Dr Mahathir dan kisah pelepah pisang
Ini kisah pelepah kelapa dan pelepah pisang. Apa bezanya antara kedua-duanya? Nampak seperti sama sahaja sebab kedua-duanya adalah pelepah. Kalau sama sahaja, apa pula keistimewaannya hingga ia patut diperkatakan dalam kolum kita minggu ini?
Sebenarnya ada perbezaan besar antara pelepah kedua-dua pokok itu. Pelepah kelapa apabila sudah tua, dengan sendirinya ia akan jatuh ke bumi. Atau dalam bahasa orang politik, apabila sudah sampai masanya, dengan sukarela seseorang pemimpin itu akan berundur.
Pelepah pisang pula lain sifatnya, makin tua makin susah atau liat untuk luruh atau gugur ke pangkalnya. Sampai reputpun, pelepah pisang tetap berpaut pada batang pisang. Pelepah pisang tidak sanggup turun dari tempat yang didudukinya walaupun di atasnya sudah penuh dengan pelepah-pelepah yang lebih segar dan muda.
Ini kisah pelepah kelapa dan pelepah pisang. Apa bezanya antara kedua-duanya? Nampak seperti sama sahaja sebab kedua-duanya adalah pelepah. Kalau sama sahaja, apa pula keistimewaannya hingga ia patut diperkatakan dalam kolum kita minggu ini?
Sebenarnya ada perbezaan besar antara pelepah kedua-dua pokok itu. Pelepah kelapa apabila sudah tua, dengan sendirinya ia akan jatuh ke bumi. Atau dalam bahasa orang politik, apabila sudah sampai masanya, dengan sukarela seseorang pemimpin itu akan berundur.
Pelepah pisang pula lain sifatnya, makin tua makin susah atau liat untuk luruh atau gugur ke pangkalnya. Sampai reputpun, pelepah pisang tetap berpaut pada batang pisang. Pelepah pisang tidak sanggup turun dari tempat yang didudukinya walaupun di atasnya sudah penuh dengan pelepah-pelepah yang lebih segar dan muda.
Dalam bahasa orang politik, pelepah pisang yang sudah tua ini samalah dengan seorang pemimpin veteran yang tidak sedar diri. Samalah dengan "kuda tua" yang sudah semput dan lemah tenaga zahir dan batinnya, tetapi masih bernafsu untuk terus berlumba. Pelepah pisang yang sudah longlai ini hanya akan menyembah bumi apabila dicantas dengan sabit atau parang.
Orang politik jenis pelepah inilah yang banyak dalam negara kita sekarang. Menyedari senario itu maka Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini meminta para pemimpin veteran Barisan Nasional (BN) supaya berundur secara sukarela. Beliau mahu mereka mengikut jejaknya yang akan bersara pada hujung bulan ini.
Malah, Dr Mahathir menegaskan supaya jangan tunggu apabila sudah dibenci baru hendak bersara. Menurut Wira Dunia Ketiga itu, jangan tunggu hingga segala tugas dan tanggungjawab selesai, baru mahu meletakkan jawatan kerana tugas, kerja dan projek tidak akan selesai sampai bila-bilapun.
Gila kuasa
Cantik dan menarik sekali seruan Dr Mahathir itu. Kata-kata beliau itu ada benarnya. Lebih baik berhenti ketika diri sedang disukai rakyat. Apabila berundur semasa tengah popular, pemergian seseorang pemimpin itu akan diiringi dengan doa restu, penuh puji-pujian dan keharuan. Kalau nasib baik, akan didewa-dewakan sebagaimana yang dilakukan ke atas dirinya sekarang.
Kalau bersara atau dibersarakan ketika populariti dan imej sedang merudum, alamatnya ialah persaraan itu akan diiringi dengan cemuhan dan kebencian. Silap hari bulan, rakyat akan buat kenduri kesyukuran kerana perginya seorang pemimpin yang tidak sedar diri dan gila kuasa.
Nampaknya, Dr Mahathir telah memilih untuk menjadi pelepah kelapa. Beliau berpegang pada nasihat ibunya berhenti makan ketika sedang sedap! Tidak cukup dengan itu, beliau juga mahu para pemimpin yang seangkatan dengannya supaya turut sama berundur.

Tentunya para pemimpin veteran BN yang lain seperti Datuk Dr Lim Keng Yeik, Datuk Seri S Samy Vellu, Tan Sri Taib Mahmud, Tun Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Isa Samad dan beberapa orang lagi terkena tempias seruan Dr Mahathir itu.
Walaupun umur mereka lebih muda daripada perdana menteri Malaysia ke-4 ini, namun dari aspek tempoh berada di tampuk kuasa, ada di antaranya sudah hampir tiga dekad memegang jawatan yang disandang sekarang.
Mereka ini wajar memikirkan seruan Dr Mahathir itu dengan mendalam. Eloklah jadi pelepah kelapa, jangan jadi pelepah pisang yang dibenci oleh pelepah-pelepah yang lebih muda dan bertenaga.
Celupar
Pemimpin veteran dalam BN mungkin tersinggung dengan kenyataan ketua mereka itu. Tentu ada di antara mereka yang mencemuh Dr Mahathir atau ketawa sinis kerana setelah 22 menjadi Perdana Menteri, setelah usia tinggal beberapa tahun sahaja mencapai 80 tahun, dan sudah berada di ambang persaraan, barulah sekarang beliau berani mengajak orang lain bersara.
Malah ada di antara mereka secara senyap-senyap menganggap seruan Dr Mahathir itu suatu yang tidak patut dan tidak adil. Bagi mereka, sebelum mengeluarkan kenyataan yang sensitif itu, Dr Mahathir patut menilai dirinya terlebih dahulu. Jangan mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih!
Mereka berpendapat presiden Umno itu seeloknya menutup mulutnya, pergi bersara secara senyap dan tenang, bukannya celupar dengan kontroversi. Mereka berpendapat jika Dr Mahathir masih belum puas bercakap dan masih mahu berlagak seperti seekor ayam jantan, eloklah beliau jangan berhenti pada hujung bulan ini.
Itulah pendapat beberapa pelepah pisang yang sudah layu dan reput. Mereka tidak mahu menerima teguran atau nasihat Dr Mahathir itu dengan positif. Walaupun 'rumah sudah kata pergi dan kubur kata mari', pelepah pisang dalam MIC, Gerakan, Umno dan parti komponen lain BN masih enggan berundur.
Mungkin Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakyat perlu mencantas pelepah-pelepah pisang yang degil dan liat untuk menyembah bumi itu di dalam pilihanraya umum akan datang. Mari ramai-ramai kita lakukannya!

