Merdeka: Tiga bohong dan satu mitos
Sekali lagi pada 31 Ogos ini, Malaysia akan menyambut apa yang dipanggil Hari Kebangsaan. Entah berapa kali hari terakhir bulan Ogos ini telah ditukar nama. Satu ketika dulu, di akhir tahun lima puluhan, 31 Ogos ini dipanggil Hari Merdeka, kemudian entah bila pula di panggil Hari Malaysia, kemudian dialih pula menjadi Hari Kebangsaan.
Jelas, nama hari akhir bulan Ogos ini boleh bertukar ganti, macam nama kelab disco - bila sambutan pelanggan ke atas kelab itu semakin merosot - diganti dengan nama baru - dengan harapan pelanggan akan berkerumun kembali.
Hairan ibni takjub, entah apa yang di KE-kan dan entah apa pula yang di BANGSA-kan oleh Hari Kebangsaan pada akhir bulan Ogos ini.
Huha huha, bulan Ogos telah bermula agak awal, satu ritual tahunan, bermula bilamana warga akan dihadapkan, dihantui, dininabobokan oleh media cetak dan eletronik, mungkin dengan tujuan agar warga tidak terlupa bahawa bulan Ogos ini bukan diakhiri dengan 30 haribulan tetapi ada 31 hari dalam bulan Ogos.
Lalu, si Mamat Pembesar Suara, Mamat Kaki Bodek, Juru-Juru Salak dan Professor-Professor Kangkong dari institusi pengajian tinggi akan mengeluarkan beberapa tulisan yang isinya sama saja seperti pernah ditulis dalam bulan Ogos sepuluh tahun dulu.
Di media cetak, ritual ini pula akan 'dilawakkan' dengan 'bentuk seni' ayat yang terpotong-potong yang tanpa segan silu dinobatkan sebagai sajak. Akhbar-akhbar mingguan cukup ghairah untuk mengeluar ayat-ayat terpotong ini. Malah pasti ada si penulis yang telah bersedia mengasah pena bersilat gagah berani menulis seawal bulan Januari lagi dengan harapan 'bentuk seni' ini akan disiarkan pada bulan Ogos.
Sekali lagi pada 31 Ogos ini, Malaysia akan menyambut apa yang dipanggil Hari Kebangsaan. Entah berapa kali hari terakhir bulan Ogos ini telah ditukar nama. Satu ketika dulu, di akhir tahun lima puluhan, 31 Ogos ini dipanggil Hari Merdeka, kemudian entah bila pula di panggil Hari Malaysia, kemudian dialih pula menjadi Hari Kebangsaan.
Jelas, nama hari akhir bulan Ogos ini boleh bertukar ganti, macam nama kelab disco - bila sambutan pelanggan ke atas kelab itu semakin merosot - diganti dengan nama baru - dengan harapan pelanggan akan berkerumun kembali.
Hairan ibni takjub, entah apa yang di KE-kan dan entah apa pula yang di BANGSA-kan oleh Hari Kebangsaan pada akhir bulan Ogos ini.
Huha huha, bulan Ogos telah bermula agak awal, satu ritual tahunan, bermula bilamana warga akan dihadapkan, dihantui, dininabobokan oleh media cetak dan eletronik, mungkin dengan tujuan agar warga tidak terlupa bahawa bulan Ogos ini bukan diakhiri dengan 30 haribulan tetapi ada 31 hari dalam bulan Ogos.
Lalu, si Mamat Pembesar Suara, Mamat Kaki Bodek, Juru-Juru Salak dan Professor-Professor Kangkong dari institusi pengajian tinggi akan mengeluarkan beberapa tulisan yang isinya sama saja seperti pernah ditulis dalam bulan Ogos sepuluh tahun dulu.
Di media cetak, ritual ini pula akan 'dilawakkan' dengan 'bentuk seni' ayat yang terpotong-potong yang tanpa segan silu dinobatkan sebagai sajak. Akhbar-akhbar mingguan cukup ghairah untuk mengeluar ayat-ayat terpotong ini. Malah pasti ada si penulis yang telah bersedia mengasah pena bersilat gagah berani menulis seawal bulan Januari lagi dengan harapan 'bentuk seni' ini akan disiarkan pada bulan Ogos.
Tiga perkara wajib
Ini diiringi pula dengan tersiarnya beberapa bentuk seni certot (cerita kontot) yang pastinya wajib bertemakan hari terakhir bulan Ogos jika ingin disiarkan.
Dikaca TV pula Goebbels Kelas Ketiga telah mengarahkan Leni Riefenstahl Tanpa Kelas untuk mengeluarkan imej-imej pembangunan bangunan yang ditakrifkan sebagai kejayaan 31 Ogos.
Tidak cukup dengan menggambarkan 'KEJAYAAN' , si Goebbels Kelas Ketiga memerlukan juga dilihat ' KEGAGALAN' Orang Lain. Jesteru falsafah KEJAYAAN ini bukan kejayaan hakiki, tetapi kejayaan bandingan dengan Orang Lain. Dalam kontek 31 Ogos ini selalunya
Orang lain itu ialah Orang Kelantan dan Orang Terangganu. Tiba-tiba Orang Lain ini dijadikan musuh untuk diinjak demi menonjolkan kejayaan 31 Ogos.
Di sebalik gedebak-gedebuk, huha huha bulan Ogos ini, ada tiga pekara yang perlu diketahui dan disedari oleh semua warga, terutama mereka yang muda. Kalau dalam kerangka agama, mengetahui perkara ini akan jatuh ke dalam hukum wajib. Mengetahui tiga pekara ini akan membuktikan kita sebagai warga amat prihatian tentang apa saja yang berlaku di sekeliling kita.
Tiga pekara ini adalah Tiga Bohong dan Satu Mitos yang telah, sedang dan akan terus dijual oleh Umno yang mengepalai kerajaan Barisan Nasional.
Bohong pertama ialah tentang tarikh 31 Ogos ini. Tarikh ini telah diwarwarkan sebagai tarikh Hari Kebangsaan Malaysia. Apakah tarikh ini betul? Apa sebenarnya yang berlaku sebelum tarikh ini diambil sebagai tarikh penting. Kenapa tarikh ini dipilih. Kita wajib kembali melihat sejarah itu sendiri.
Asal-usul hari kemerdekaan
Apakah bulan Ogos dipilih kerana bulan Ogos ini petanda kemenangan revolusi Indonesia menumpaskan Belanda, atau kerana India telah sama berjaya menumpaskan penjajah British. Apakah latarbelakang tarikh ini dan kenapa ianya dipilih.
Dari apa yang warga diberitahu, tarikh ini ada kaitan dengan kearifan seorang tukang tilik. Kalau dalam ilmu perubatan Melayu, proses menilik ini akan menggunakan sebuah mangkuk yang berisi air. Kemudian diikuti dengan jampi serapah dan 'menurun'. Sinsalabin - Abracadabra - Ommmmm...si penilik ini telah ternampak tarikh 31 Ogos berlinang-linang di atas air.
Sekilas ikan di air dengan pantas Si Ahli Nujum ini pun memberitakan ke saentero pelusuk, lalu canang dipalu tabuh diketuk - terisytiharlah hari akhir bulan Ogos setiap tahun sebagai hari lebaran.
Renungkan sejenak, apakah ini dongeng dari Awang Sulung Merah Muda atau surah Tok Selampit dari Ulu Perak atau ini lawak berita dari RTM. Nyata terbukti bahawa tarikh 'merdeka' negara kita ini rupa-rupanya berasaskan tukang tilik. Satu tarikh yang dianggap penting rupa-rupanya muncul dari seorang Pak Nujum, pasti si nujum ini lebih hebat daripada Nujum Pak Belalang.
Justeru, untuk melandaikan hujah, kita terima sajalah tarikh yang diberi oleh Pak Nujum ini sebagai Hari Kebangsaan Malaysia, tetapi kenapa pula ianya jatuh pada 31 Ogos - pada hal dari segi sejarahnya hari pengisytiharan kemunculan Malaysia ialah 16 September. Kenapa dijualkan 31 Ogos sebagai hari yang bersejarah untuk Malaysia. Tidak ada apa sangkutan sejarah Malaysia dengan 31 Ogos.
Negara yang dipanggil Malaysia mencakupi Sabah, Sarawak, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Singapura yang asal-usulnya adalah sebahagian dari tanah Melayu, kini terpelanting keluar dan jadi merdeka.
Warna bendera
Tarikh terkeluarnya Singapura ini lebih bersejarah (untuk disambut) kerana pada hari inilah terwujud dan dikonstruk Persekutuan Malaysia yang kita ketahui hari ini.
Apakah rakyat Sabah dan Sarawak kini menghadapi amenesia hingga lupa pada tarikh 16 September 1963. Pada tanggal 16 September inilah dua negara ini memasuki Persekutuan Malaysia. Justeru umur Persekutuan Malaysia bukan 46 tahun tetapi 40 tahun. Kes Bohong pertama terbukti.
Bohong kedua ialah Jalur Gemilang. Dari segi ilmu semiotik, bendera ini langsung tidak ada apa-apa kaitan dengan sejarah tamadun Melayu. Benda yang dipanggil bendera adalah kain kibaran yang memberi tanda dan makna tamadun budaya wargabangsanya.
Perhatikan bendera-bendera negara Arab - hampir kesemuanya seakan sama. Ini kerana bendera itu diwujudkan melalui kajian susur galur sejarah bangsa Arab. Lihat pula bendera Iran - ada hubungan dengan zaman dan tamadun Parsi. Bendera Jepun yang lama, memperlihatkan 'tradisi' negara matahari terbit. Bendera negara-negara di Afrika kebanyakan memiliki warna Rastafarian yang berkait dengan budaya Afrika.
Jika dikaji dari ilmu semiotik, maka bendera Tanah Melayu sepatutnya memiliki warna merah, putih ,hitam dan kuning - ini adalah warna-warna yang memberi tanda dan makna dalam tamadun Melayu. Lihat bendera negeri-negeri Tanah Melayu, semuanya memiliki susur galur sejarah negeri tersebut. Warna-warna ini telah dinobatkan dalam kanun rujukan tamadun Melayu - Sulalatul Salatin.
Warna-warna budaya tamadun Melayu ini terangkum dan terkibar megah dalam Sang Sangka Merah Putih. Kemudian lihatlah pula bagaimana komikalnya bendera yang bernama Jalur Gemilang ini. Nama Jalur Gemilang ini baru saja dimunculkan - melalui proses 'after thought'. Si Pereka bendara ini pasti merujuk kepada Star Spangled Banner Malaysia.
Bung Karno Star Spangled Banner ini mempunyai tradisi revolusi Amerika - yang tidak (sic) ada kaitan langsung dengan budaya tradisi dan tamadun Melayu. Bohong kedua terbukti.
Bongngak (bohong dalam lorat Negeri Sembilan) ketiga ialah lagu Terang Bulan aka Negara-ku. Alihlah rentaknya, alihlah serikatanya atau berikan nama baru, lagu ini tetap lagu Terang Bulan.
Lagu ini berasal-usul dari Indonesia. Tanyalah sejarahwan atau tanya kepada Datuk Zainuddin Maidin sendiri, betul atau tidak lagu ini bernama Terang Bulan. Sejarah cuba ditutup dan dipesongkan dengan mengatakan bahawa Terang Bulan berasal dari lagu rakyat Perak. Ini kong kalikong.
Satu bukti yang nyata ialah di zaman Konfrontasi (1962-65), bilamana concorong RRI ( Radio Republik Indonesia ) telah memainkan lagu Terang Bulan ini sebagai memperli projek British untuk mewujudkan Malaysia. Bung Karno telah menentang rancangan imperialis British ini, lalu didendangkan Terang Bulan ke udara untuk memperlekehkan dan mentertawakan projek nekolin (neokoloni) boneka British yang dipanggil Malaysia.
Bagi Lagu Terang Bulan aka Negaraku pula, ia adalah sesuatu yang amat memalukan kerana lagu nasional negara ' Malaysia Boleh ' ini berasal daripada ciplakan. Bohong ketiga ini cuba ditutup rapi dari diketahui oleh generasi hari ini, terutama anak-anak muda. Bangkai gajah boleh ditutup Terang Bulan tetap Terang Bulan.
Untuk memahami dari mana munculnya Tiga Bohong ini, warga diwajibkan mengenali dan memahami satu mitos. Mitos inilah yang yang membaluti Tiga Bohong ini. Mitos induk ini mempropagandakan bahawa Umno adalah parti politik nasionalis yang menuntut, memperjuang dan mendapatkan kemerdekaan untuk ummah di Tanah Melayu.
Gerakan kemerdekaan
Ini bukan saja bongangak/bohong/temberang, tetapi bulat-bulat menipu. Malah para professor kangkong yang berselirat di lembaga-lembaga pengajian tinggi, merasakan amat payah untuk menyebarkan mitos ini.
Tidak ada Viagra yang dapat menegakkan hujah ini.
Slogan dan asas tuntutan merdeka pertama kalinya diajukan kepada rakyat oleh Kesatuan Melayu Malaya (KMM) dan Partai Komunis Malaya (PKM).
Parti Komunis Malaya adalah partai politik yang pertama (tertua) ditubuhkan di Tanah Melayu/Malaya. Sebagai sebuah partai anti-imperialis dan anti-penjajah, pastilah agenda unggul partai ini ialah menuntut kemerdekaan. Telah wujud kerjasama erat di antara kader-kader PKM dengan aktivis dan pimpinan KMM.
Jesteru, jika babak sejarah ini mahu diilmiahkan dan dinobatkan sebagai sejarah bangsa, maka PKM/KMM adalah peneraju idea merdeka untuk Tanah Melayu. Di mana Umno masa itu? Umno tidak wujud. Umno bukan sebuah partai politik tetapi perserikatan beberapa kumpulan/organisasi Melayu, justeru nama Umno membawa erti United Malay National Organisation. Huruf N dalam Umno itu bukan nasionalis tetapi NATIONAL.
Umno bukan partai nasionalis. Umno ditubuhkan, dibantu dan didukung oleh British. Ini kerana penjajah British sedang berhadapan hebat dengan para pejuang nasionalis yang bergerak untuk menghalau penjajah British dari bumi Melayu.
Selesai perang dunia kedua, gerakan dan tuntutan kemerdekaan kedengaran lebih lantang di tanah-tanah jajahan Asia dan Afrika. British tidak mempunyai banyak pilihan, ombak kemerdekaan sedang mengampuh. Taktik terbaik ialah menjadikan Tanah Melayu dari sebuah koloni kepada koloni baru ( neocolony).
Onn Jaafar
Tuan rumah beralih tetapi harta dan kepentingan British masih terjaga. Maka di sinilah peranan awal Umno yang menjadi partai suruhan kepentingan modal British.
Taktik ini samalah seperti peranan yang dihadiahkan kepada Fateh Yasser Arafat oleh Zionist Isreal. Apabila intifada menggelora dan Isreal sedang berhadapan dengan rakyat Palestin, jalan terbaik untuk 'melapik' ialah dengan mewujudkan Palestine Authority ( PA). Lalu Isreal melatih askariah, mukabharat dan apaprachik PA.
Kini intifada tidak lagi berhadapan dan bertempur dengan Isreal tetapi dengan anak tempatan yang didukung oleh Isreal. Kerana itu, jangan menjadi hairan apabila ada kerjasama yang rapat di antara PA dengan CIA, Mossad dan wakil-wakil pemodal multinasional.
Kumpulan-kumpulan inilah yang terus mendukung Yasser Arafat. Apabila Yasser tidak dapat menjalankan peranannya seperti yang dituntut oleh Isreal, maka beliau diganti dengan Mahmud Abbas.
Di dalam sejarah politik Tanah Melayu, kita melihat episod yang sama terjadi. Pada awal tahun-tanun 40-an, penjajah British telah menampil, memupuk, menonjol dan mendukung Onn Jaafar. Tetapi apabila Onn Jaafar lari dari garis kepentingan penjajah British, maka ditonjolkan pula Tunku Abdul Rahman.
British telah memasang dua kuda. Jika kuasa penjajah tidak berundur, pasti kepentingan ekonomi penjajah akan dipukul oleh gerakan-gerakan nasional kiri yang semakin merebak dan mendapat sokongan rakyat.
Slogan lapuk
Tunku Abdul Rahman sedar, tanpa sokongan British, tidak mungkin Umno dapat naik tahtha. Umno pada ketika itu adalah suruhan British untuk menumpaskan intifada yang dilancarkan oleh KMM/PKM, sama seperti peranan Palestine Authority di Palestin hari ini.
Jesteru, huha huha yang mendendangkan bahawa Umno berjuang untuk merdeka adalah hampeh belako. Mitos ini sengaja direka dan disebarkan untuk menghalalkan Umno naik tahtha.
Bersama mitos ini disebarkan juga dongeng bahawa Tanah Melayu merdeka tanpa perjuangan bersenjata dan pertumpahan darah menentang British.
Satu lagi bohong tambahan. Jika tidak ada pertumpahan darah apa yang terjadi pada 20 haribulan Jun 1948. Bukankah pada hari ini, penjajah British telah mengisytiharkan apa yang dipanggil 'darurat' - di mana soldadu penjajah telah menangkap ribuan pemimpin dan aktivis partai-partai nasionalis yang menyuarakan slogan MERDEKA.
Apakah slogan Umno ketika ini - slogan hampeh - Hidup Melayu!
Tahun ini, hari akhir bulan Ogos jatuh pada hari Ahad - ertinya warga akan mendapat cuti hujung minggu yang panjang. Masih belum terlewat untuk menempah percutian domestik dan bersantai bersama keluarga dan memikirkan Tiga Bohong dan Satu Mitos ini.
Atau bercuti ke Kelantan dan Terangganu untuk membuktikan slogan baru (baca slogan lapok) yang dihamburkan Umno - Melayu Bersatu - hanyalah satu lagi mitos. Sebelum Umno wujud, Melayu telah wujud - tanpa Umno Melayu pasti akan lebih wujud.

