Seorang pensyarah kanan Universiti Malaya, yang lebih 20 tahun mengajar, sungguh pesimis memandang masa depan dunia akademik kini dan generasi muda sekarang. Katanya, dunia kampus sudah 'lumpuh' sama sekali dan seolah-olah 'tidak dapat diperbaiki lagi', jika keadaan sekarang berlanjutan.

"Kita (siswa dan pensyarah) diajar 'apa' yang (boleh) difikirkan," kata ahli sains ini, "bukannya 'bagaimana' berfikir (secara berdikari)."

Dia berharap walau tipis sekali lulusan universiti luar negara akan boleh memperbaiki keadaan sekarang. Dia tidak nampak lulusan dalam negeri (khususnya yang menjadi pensyarah ketika masih muda) boleh membawa sebarang kemajuan berfikir di kampus.

Mereka, hujah pensyarah ini lagi, yang melalui dunia akademik tempatan jelas sekali terkena kesan buruk kelumpuhan akademia di institusi pengajian tinggi kita.

Sementara seorang penerbit filem pula merungut, dalam satu sesi uji bakat, bakal-bakal pelakon (muda) yang ditanya tidak dapat berfikir dengan matang dan bebas.

"Soalan-soalan asas (tentang kehidupan atau minat seni) pun mereka tidak berani menjawab dengan yakin," kata beliau, seorang lulusan dari kampus Australia. "Nampak jelas sistem pendidikan kita sangat lemah, tidak mengajar seseorang berfikir dengan kritikal dan yakin."

Sasterawan negara Shahnon Ahmad, sewaktu menjadi profesor di Universiti Sains Malaysia, telah membayangkan dunia akademia yang sedang tenat ini.

Kelesuan akademia

"Sekarang kemurnian dan keindahan kebebasan akademik boleh dikatakan telah terhakis zatnya," katanya dalam satu kertas kerja di persidangan tentang perkara ini pada 1989 di universiti berkenaan.

"Sebelum ianya mewabak menjadi kanser yang boleh mematikan akademia, amat wajar persoalan ini diberi perhatian khusus."

Pandangan Shahnon ini tidaklah bersifat alarmist atau berlebih-lebih pada waktu itu. Malah, jika dibandingkan keadaan di universiti sekarang, pandangan beliau dan ahli-ahli akademik lain dalam Persidangan Akademik Kebangsaan (13 dan 14 Oktober) sudah cukup 'berwawasan jauh'. Himpunan kertas kerja inilah yang dikenali sebagai buku Akademia: Menjelang Tahun 2000 (terbit 1991).

Dekad 1980-an, dengan sisa-sisa kebebasan akademik dekad sebelumnya, menyaksikan siri-siri pertemuan ilmuwan dan tulisan-tulisan yang serius tentang ancaman ini. Kesan itu sedikit sebanyak melimpah ke awal dekad berikutnya dan barangkali diakhiri dengan buku seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual pada 1993.

Bagaimanapun, sejak 10 tahun lalu, isu kebebasan akademik, kelesuan akademia dan mutu graduan tidak lagi diangkat sebagai wacana awam yang sungguh-sungguh. Malah, rencana popular di akhbar atau majalah semakin sukar dibaca. Jika ada sekali-sekala, sangkat dangkal dan jauh dari memuaskan.

Dalam tempoh lima tahun era reformasi, sejak 1998, isu kebebasan akademik terus berkubur; kubur yang sangat menyeramkan, dengan nisan-nisan yang patah, penuh semak-samun dan purba sifatnya.

Cuma sekali-sekala isu sekitar kampus timbul apabila wujud tindakan disiplin terhadap aktivis pelajar dan kontroversi akujanji yang melibatkan tenaga akademik beberapa tahun lalu. Pada amnya, hanya gerakan siswa yang menjerit-jerit.

Retorik berjela-jela

Tetapi pensyarah, walau masih berani terlibat dalam gerakan badan bukan kerajaan (NGO) atau menghadiri acara pembangkang, sudah tidak mengadakan apa-apa gerakan, sama ada tulisan atau kempen. Nampaknya siswa jauh lebih 'ke depan' daripada pensyarah (atau bekas pensyarah) mereka sendiri!

Cuba kita bariskan nama pemimpin pembangkang kini atau aktivis NGO yang pernah (dan masih) berkhidmat sebagai pensyarah: Sahri Bahri, Dr Mohd Nor Manuty, Rustam A Sani, Dr Sanusi Osman, Shahnon Ahmad, Dr Syed Azman Nawawi, Dr Zulkifli Ahmad, Dr Mohd Nasir Hashim dan ramai lagi yang bersembunyi di sebalik Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau bersimpati dengan pembangkang.

Tetapi kenapa idea, isu dan kempen tentang kebebasan akademik sukar sekali digerakkan di tengah-tengah keghairahan kita bercakap tentang demokrasi, keadilan, kebebasan, 'politik baru', 'parti alternatif', dan hak asasi? Kenapa?

Malah, selain Shahnon, Rustam, Sanusi dan Mohd Nasir adalah antara pembentang kertas kerja yang muluk-muluk di persidangan akademik di USM pada 1989 itu sendiri. Bagaimana kita dapat meraikan sikap politik mereka hari ini dengan perincian agenda reformasi yang kita sama-sama sedang bicarakan?

Gerakan reformasi mempunyai beberapa senarai kempen seperti 'hapuskan Akta ISA', 'kebebasan media', 'hak berhimpun', atau 'kebebasan sistem kehakiman' tetapi kenapa tidak muncul 'kebebasan akademik'?

Rupa-rupanya dalam keghairahan itu, banyak lagi isu asas kebebasan dan hak asasi manusia belum dibawa ke muka umum. Banyak sekali isu tertinggal dan semua orang kelihatan sudah melupakannya.

Siapa yang harus menanam bangkai kerbau, akibat dilanggar lori sampah majlis perbandaran, di atas jalan raya? Kita akan dilihat bangsa yang 'sangat kelakar' jika gagal membersihkan bangkai kerbau itu. Tetapi hakikatnya inilah yang sedang berlaku.

Kegagalan seumpama inilah yang saya sebutkan dulu sebagai 'dosa orang tua' yang menyesatkan anak muda.

Jangan cepat-cepat menuduh penindasan kerajaan atau menyalahkan kelesuan masyarakat, sedar dirilah pembangkang, baik pemimpin, pemikir atau aktivis mereka. Ada kelemahan ketara di kalangan pembangkang, tidak payahlah retorika berjela-jela!




Rujukan:

Wan Manan Wan Muda dan Haris Md Jadi, peny. (1991) Akademia: Menjelang Tahun 2000, Pulau Pinang: Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran USM

Zaini Ujang (1993) Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual, Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar