas ini dibakar pasti bahangnya dapat memanaskan dua musim sejuk di gurun salju Siberia.
Fikirkan betapa banyaknya hutan yang telah ditebang untuk menyediakan kertas-kertas ini. Dan kalau dakwat menulis memo ini dikumpulkan pasti ianya boleh membirukan Tasik Kenyir.
Apakah munasabah bahawa PM yang baru ini tidak pernah mengetahui perkara-perkara yang akan dicatat/senaraikan dalam memo-memo ini. Jika sekiranya dibuktikan benar bahawa tuntutan-tuntutan ini tidak pernah didengar beliau maka terserlahlah kebebalan PM kita ini.
Maka desas desus keupayaan fikrah beliau yang tersebar luas dari mulut ke mulut selama ini rupa-rupanya mempunyai asas yang kukuh.
Tetapi ini suatu pekara yang mustahil. Sebebal mana pun seorang politikus Umno, pasti dianya pernah mendengar tentangan/rungutan rakyat terhadap ISA,OSA , atau AUKU.
Mungkin ada insan politik yang mengambil klise seratus hari ini sebagai satu tindakan yang positif. Untuk ini mari kita sama-sama lihat secara mendalam bentuk dan metodologi tindakan politik ini.
Kerja angan-angan
Pertama beberapa individu/NGO berkumpul dan menyenaraikan beberapa tuntutan. Lalu tuntutan ini diwatikahkan sebagai sebuah memo rasmi. Alhamdulilah - syukur kepada yang maha Esa, jika tuntutan ini dapat diurus/selesaikan oleh PM baru kita dalam masa seratus hari maka 'sinsalabin abradacabra' akan munculah matahari demokrasi di bumi permai ini.
Dan terbukalah ruang demokrasi untuk warga Malaysia
Ini sebenarnya satu angan-angan dari pekerja-aktivis parti politik yang malas. Menulis memo bukan kerja politik. Ini kerja seorang CEO dari sebuah syarikat perniagaan atau dari seorang pegawai tinggi yang menulis memo kepada pegawai-pegawai rendah sebagai satu arahan kerja.
Aktivis parti politik kerjanya ialah menaikkan kesedaran orang ramai tentang hal ehwal semasa dan membawa garis/falsafah politik yang berkemungkinan menimbulkan perubahan sosial untuk mendirikan sebuah masyarakat yang lebih telus dan adil.
Menulis atau menghantar memo tidak pernah dimasukkan ke dalam carta kerja aktivis politik. Apatak lagi jika memo ini ditulis dan diajukan oleh aktivis parti pembangkang dalam negara yang bernama Malaysia. Semuanya akan dibakul sampahkan. Hampeh belako.
Kerja malas lagi sia-sia ini dilakukan kerana politik jenis ini tidak memiliki garis/tindakan dan penganalisaan politik yang tepat. Mereka lebih baik menjadi konduktor bas seperti kerja pertama yang dilamar oleh John Major, bekas perdana menteri Britain. Pasti mereka akan lebih menyerlah, trampil dan dilihat jempul sebagai pemandu bas mini.
Sayangnya di Malaysia ini kerja dan akiviti politik telah dilucahkan dengan cita-cita untuk menjadi wakil rakyat dan bukan untuk menaikan kesedaran pemikiran rakyat.
Maka menulis memo dan menghantar memo 'ingin' dibaca sebagai satu perjuangan maha agung yang terpaksa melintasi ribuan halangan. Ha ha haha. Para aktivis ini mengharapkan penghantaran memo ini akan dilihat oleh rakyat bahawa bakal wakil mereka sedang berjuang bermati-matian (baca: bertungkus lumus tidak tidur malam kerana menulis memo).
Melucahkan nama rakyat
Dinegara yang bernama Malaysia ini penghantaran memo ini tidak pernah dijadikan satu 'media event' yang menggegarkan. Tidak mungkin ada media diarus perdana yang akan membuat laporan mendalam.
Jangan harap ada satu editorial yang akan mengupas isi kandungan memo ini - walaupun bakal wakil-wakil rakyat kita telah berhumpas pulas 'berjuang' menulisnya. Belas kasihan juga bila ini dikisahkan.
Untuk menyedapkan hati memo ini akan diberikan nama yang gah-gah seperti: Memo Rakyat Kepada PM, atau Memo Seratus Hari Rakyat Malaysia atau Tuntutan Seratus Hari Pemuda BA atau Memorandum Tuntutan Demokrasi Rakyat. Semua ini sebenar wayang kulit yang berputar dihari siang.
Rakyat langsung tidak mengetahui tentang memo atau tuntutan yang dibuat diatas nama mereka. Pengunaan perkataan 'rakyat' ini kononnya untuk memperlihatkan bahawa mereka yang mendraf memo itu sedang mewakili rakyat.
Silap-silap haribulan - untung-untung sabut - para penghantar memo ini dapat menjadi wakil rakyat. Atau busuk-busuk pun saham mereka akan naik dan nama mereka akan disenarikan sebagai bakal calon dalam pilihanraya yang akan datang.
Disinilah pelucahan nama rakyat. Perkataan rakyat diselitkan untuk menggempakkan memo ini. Adanya perkataan rakyat memperlihatkan ini sebagai satu tanda perjuangaan. Bila ini terjadi semuanya menjadi jelek dan memualkan. Lebih meloyakan dari menonton aksi pelakun utama Mamat Perut Boroi dalam cd Mak Datin Terlampau.
Bakal-bakal calon wakil rakyat ini tidak ingin berfikir untuk membebaskan diri mereka dari tarikh klise seratus hari ini. Amat jauh sekali melakukan upaya untuk menaikkan kesedaran rakyat untuk mengajukan satu tuntutan rakyat yang kompak dan membawa satu pengertian politik yang teratur, rapi dan jitu.
Senyuman sinis PM
Bayangkan empat lima kerat muka-muka yang sama - dari barisan muda BA, aktivis NGO, aktivis Reformasi dan beberapa ekor yang lain datang untuk menghantarkan memo ini kepada PM baru kita.
Mereka ini telah dikumpulkan melalui pesanan SMS. Aduh ! Cukup hebat dan tinggi betul teknologi berpolitik di negara ini; dengan SMS sahaja rakyat boleh dikumpulkan.
Metodologi penggunaan SMS ini mungkin telah didengari (sila ambil perhatian, mereka hanya mendengar bukan membaca atau menganalisa ) sebagai kejayaan kerja politik di negara jiran semasa menumbangkan Tuan Estrada.
Mereka tidak sedar bahawa puluhan tahun sebelum pesanan SMS sampai, rakyat Flipina telah dinaikkan kesedaran politik mereka. Peoples' Power yang dikumpulkan di Manila itu bukan muncul kerana adanya Internet atau SMS. Mereka telah dikumpulkan melalui gerak kerja politik.
SMS itu hanya menuai panen setelah politik membajak rakyat Filipina dilakukan bertahun-tahun.
Memo yang akan dihantar ini pasti tidak akan dipedulikan oleh PM baru kita ini. Dengan tugas baru, rumah baru, kerusi baru , kuasa baru dan contact lens baru pasti beliau akan melekehkan tiga empat kerat muka-muka biasa yang ingin menyampaikan Memo Rakyat ini.
Jika Abdullah Ahmad Badawi bijak (masih boleh dipertikaikan hal ini) beliau akan bertanya dimana perginya rakyat yang ingin menyampaikan tuntutan ini. Apakah mereka tercicir atau tidak tahu jalan ke parlimen.
PM baru kita ini pasti tersenyum sinis. Dalam senyuman ini beliau berfikir (walaupun satu kerja yang amat susah untuk dilakukan) alangkah baiknya masa untuk melayan penghantar memo ini digunakan beliau untuk mententeramkan pertarungan diantara Datin Hendon dengan Datin Rosmah.
Mari kita sama-sama bayangkan pula satu senario yang berbeza: Semasa penghantaran Memo Tuntutan Seratus Hari ini akan diiring sama oleh seratus ribu rakyat dari pelbagai sektor.
Untuk dilihat gah dan berwibawa memo ini dipanggil - Tuntutan 100 Hari Dari 100,000 Rakyat. Di pagi penyampaian memo ini, bila saja PM baru kita ini membuka tingkap kamar pejabatnya, beliau secepat mungkin akan mengambil cermin mata Pak Beruangnya kerana digangu oleh suara gegak gempita 100,000 rakyat.
Rakyat dengan aman penuh sabar bertawakal menunggu jawapan dari pemimpin baru negara.
Dorongan rakyat
Ini bukan satu senario yang baru atau senario yang diangan-angankan. Tanya penduduk di Baling apa yang mereka lakukan pada tahun 1974 dan bagaimana cepatnya Pak Menteri memberi jawapan.
Kalau tidak percaya sila tanya Tan Sri Musa Hitam yang bergegas datang dengan helikopter untuk memberikan jawapan atas tuntutan rakyat di Baling
Atau bertanya kepada penduduk di pekan Bukit Papan apa tindakan mereka apabila sebuah kilang toksik ingin didirikan di wilayah mereka pada tahun 80'an. Dan bagaimana rakyat dapat menggagalkan rancangan ini.
Kalau masih lagi kurang yakin kepada senario ini sila bertanya kepada Tok Tok dan Nenek Nenek si penanam padi di Kedah tentang apa yang telah mereka lakukan pada tahun 1979. Ini ketika kerajaan ingin melupuskan subsidi padi mereka.
Atau pergilah bertanya kepada orang PAS bagaimana mereka berjaya membebaskan arwah Ustaz Fadzil Noor, Hadi Awang, Mustapha Ali dan Fathullah Shuib dari dalam penjara atas tuduhan berceramah haram di Seberang Takir di Terengganu.
Mungkin senario ini dilihat sebagai dakyah pembangkang, dan amat susah untuk dipercayai. Untuk meleraikan kekusutan bertanya sendiri kepada perawi-perawi veteran Umno yang masih hidup tentang cara gerakan mereka menggagalkan rancangan Malayan Union yang ditaja oleh penjajah British pada tahun 1946.
Semua senario yang disurahkan tadi mungkin bertulis atau mungkin tidak bertulis tuntutan mereka.
Samada dipanggil memo atau tidak adalah tidak penting. Apa yang jelas dalam tuntutan ini ianya tidak memerlukan masa seratus hari sebagai ujian kepada pihak yang dituntut. Mereka menuntut dan menunggu sampai dapat.
Satu perkara yang amat penting untuk disedari disini bahawa semua tuntutan ini diiringi oleh ribuan rakyat. Hanya pemola malas saja yang akan terperangkap dengan angka klise seratus hari dan menghantar SMS sebagai kerja politik.

