Dasar kebudayaan yang berkembang di sesebuah negara memerlukan 'daya hidup' anak muda tetapi sistem masyarakat serta politik tidak demokratik mencipta 'daya mati'.

Daya mati terbentuk akibat generasi tua yang tidak meraikan semangat bebas kehidupan anak muda. Di mana-mana orang tua mengongkong anak muda daripada mengembangkan bakat, idea dan imaginasinya.

Anak muda tidak berdaya inisiatif, tidak kreatif, sukar melepasi sekatan hirarki dalam masyarakat walau sudah selayaknya berdikari. Mereka sering dihalang bereksperimen dan akibatnya tidak berani mencuba. Tidak ada mobiliti serta penghargaan untuk anak muda.

Tenaga, bakat dan idea anak muda terpendam atau harus disalurkan mengikut format berfikir tidak demokratik sesuatu budaya orang tua.

Anak muda akhirnya sentiasa mahu bergantung, dipandu arah, tidak rasa merdeka diri bak tersurat dalam pantun Melayu "saya budak baru belajar, mana yang salah tolong tunjukkan".

Anak muda, sama juga rakyat umumnya, lembik dan suka bergantung di negara yang mengongkong. Di negara ini, penguasaan orang tua dalam budaya politik dan sosial yang tidak demokratik, muncul di mana-mana.

Cepat tua

Bukan setakat institusi rasmi atau parti kerajaan menyekat semangat mencuba anak muda atau membina rasa yakin diri mereka, tetapi seluruh struktur masyarakat ini termasuk ibu bapa, guru, majikan, pensyarah, pemimpin pembangkang, Gerakan Reformasi, sasterawan dan seniman kita sedikit sebanyak tidak meletakkan kepercayaan pada kespontanan anak muda.

Generasi muda tidak berani menerobos asas-asas kepercayaan dan kebiasaan yang sedia ada dalam masyarakat. Kenyataan, hujah atau 'nasihat' guru, ibu bapa dan pemimpin politik diterima serta disalin hujah itu kembali sebagai ideanya sendiri tanpa berfikir beberapa kali dengan lebih kritis. Anak muda menjadi 'pak angguk' macam burung kakak tua.

Kelompok dan individu muda tidak wujud dalam bentuk pendukung idea baru yang berani menilai sisi-sisi buruk yang diwariskan daripada masyarakat. Mereka tidak meneroka, tidak mencabar, 'cepat menjadi tua' dan hanya menjadi penerus 'kestabilan' idea serta norma masyarakat.

Jika ada kelainan di kalangan anak muda, kelainan itu sebenarnya diwarisi daripada idea-idea yang dibekalkan oleh generasi yang lebih tua juga.

Jika ada rasa gelisah akibat tekanan generasi yang lebih tua, rasa "ada sesuatu yang tidak kena", mereka memberontak dalam bentuk-bentuk yang tidak sihat atau bersifat escapist misalnya vandalisme, lari dari rumah atau lumba haram, gagal berhujah dengan rasional serta tenang.

Jika mereka mahu berbahas, hujah-hujah itu pula tidaklah matang dan bernas. Ia masih dianggap mentah atau jahil. Oleh itu, ia gagal dihormati dan gagal menarik rasa yakin kelompok-kelompok yang lebih dewasa.

Budaya luar

Tidak kurang yang tidak mahu menekuni kritiknya terhadap kebekuan tertentu dalam masyarakat kerana terasa 'berat' dan akhirnya rela meraikan apa yang sudah sedia diterima ramai rela 'menjadi tua' walau belum tiba masanya.

Gelagat, bahasa, imejnya warisan generasi tua. Sementara yang ingin menunjuk-nunjuk kelainan zaman muda mereka, gelagat, bahasa, imej itu tidak ada apa-apa makna pula. Kelainan dicipta semata-mata rasa ingin berbeza!

Dalam suasana mengongkong serta tidak demokratik ini, anak muda tidak inovatif atau kreatif, sebaliknya mereka hanya menganut atau menciplak unsur-unsur kebudayaan luar, khususnya daripada negara yang lebih bebas atau demokratik.

Sebagaimana mereka menerima warisan lama dalam masyarakatnya sendiri tanpa banyak soal, tanpa perhujahan yang berwibawa begitulah anak muda berlagak menelan bulat-bulat budaya dari luar.

Kononnya, mahu dilihat up-to-date, mengikut fesyen terkini atau trendy! Itu pun hanya dalam bidang fesyen, muzik, sukan atau filem; bukan pengguna idea-idea besar dari negara yang lebih demokratik.

Ada di kalangan mereka bercakap tentang sikap yang 'liberal' atau 'terbuka' tetapi bukan seluruhnya, tentang kebebasan dan hak asasi (yakni semangat asal liberalisme), tetapi keinginan untuk berseronok-seronok melayan naluri bawah.

Mencipta 'daya mati'

Benarlah kata penyair WS Rendra, "macetnya minda generasi baru juga disebabkan mandulnya minda generasi yang terdahulu (sudah tua). Minda yang mampu berbiak adalah minda yang kreatif, yang mandiri (merdeka), dan yang mampu merangsang inspirasi agar orang lain juga bisa mandiri serta kreatif.

"Dengan kata lain: minda yang mampu berbiak adalah minda yang mengakui kemandirian daya kreatif minda generasi yang berikutnya (lebih muda). Anak manusia lain daripada hasil kilang yang mati dan seragam."

Rendra mengulas lanjut bagaimana wujud 'daya hidup' anak muda Indonesia dalam beberapa generasi tertentu dan bagaimana sistem politik tidak demokratik republik itu termasuk era pimpinan Soekarno dan pejuang kemerdekaan mencipta 'daya mati' orang muda kemudiannya.

Kebudayaan yang berkembang, bagi penyair ini, yang mempunyai 'daya hidup' harus memenuhi tujuh syarat. Antaranya:

(a) Kemampuan beradaptasi (menyesuaikan diri) kesedaran kita untuk secara kreatif mengatasi cabaran keadaan, cabaran zaman, dan cabaran berbagai-bagai ragam pergaulan.

(b) Kemampuan tumbuh dan berkembang kesedaran untuk selalu maju, selalu bertambah luas dan dalam wawasannya selalu menawarkan paradigma-paradigma yang segar dan baru,

(c) Kemampuan regenerasi (tumbuh semula atau membiak yang baru) keupayaan untuk mendorong munculnya generasi baru yang kreatif dan produktif.

Tidak kreatif

Lalu dia bertanya, "bagaimanakah keadaan daya hidup bangsa kita dewasa ini?" Rendra menulis pada 1991 (Gatra, 30 Oktober), waktu itu kerancakan ekonomi di bawah pimpinan orde baru (Orba) Soeharto yang tidak demokratik.

Jawapan Rendra menarik, juga sangat relevan dengan kita hari ini, lalu saya sengaja mengutip lebih panjang:

"Kenyataan yang kelihatan menonjol adalah kemampuan regenerasi yang merosot. Banyak pemuda yang sampai berumur 25 tahun bahkan 30 belum punya nafkah. Sarjana menganggur jumlahnya melimpah. Apakah ini kerana sebab keadaan ekonomi? Atau kerana salah pendidikan?

"Apa pun sebabnya, nyata betul kelihatan bahawa sebahagian besar pemuda tidak punyai peranan yang kreatif dan produktif dalam masyarakat.

"Belum nampak muncul ahli politik muda yang mutunya setaraf dengan Omar S Cokrominoto, Soekarno, Sutan Syahrir dan lain-lain anak muda yang bergerak di bidang politik sekitar 1928 hingga 1945 [saat-saat genting sebelum merdeka penulis].

"Para mahasiswa [hari ini] kurang mampu melontarkan pandangan kepada masyarakat. Hal ini jauh berbeza dengan para siswa tahun 1928 hingga sekitar 1978, yang sangat aktif mengeluarkan pandangan [analisa serta kritik] mengenai kehidupan bermasyarakat.

Minda generasi muda

"Sementara itu di bidang seni drama dan seni sastera terasa lambat juga munculnya tokoh-tokoh baru."

Renungan Rendra ini wajah kita hari ini. Sekitar 1960-an dan 1970-an, di Malaysia wujud gelombang kebangkitan anak muda tetapi selepas itu sejak era Dr Mahathir Mohamad khususnya kecuali 'Anak Alam' sudah tiada lagi. Malah, apa yang disebut 'gerakan reformasi' kita tulang belakangnya generasi muda dulu yang kini memimpin segenap penjuru kehidupan.

Apabila daya hidup orang tua sudah melemah, dan mindanya sudah mandul, maka dia akan bersikap eksploitatif (memperalatkan orang lain) dan oportunis (mengambil kesempatan) kepada anaknya. Dia akan merampas kemandirian hidup anaknya dengan kepentingan menopang hidupnya yang 'kehilangan untuk tumbuh dan berkembang', hujah Rendra.

"Dalam keadaan itu, orang tua tanpa bimbang dan ragu lagi menyuap minda generasi muda dengan indoktrinasi-indoktrinasi. Minda generasi muda tidak dituntut serta dilatih untuk membentuk pandangan sendiri.

"Bukan kemampuan pengamatan dan kemampuan merumuskan pengalaman yang ditekankan pada generasi muda, tetapi mereka diajar untuk memuliakan panutan. Seakan-akan panutan lebih penting daripada menghayati serta memahami pengalaman diri sendiri [sedangkan kebudayaan itu suatu 'proses']."

Apakah Rendra salah dan generasi tua kita yang lebih benar?


Rujukan

Rendra (2001) Penyair dan Kritik Sosial, Yogyakarta: Kepel Press. Bab-bab 'Terjebak nilai lama ' hal 38-39 dan 'Renungan dasar tentang kebudayaan' hal 52-55