Minggu ini kita pasti akan menyaksikan "drama air mata" di Dewan Merdeka, PWTC apabila para perwakilan Umno mengucapkan "sayonara" awal kepada presiden kesayangan mereka, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Pasti ucapan dan pantun seloka yang penuh puji-pujian akan diiringi dengan sebak air mata. Di mana kan ku cari ganti

Jangan salahkan ahli-ahli dan perwakilan Umno jika PWTC dibanjiri air tangisan kerana yang akan meninggalkan mereka bukannya calang-calang pemimpin. Yang akan meninggalkan Umno setelah menerajui parti itu lebih dua dekad ialah Wira Dunia Ketiga.

Presiden yang akan bersara ini mempunyai jasa yang sangat besar kepada bangsa dan negara serta berwawasan tinggi. "Track Record" Dr Mahathir tidak boleh dinafikan dan disamakan dengan mana-mana bekas atau pemimpin masa kini Umno.

Maka akan merataplah para Puteri Umno, pemuda Umno, Wanita Umno dan kaum bapa Umno. Mungkin ada yang akan membuat usul mengejut meminta presiden menarik balik hasrat untuk bersarta pada hujung Okt ini.

Itu mungkin usaha pada sata-saat akhir yang sia-sia kerana Dr Mahathir telah berulang-ulang kali menegaskan beliau tetap akan pergi selepas bulan 10 ini.

Tidak ada apa yang lebih menarik dalam perhimpunan agung kali ini selain daripada amanat terakhir presiden parti. Klimaks perhimpunan kali ini ialah pada hari terakhirnya apabila presiden menggulung perbahasan.

Tangisan

Walaupun mungkin tidak mengejutkan sebagaimana tahun lalu, kerana pemergiannya sudah diketahui umum, namun suspen dan drama hari terakhir ini tetap ditunggu-tunggu.

Adakah Dewan Merdeka akan sekali lagi dilanda histeria? Terpakukah para perwakilan dan pemerhati serta seluruh rakyat mendengar ucapan perpisahan itu. Ramai yang akan bersedih seolah-olah anak kematian bapanya, namun jangan lupa, dalam kesedihan itu ada yang tersenyum.

Pastinya dalam sebak dan tangisan ahli dan pemimpin Umno melepaskan Dr Mahathir itu, ada pula yang menarik nafas lega, bersyukur dan bertepuk tangan. Bagusssakhirnya dia pergi juga. Ramai yang melihat ada kekosongan jawatan yang perlu diisi, ada peluang dan ruang untuk direbut.

Sebenarnya masih ramai yang sangsi dan ragu-ragu adakah Dr Mahathir benar-benar akan bersara kali ini. Ada yang tidak yakin dan mereka percaya beliau akan mengubah fikirannya di saat-saat akhir.

Malah ada yang berpendapat bakal penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) akan menerima nasib seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada yang nakal berseloroh, selepas bercuti dua bulan, Dr Mahathir akan mengubah fikirannya.

Cemerlang

Namun semua prasangka dan kesangsian itu nampaknya semakin meleset. Selepas pulang daripada bercuti dua bulan, beliau tetap bertegas mahu bersara dan telah meminta ahli-ahli Umno memberi sokongan padu kepada Pak Lah. Beliau memberi markah cemerlang kepada Pak Lah kerana berjaya memikul tugas sebagai pemangku perdana menteri dengan baik.

Kini kawan dan lawan Dr Mahathir semakin yakin beliau akan berundur dengan penuh hormat selepas Okt ini. Beliau nampaknya telah memilih masa paling baik untuk bersara- di saat imejnya dan imej Umno sudah berjaya dipulihkan, ketika kredibilitinya berada di puncak.

Sepanjang pemerintahannya, Dr Mahathir telah melakukan pelbagai kejutan. Bangsa Malaysia khususnya orang Melayu mengenal tradisi dan sikap baru. Mereka dikejutkan dari khayalan, mereka diajak berdikari, diajar membuang "tongkat" hak istimewa orang Melayu dan diperkenalkan meritokrasi.Dr Mahathir akan dikenang sebagai negarawan yang mengangkat martabat bangsanya.

Presiden Umno ini telah menjangkakan apa yang akan berlaku pada perhimpunan agung terakhirnya nanti. Lantas beliau mengingatkan para perwakilan jangan memujinya melambung-lambung. Beliau tidak mahukan acara atau layanan istimewa.

Ahli-ahli Umno harus rasional. Permintaan Dr Mahathir itu harus dihormati kerana walaupun perhimpunan kali ini mungkin yang terakhir baginya, namun beliau masih ada empat bulan lagi dalam kerajaan dan parti.

Masih banyak yang perlu dan hendak dilakukannya dalam tempoh yang singkat itu. Dr Mahathir belum sanggup mendengar ucapan "Selamat Bersara" itu. Walaupun sudah dekat tetapi masih jauh. Simpanlah dahulu ucapan salam perpisahan itu.

Kes Anwar

Ahli-ahli Umno dan seluruh rakyat Malaysia terpaksa menerima hakikat ini. Pemimpin datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti. Pak Lah mungkin tidak sama dengan Dr Mahathir, mungkin tidak sehebat dan sepetah Perdana Menteri Malaysia keempat itu, namun beliau tetap mempunyai kelebihan tersendiri untuk menerajui Malaysia. Berikan beliau masa dan peluang.

Dr Mahathir akan pergi sebagai wira bangsa dan negara. Beliau akan dikenang sebagai bapa pemodenan dan perindustrian Malaysia. Beliau mungkin tiada lagi dalam kerajaan namun jejak-jejak dan bayang-bayangnya berada di mana-mana.Wawasan 2020nya akan terus dikejar,

Menara Berkembar Petronas akan terus berdiri tegak sebagai lambang kejayaannya dan projek-projek meganya terus dikagumi. Dan tindakan Dr Mahathir yang paling akan dikenang atau diingati atau dibenci oleh rakyat, kawan dan lawannya ialah tindakan beraninya menyingkirkan Datuk Seri Anwar daripada parti dan kerajaan.

Walaupun Dr Mahathir akan terus disayangi dan disanjung kerana baktinya, beliau akan juga dikenang kerana mata lebam Anwar!