Pemikir-pemikir reformasi Perancis, kira-kira sedekad sebelum revolusi 1789, pernah mengalami krisis keyakinan pada nasib negara sendiri.

"Perancis, tempat kelahiranku, telah terjerumus ke kancah korupsi di bawah belenggu pemerintahan kuku besi. Bangsa ini terlalu buta dan sangat hina sehingga sukar sekali mencari jalan keluar," tulis Alexandre Deleyre.

Malah kepada teman di negara jiran Itali, mereka menyuarakan rasa ketewasan dan kesempitan. "Buat masa sekarang di sini [Perancis] akhbar terlalu kuat dikawal kerajaan sehingga hampir mustahil sama sekali untuk meluahkan walau secebis rasa kebenaran," tulis Baron Holbach kepada paderi Frisi tentang kesukaran menterjemah kepada bahasa Perancis dan menerbitkan karya Pietro Verri, Meditazioni .

Tangkapan ke atas pemikir-aktivis menjadi-jadi pada tahun 1771. Suasana negara tegang, kerajaan pula kucar-kacir. Undang-undang dijadikan alat kawalan berkuku besi tanpa batas, kebebasan musnah, hak rakyat diinjak-injak kekuasaan.

Buku-buku dibakar kerana dituduh menghasut atau menghina raja. Kebebasan bersuara berakhir dengan kematian. Waktu inilah penulis tersohor Jean-Jacques Rousseau menghilangkan diri dari Paris.

Claude-Adrien Helvetius hilang keyakinan sama sekali. Baginya, sudah tidak ada harapan bagi Perancis, krisis apa pun tidak dapat lagi mengubatnya dan tiada masa depan kecuali melalui peperangan dan penjajahan.

Harga diri

Elok juga jika kita meneliti nadanya dalam bahasa asal (terjemahan Inggeris): "My fatherland is now under the yoke of despotism; thus it will produce no more famous writers. This fallen nation is the scorn of Europe. No salutary crisis will restore its liberty; it will die of consumption. Conquest is the only remedy for its misfortunes, and chance and circumstances will decide the effectiveness of this remedy."

Franco Venturi dalam The End of the Old Regime in Europe (Berakhirnya Rejim Lama di Eropah) merumuskan ketewasan jiwa ini memang benar-benar menguasai Perancis waktu itu sehingga tokoh besar Francois-Marie Arouet (Voltaire), yang menyarankan golongan reformasi bekerjasama dengan raja bagi mempengaruhi menteri-menteri untuk kebaikan negara itu, terkejut dengan sikap buruk serta degil kerajaan waktu itu.

Ketika ini, Zaman Pencerahan merebak di serata Eropah. Tetapi Jerman pula ketinggalan seabad di belakang. Seniman, sasterawan dan intelektual tidak dihargai, sukar mendapat tapak kehidupan sama ada pendapatan ekonomi atau kedudukan sosial.

Monopoli kuasa menunduk mereka dan menghancurkan kebebasan serta harga diri. Kuasa dan orang besar sengaja dijulang tinggi-tinggi. Kehidupan harus setaraf hamba, atau berpura-pura begitu, kerana itulah sahaja 'seni untuk terus hidup'.

Berleluasa cetak rompak, tiada penaung kegiatan seni, mereka terpaksa mencari kerja lain untuk menyara hidup, bukan melalui berkarya. Tetapi kerjaya lain menghalang aktiviti sastera-seni mereka pula seperti diungkap sendiri oleh penulis zaman itu, C F Nicolai dalam Sebaldus Nothanker (terbit 1773).

"Di mana di bumi Jerman ini seorang sarjana boleh hidup sebagai sarjana [dengan terhormat]? Di mana mungkin seorang penulis mendapat kelapangan [hidup] untuk mencemerlangkan karya seninya? "dia bertanya.

Tekanan jiwa

Sementara Johann Gottfried Herder menulis zaman itu dalam Humanitatsbriefe , "masyarakat umum tidak mengenali tokoh-tokoh besar sastera dan tidak pernah mereka ini berada di hati orang ramai."

Tulis Alan Menhennet dalam Order and Freedom , pendapatan penulis Inggeris Sir Walter Scott selama tiga tahun lebih besar daripada hasil sepanjang hayat pengkaryaan tokoh besar Jerman waktu itu, Johann Wolfgang Goethe.

Penulisan serius tidak mampu menyara kehidupan isteri dan keluarga. Penaung seni atau kedudukan rasmi (jika berjaya diperolehi) masih tidak berdaya melepaskan diri seseorang daripada belitan masalah kewangan. Mereka terperangkap dalam tekanan jiwa akibat kemiskinan seperti yang dialami profesor Gottfried A Burger.

Kemasyhuran berkarya tidak menaikkan kedudukan mereka di mata masyarakat atau sebagai laluan kepada kedudukan lebih baik. Malah, tulis Johann H. Merck, "orang besar Jerman akan berasa aib jika diketahui umum dia pernah membantu penulis [atau sarjana]!"

Wolfgang Amadeus Mozart ( kiri ), pemuzik hebat itu yang berjaya menerobos kelompok aristokrat, atau Johann S Bach juga dilayan tidak lebih baik daripada seorang pembantu rumah. Hanya segelintir penulis atau intelektual agak berjaya kedudukan sosial dan ekonomi, itupun kerana keturunan mereka.

Seorang penulis besar Johann H. Voss, pengarang Luise dan penterjemah karya Homer, diminta berarak di sebelah pelayan pada hari pengkebumian seorang putera raja. Pendek kata sastera, muzik, teater atau kesarjanaan diremehkan di Jerman ketika kemuncak Abad Pencerahan Eropah.

Kebekuan fikiran

Minggu lepas sempat saya berbual panjang dengan seorang sarjana besar negara ini (profesor) dan seorang lagi bekas wartawan selebriti di sebuah stesen TV tentang kebebasan berpolitik, intelektualisme dan nasib bangsa.

Wartawan itu merungut tentang kelompok wartawan arus perdana yang tidak berminat dan 'mungkin tidak memahami' perlunya reformasi dalam hal ini. Tidak berguna jika saya masih berminat berkhutbah tentang kebebasan berpolitik dan media kepada mereka, katanya menasihati saya.

Dia juga menutur semacam nada kecewa di kalangan kelompoknya yang sedar kenyataan buruk negara ini sekarang. Suara hati mereka mengingatkan saya sudut-sudut pandangan bernas seorang penulis lirik lagu popular tentang senario seni budaya, politik dan tahap pemikiran rakyat.

Kedudukan seniman, sasterawan, ahli akademik dan budayawan negara ini sekarang (termasuk dalam birokrasi kerajaan yang sangat mengongkong) tidak ubah gejala di Jerman abad ke-18.

Rustam A Sani dalam Harakah edisi terbaru, seperti siri sembang dengan Khalid Jaafar atau Hishamuddin Rais, membangkitkan kebekuan pemikiran bangsa dan kongkongan politik yang sama. Terkadang menjemukan untuk mendengar lagi!

Sudah merebak di kalangan cerdik pandai kita tentang semua kebobrokan ini. Pendek kata kita sudah 'sepakat' tentang hal ini. Cuma belum ada jawapan atau gerakan sosial yang jelas untuk menanganinya.

Jalan keluar

Malah, belum ada suara jelas untuk memimpin arah bagi mengatasinya. Oleh itu, tingkat perbualan cerdik pandai Melayu yang sering saya dengar - masih di peringkat 'membebel'. Selepas itu, apa atau bagaimana?

Kita tidak boleh dianggap membawa reformasi dan tidak layak digelar 'intelektual' jika hanya tahu merungut atau berleter tentang gejala-gejala buruk. Apatah lagi, bagi sesetengah kita, kebobrokan itu diulas seolah-olah sangat membelit diri dan tidak ada jalan keluar.

Di sepanjang peradaban manusia, senario seperti di Perancis dan Jerman ini berada di mana-mana seperti silih berganti siang dan malam. Maksud saya, belum ada penjelasan meyakinkan dan boleh dijadikan garis panduan untuk suatu gerakan rakyat yang boleh membebaskan kita daripada terperosok makin dalam ke kancah hina ini.

Di sini bermula episod 'bingung' dalam semua siri perbualan atau penulisan tentang hal ini. Saya tidak nampak kita sudah berjaya memecahkan kebuntuan ini ke peringkat akar umbi.

Kita boleh mengupas gejala ini dari pelbagai penjuru.

Kita boleh menyebut senarai panjang undang-undang menindas atau sebaris tindakan jahat politik kerajaan untuk dijadikan punca keburukan. Kita boleh memberi pelbagai label seperti 'hegemoni kerajaan', 'tiada tradisi berfikir' atau 'tidak celik budaya' seperti huraian Philippe Wolff dalam The Cultural Awakening .

Kita boleh menawarkan cap penyelesaian dengan ungkapan 'hak asasi', 'budaya ilmu', 'revolusi', 'masyarakat madani', 'demokrasi', 'ruang awam' atau membangkitkan 'pencerahan'. Tetapi ini semua masih lagi berlegar-legar dalam ruang berleter dan beretorika, bukan jawapan mendalam.

Aktivis siswa

Barangkali ada, tetapi penulis ini tidak mengetahuinya. Jika begitu, jawapannya dari segi intelektual tidak popular dan tidak dikongsikan. Kita semua sedar rungutan ini bukan baru, kebobrokan masyarakat bukan sejak krisis politik-kenegaraan 1998.

Ia sudah bermula lama, perlahan-lahan, menghakis sedikit-sedikit kekuatan budaya serta pemikiran yang cuba dibangunkan oleh pemikir-aktivis reformasi negara ini. Setidak-tidaknya, jika diukur pada Gerakan Islah (Islam-Melayu), reformasi pemikiran sudah menjangkau 100 tahun.

Saya kira inilah 'cabaran intelektual teragung' yang sedang kita hadapi dan perlu tangani, bukan krisis politik semata-mata. Bukan soal menentang kerajaan dalam maksud yang sempit tetapi realiti buruk masyarakat ini (termasuk politik) yang menjadi sarang tempat beranak-pinak segala kebusukan.

Saya syak kita tidak memahami gejala buruk yang dirungut-rungutkan itu dengan mendalam. Perspektifnya belum 'bulat', terpecah-pecah, belum konkrit, masih di lapisan luaran yang tidak mencerahkan.

Ertinya, kita belum menangkapinya dengan semasak-masaknya atau hanya dari beberapa penjuru yang dekat dengan diri kita. Misalnya, aktivis seni budaya melihat daripada kelompok dan kepentingan mereka sahaja; begitu juga aktivis politik dan aktivis siswa.

Kita belum merumuskan hubungan saling menyilang serta kompleksiti daripada pelbagai lapisan serta dari berbagai penjuru. Kita juga gagal menggali pengalaman negara lain, konteks zaman, cabaran masa depan serta mengadunkan ini semua dengan teori sosial yang sepadan dengannya.

Maka, harus ada pengiktirafan tentang hal ini, harus ada pemikiran mendalam dan sungguh-sungguh. Atau, kita akan berdepan lagi dengan krisis yang lebih besar, - 'krisis budaya dan intelektual' - tidak mampunya cerdik pandai Melayu memecahkan permasalahan yang sedang diperhatikannya yang tegak berdiri di depan mereka. Dan kelam malam ini tentunya sangat panjang.


Rujukan:

Menhennet, Alan (1973) Order and Freedom: German Literature and Society, 1720-1805 , New York: Basic Books. Bab-bab 'The political scene' hal. 16-17 dan 'Society and the writer' hal. 44-52

Venturi, Franco (1989) The End of the Old Regime in Europe, 1768-1779: The First Crisis , New Jersey: Princeton University Press. Bab 'The French reform crisis' hal. 353-5

Wolff, Philippe (1968) The Cultural Awakening , New York: Pantheon Books. Antaranya bab-bab 'The cultural foundations of Europe', 'The heritage of the Carolingian renaissance' dan 'The enrichment of culture'.