Kerajaan telah meluluskan pembinaan lorong keempat di lebuh raya Utara-Selatan bagi kedua-dua arah dari persimpangan Shah Alam ke persimpangan Rawang, Bukit Lanjan ke Jalan Duta dan Nilai Utara ke Seremban.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata langkah itu diambil  berikutan peningkatan trafik di lebuh raya berkenaan.

"Jumlah trafik bagi lebuh raya Utara-Selatan ialah 1.2 juta sehari pada hari biasa, hujung minggu 1.4 juta, manakala hari perayaan 1.6 juta. Berbeza jumlah trafik bagi lebuh raya Pantai Timur, ia adalah sebanyak 33,000 sehari bagi hari biasa dan  175,000 pada musim perayaan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka beliau di Tampin, hari ini.

Shaziman yang juga anggota Parlimen Tampin berkata projek itu terbahagi kepada empat pakej iaitu persimpangan Shah Alam ke Sungai Buloh melibatkan jarak sejauh 16.1 kilometer,  Bukit Lanjan ke plaza tol Jalan Duta (7 km), Sungai Buloh ke persimpangan Rawang (13.1 km) dan Nilai Utara ke Seremban (27 km).

Katanya bagi pembinaan lorong keempat antara Shah Alam ke Rawang dan Bukit  Lanjan ke Jalan Duta, kerja-kerja pembersihan dan pengalihan papan-tanda, papan iklan dan sebagainya telah hampir selesai dan mungkin dalam bulan ini akan dimulakan kerja-kerja tanah.

"Kos pembinaan lorong keempat ini akan ditanggung oleh Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dan tempoh siap dijangka awal 2015," katanya.

Shaziman berkata dalam masa yang sama beliau telah meminta pihak Plus mengenal pasti kawasan baharu sepanjang lebuh raya Utara-Selatan untuk diadakan kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi menampung penambahan trafik yang menggunakan lebuh raya tersebut.

"Langkah ini diambil berikutan penambahan empat lorong lebuh raya itu. Sekiranya  kita tidak lakukan sebarang tindakan untuk menambah kawasan R&R yang baharu maka akan berlaku kesesakan pada kawasan R&R sedia ada.

"Dalam masa yang sama kawasan R&R yang sedia ada dinaik taraf terutama dari segi penambahan tempat letak kereta...jarak antara satu R&R dengan satu R&R yang lain terlalu jauh dan sebab itu saya telah minta Plus supaya kaji semula mana-mana kawasan yang perlu ada R&R," katanya.

- Bernama