Presiden Umno yang akan bersara, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad meninggalkan dua pesanan atau amanat penting pada hari terakhir perhimpunan agung Umno 2003 lalu. Pertama, beliau mengingatkan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, supaya menjaga kemerdekaan yang ada sekarang. Kedua beliau meminta para pemimpin, khasnya pemimpin-pemimpin Umno, supaya "berhenti makan ketika sedang sedap".

Yang mahu dibicarakan kali ini ialah pesanan kedua beliau itu. Pesan beliau eloklah berhenti ketika sedang disayangi, ketika sedang popular dan bukannya setelah parti rosak. Itulah amanat Wira Dunia Ketiga itu. Beliau sendiri mengakui bukannya mudah baginya untuk mengambil keputusan untuk bersara ketika "makan tengah sedap".

Bagi Dr Mahathir persaraannya ketika namanya sedang dijulang di seluruh dunia, ketika kekuatan Umno sudah pulih adalah satu pengorbanan besar. Beliau kelihatan tenang, dan yakin sekarang adalah saat paling sesuai untuknya berundur. Dr Mahathir akur pada pesanan arwah ibunya berhenti makan ketika tengah sedap.

Walaupun satu ketika dulu beliau dianggap sebagai "liability" atau beban bagi partinya hingga
menyebabkan Umno mencatatkan keputusan teruk dalam pilihanraya umum 1999, namun kini "batu yang digalas itu" sudah bertukar menjadi "permata berlian" yang tiada galang gantinya. Ketua Puteri Umno, Azalina Othman Said menganggap orang seperti Dr Mahathir hanya ada "satu dalam sejuta".

Itulah sejarah Perdana Menteri Malaysia yang keempat ini, penuh kontroversi, pernah disayangi, dibenci, dimarahi dan disukai. Ketiadaannya di dalam arena politik Malaysia selepas ini tentunya akan amat dirasai. Jatuh bangun, warna warni dan karenah politik Malaysia tidak akan sama lagi. Kalau selama ini bahang politik negara penuh kejutan, sentiasa panas, mungkin selepas ini akan menjadi lembab, kurang menarik dan mendatar.

PAS dan sekutu-sekutunya akan kehilangan isu besar selepas ini. Kalau dulu Dr Mahathir yang mereka gelar sebagai Mahafiraun, Mahazalim dan pelbagai "maha" lagi, menjadi salah satu subjek utama ceramah politik PAS atau Keadilan, selepas ini, sasaran dan strategi itu terpaksa diubah.

Modal pembangkang

Sekalipun bayang-bayang Dr Mahathir dalam pelbagai bentuk tindakan dan dasar yang telah iperkenalkannya, akan terus menjadi modal besar parti pembangkang, namun "mood dan sentimennya" sudah tidak sama.

Sama ada kita suka atau tidak, Dr Mahathir adalah aktor utama layar politik negara kita selama ini. Corak dan arah politik pasca era Dr Mahathir akan kehilangan "ummmphnya", tiada lagi debaran dan kejutan.

Begitulah adanya, pemimpin datang dan pergi, akhirnya Dr Mahathir pergi juga meninggalkan arena politik negara. Namun amanatnya pada petang Sabtu 21 Julai lalu akan terus kedengaran di telinga kita.

Pesanannya kepada para pemimpin supaya "berhenti makan ketika sedang sedap" patut diamati oleh semua pemimpin lain. Orang lama dalam Umno dan kerajaan, yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat dan ketua bahagian Umno, patut muhasabah diri. Jejak langkah Dr Mahathir mematuhi pesanan arwah ibunya itu wajar diteladani.

Jangan tunggu dibenci, dipecat, diguling, ditentang atau ditewaskan dalam pilihanraya atau pemilihan Umno baru hendak berundur. Bersaralah secara terhormat, pandai-pandailah menilai diri sendiri. Pemimpin negara seperti Datuk Seri Dr. Lim Keng Yeik dan Datuk Seri S Samy Vellu wajar sekali mengkaji tindakan pengerusi Barisan Nasional itu.

Berehat

Jangan jadi seperti Datuk Seri Ling Liong Sik, hanya meletakkan jawatan setelah ditekan, didesak dan setelah MCA terbelah dua. Begitu juga dengan beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri yang telah mengetuai beberapa negeri melebihi 20 tahun, mereka juga wajar membuka jalan untuk orang baru.

Wakil rakyat dan pemimpin Umno yang sudah berkarat, sudah kekeringan idea dan tidak mampu lagi menyumbang kepada parti dan rakyat wajar memikirkan langkah untuk "berehat".

Terdapat ramai wakil rakyat dan ketua bahagian Umno yang uzur dan telah "tamat tarikh luputnya". Wajarlah mereka berundur dalam pilihanraya umum 2004 nanti. Langkah itu akan memudahkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyusun barisan kepimpinan dan kabinet
barunya.

Jangan mahu menongkat langit. Faham-fahamlah, sebenarnya Dr Mahathir menyindir ramai pemimpin Umno apabila beliau menceritakan tentang pesanan arwah ibunya itu. Bacalah yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Selamat tinggal Seri Perdana, "adios" Global Express dan "sayonara" Putrajaya. Dr Mahathir, anda memang seorang negarawan. Dan para pemimpin lain, kalau sayangkan Umno, jika sayangkan orang Melayu dan kasihkan negara, berhentilah makan ketika sedang sedap!