Tun Dr Mahathir Mohamad bersara pada 31 Oktober 2003 seperti yang dijanjikan bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar mahu berundur - walaupun persoalan sama ada ianya secara 'sukarela' atau bukan - masih boleh terus dipertikaikan .

Kerana ramai yang kurang yakin, maka terpaksalah beliau, dari masa ke masa, mengulangi janjinya untuk berundur pada masa yang ditetapkan, dan berkali-kali pula menegaskan bahawa beliau berundur dengan sukarela.

Paradoks Dr Mahathir ialah beliau tidak pula berlagak sebagai seorang yang akan berundur, dengan beransur-ansur meringankan peranan beliau dalam politik tempatan dan antarabangsa, dan pada masa yang sama, menampilkan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk memainkan peranan utama.

Beliau sebaliknya lebih menonjol sebagai jurucakap dan pemimpin agung yang seolah-olah tidak dapat digantikan dalam badan-badan antarabangsa seperti Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Persidangan Negara Islam (OIC), dan Apec. Media negara dengan sedaya upaya menampilkan imej pahlawannya dalam menentang musuh Yahudi dan Barat.

Seperti yang dibayangkan oleh lirik-lirik lagu Pahlawanku yang dinyanyikan oleh kakitangan Kementerian Kewangan, khusus buat Dr Mahathir yang berbunyi:

Pahlawanku,

Pergilah berjuang untuk bangsa

Jangan ragu

Namamu tetap dipuja

Biar mati

Sebagai pahlawan yang sejati

Jangan undur

Jasamu kelak bertabur

Selamat kau pergi, Pahlawanku

Cabaran besar

Imej Dr Mahathir sebagai seorang "pahlawan" dan "tokoh yang tidak tiada gantinya", yang ditonjolkan begitu terserlah sekali, telah menjadikan penggantinya seperti"melukut di tepi gantang".

Dalam keadaan demikian, sudah tentu akan timbul persoalan sama ada Pak Lah sanggup mengambil alih peranan Dr Mahathir dalam arena politik tempatan dan di peringkat antarabangsa, yang kini penuh dengan pancaroba dan cabaran, terutama setelah dikeruhkan oleh ucapan Dr Mahathir di persidangan OIC yang dianggap berbau anti-Semitik.

Jaminan Dr Mahathir bahawa Pak Lah memang boleh, dan beliau tidak akan "campurtangan" atau "mengganggu" pentadbiran negara, sebaliknya memperingatkan kita mengenai kemampuan beliau untuk campurtangan dalam urusan kerajaan, jika beliau rasa perlu, walaupun setelah berundur.

Rasanya, tiada mana-mana pihak yang berani memandang ringan pengaruhnya - secara langsung atau tidak langsung - dalam penggubalan dasar kerajaan kelak supaya ia tidak terpesung dari landasan "cara kita" (baca: cara Dr Mahathir) untuk menjaga kepentingan diri beliau dan kroni-kroninya.

Rasanya kempen dan desakan Gerakan Reformasi - setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat - supaya Dr Mahathir berundur selepas Presiden Suharto diguling oleh Gerakan Refomasi di Indonesia pada Mei 1998, mungkin memberi amaran kepada perdana menteri kita agar berbuat sesuatu bagi mengelak nasib yang sama menimpa dirinya.

Ketika diwawancara, Dr Mahathir pernah membayangkan dirinya terpencil sewaktu ekonomi negara dilanda krisis pada 1997, yang disusuli pula dengan peristiwa pemecatan Anwar . Oleh itu, nasib bekas Presiden Suharto mungkin menjadi satu faktor yang mendorong beliau mengambil keputusan untuk "berhenti bila makan tengah sedap".

Gerakan reformasi

Bagaimana sekalipun, keputusan beliau untuk berundur sepertimana yang dijanjikan itu, memang sesuatu yang bijaksana dan dialu-alukan, kerana ia telah memungkinkan berlakunya suatu peralihan kuasa secara aman da teratur.

Tetapi ini tidak bermakna pengaruh beliau akan lenyap begitu saja selepas berundur sebagai perdana menteri dan presiden Umno, terutamanya jika ianya merupakan suatu pengunduran startegik untuk mengelak serangan balas dari Gerakan Reformasi berpunca daripada tindakannya terhadap Anwar.

Mahathirisme merupakan suatu era yang panjang dan merupakan pemikiran autokratik dan fenomena/institusi yang meliputi hampir semua dasar kerajaan/ Umno mengenai politik, ekonomi, budaya, pendidikan dan sosial, baik dalam negeri maupun antarabangsa.

Oleh itu, sudah tentu diperlukan suatu proses deMahathirisasi (deMahathirization) yang tidak begitu mudah, tetapi amatlah penting, antaranya, mengenai sikap penggantinya terhadap dasar-dasar yang merupakan manifestasi Mahathirisma tersebut.

Kini Dr Mahathir telah berundur sebagai seorang "pahlawan agama bangsa dan nusa", semua sumbangan beliau disanjung dan dibesar-besarkan, dan semua kelemahan dan kesalahan beliau dilupa dan dilenyapkan.

Beliau diagung-agungkan oleh media perdana dengan begitu hebat sekali sehinggakan beliau sendiri berasa ianya keterlaluan dan cuba menegahnya ( sekurang-kurangnya dalam retorik).

Pengampunan

Hegemoni budaya Barisan Nasional (BN) telah beroperasi dengan begitu sempurna dan menyeluruh sekali, sehinggakan sesetengah pemimpin pembangkang, juga kelihatan terbawa-bawa oleh arus memuji-muji Dr Mahathir melalui laporan wartawan yang telah disetmindakan untuk mengalu-alukan pengunduran Dr Mahathir sebagai seorang wira.

Pengunduran Dr Mahathir kelihatan cukup meriah dan membanggakan. Namun unsur Anwar mungkin terus memomokkan beliau. Beliau seolah-olah cuba mencari penyelesaian dengan bekas timbalannya dengan mengatakan jika beliau adalah Yang di-Pertuan Agong, beliau akan mengampunkan Anwar.

Maklumlah sebagai seorang perdana menteri, beliau memang berkuasa untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya mengampunkan Anwar.

Namun, dengan tegas Anwar menolak kemungkinan beliau mengemukakan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, kerana ia bermakna beliau telah menerima hukuman ke atasnya, yang selama ini dianggapnya sebagai akibat komplot politik yang didalangi oleh Dr Mahathir sendiri.

Pendirian Anwar tidak sudi diampunkan, bermakna beliau juga tidak akan memaafkan Dr Mahathir yang dianggap sebagai penganiaya yang amat melampau, kerana mengikut Anwar: "Dr Mahathir telah berjaya menjadikan saya pemegang rekod. Segala-galanya. Perempuan, lelaki, korupsi, ejen negara asing, pengkhianat, menjual rahsia kerajaan kepada ejen asing.

"Dan inilah orang yang beliau ambil dan pelihara sebagai penggantinya. Beliau telah secara melampau menuduh saya melakukan jenayah besar terhadap humaniti, agama dan negara.(Blowing hot and cold, Asiaweek, 2 Oktober, ms 30)

Visi tunggal

Sikap Anwar mungkin boleh membayangkan sikap penyokongnya terhadap Dr Mahathir meskipun beliau sudah berundur. Ini menunjukkan walaupun mereka bersyukur terhadap sumbangan Dr Mahathir, tetapi ramai lagi yang belum bersedia untuk memaafkan kesalahannya.

Oleh itu, terbitan khas semua media yang memuatkan berpuluh-puluh muka "ucapan terima kasih kepada Dr Mahathir" telah memberi suatu gambaran palsu, seolah-olah rakyat semua bangsa di negara ini memuji Dr Mahathir sebagai "perdana menteri yang tercinta".

Suara tunggal ini mengingatkan saya tentang ibarat Farish A Noor (Mediating Islam and a mediated Islam, 16 Oktober 2003) mengenai Dajjal yang bermata tunggal: Ia melihat dunia melalui visi mufrad (singular) yang menutup dan menyangkal semua yang lain.

Hujah presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali mungkin lebih objektif: "Cerita mengenai Dr Mahathir bercampur antara kejayaan besar dengan kegagalan serius. Pada keseluruhannya mungkin beliau akan dikenang sebagai putera Malaysia yang masyhur dan perdana menteri yang berjaya. Dengan budaya politik yang wujud, kejayaannya akan kelihatan lebih bersinar di mata rakyat. Namun, sejarah akan menjadi hakim yang muktamad."

Hanya bila "kegagalan serius"Dr Mahathir juga dipaparkan seiring dengan "kejayaan besarnya", barulah jasa /dosanya dapat diadili dengan lebih saksama dan seimbang.

Bagaimanapun, sejarahlah yang akan merupakan hakim muktamad!