Pembebasan dan perayaan. Minggu lepas dan minggu ini, ada sambutan hangat kebebasan semula aktivis-aktivis Reformasi. Pembebasan ini semacam memberi semangat "baru", dan bagi sebilangan orang, Gerakan Reformasi (baca: demonstrasi) akan berlangsung semula.

Sepanjang dua tahun lalu, gerakan ini semacam terbius. Kekakuan itu, bagi sebilangan penganalisis, akibat tertangkapnya pemuka-pemuka Reformasi mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Secara selanjar, bebasnya aktivis utama ini tentu akan meneruskan kerancakan perjuangan seperti 1998 hingga awal 2001.

Tetapi apakah tempoh sebelum ISA itu cukup memuaskan sehingga wajar ia diterus-teruskan sahaja? Apa yang pincang, atau apa yang tidak bijaksana, harus dibawa ke masa depan?

Masa telah bergerak lima tahun, sejak 1998, dan kita mempunyai peluang melihat ke belakang dengan lebih jernih dan tenang - seharusnya. Tetapi manusia sering ditangkap kelaziman, sama ada benak atau gelagat.

Kita ditangkap oleh sumbatan maklumat yang "sama" dan merenung imej yang "sama" (kerana kita sering memilih-milih serta meringkaskan kenyataan hidup yang kompleks sekehendak kita).

Realiti boleh berubah, dan memang ia berubah, tetapi jendela fikiran yang memproses maklumat belum tentu mahu berubah. Minda agak kaku sebenarnya. Maklumat baru, "waqi'', kata aktivis Islam, belum tentu berjaya diproses melalui jendela fikiran yang sama. Luas atau sempit jendela - itu satu persoalan. Tetapi kedudukan serta arah jendela juga boleh membekukan.

Kekakuan gerak politik

Kita tahu ada jenis-jenis pemikiran: analitikal, sistemik, kritikal, sintesis atau kreatif. Dari mata turun ke hati; dari benak jadi gelagat. Kekakuan gerak politik bermula di sini. Ungkapan popularnya, "paradigm paralysis".

Gerakan Reformasi mengalami kelumpuhan ini bagaimana kita membaca masyarakat kita sendiri dan merumuskan hubungan antara unsur-unsurnya dalam konteks masa tertentu; dan bagaimana kedudukan Reformasi dalam hubungan-hubungan itu.

Ada orang menyebut gejala membeku ini dan keperluan baru perubahan dengan ungkapan-ungkapan "berfikir di luar kotak", "anjakan paradigma", "gambaran besar", "jangka panjang" atau seperti kata Alvin Toffler dalam Third Wave, "to think beyond unthinkable".

Tetapi ini semua istilah indah-indah yang kita semua cukup tahu. Ia mudah diucap seperti mudah ditulis di sini, ada masanya membosankan untuk diulang-ulang selalu.

Tetapi inilah hakikat yang wajib diterima oleh penggerak serta simpatisan Reformasi. Gerakan ini tidak lagi memikat orang ramai, tidak seperti tempoh 1998-2000. Malah, ia menjauhkan orang ramai, sebahagiannya akibat tekanan kerajaan atau proses penyahpekaan politik (de-politicisation).

Tetapi jangan lupa, sebahagian faktornya kerana kebekuan fikiran serta tindakan aktivis Reformasi sendiri; ketidakupayaan kita untuk melalui celah-celah tekanan kerajaan dan penyahpekaan politik dengan lebih kreatif; sikap sambil lewa, cuai dan keras kepala pada pengalaman silam.

Universiti Bangsar Utama

"Reformasi" yang dimaksudkan di sini adalah gerakan kepolitikan (bukan politik berparti atau anti-kerajaan sahaja) yang berasaskan perkumpulan orang ramai secara longgar (tanpa struktur rasmi atau persatuan berdaftar), tanpa naungan rasmi parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO). Selalunya ia muncul dalam bentuk demonstrasi sehingga muncul "reformasi jalanan" atau "reformis jalanan".

Ada waktunya ia nampak dalam aktivisme kebudayaan seperti "Tok Ampoo", kewartawanan seperti Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), atau kesiswaan seperti '"Universiti Bangsar Utama'' (UBU). Sebenarnya banyak lagi perkumpulan dan individu popular bersama sentimen Reformasi seumpama ini.

Di sinilah aktivis parti, penggerak NGO, wartawan, siswa dan individu berkumpul dan menyatakan rasa tidak senang kepada kerajaan dan realiti bermasyarakat.

Namun, setelah lima tahun berlalu, peminat Reformasi "tersedut" dengan gaya, imej, bahasa dan semangat "tempur" Reformasi era awal tanpa memandang dengan terperinci rentak serta nada masyarakat di sekelilingnya.

Semangat serta mentaliti "perang" lawan kerajaan, orientasi kerja jangka pendek berdasarkan kepanasan isu semasa, bukan semangat membina bangsa dan mempersiap diri untuk perjuangan marathon reformasi.

Aktivis ini, khasnya yang muda-muda atau baru terbabit, menerima format berfikir dan berpakaian ala parti politik dan NGO yang sempit, terbatas, dan penuh risiko (politik) tetapi tidak berkembang. Imej dan bahasa kelompok yang membina tembok dengan orang ramai, termasuk teman sebaya.

Bahasa 'tempur'

Keberanian di sini, misalnya, terlalu kuat tertonjol daripada intelektualisme. Sebab itu, mereka suka kegiatan berdemonstrasi daripada perbahasan ilmiah, sama ada buku atau diskusi. Reformasi dikaitkan dengan demonstrasi, kegiatan lain, misalnya kebudayaan atau kupasan buku, tidak berjaya dikaitkan dengan Reformasi.

Orang ramai takut dan "tidak faham" dengan imej dan bahasa "tempur" itu tetapi aktivis Reformasi tidak menyedarinya. Sebilangan penyokong dan simpatisan Reformasi harus meneruskan rutin hidup tetapi masih lagi ditarik-tarik untuk berjuang dengan nada dan format "tempur" era 1998-2000. Mereka tidak diberi peluang untuk bergiat dalam format-format lain.

Cabang-cabang baru perjuangan tidak berkembang dan dikembangkan; semuanya suka berlonggok sesama sendiri bercerita tentang diri sendiri dan masyarakat dari perspektif yang sama. Kita mudah sekali terjerat dalam gejala "group think" atau dalam istilah aktivis Islam, kekakuan akibat "wehdatul fikr".

Contohnya, masyarakat masih lagi dipandang mewarisi penyakit atau sikap berikut: "takut", "tidak berpolitik", "lalai", "pentingkan diri sendiri", "percaya pada propaganda kerajaan" atau apa-apa lagi ungkapan yang kita cipta sendiri.

Akibat kefahaman lama ini tentang masyarakat, penggiat Reformasi percaya mereka tidak perlu memecah kebuntuan ini dengan lebih kreatif dan imaginatif. Sebaliknya masyarakat masih dipaksa memandang tinggi Reformasi dan mendengar khutbah perjuangan.

Kita masih menggalas produk idealisme untuk dijual kepada masyarakat tanpa menyelidik pasaran terlebih dahulu kerana percaya produk ciptaan kita maha bagus dan wajib dibeli oleh orang ramai. Jika tidak mahu membeli, masyarakat bodoh!

Mencari titik pertemuan

Jarang sekali kita ingin duduk-duduk sambil menyelami isi hati, rentak resah masyarakat. Jarang sekali kita ingin mencari titik pertemuan, "kegembiraan" dan bertegur-sapa secara semula jadi dengan orang ramai.

Sebaliknya kita umpama ejen jualan langsung yang sangat sibuk atau tamak mengejar komisyen jualan. Kita tidak peduli sama ada orang ramai di restoran sedang bercinta, mabuk, pokai, bergaduh atau asyik berbual - yang penting kita "mesti jual"!

Jika keadaan ini berterusan, saya tidak fikir Reformasi boleh dikembangkan. Dengan pembebasan aktivis Reformasi daripada ISA, mungkin sahaja temponya akan lebih baik serta sedikit rancak, khususnya menjelang pilihan raya umum ke-11.

Tetapi kerancakan itu tidak menjawab persoalan halatuju perjuangan serta perincian tema untuk jangka panjang, tempoh lima atau 15 tahun lagi. Sebelum dua tahun ISA, sebelum tempoh membeku, masalah-masalah ini sudah sedia wujud. Misalnya, tidak ada program pendidikan politik, tidak selesai penghuraian serta debat tentang isi, hala tuju Reformasi yang konkrit.

Orang tidak dapat membezakan Reformasi daripada nasib Anwar Ibrahim, parti Keadilan atau Barisan Alternatif; tidak nampak perbezaan Reformasi daripada demonstrasi - sehingga mengelirukan orang ramai, termasuk penyokong serta simpatisan Reformasi itu sendiri.

Cabang baru perjuangan

Tidak terbangun rangkaian perkumpulan ini di luar Lembah Klang atau cabang-cabang baru perjuangan, sama ada dalam bentuk media, budaya, dokumentasi, penerbitan atau intelektualisme. Cabang-cabang ini sedikit sebanyak wujud tetapi sangat tidak memuaskan, serta masih longgar rangkaiannya sehingga ia tidak menjadi perkumpulan padu gerakan rakyat di luar parti politik.

Padahal, kita tahu semangat awal orang ramai tempoh 1998-2000 itu tidak dapat ditampung oleh parti pembangkang, Anwar atau NGO sahaja. Ramai juga individu serta perkumpulan yang enggan dikaitkan, apatah lagi mendukung, tiga imej ini. Kepelbagaian inilah yang tidak dikembangkan dalam tempoh sebelum tangkapan ISA.

Malah, Reformasi menjadi semakin kecil, sangat khusus atau eksklusif, tidak lagi mempesona orang ramai, tidak melayan kepelbagaian mereka, asyik tenggelam dengan semangat anti-kerajaan dalam format demonstrasi.

Apabila tersudut sedemikian rupa, Reformasi dirasakan hanya slogan kosong, sama seperti bapa Rangga bertanya, "apanya yang reformasi, Cinta?" dalam filem remaja Indonesia, "Ada apa dengan cinta?".Buka cabang, format baru perjuangan

Reformasi tidak menggunakan bahasa, imej dan penghayatan nilai baru yang popular dan merayakan sentimen orang ramai. Pendek kata, Reformasi dilihat sejenis lagi kegiatan pembangkang (BA atau Anwar), bukan gerakan rakyat yang tulen untuk memikirkan dan memperbaiki nasib mereka sendiri.

Memang benar, para penggiat Reformasi telah menyedari keperluan memikirkan semula gerakan ini selepas pilihanraya umum 1999 lagi, tetapi tempoh setahun (sebelum ditangkap pada April 2001) agak pendek untuk penstrukturan semula Reformasi.

Selepas keluar kem tahanan Kamunting, tidak ada sebab lagi untuk aktivis-aktivis Reformasi tengok ke belakang dan menyalin bulat-bulat masa silam. Saya bimbang mereka tersalah pandang kerana mendapat input palsu dan mengagendakan masa depan berdasarkan kepalsuan ini. "Quo vadimus" Reformasi?