Seorang maut, rakan cedera diserang seladang
Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat dirempuh seladang di Hulu Air Pasir, Banding dekat Gerik semalam.
Musa Ismail, 56, maut akibat cedera parah di perut manakala Isa Abdullah, 24, patah kaki dan tangan kiri dan dirawat sebagai pesakit luar.
Kedua-dua mereka bersama seorang lagi rakan mereka, Abdul Mohd Sharifudin A. Manas, 35, diserang haiwan itu ketika dalam perjalanan untuk memasuki Hutan Simpan Royal Belum secara haram antara pukul 3 dan 6 petang.
Abdul Mohd Sharifudin tidak cedera, kata Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Baharum ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka cuba memasuki hutan simpan itu melalui lorong tikus di Km 68.4 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) untuk memancing dan memukat ikan.
"Mereka dalam perjalanan ke Sungai Pasir. Tiba-tiba muncul seekor seladang merempuh dua daripada mereka," katanya.
Beliau berkata seramai 38 anggota penyelamat terdiri daripada polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba dan penyelamat serta penduduk kampung memasuki kawasan itu bagi mengeluarkan ketiga-tiga mereka.
"Terdapat kesukaran ketika membawa keluar ketiga-tiga mangsa kerana kawasan itu berbukit," katanya dan memberitahu bahawa mereka berjaya dibawa keluar ke JRTB pada pukul 6.30 pagi ini dan ke Hospital Gerik sejam kemudian.
Abdul Manab mengingatkan orang ramai supaya tidak menceroboh Hutan Simpan Royal Belum walaupun untuk mencari ikan atau herba hutan kerana ia kawasan larangan dan berisiko tinggi.
Mereka yang ingin masuk ke kawasan itu perlu mendapatkan permit terlebih dulu daripada pihak berkuasa termasuk Taman Negeri Royal Belum dan polis bagi memudahkan pihak berkuasa bertindak jika berlaku kejadian tidak diingini, katanya.
- Bernama

