WS Rendra, penyair Indonesia, mendedahkan hubungan antara budaya politik dengan keberdayaan anak muda. Negara yang tidak demokratik tidak meraikan kewujudan bebas atau kespontanan anak muda - mereka harus menjadi sebahagian alat politik orang tua.

Anak muda tidak berdaya, tidak kreatif, sukar melepasi sekatan hirarki dalam masyarakat walau sudah layak berdikari. Mereka dihalang bereksperimen atau tidak berani mencuba. Tenaga, imaginasi, bakat dan idea anak muda terpendam atau harus disalurkan mengikut format tidak demokratik sesuatu budaya politik.

Anak muda sentiasa mahu bergantung, dipandu arah, tidak rasa merdeka diri bak pantun Melayu "saya budak baru belajar, mana yang salah tolong tunjukkan" walau dia sudah layak untuk berdikari. Anak muda, sama juga rakyat umumnya, terkena sindrom bergantung di negara yang suka mengongkong.

"[Generasi muda] tidak hanya diperlakukan sebagai sekadar pewaris [bukan pencipta atau pemimpin], tetapi juga diperlakukan sebagai tukang pukul. Mereka dijadikan fasis-fasis muda yang siap memasuki percaturan keinginan politik dengan kekerasan," tulis tokoh budayawan ini dalam Penyair dan Kritik Sosial (2001).

"Anak muda, sebagai sektor aspirasi masyarakat yang paling spontan, harus dikuasai oleh yang tua. Unsur kespontanan [dianggap] boleh berbahaya bagi kestabilan keinginan politik orang tua. Oleh kerana itu, di masyarakat seperti itu, tidak ada kebudayaan anak muda. Yang ada hanyalah kebudayaan anak-anak dan kebudayaan orang tua."

Di Malaysia, penguasaan orang tua, dalam budaya politik yang tidak demokratik, muncul di mana-mana termasuk parti-parti pembangkang. Muhammad Khatami, presiden Iran sekarang, juga sampai kepada kesimpulan yang sama dengan Rendra.

Diktator gaya sendiri

Ketika mengupas budaya pemerintahan autoritarianisme yang bertapak kukuh dalam masyarakat Islam dulu, Khatami berhujah, umat Islam kini sukar menghayati kebebasan serta demokrasi akibat budaya mengongkong.

"Kesan pemerintahan kuku besi (despotism) telah menjadi sebati dengan kita. Kita adalah individu-individu diktator dalam gaya tersendiri, dan keadaan yang malang ini, dapat dilihat dalam semua strata dan ruang dalam masyarakat kita," tulisnya dalam Islam, Modernity and Development (2001).

Latihan Khidmat Negara (LKN) yang akan berlangsung tahun depan merupakan satu lagi format menundukkan jiwa anak muda agar mudah terpanggil oleh seruan parti kerajaan semata-mata, tidak jauh apa yang dibuat selama ini oleh Biro Tata Negara (BTN).

Inilah hujah saya ketika bercakap di forum 'National Service atau Disservice?' ajuran DAP seminggu sebelum akta LKN diluluskan di Dewan Rakyat. Hujah saya ini, dalam pertemuan yang lain, dipersetujui oleh pemimpin atasan Umno sendiri.

Latihan LKN selama tiga bulan ditujukan kepada lepasan sekolah menengah, remaja berusia antara 16 hingga 35 tahun. Pada waktu yang sama, kerajaan juga bercadang melaksanakan "kor setia negara" (KSN) sejak di peringkat sekolah rendah.

Kebimbangan BN

Kedua-duanya dirancang dengan alasan untuk menyemai semangat setia kepada negara, kononnya. Seolah-olah patriotisme menjadi isu besar atau paling asasi di negara kita hari ini.

Pemimpin parti kerajaan nampak ia "masalah besar" tetapi hal ini tidak dikongsi oleh parti pembangkang, aktivis masyarakat, golongan profesional atau cerdik pandai kita, kecuali pengampu kerajaan. Sesuatu yang tidak pernah diangkat sebagai masalah bersama, tiba-tiba menjadi satu program "penyelesaian" (LKN) di tangan kerajaan.

Pada hemat saya, program latihan ini dianjurkan semata-mata akibat ketakutan Barisan Nasional (BN) melihat pengaruh parti itu mulai terhakis dalam krisis politik mutakhir. Satu lagi bentuk penundukan generasi muda tidak melibatkan semua pihak tetapi kepada mereka yang berminat sahaja, iaitu penubuhan Puteri Umno.

Sama seperti penubuhan sayap wanita muda ini, LKN dan KSN tidak mungkin lari daripada proses pembasuhan fikiran generasi muda mengikut acuan politik sempit BN.

Ketika parti ini memerintah Terengganu, anak muda yang menyertai latihan kerjaya melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) diperalatkan ketika pilihanraya sebagai petugas parti atau penyokong kerajaan. Atau cukup, jika mereka tidak berminat mengkritik kerajaan.

Ia bertujuan melahirkan kader-kader parti (atau setidak-tidaknya penyokong) yang setia membuta-tuli, sebagaimana telah subur budaya angguk dalam Umno dan juga budaya bisu dalam masyarakat.

Penguasaan politik

Penulis sendiri mengikuti program BTN sebanyak tiga kali sepanjang separuh kedua 1980-an walau acaranya diberi nama berbeza-beza. Ramai lagi mahasiswa, termasuk mereka yang bakal ke luar negara, pada dekad itu dan juga 1990-an mengetahui kandungan indoktrinasi BTN. Mereka boleh menceritakan dengan jelas di mana cacatnya indoktrinasi ini.

Kandungannya termasuklah menanam rasa cintakan bangsa secara sempit sehingga menganggap kewujudan kaum lain sebagai "mengancam" penguasaan politik dan ekonomi Melayu. Secara halus, butiran syarahan itu menanam rasa prasangka Melayu terhadap kaum lain. Bangsa ini pula tidak akan terbela, kecuali oleh Umno dalam format BN, begitulah alasannya.

PAS dan kegiatan politik lain, atau unsur lain seperti kebebasan berfikir dan berhujah, tidak dianggap baik untuk masa depan Melayu. Pendek kata, semua kelompok lain yang dimusuhi Umno tidak layak mentadbir negara ini. Umno walau banyak penyelewengan dan salah guna kuasa, seharusnya terus dikekalkan.

Jika kerajaan berdepan dengan gerakan dakwah yang meluas, misalnya kekuatan gerakan pelajar Islam Malaysia di luar negara atau di kampus tempatan pada 1980-an, golongan ini pula dijadikan sasaran dalam program BTN. Mereka ini dianggap menyebarkan ekstremisme agama atau "dakwah songsang" sehingga mengabaikan pelajaran atau meninggalkan anak bini.

Dasar-dasar kerajaan diberikan penerangan meluas, misalnya pada dekad 1980-an, kenapa perlu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tidak pelik, bermacam-macam dasar kerajaan akan terus dijadikan teras utama pendidikan dalam LKN nanti.

Penulis percaya, Umno sedar akhbar harian (kecuali seksyen hiburan dan sukan) dan berita utama TV tidak diberikan perhatian oleh generasi muda, termasuk mahasiswa. Sedangkan media massa ini saluran paling efektif untuk membasuh fikiran rakyat berapa ramai orang, termasuk yang berpendidikan tinggi, menerima pemberitaan ini dengan penuh yakin tanpa soal lagi. Mereka memandang tinggi pemimpin negara dan dasar-dasar kerajaan.

Maklumat eksklusif

Malangnya, media massa gagal menolong mempengaruhi minda generasi muda. Oleh itu, acara BTN atau LKN menampung kegagalan peranan media massa.

Latihan fizikal, walaupun bukan ala tentera, memang menjadi aturcara popular BTN kerana ia meletihkan minda peserta. Minda yang letih dan terkurung (di kem-kem bina semangat, waktu itu) memudahkan asakan propaganda BN.

Selain hujah "rasional" berdasarkan "fakta" atau "maklumat eksklusif" dari pegawai-pegawai kerajaan, perasaan atau sentimen anak muda juga dibuai-buai agar dapat mengukuhkan asakan maklumat separuh benar.

Unsur agama turut diperalatkan untuk memantap "jiwa Melayu" melalui aturcara sembahyang berjemaah, doa atau qiamullail. Agama, bangsa dan perasaan memang ampuh untuk dijadikan landasan menggejolak jiwa orang muda ia tersirat di sebalik lagu Anak Kecil Main Api.

Muzik dan lirik lagu ini dengan tepat memuja Umno, meminggirkan PAS (punca "sengketa sesamalah kita") dan menajamkan prejudis kepada Cina atau India, kaum pendatang ("bumi dipijak milik orang").

Pemuda Tahan Lasak

Program "patriotisme" LKN akhirnya menjadi projek memulihkan imej Umno dan merenggangkan hubungan kaum walau di dada akhbar, pemimpin-pemimpin parti ini menyeru "perpaduan kaum".

Pendek kata, seperti hujah Rendra dan Khatami, negara yang tidak demokratik sukar mencerahkan minda anak muda kerana kebebasan sangat terhad. Idea, bakat dan imaginasi lahir serta berkembang dalam suasana yang demokratik lagi bebas.

Generasi muda di negara tidak demokratik dianggap "anak-anak" yang boleh dilentur sewenang-wenangnya untuk memenuhi cita-cita orang tua. Mereka dilayan sebagai perkakas negara, bukan seorang individu tersendiri, tidak ada kemerdekaan, keberanian serta maruah diri.

Benar kata Rendra, jika lebih melampau, anak muda dalam budaya politik yang tidak demokratik dijadikan "tukang pukul" bermotosikal dengan wajah seram ketika berkempen dalam pilihanraya umum.

Atau di negara ini, memakai jaket sebagai "Pemuda Gerak Gempur" atau dulu "Pemuda Tahan Lasak". Tanpa malu, malah berbangga sekali dengan imej itu!