Tentu ramai yang tertarik dengan wawancara khas malaysiakini dengan Tan Sri Musa Hitam baru-baru ini. Beliau yang berundur 17 tahun lalu sebagai timbalan perdana menteri pertama kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (Tun Ghafar Baba No 2 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim No 3), masih disebut-sebut antara yang mungkin kembali untuk merebut jawatan perdana menteri selepas Dr Mahathir bersara Oktober depan.

Musa merasa "tersinggung dan dihina", kerana menurutnya, beliau bukanlah seorang yang mempunyai "niat yang tersembunyi" tetapi hanya ingin memberi sumbangan sebagai seorang yang telah mengalami begitu banyak sekali pengalaman.

Kita tidak dapat mengetahui apa sebenarnya yang sedang difikirkan Musa sekarang dan apa yang akan beliau buat pada masa yang akan datang. Tetapi fokus beliau selama ini telah memperlihatkan potensi beliau dalam arena politik negara kita.

Hingga sekarang, beliau masih dianggap sebagai "mentor" kepada beberapa tokoh politik Umno yang berada dalam barisan terdepan pasukan pimpinan Umno, termasuk Datuk Abdullah Ahmad Badawi - bakal perdana menteri pilihan Dr Mahathir.

Musa menegaskan beliau tidak akan kembali ke arena politik negara, tetapi dalam wawancara itu, beliau telah memainkan peranan "back-up"yang sangat diperlukan Abdullah. Dan Musa juga jelas mencuba sedaya upaya untuk mempertahankan Badawi daripada beberapa kelemahannya.

Jangan campurtangan

Selain imej "Mr Clean", imej "lemah-lembut" juga dianggap sebagai satu kelebihan dan bukannya kelemahan Abdullah. Teori "Kasi-can"juga sering digunakan untuk membelai Abdullah apabila dilihat kurang berkemampuan dan berpengalaman dalam bidang ekonomi. Musa terus mempertahankan Abdullah dengan menyatakan Dr Mahathir juga menghadapi masalah yang sama apabila beliau mula-mula menjadi perdana menteri dulu.

Imej "one-man show" Dr Mahathir juga digunakan untuk menonjolkan semangat berpasukan Abdullah yang terlatih sebagai seorang kakitangan kerajaan yang veteran.

Tentang kemungkinan Dr Mahathir campurtangan setelah bersara nanti, nasihat Musa kepada Abdullah cukup berterus-terang: Seorang perdana menteri adalah seorang perdana menteri. Perdana menteri mempunyai tugas dan tanggungjawabnya yang tersendiri.

Maksudnya, Dr Mahathir tidak patut campurtangan setelah bersara, dan Abdullah juga tidak patut berkompromi terhadap tanggungjawabnya sebagai perdana menteri. Sebagai seorang yang tersingkir 17 tahun lalu, Musa kini masih dalam kedudukan untuk "menasihati" Dr Mahathir agar apabila bersara nanti, jangan campurtangan dengan tugas perdana menteri yang baru. Dan ini memang bukan satu perkara yang mudah.

Tentang arahan supaya tiada pertandingan bagi jawatan tinggi parti, Musa berpendapat jika masih ada pemimpin Umno yang berkeras hendak bertanding, maka tidak salah ia diteruskan. Ini membayangkan kemungkinan berlakunya pertandingan bagi jawatan tinggi Umno jika Abdullah gagal mengimbangi pihak-pihak yang berkaitan supaya patuh kepada arahan Majlis Tertinggi Umno.

Cerita rasuah

Dalam wawancara itu, Musa juga ditanya sama ada Anwar masih boleh mencapai kejayaan. Jawapan Musa agak negatif. Mengikut beliau, jika gagal dalam kedudukan No 2, maka sukarlah hendak mencapai kejayaan politik lagi, contohnya ialah beliau sendiri dan Ghafar.

Merujuk kepada politik Umno, hujah Musa ini mungkin tepat. Seandainya Musa atau Ghafar, malah Anwar sekalipun hendak kembali menerajui Umno, tentunya mereka yang berpeluang ke puncak kuasa sekarang, tidak akan "memberi laluan" kepada mereka. Ini adalah realiti politik , terutamanya politik Umno!

Sebagai seorang realis, Musa percaya salahlaku rasuah/korupsi itu akan terus wujud, termasuk yang berlaku dalam Kerajaan PAS. Isunya hanyalah bagaimana ianya dapat disekat.

Bagaimanapun, Musa melihat wujudnya perkembangan positif pada tahun-tahun kebelakangan ini, kerana pihak media lebih bersedia untuk mendedahkan cerita-cerita rasuah, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan untuk menyiasatnya.

Sebagai pemimpin veteran Umno, tidak hairanlah bagi beliau mengambil pendirian mempertahankan sistem pemilihan negara kita sekarang, dan berpuas hati bahawa proses pemilihan kita telah memberi saluran agar perseorangan, parti dan kerajaan dapat dijatuhkan.

Perhimpunan secara aman

Beliau juga cuba mempertahankan pendirian kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih keras terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas serangan 911.

Menurut Musa, Suhakam telah hampir mendapat persetujuan kerajaan BN supaya menbenarkan pembangkang mengadakan perhimpunan secara aman dengan syarat-syarat tertentu, tetapi peristiwa 911 telah mengubah segala-segalanya.

Beliau menganggap Dasar Ekonomi Baru kerajaan BN telah berjaya, dan globalisasi telah menghakis "hak keistimewaan"orang Melayu di mana mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan zaman globalisasi. Namun beliau membidas sikap pimpinan Umno yang terlalu bergantung kepada Dr Mahathir untuk menasihati orang Melayu supaya bersedia berhadapan dengan cabaran zaman globalisasi ini.

Bagaimanapun beliau yakin Umno akan menang dalam pilihanraya umum akan datang berasaskan alasan-alasan berikut:

- Dr Mahathir akan berundur, pembangkang kehilangan satu "beg tinju"(punching bag);

- Mentaliti orang Malaysia: kasi canlah kepada Abdullah Badawi;

- Abdullah mempunyai imej lemah-lembut;

- Pembangkang dalam keadaan kelam kabut, percanggahan pendirian PAS mengenai Negara Islam.

- Pembangunan negara telah berjaya mewujudkan imbangan kaum, sungguhpun ada yang berpendapat faktor kaum akan timbul semula.

Riwayat politik

Fahaman perkauman dikaitkan dengan faktor ekonomi saja, iaitu apa yang beliau namakan "perutisme": jika perut semua kaum dapat diisi, maka fahaman perkauman pun akan terhakis, hanya jika ekonomi negara kita gagal, barulah ada pihak yang cuba mencari kambing hitam.

Hujah tersebut nyata sekali cuba menutup pengaruh dasar-dasar perkauman Umno yang berasaskan "ketuanan Melayu"serta struktur Perikatan/Barisan Nasional yang berasaskan parti-parti perkauman, yang secara mendalam mencorakkan politik perkauman negara kita.

Lagi pun ketidak-seimbangan ekonomi lebih merupakan isu sosial-ekonomi daripada isu perkauman, iaitu kemiskinan dan kekayaan tidak secara langsung berkaitan dengan kaum.

Lantaran itu, sekalipun ekonomi negara kita gagal, tiada mana-mana kaum yang patut dikambinghitamkan jika kerajaan tidak mengambil pendekatan kaum untuk menangani kegagalan ekonomi negara.

Bagaimanapun, analisa beliau kenapa Umno akan menang dalam pilihanraya umum akan datang patut dipandang berat oleh pembangkang untuk mengetahui kelemahan diri mereka, dan mengatasi sebarang kelemahan sebelum terlewat.

Kesimpulannya, Musa nampaknya tidak begitu bercita-cita politik lagi, seperti tokoh politik lain yang kini berada dalam suasana "senjakala ", beliau juga sedang membuat persediaan untuk menerbitkan buku mengenai dirinya - suatu harapan tokoh politik sebelum meletakkan tanda noktah kepada riwayat politik masing-masing.