Makin hampir pilihanraya umum, makin banyaklah timbulnya gosip politik. Pelbagai skandal akan didedah, banyak tembelang akan pecah, khabar-khabar angin dan spekulasi usah ceritalah, satu persatu akan timbul sebagai satu daripada perang saraf politik.

Paling popular ialah sandiwara "ratusan ahli PAS masuk Umno" atau "ahli-ahli Keadilan keluar parti" atau "cawangan Umno dibubar". Drama seperti ini paling popular di Kelantan, Kedah, Perlis, Pahang dan Terengganu. Bersedialah kita untuk menatapnya setiap hari di media eletronik terutamanya RTM, akhbar-akhbar arus perdana dan dalam lidah rasmi PAS, Harakah.

Sandiwara politik ini akan kerap "dipentaskan" bila bahang pilihanraya umum makin panas. Ini sudah menjadi tradisi dalam politik Malaysia. Rakyat atau pengundi sudah lali dengan berita propaganda ini hinggakan ramai tidak percaya kebenarannya. Bagi mereka, semua ini tidak lebih daripada satu taktik lapuk yang diulang tayang oleh ahli politik yang kekeringan idea!

Namun sekalipun pilihanraya umum masih jauh, mungkin akan diadakan pada pertengahan tahun depan, gosip politik atau "perang saraf" telah bermula. Paling hangat diperkatakan ialah spekulasi kononnya orang kuat parti Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor sudah belot. Kononnya dia akan menyertai Umno.

Spekulasi Ezam menyertai Umno telah menenggelamkan kehangatan ucapan penggulungan Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahahthir Mohamad. Ahli Umno, PAS dan Keadilan, lebih rancak membincangkan benar atau tidak Ezam sudah belot. Amanat Dr Mahathir tidak diedahkan lagi sebaik sahaja tamatnya persidangan perhimpunanagung Umno.

Sasaran

Spekulasi orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyertai Umno, disebarkan secara meluas di alam siber. Gempar seketika pucuk pimpinan parti Keadilan. Spekulasi itu reda hanya apabila Ezam membuka mulutnya menafikan khabar angin itu.

Khabar angin itu mucul kerana Ezam mendiamkan diri sebaik sahaja dibebaskan dari penjara Kajang pada pertengahan bulan lalu. Apabila beliau tidak muncul di khalayak ramai, ada spekulator politik mengandaikan beliau telah di "turnover" supaya berpaling tadah.

Mengapa timbul spekulasi "nakal" ini? Mengapa Ezam yang menjadi sasaran? Mengapa tidak Lokman Adam atau Saari Sungib atau Dr Badrulamin Bahron atau Hishamuddin Rais? Tidakkah mereka juga baru bebas daripada tahanan?

Jawabnya mudah, Ezam adalah "icon" penting dalam Keadilan. Tiada siapa dapat menafikannya, selepas Datin Seri Wan Azizah Ismail, orang paling berpengaruh ialah Ezam dan rakannya Azmin Ali.

Ezam mempunyai ramai pengikut, peminat dan pemujanya, sama ada di dalam atau di luar Keadilan.

Ketiadaan atau kehadiran Ezam dalam Keadilan sangat besar ertinya. Ramai pemerhati politik percaya kalau Ezam benar-benar menyertai Umno, separuh kekuatan Keadilan akan lumpuh.

Kebebasan sementara

Umno tahu Ezam adalah "senjata" utama Keadilan atau Barisan Alternatif (BA). Oleh itu, beliau mesti dikunci. Gerak-geri dan kelantangan bicaranya mesti dikekang. Menyumbatnya ke kem tahanan Kamunting dan kemudian ke penjara Kajang adalah antara langkah untuk menghapuskan sepak terajang politik Ezam.

Namun sebesar mana pun rancangan manusia, perancanganTuhan lebih besar, Ezam yang telah tamat tempoh tahanan ISAnya, ditakdirkan berjaya mendapat pembebasan ikat jamin dari hukuman di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). "Kebebasan sementara" yang diperolehi oleh Ezam ini ditakuti oleh Umno, lalu spekulasi Ezam menyertai Umno dicipta dan disebarkan.

Ezam baru-baru ini semasa berceramah kediaman Datuk Seri Anwar di Bukit Damansara - yang pertama selepas dibebaskan - telah mendedahkan bahawa dirinya telah dilamar oleh pemimpin tertentu Umno supaya menyertai parti pemerintah itu. Malahan katanya, sepanjang dalam tahanan di Kamunting, acapkali pegawai-pegawai pihak berkuasa memujuknya supaya meninggalkan Datuk Seri Anwar.

Spekulasi Ezam menyertai Umno ini sebenarnya adalah sebahagian daripada perang saraf untuk menjatuhkan moral ahli Keadilan dan penyokong BA. Ia juga bertujuan untuk melaga-lagakan antara para pemimpin PAS dan Keadilan, dengan menimbulkan kecurigaan antara satu sama lain.

Umno juga amat berharap dapat memancing Ezam kerana jika beliau menyertai Umno, bukan sahaja Keadilan dapat dilumpuhkan, malah karier politik Ezam juga dapat dikuburkan di dalam "keranda Umno".

Kekeliruan

Seandainya Ezam menyertai Umno, beliau cuma akan diterima sebagai ahli biasa. Bak kata naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Umno bersedia menerima Ezam tanpa syarat. Dia akan kekal dan dipinggirkan sebagai ahli biasa Umno kerana tidak mungkin ada pemimpin pergerakan Pemuda Umno yang akan membuka jalan untuk Ezam.

Jika diberi ruang dalam Umno, tentunya Ezam akan menggugat peluang pemimpin lain. Oleh itu, dia mesti dicantas awal-awal lagi. Bagi Umno, Ezam adalah bayangan Anwar Ibrahim.

Kehadiran dan gerak-gerinya dalam politik akan sentiasa mengingatkan rakyat kepada bekas timbalan perdana menteri itu. Oleh itu, pelbagai taktik dan strategi dirangka untuk "menjinakkan" ayam tambatan parti Keadilan ini. Tiada tempat bagi mereka yang terus setia pada Datuk Seri Anwar di dalam Umno!

Perang saraf politik seperti ini akan berterusan sehingglah ke hari pengundian kelak. Setelah proses demokrasi itu selesai, kita akan tahu semuanya adalah khabar angin atau fitnah belaka. Barulah kita tahu sebenarnya tiada ahli PAS dan Keadilan yang keluar parti atau tiada cawangan Umno yang dibubarkan.

Itulah politik, penuh muslihat. Kita perlu bijak menilai setiap berita yang disajikan dari sekarang hingga November 2004. Kita akan dimomokkan dengan pelbagai isu, cerita dogeng, spekulasi, fitnah, penipuan dan janji-janji manis.

Tepuk dada tanyalah minda anda. Untuk menghilangkan kekeliruan atau ketegangan politik anda, anggaplah segala yang dilaporkan itu nanti tidak lebih daripada satu lawak jenaka.